Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, November 23, 2010

Islam di China: Misi ke Provinsi Henan (Bhg. 2)


Misi ke Provinsi Henan (Bhg. 2)

Sesudah solat Jumaat di Masjid Hua Yuan Jie (Masjid Jalan Taman), kami dibawa oleh Imam Musa (imam muda Masjid Hua Yuan Jie yang berusia 22 tahun dan dapat berbahasa Inggeris sedikit) ke Masjid Lu Zheng, kira-kira 200 meter sahaja dari Masjid Hua Yuan Jie. Masjid ini terletak di tingkat enam di bangunan tujuh tingkat milik masjid, tetapi jauh lebih kecil daripada Masjid Hua Yuan Jie. Tidak ada dataran atau halaman serba guna seperti Masjid Hua Yuan Jie. Saiz dewan solatnya pun kira-kira setengah saiz dewan solat Masjid Hua Yuan Jie.

Bangunan masjid itu pun merupakan bangunan baharu yang siap pada tahun 1994, kerana bangunan asal telah diruntuhkan untuk dijadikan tapak pembangunan perniagaan oleh pemerintah. Biaya pengurusan masjid adalah daripada sumber orang ramai, di samping kedai buku dan kedai serbaneka yang agak besar di tingkat tujuh dan beberapa ruang yang disewakan.

Kami sempat bertemu ramah dengan Imam Yusuf (48 tahun) yang berasal dari daerah Xinsiang, salah satu daerah di provinsi Henan. Beliau telah menjadi imam di beberapa tempat di Henan dan dua kali menjadi imam di Masjid Lu Zheng (kali pertama 1994-1997 dan kali kedua sejak tahun 2004). Pendidikan Islam dan bahasa Arab diperolehnya di Masjid daerah Wujeshian selama enam tahun.

Menurutnya, selain menjadi tempat solat fardhu dan solat Jumaat, masjid menganjurkan kursus agama pada petang Sabtu, khususnya kepada pelajar universiti di sekitar kota Zhengzhou yang pada sebelah paginya mengikuti kursus agama di Masjid Hua Yuan Jie. Selain itu, masjidnya turut mengendalikan kursus kepada bakal jamaah haji sekitar 50-60 orang.

Yang menarik, sebagaimana juga di Masjid Hua Yuan Jie, masjid ini diimarahkan lebih banyak oleh golongan muda daripada golongan tua kerana generasi lama sebahagian besarnya telah pindah ke kawasan di pinggir kota, sesudah kawasan di pusat bandar menjadi kawasan perniagaan yang tinggi kosn hidupnya. Namun, semasa solat sunat Idul Fitri dan Idul Adha, jumlah jamaah meningkat dengan banyaknya.

Namun, di balik bangga dengan Islam yang masih utuh bertahan, Imam Yusuf melahirkan rasa bimbang dengan sebilangan anggota masyarakat yang kian menipis imannya dan kurang menjaga Islam dalam aspek amalannya.

Kunjungan kami seterusnya ialah ke Masjid Kecil Zhengzhou yang asalnya siap dibina pada tahun 1910 tetapi diubah suai dan siap pada bulan Oktober 1999. Masjid ini pun terletak dalam kompleks bertingkat dan tidak berhalaman. Kami sempat beramah mesra dengan Bilal Musa. Sebagaimana di dua buah masjid tadi, golongan muda merupakan jamaah yang menghidupkan kegiatan di masjid, terutama dalam pengajian agama.

Jamaah kian banyak yang masuk ke pejabat Bilal Yusuf untuk bersedia menunaikan solat Asar. Kian banyak yang bertegur sapa dengan kami, dengan minat yang mendalam tentang Malaysia yang telah didengar atau diketahui oleh mereka serba sedikit. Salah seorang yang beramah mesra dengan kami ialah Haji Daud Ibrahim (68 tahun) yang berkali-kali menegaskan pentingnya umat Islam menjaga iman. Berbanding dengan kebanyakan yang lain, beliau tampaknya mempunyai pengetahuan dan iltizam yang amat tinggi dalam menegakkan syariat dan syiar Islam. Menantu perempuannya mengikuti kursus ijazah di Kolej Universiti Insaniah di Kedah.

Beliau meminta kami mengikutnya ke pejabatnya sesudah solat Asar. Setelah tiba di pejabatnya, barulah kami tahu bahawa beliau rupa-rupanya Pengetua Sekolah Nur Mukminin, iaitu sekolah rendah dan menengah agama persendirian di kota Zhengzhou. Tidaklah menghairankan mengapa sejak di pejabat masjid tadi beliau lebih banyak bercakap dan menampilkan diri sebagai pemikir.

Menurutnya, dahulu ada 15 buah sekolah agama tetapi telah dirobohkan untuk pembangunan kawasan perniagaan dan pejabat. Sekolahnya yang terdiri daripada bangunan enam tingkat telah beroperasi selama 20 tahun dan menampung 500 orang pelajar dengan penekanan pada bahasa Arab, pengajian al-Qur'an, hadith, tafsir dan sirah. Di sekolah Nur Mukminin, pelajar mengikuti kursus selama tiga tahun dan lepasan sekolah sebilangannya menjadi imam, guru dan pelajar pengajian lanjutan di luar negara.

Kebanyakan guru sekolah itu merupakan bekas pelajar yang dihantar melanjutkan pengajian di luar negara, terutama di Arab Saudi dengan pembiayaan daripada kerajaan Arab Saudi. Sejumlah kecil melanjutkan pengajian di Malaysia tetapi dengan biaya sendiri.

Sambil menjawab pertanyaan kami tentang sekolahnya, Haji Daud Ibrahim masih terus menegaskan pentingnya peningkatan iman dalam kalangan masyarakat yang kian tercemar oleh anasir-anasir buruk sehingga sebahagiannya menjadi kufur. Beliau menolak kecenderungan umat Islam sedunia yang terlalu mementingkan 'kebangsaan' masing-masing sehingga asal manusia daripada Nabi Adam a.s. seolah-olah dilupakan. Di China sendiri, katanya, banyak yang lebih menekankan jati diri sebagai etnik daripada sebagai penganut agama Islam.

Pengertian agama Islam yang berkaitan dengan makna 'selamat', menurutnya, mesti dijadikan asas oleh semua bangsa yang menganut agama Islam. Oleh itu, perjuangannya ialah membentuk generasi muda yang dapat diberi suntikan pemahaman dan penghayatan Islam yang sebenarnya.

Kami terpegun apabila beliau menunjukkan pelan bandar Islam di tengah-tengah kota Zhengzhou yang dirancangnya, dengan kos 500 juta yuan (kira-kira RM 250 juta). Namun, dengan kekangan kewangan, beliau bersikap realistik lalu menumpukan perhatian kepada fasa satu pelan tersebut, iaitu pembinaan kompleks serba guna Islam 12 tingkat yang kosnya 50 juta yuan (10 juta dolar Amerika).

Wacana kami ditangguhkan untuk solat Maghrib di Masjid Kecil Zhengzhou dan Haji Daud telah awal-awal meminta kami makan malam bersama-sama dengannya. Solat Maghrib diimamkan oleh imam yang bacaannya persis bacaan imam di Masjid al-Haram dan di Masjid Madinah.

Seperti yang dijanjikan, usai solat Maghrib, Haji Daud Ibrahim membawa kami, Imam Musa dan Sulaiman (calon Ph.D di Universiti Columbia yang berasal dari Tianjin) ke sebuah restoran Uyghur. Kami dijamu nasi goreng, sate kambing, roti nan dan sayur-sayuran. Sambil makan, kami meneruskan wacana ilmiah dengan Haji Daud yang cukup bersemangat dan serius dalam meningkatkan pendidikan Islam bagi masyarakat di Henan.

Perpisahan kami dengan Haji Daud Ibrahim, Pengetua Sekolah Nur Mukminin pada malam itu meninggalkan kesan yang mendalam apabila memikirkan bahawa di mana-mana juga pendidikan Islam kian terpinggir apabila kian besar jumlah anggota masyarakat mengutamakan kejayaan duniawi lebih daripada kejayaan yang hakiki. Di balik itu, kami bersyukur kerana masih ada penggerak seperti Haji Daud Ibrahim yang mengorbankan usia, tenaga, waktu dan hartanya untuk membentengi generasi muda Islam di Henan melalui pengukuhan institusi pendidikan. Ya, Allah, berikanlah pertolongan kepada hamba-hamba-Mu yang berusaha menegakkan risalah-Mu!

[Bahagian (3): Misi ke perkampungan Islam di Ma Gou di pinggir kota Zhengzhou dan perkampungan Islam Ke Tang Dian, tempat terdirinya Maktab Pengajian Islam Henan, melalui Sungai Kuning, sungai terpanjang di China. Penghargaan khas hamba kepada anakandan Fayyadh Azmi dan anakanda Syafiq Rahimi yang menjadi pembantu penyelidik sepanjang misi di Henan.]

No comments:

Post a Comment