Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, May 31, 2013

Puisi HMS Abu Bakar "Doa untuk Dr Awang Sariyan

DOA UNTUK DR AWANG SARIYAN



Dr Awang Sariyan
Seorang yang berkebolehan
Seorang yang berpengalaman
Suka berkawan dengan yang beriman
Minat ilmu pengetahuan
Tegas pendirian
Boleh dijadikan teladan
Sekarang memegang jawatan
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka
Cerah bahasa dimasa muka
Bantulah dia
Paksi memang percaya
DBP akan gah semula
Membantu yang maaruf dapat pahala
Dengan ini warga
Seniman Paksi Rakyat
Akan terus bermunajat
Juga solat hajat
Supaya Dr. Awang Saiyan sihat walafiat
Semoga Bahasa Melayu terus berdaulat
Kurniakanlah
Wahai Tuhan Yang Maha Esa



HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
RAwal1433/Feb2012


Dicatatkan oleh محمد صالح ابو بکر pada 13:34
E-melkan Ini
BlogThis!
Kongsi ke Twitter
Kongsi ke Facebook

Labels: DOA UNTUK DR AWANG SARIYAN

Tazkirah kepada diri: Tentang hak bercakap

Tentang hak bercakap:

Benar bahawa setiap orang berhak bercakap, tetapi hendaklah tentang sesuatu yang diketahuinya. Jika ia tidak tahu, haknya bercakap hendaklah dalam bentuk pertanyaan kepada orang yang tahu.

Jika makna hak bercakap difahami, insya-Allah terhindar sangkaan buruk, fitnah dan andaian palsu yang menjadi punca perbalahan dan permusuhan sesama manusia.

Kembara Bahasa
31 Mei 2013/22 Rejab 1434

Wednesday, May 29, 2013

Puisi penghargaan kepada Allahyarhamhu Tan Sri Ainuddin Wahid

TAN SRI

Asar 28 Mei 2013
19 Rejab 1434
menyaksikan seorang cendekiawan
dijemput pulang oleh Pemilik hakiki
sesudah melunaskan amanah
sepanjang hayat yang dipinjamkan

Kala kuziarahi jenazahmu
Dalam keheningan sesudah Subuh
wajahmu tenang damai
membayangkan kepuasan
kehidupan yang dimaknai
oleh sumbangan dan bakti
Namun kusedari
semacam manik-manik air mata
membasahi kelopak matamu
mungkin sesalan
perihal masih berlangsungnya
kemelut umat Melayu Islam
di watan tercinta

Tan Sri
Masih kurindui patah-patah madah
yang menjadi azimat
dan pengobar semangat juang
yang Tan Sri gemakan
di pelbagai pentas wacana

Madahmu
mudah
tetapi indah
dengan jelasnya arah
bersendikan fikrah

Tan Sri
Dikau kobarkan
asas umat bangsa
berteraskan agama
agar jati diri dan martabat terpelihara
Dikau kobarkan
kekuatan bangsa
berwahanakan bahasa
kurniaan Nan Esa
tanpa silau atau bangga
akan kemegahan milik orang lain

Tan Sri
Dikau janakan
puluhan ribu teknokrat
yang mengenal hakikat
akan erti insan bermartabat
yang tunduk patuh kepada sunatullah
dan mengakar dalam budaya mardhatillah

Tan Sri
Masih kurindui
suara lunakmu
dengan tamsil dan kias
memecahkan empang keras
yang membendung kejahilan
dan kesalahan yang jelas
Madahmu
"Lain yang luka lain yang dibebat"
menyindir tegas
pemegang amanah
yang bertindak
tidak beralaskan hujah
dan alasan yang munasabah
akhirnya mendatangkan musibah

Tan Sri
Kuiringi kembalimu
ke pangkuan Kekasih Abadi
dengan doa semoga dikau dirahmati
di alam barzakh
dan kelak ke alam syurgawi
Jejak-jejak perjuanganmu
Dan denai peradaban
yang dikau rintis
Insya-Allah kami lanjutkan.

Tan Sri
Berbahagialah
di bawah naungan
dan payungan
rahmat Allah Izzati.

Kembara Bahasa
30 Mei 2013/21 Rejab 1434

Seberang Perai

Baha Zain Sasterawan Negara Ke-12


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Sasterawan Negara kepada Baharuddin sambil diperhatikan Muhyiddin di Kuala Lumpur.
Penulis terima wang tunai RM60,000, kemudahan berkarya

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain malam tadi menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Baharuddin.
Beliau menerima wang tunai RM60,000, watikah Sasterawan Negara Ke-12 selain kemudahan berkarya.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-12.

Muhyiddin dalam ucapannya, menyifatkan Baha Zain sebagai penulis yang amat prolifik dalam genre puisi dan kritikan sastera.

Suntik semangat
"Semoga anugerah diberikan ini akan menyuntik semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan buah fikiran ke arah pembangunan bangsa dan sastera kebangsaan," katanya.

Pada 15 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan Baharuddin sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan beliau dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Antara karya Baha Zain, 74, ialah puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980).

Puisi beliau antaranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol.

Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010) dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).

Anugerah Sastera Negara adalah anugerah tertinggi negara kepada sasterawan.

BERNAMA

Tazkirah kepada diri: Isu polarisasi jantina bukan isu Islam

Nabi Adam a.s dikurniai pasangan hidup, Siti Hawa oleh Allah untuk saling melengkapi sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sikap mempertentangkan lelaki dan wanita, baik yang ditimbulkan oleh lelaki mahupun wanita tidak menepati sunatullah atau undang-undang Allah. Polarisasi jantina bukan isu umat Islam, melainkan isu yang dipromosikan oleh anasir bukan Islam.

Kembara Bahasa
30 Mei 2013/20 Rejab 1434

Tuesday, May 28, 2013

Tan Sri Ainuddin Wahid pulang ke rahmatullah


Tokoh pendidikan dan antara jurutera Melayu terawal yang juga perintis Institut Teknologi Kebangsaan dan kemudian Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia, Tan Sri Ainuddin Wahid pulang ke rahmatullah pada pukul 5.45 petang tadi, 28 Mei 2013 di rumahnya, Jalan 7 Taman Tun Abd. Razak, Ampang. Al-Fatihah dan doa kesejahteraan untuk roh pejuang Melayu Islam yang jitu.

Kenangan berjuang bersama-sama dengan beliau, adindanya Datuk Zainal Abidin Wahid, Allahyarhamhu Dato' Dr. Hasan Ahmad, Datuk Abu Bakar Hamid, Dato' Baha Zain, Prof Abdullah Hasan dan beberapa yang lain dalam Kumpulan Perihatin masih segar. Meskipun berkerusi roda sejak bertahun-tahun, beliau tetap menghadiri mesyuarat dan wacana saperti ceramah dan forum. Pernah semasa UKM menganjurkan forum yang disertainya sebagai anggota panel bersama-sama dengan
hamba dan Haji Azmi Hamid pada sekitar tahun 2005, beliau bersolat Maghrib di kerusi rodanya di luar dewan forum sebelum forum bermula.

Sikap dan pendiriannya tentang baasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu cukup tegas. Ungkapan masyhur beliau dala m kritikan terhadap PPSMI ialah "Lain yang bernanah lain yang dibebat". Maksudnya, hasrat untuk mengatasi masalah yang dikatakan kelemahan bahasa Inggeris dalam alanan pelajar dengan mengajarkan sains dan atenatik merupakan kaedah yang tidak tepat.

Kembara Bahasa
29 Mei 2013

Monday, May 27, 2013

Tazkirah kepada diri: Antara mimpi dan impian

Kalau mimpi menjadi gangguan kepadamu, maka bangkitlah dari kasur yang melenakanmu, namun usah sekali-kali kaubunuh impian yang membangkitkan semangat juangmu.

Kembara Bahasa
27 Mei 2013/18 Rejab 1434

Sunday, May 26, 2013

Tazkirah kepada diri: Susuli kerja baik dengan munajat kepada-Nya

Sesudah tuan hamba sampaikan perkataan dan pesan yang baik, berdoalah semoga perkataan dan pesan yang baik itu memberikan kesan. Ikhtiar kita menyampaikannya, selebihnya kita bermohon kepada Yang Berkuasa.

Kembara Bahasa
27 Mei 2013

Thursday, May 23, 2013

Tazkirah kepada diri: Lambang perpaduan pada ombak dan pantai

Ombak dan pantai manatah mungkin dipisahkan?
Meskipun menjadi tabii "ombak memukul pantai", pantai tetap setia menerima kehadiran ombak.

Kembara Bahasa
24 Mei 2013

Wednesday, May 22, 2013

Tazkirah kepada diri: Suara batin yang tulus

Apabila suara batinmu melahirkan bicara yang tulus, insya-Allah bahagia orang dan sekalian makhluk lain yang mendengarnya. Apabila suara batinmu menghamburkan bicara yang fasad, menderita dan dukacita makhluk yang mendengarnya.

Kembara Bahasa 23 Mei 2013

Tuesday, May 21, 2013

Puisi "Mercu Suar Kita"

Mercu Suar Kita

Bukan soal dikau mahu atau tidak
Bukan soal dikau bersedia atau menolak
Bukan jua soal dikau peduli atau tidak berkehendak

Erti kewujudan diri kita tidak bisa dihilangkan
Jejak warisnya zaman-berzaman tidak bisa dimusnahkan
Mercu suar leluhur kita tegak di mercu kegemilangan
mengabadikan lakaran sejarah yang tidak terpadamkan
oleh petualang luar mahupun oleh gunting dalam lipatan

Bukan soal dikau mahu atau tidak mengambil tanggungjawab
Bukan soal dikau menghargai atau tidak akar tunjang adab
Bukan jua soal dikau memahami atau tidak segala asbab

Tonggak itu akan terus di situ
selama takdir Sang Perancang memayunginya
dan dikau kelak mungkin akan kembali
mempelajari segala erti yang terlindung di baliknya
asal sahaja ketika itu dikau bukan pemusnahnya

Kembara Bahasa
Alor Setar
22 Mei 2013

Tazkirah kepada diri: Tuhan tidak menangguhkan kebenaran



Tuhan tidak pernah menangguhkan kebenaran, melainkan untuk menguji hamba-Nya semata-mata.

Kembara Bahasa
22 Mei 2013

Saturday, May 18, 2013

Perihal cinta benar dan cinta palsu terhadap bahasa - tulisan 26 tahun lalu


Diucapkan “Tahniah” kepada Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa kerana pada 26 tahun lalu menulis,

“Kalau masih ada sikap meremehkan penguasaan bahasa yang baik, maka cinta kita itu adalah cinta yang palsu. Tidaklah ada ertinya jika berbahas tentang maruah bahasa kita sedang bahasa itu tidak pula membayangkan erti maruah itu sendiri.
………
Demikianlah, soal kecintaan terhadap bahasa sebenarnya memerlukan lebih daripada hanya laungan, semangat dan slogan. Kita tidak mengingini cinta palsu yang murah diucapkan. Yang perlu kita suburkan ialah cinta benar yang dibuktikan dengan menghayati peribadi bahasa itu sendiri. Menghayati peribadi bahasa bererti menguasai seluruh sistem bahasa, iaitu aspek sebutan, ejaan, tatabahasa, gaya bahasa, kosa kata dan makna. Hanya dengan mengenal peribadi bahasa itu secara mendalam barulah kita berhak mengatakan bahawa kita benar-benar mencintai bahasa kita itu…. ” (Lihat Awang Sariyan, “Perihal cinta benar dan cinta palsu”, Pelita Bahasa, April 1989, muka surat 22-23).

ASKAT: Betapa kental, betapa mantap, betapa bernilai, betapa mengena. Saya mahu semua pengguna bahasa Melayu dalam fb berpandukan kata-kata bernas yang santun itu apabila bergaul dengan teman-teman.

Ahmad Said (Dato'), dalam Facebook 19 Mei 2013

Tazkirah kepada diri: Usah menyalahkan retorik

Mengapa menyalahkan retorik dengan ayat klise "Itu hanya retorik"? Bererti atau kosongnya sesuatu retorik bergantung pada si penzahir retorik itu sendiri.

Kembara Bahasa
19 Mei 2013/9 Rejab 1434

Friday, May 17, 2013

Tazkirah kepada diri: Iktibar giliran malam dan siang


Tazkirah kepada diri:

Maka mentari pun bertandanglah di jagat raya, memberikan sinar kehidupan pada siang yang menggantikan malam. Demikianlah setianya siang dan malam bergilir peran, tunduk patuh kepada ketetapan Ilahi. Sesungguhnya pada pergantian siang dan malam itu terdapat iktibar untuk renungan dan ikutan oleh manusia.

Kembara Bahasa
18 Mei 2013/8 Rejab 1434

Thursday, May 16, 2013

Tazkirah kepada diri: Erti persaudaraan seagama

Tazkirah kepada diri:

Dalam doa, dipohon keampunan bagi sekalian mukminin dan mukminat serta muslimin dan muslimat sebagai tanda persaudaraan seagama. Di luar doa, mengapakah berlaku sebaliknya?

Kembara Bahasa
17 Mei 2013/7 Rehab 1434

Wednesday, May 15, 2013

Dirgahayu DBP 57 Tahun

Pengemudi Watan

Zahirmu
dalam zaman gejolak
umat bermaruah menuntut hak
daripada penjarah
yang meragut kebebasan dan martabat

Zahirmu
daripada cetusan dan ledakan
semangat juang sekalian cendekiawan
bahasawan, sasterawan, wartawan, budayawan, agamawan
yang berpadu akal, ilmu dan wawasan
mempersiapkan bahasa watan
yang seawal abad Masihi
telah mula mengukir sejarah
di mayapada
untuk menjadi wahana
tamadun besar menjelang kemerdekaan
bahasa pembentuk jati diri umat merdeka
bahasa penyatu warga senegara
bahasa wasilah pentadbiran negara
bahasa landasan perkembangan ilmu beraneka

Lima dasawarsa tujuh tahun
dikau meniti jalan sejarah
mengisi erti bahasa bermartabat
mengisi bahasa yang zahir dan yang maknawi
sebagai daya pengungkap pandangan sarwa
kebijaksanaan dan peri segala ilmu milik wangsa
memperkaya khazanah kata, istilah, ungkapan, laras
persuratan susastera dan persuratan ilmu

Dikau akan terus kami kemudikan
sebagai bahtera tamadun wangsa dan negara
membentuk kekuatan berpaksikan nilai dan acuan sendiri
menjadi wahana akal budi
pendukung cita abadi putera dan puteri
di bumi payungan rahmat Ilahi.

Kembara Bahasa
16 Mei 2013/6 Rejab 1434


Tuesday, May 14, 2013

Penghargaan kepada Guru

Ya, Allah rahmatilah sekalian guruku, baik yang telah kembali kepada-Mu mahupun yang masih hidup. Antaranya:

Di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang - Cikgu Ahmad Mohamad, Cikgu Kumasi Dainuri, Cikgu Bujang Ahmad, Cikgu Ismail Abd. Rahman, Cikgu Jaafar, Cikgu Tarmuzi, Cikgu Isa, Cikgu Bahiyah Ahmad, Cikgu Safiah Abd. Rahman, Cikgu Mohd. Noor, Cikgu Alwi ahmad, Cikgu Syaarani Abd. Jalil, Ustaz Afandi, Ustaz Ramli, Cikgu Maznah.

Di Sekolah Agama Teluk Kerang - Cikgu Sidin, Cikgu Hasan, Cikgu Saleh, Cikgu Ahmad Satam.

Di Sekolah Menengah Teluk Kerang - Cikgu Hood Fadhil, Cikgu Ahmad Parman, Cikgu Zaini Hitam, Cikgu Haron Kidam, Cikgu Rail Abas, Cikgu Hamidah Ahmad, Cikgu ismail Omar, Cikgu Jabar Ahmad, Cikgu Razali Abdullah, Ciku Jabit Kamin, Cikgu Mustafa, Cikgu Tan Ki Kan, Cikgu Ahmad Talib, Cikgu Ibrahim Kasim, Cikgu Ramlan Darham, Usraz Hasan Cik Mat, Cikgu Jaafar.

Di Sekolah Menengah Sultan Ismail - Cikgu Mahadir Hashim, Cikgu Mohamad Yusuf, Cikgu Yaakob Abd. Ghani, Cikgu Aishah Yaakob, Cikgu Kamisah Hasan, Cikgu Nafsiah, Cikgu Sharifah, Cikgu Zaiton Husin, Cikgu Ibrahim Ismail, Cikgu Syed Mohamad Al-Khudri, Cikgu Salha.

Kembara Bahasa
16 Mei 2013

Thursday, May 9, 2013

Puisi "Catatan di Pinggiran"

Catatan Di pinggiran

Aduhai
mustahil pada akal
baru kini dikau sedar
penaka sudah terantuk baru tengadah
Telunjuknya memang tidak pernah lurus
Kelingkingnya memang sentiasa berkait

Malanglah dikau
sepuluh kali melebihi malangnya Pak Kaduk
Ayam sabung tidak menang
Kampung sedia tergadai

Sejarah tidak pernah mengajar
jika dikau sendiri tidak bersedia belajar
Iktibar dan ibrar tidak dikau jadikan guru
Justeru pendampingmu si keliru dan pengeliru

Jalan pilihan
untuk menentukan hala tuju baru
terbentang di hadapan sana
meskipun onak dan duri tidak akan terhindarkan
Bertunjangkan tawakal bersendikan akal berwawasan
sucikan niat padukan tekad
dikau masih ada harapan
mengemudikan bahtera pertiwi
tetapi hampir pasti
dengan tiada peluang berulang lagi
jika amanah dan kepercayaan dikau persia-siakan

Kembara Bahasa
9 Mei 2013/28 Jamadil Akhir 1434

Wednesday, May 8, 2013

Soal Jawab Bahasa: Ayat Bersubjek Kata Kerja?



Pertanyaan

“ Menjadi tanggungjawab tiap-tiap entiti kerajaan untuk bekerjasama dan membantu Suruhanjaya”.

Ayat di atas sudah agak mantap digunakan dalam laras bidang undang-undang, dan merupakan terjemahan bagi ayat bahasa Inggeris “ It shall be the responsibility of every Government Entity to…”

Adakah ayat dalam bahasa Melayu itu ayat majmuk komplemen yang menggunakan kata komplemen untuk yang disongsangkan?

Penjelasan

Pada hemat saya, kata hubung pancangan "untuk" perlu dihilangkan, untuk memenuhi binaan ayat yang gramatis dalam bahasa Melayu, iaitu:

"Menjadi tanggungjawab tiap-tiap entiti kerajaan bekerjasama dan membantu Suruhanjaya."

Ayat itu merupakan binaan ayat songsang daripada ayat:

"Bekerjasama dan membantu Suruhanjaya menjadi tanggungjawab tiap-tiap entiti kerajaan."

Ayat asal dalam binaan ayat biasa (subjek di hadapan dan predikat di belakang) itu ada dijelaskan oleh Za'ba dalam buku Pelita Bahasa Melayu sebagai ayat yang subjeknya terdiri daripada kata kerja yang telah mengalami penghilangan kata nama.

Contoh yang diberikan oleh beliau ialah "Berenang menyihatkan badan" (dengan kata "berenang" yang berbentuk kata kerja menjadi subjek, daripada frasa asalnya yang berbentuk frasa nama "Perbuatan berenang").

Kembara Bahasa
9 Mei 2013

Tuesday, May 7, 2013

Puisi "Kemenangan dan Kekalahan"

Kemenangan dan Kekalahan

Kemenangan
ada kalanya nikmat
jika dengan redha-Nya

Kemenangan
ada kalanya istidraj
jika tanpa rahmat-Nya

Kekalahan
ada kalanya musibah
jika dengan niat yang salah

Kekalahan
ada kalanya anugerah
jika dengannya terjamin di akhirah

Kembara Bahasa
1.25 pagi 8 Mei 2013/27 Jamadil Akhir 1434

Monday, May 6, 2013

Tazkirah kepada diri: Berikhtiar dan bertawakal

Apabila tangan telah melaksanakan ikhtiar, maka kepada Allah kita bertawakal. Sesungguhnya yang akan ditanyakan pada hari perhitungan kelak ialah ikhtiar yang telah kita usahakan, bukan kejayaan yang telah kita capai.

Kembara Bahasa
6 Mei 2013

Sunday, May 5, 2013

Tazkirah kepada diri: Doakan kemenangan bagi yang berhak diberi amanah memimpin

Ya, Allah kepada-Mu kami memohon kemenangan bagi yang berhak Kauberi amanah untuk memimpin kami. Kami redha akan apa-apa jua ketetapan takdir-Mu kerana Dikaulah yang maha mengetahui rahsia di balik segala yang Kautetapkan.

Kembara Bahasa
5 Mei 2013