Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, October 30, 2013

Audit Bahasa

Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi jabatan kerajaan belum memuaskan

NIBONG TEBAL 22 Okt. - Program Audit Bahasa Melayu yang dilaksana oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan mendapati penggunaan bahasa Melayu masih belum mencapai tahap memuaskan.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, berdasarkan penilaian itu, tidak ada kementerian atau jabatan kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi termasuk dalam bentuk surat-menyurat.

Beliau berkata, Audit Bahasa Melayu yang dibuat terhadap beberapa kementerian dan jabatan kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendapati amalan itu belum dilaksana sepenuhnya.

"Kita mendapati bahasa Melayu belum digunakan sepenuhnya dalam urusan rasmi di kementerian atau jabatan terbabit dan dirasakan masih terdapat kekangan dan perlu penambahbaikan supaya bahasa Melayu digunakan sepenuhnya kelak," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 peringkat negeri Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Dalam majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan anugerah kepada bekas pensyarah Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Abdul Rahim Darus, 87, yang dinobatkan sebagai Tokoh Bahasa dan Sastera Pulau Pinang tahun ini.

Dalam pada itu, menurut Awang, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) supaya program Audit Bahasa Melayu disertakan dengan penarafan bintang.

Katanya, menerusi kaedah itu jabatan kerajaan yang diaudit akan diberi taraf bintang tertentu mengikut skala satu hingga lima berdasarkan tahap penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka.

Menurutnya, jabatan yang menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dengan cara yang betul akan diberi lima bintang sekali gus melambangkan kesungguhan mereka dalam memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Bagi jabatan yang diberi tahap bintang lebih rendah, sudah tentu menjadi cabaran kepada mereka untuk berusaha lebih gigih dalam memartabat bahasa Melayu dalam urusan rasmi pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Awang berkata, DBP juga akan bekerjasama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) bagi melaksana ujian kecekapan bahasa Melayu di semua agensi dan jabatan kerajaan di negara ini.

Menurutnya, DBP dan Intan kini sedang merangka format soalan yang akan dimasukkan dalam ujian kecekapan tersebut supaya memenuhi standard yang dikehendaki selain mencapai objektif ditetapkan.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131023/dn_25/Penggunaan-bahasa-Melayu-dalam-urusan-rasmi-jabatan-kerajaan-belum-memuaskan#ixzz2jCQWbQrh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Anugerah Doktor Kesusasteraan daripada World Academy of Art and Culture

MB Perak terima dua anugerah sastera


ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan puisi berjudul Kita Akrabkan Satu Dunia Dengan Puisi pada Kongres Penyair Sedunia Ke-33, di Ipoh, Perak, malam kelmarin.
IPOH 22 Okt. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dianugerahkan Crane Summit Supreme Honour Crown Medallion Award oleh Akademi Seni dan Budaya Dunia (WACC) dalam Kongres Penyair Sedunia yang mula membuka tirainya secara rasmi di sini hari ini.

Zambry juga terpilih sebagai antara lima penerima anugerah 'Dr. of Literature' oleh WACC berikutan sumbangannya dalam dunia penulisan sastera dan seni.

Empat lagi penerima ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan, penulis, A. Rahim Abdullah, kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali dengan gelaran Datuk Lat, dan penulis Mohd. Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya, Malim Ghozali PK.

Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 6 Februari 2009 pernah menghasilkan beberapa buah buku bertajuk UMNO dan Jiwa Merdeka (1998), Pemuda UMNO Menebus Maruah Menuju Arah (2000) dan Islam Malaysia dan Amerika (2000).

Bekas graduan Doktor Falsafah (PhD) jurusan Pemikiran Politik dari Universiti Temple, Amerika Syarikat (AS) itu juga pernah menghasilkan kertas akademik yang kemudiannya diterbitkan dalam beberapa majalah dan jurnal seperti Politics In Malaysia A Changing Scenario (2000) dan Belia dan Cabaran Politik Pascakolonial (1999).

Malah, anak jati kelahiran Pulau Pangkor itu juga pernah menulis dan menerbitkan sebuah buku puisi dinamakan Suara Pelaut tahun lalu.

"Saya percaya puisi dapat memainkan peranan penting dalam penyatuan persahabatan melibatkan kelompok masyarakat di seluruh dunia tanpa mengira batasan bangsa, agama dan bahasa," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Penyair Sedunia Kali Ke-33 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden WACC, Dr. Maurus Young dan Presiden Kongres Penyair Sedunia Ke-33, Madame Wan Hua Chapouthier.

Kongres Penyair Sedunia Ke-33 di Ipoh yang julung kali diadakan di negara ini menghimpunkan lebih 200 penyair dari 29 negara di seluruh dunia.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Korea, Columbia, Denmark, Argentina, Mexico, Perancis, Afrika Selatan, India, Switzerland, Ecuador, Peru dan Mauritius.

Dalam majlis itu, Zambry turut menyampaikan puisi hasil nukilannya sendiri berjudul Kita Akrabkan Satu Dunia Dengan Puisi dan sebuah karya Sasterawan Negara, Usman Awang yang diterjemah ke bahasa Inggeris bertajuk Merpati Putih Jelajahi Dunia Ini.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh beberapa peserta antarabangsa.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131023/dn_20/MB-Perak-terima-dua-anugerah-sastera#ixzz2jCSG0xR0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, October 22, 2013

Puisi "Merahnya Merah"

Merahnya Merah

Merahnya merah
darah sang pejuang
yang digugah
oleh pendusta bangsa
penyempurna ketaataan sesia

Merahnya merah
darah sang pejuang
yang terbakar hatinya
oleh janji palsu belaka
menutup lara sementara

Merahnya merah
darah sang pejuang
yang tidak betah lagi
oleh omongan di ruang gusi
punca bangsa jadi pengungsi

Merahnya merah
darah sang pejuang
Dia tidak tahan lagi
Merah menjadi marah
Biar tersula demi maruah
Biar terseksa asalkan terelak padah
Biar dia meredah
dengan kesucian wajah
Tiada sekali-kali berpaling tadah
penegak umat yang sah

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Pulau Pinang - Kuala Lumpur
22 Oktober 2013

Sunday, October 20, 2013

Puisi Dedikasi Ulang Tahun Kelahiran oleh Yatim Ahmad

Ini Melayu terbilang

aku utuskan ini warkah sempena
hari ulangtahun kelahiran mu, Paduka
namamu kusebut antara bait
yang berbunyi:

jika tidak kerana karun bangsaku
berhias antara leiden dan oxford
memang tak perlu nama itu aku sebut
sekalipun ia memuntahkan sejuta cendiakawan
kerana antara tiang
dan bumbung mengokoh tembok namanya
adalah hasil menjarah gading yang dari Timur
ketika nenek moyang mereka
belum sembuh petaka zaman kegelapan
kerana kamus Eropah belum kenal
erti segan silu

Tetapi untuk menjejaki lampau
sejarah yang luka
engkaulah Paduka
bernama Kembara Bahasa
jikapun aku tak bebankan
kepulanganmu dari gedung malapetaka itu
untuk mengambil balik hak bangsa dan budaya
tetapi jemari mu bagai membuka kuncinya
apabila menyelak tinta Melayu
dan memutalaahnya
untuk menjadi kenang
kenangan

Tetapi jika getar jemari mu
yang pernah mencuit lembaran itu
mampu menghantar aku
kealam silam ketika perompak
itu memasuki tanah Melayu ini
nah!
ini!
aku dari tanah Borneo Utara
adalah pewaris
kepahlawanan Mat Salleh
meminjam pedang beliau
mengerat tangan pencuri
atau memutus urat tembolok mereka
jangan terlepas semua milik kita
yang diculiknya
menjadi batu loncatan untuk
melumatkan jati diri kita

walaupun akhirnya
anak watan sendiri berdagang
maruahnya menjual bahasa
Melayu
kepada tuan lamanya
atas nama gobalisasi

tapi sejarah tidak pernah mecemuh kita
walaupun kedaulatan ini terbina atas
penindasan
kita akan terus berdiri
pada padang Khatulistiwa ini sebagai
anak Melayu

YATIM AHMAD
Kota Kinabalu
20 Oktober 2013·




Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa:

Penghargaan yang tinggi dan kalungan budi kepada Sdr Yatim Ahmad. Hamba siar ulang puisi yang berkaitan (kembarabahasa.blogspot.com):

Puisi "Kembalikan Hak Pustaka Pusaka"

Cuaca dingin di Netherlands
Pohon rontok kehilangan sinar mentari
Air di sebilangan sungai mula membeku
menghentikan aliran
Tompok salji di sana sini
Angin dingin menggigit kulit
Tiadalah kuhiraukan semua itu
kerana dorongan batinku
dikobarkan oleh hajat nan terpendam sekian lama
berdasawarsa
untuk mengembalikan hak pustaka pusaka bangsa
untuk mengembalikan warisan peradaban
ke pangkuan tanah leluhur
yang dipindahkan ke tanah asing
entah secara rela entah secara paksa

Warisan peradaban besar itu
mewakili tasawur, falsafah, sistem nilai
ungkapan akal budi penuh beretika dan bersalut estetika
dan perihal budi dan daya pencetus sistem siasah dan iktisad
perihal hukum kanun, falak, seni bina, perubatan, persenjataan
dan segala yang dimaknai oleh takrif peradaban
Mengapatah terus dibiarkan berwujud di tanah asing
dipuja dan dirindui dari jauh
tanpa tampak pada mata kasar dan mata hati
Mengapatah terus dibiarkan berlangsung
waris bangsa menyeberang sempadan
untuk menafsirkan makna diri

Dengan berhemah perlu dipadukan
segala upaya dan iltizam
untuk mengembalikan segala warisan peradaban
ke pangkuan alam Melayu
tanpa bertangguh lagi
kerana kita telah kehilangan sebahagian makna diri
sekian lama

Gelora dan badai yang bakal kita hadapi
usah menyurutkan harapan cita pertiwi
Kemaskan kemudi
Berpadu bestari
nescaya terpenuhi
hajat ikhlas di hati
kerana kita tidak mengambil yang bukan hak
melainkan yang hak bagi kita
Semoga langkah mula
bersusulan langkah penuh berdaya
sehingga terhimpun semula segala warisan bangsa
di buminya yang hak
untuk kita taakul, tafsirkan dan manfaatkan
dalam mengenal dan membina makna diri
dalam membina kesinambungan budi dan daya
dalam membina cita dan masa depan wangsa dan negara

~ Kembara Bahasa ~
Hotel Pulitzer, Amsterdam
13 Januari 2013

Saturday, October 19, 2013

Puisi hari lahir "Perjalanan Hayat"

Perjalanan Hayat

Dalam perjalanan hayat
ada cahaya dan ada selaput gelita
ada ria dan ada lara
menang dan kecundang
tenang dan walang
Semua itu sunatullah
bukan malang yang ditempah
tetapi peneguh lafaz syahadah
tentang kudrah dan iradah
semuanya dalam ilmu Allah
daku pasrah menyerah
kepada-Nya bergantung rahmah
daripada-Nya kuharapkan hikmah
mengenal hakikat dunia dan akhirah
menimbang dalam menentukan arah
semoga jalan yang lurus menjadi anugerah
semoga perjalanan hayatku dipayungi barakah
kepada-Nya daku akan berpulang menyembah.

Kembara Bahasa
20 Oktober 2013

Ucapan Hari Lahir 20 Oktober 2013


Muhammad Za'im Mohamad Yusoff mengepos kepada Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa


Ayahanda Pendeta Bahasa Ibunda,

Sinar suria timur ke barat,
Burung bersahut amat memukau,
Tampak terlihat Tuhan nan agung;
Tuan dicipta persis ibarat,
Campak ke laut menjadi pulau,
Buang ke darat menjadi gunung!

Selamat hari lahir,
Dari batin dan juga zahir!



Mohon doa Ayahanda Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa agar kami semua bisa jadi seperti Ayahanda - pejuang warisan di siang hari, pemuja Tuhan di sejadah malam!

Sudilah kita juga menghadiahkan untaian Rumi dalam bentuk madah tersusun buat dipersembah ke hadrat Ayahanda, sang Guru yang mulia -

Wahai sinar mentari seluruh alam,
Tukarkanlah gegunung menjadi logam,
Dan pepohon membenih bebuah lawa,
Dan bebatu bertukar jadi permata!

Dan begitulah tamsilan ilmuwan,
Maulana Rumi telah menyimpulkan,
Pada cahaya ilmu yang kau punya,
Wajib memberi haram menerima!



Baarakallahufik ya Ayahanda!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Balasan hamba:

Logam besi disepuh emas
Emas asli sinarnya menyerlah
Beramal berbakti dengan ikhlas
Insya-Allah berhasil diredhai Allah

Kiriman dalam Facebook 20 Oktober 2013

Thursday, October 17, 2013

Tazkirah kepada diri: Nilai perjuangan

Tetaplah pegangan hamba pada hakikat bahawa yang penting ialah perjuangan yang berterusan betapa pun besar cabaran dan hambatannya kerana kemanisan perjuangan terletak pada pemenuhan amanah, bukan semestinya pada kemenangan yang mudah.

Kembara Bahasa
18 Oktober 2013/13 Zulhijah 1434

Tuesday, October 15, 2013

Puisi "Dua Duka yang Berbeda"

Dua Duka yang Berbeda

Duka nestapa
perihal dunia
tiadalah sebanding
dengan azab
di alam sana

Duka nestapa
di dunia
seringkali sementara
permainan hidup belaka
menguji dan mencuba
utuh lemahnya jiwa

Duka nestapa
di alam sana
entah bagaimana
kerana belum tiba rasa
namun dalam mushaf telah tertinta
betapa berat tanggungannya

Tiadalah upaya kami
untuk menghadapi dan mengalami
azab pedih yang tak terperi
Kupohon Kautuntun kami
berada di jalan-Mu ya, Ilahi

Kembara Bahasa
16 Oktober 2013/11 Zulhijah 1434

Puisi " Mengintai Rahmat"

Mengintai Rahmat

Seandainya telah ditakdirkan
oleh yang maha menetapkan
yang azali, qadim lagi abadi
daku yakin
yang tertulis di Loh Mahfuz itu
akan zahir menjadi kenyataan
hasrat akan kesampaian
cita akan di puncak kenikmatan

Kita makhluk ciptaan-nya
tiada lebih sebagai pemain peran
yang telah ditetapkan-Nya
Lamun perlu mengisi ruang ikhtiar
berlandaskan akal kurniaan-Nya
atas keyakinan utuh teguh
kerana rahmat-Nya
tiada terjangkau oleh deria dan rasa kita
tiada tercapai oleh firasat dan ramalan kita

Ayuh kita teruskan munajat
Kita teruskan upaya dan kudrat
memohon berkat
mengintai rahmat
Allahumma ya amin.

Kembara Bahasa
14 Oktober 2013

Tazkirah kepada diri: Usah menjadi seperti emas celup



Bak emas celup, perjuangan akan pudar jua jika tiada keikhlasan.

Kembara Bahasa
16 Oktober 2013

Sunday, October 13, 2013

Puisi "Doa untuk Sahabat"



Doa untuk Sahabat
(Mengenang Allahyarhamhu Prof Datuk Ir Raden Umar Raden Suhadi yang dijemput Allah pada 13 Oktober 2013)


Sahabatku, Raden
Sudah tamat perjalananmu
di alam buana yang sementara
Telah bebas dikau
daripada tipu daya dunia
Telah merdeka dikau
daripada taklif segala
Dikau telah dijemput
kembali ke haribaan
Yang menciptakan dikau
Yang maha tahu akan saat tepat segala kejadian
dan sebab musabab yang tidak ketahuan
oleh akal kita yang terbatas di luar kesempurnaan

Tenang damailah dikau
di sisi Yang mengasihi
Yang mengetahui
Yang berkuasa mengampuni
semoga segala amal bakti
sepanjang hayatmu di alam ini
menjadi saksi dan bukti
di hadapan Ilahi
Doa kami mengiringi
perjalananmu di alam yang satu lagi.

Kembara Bahasa
13 Oktober 2013

Wednesday, October 9, 2013

Tazkirah kepada diri: Kesepian sebagai Teman

Seringkali kesepian dan kesunyian dialami kerana tanpa teman, namun kesunyian dan kesepian bisa menjadi teman akrab untuk melakukan renungan.

Kembara Bahasa
10 Oktober 2013

Utusan Malaysia: TPM - Gunakan Bahasa Melayu di IPT

Guna bahasa Melayu di IPT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI dan SHOLINA OTHMAN
utusanperlis@utusan.com.my




MUHYIDDIN Yassin melepaskan peserta konvoi bahasa selepas majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 di Kangar, Perlis, semalam. Turut sama, Azlan Man (kiri). - BERNAMA
KANGAR 8 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan kursus-kursus yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menggunakan bahasa Melayu secara lebih meluas memandangkan pelaksanaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT belum berhasil sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu untuk memastikan pelaksanaan pelan yang pada ketika itu diwujudkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tempoh lima tahun bermula dari 2011 hingga 2015 dapat memartabat dan mengukuhkan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta penerbitan di IPT.

"Saya sedar kursus-kursus kritikal seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan sebahagian besar menggunakan bahasa Inggeris, namun sepatutnya dari tahun ke tahun terdapat usaha mengubah peratusan pengajaran daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

"Jika tidak dilaksanakan sekarang, bila lagi akan dilaksanakan?" katanya ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 di Dewan 2020, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Azlan Man; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, dalam mengejar ilmu pengetahuan, rakyat tidak seharusnya berfikiran sempit menolak bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa tetapi perlu ada usaha meletakkan bahasa Melayu pada tempat sama.

"Bagi tujuan ini, seharusnya bermula di negara sendiri selari dengan perkembangan ilmu pengetahuan di seluruh dunia.

"Ambil contoh negara seperti China, Jepun dan Korea yang masih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing dalam soal pemerolehan ilmu pengetahuan di samping menguasai bahasa-bahasa utama dunia yang lain," katanya.

Muhyiddin juga berharap golongan cendekiawan yang aktif menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu khususnya dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan diberi pengiktirafan dan penganugerahan.

Kata beliau, pendekatan itu dapat menggalakkan pensyarah di IPT awam dan swasta menghasilkan karya dalam bahasa kebangsaan.

"Kerajaan menyarankan salah satu syarat kenaikan pangkat pensyarah ialah menulis buku ilmiah atau makalah dalam bahasa Melayu.

"Inilah bidang keberhasilan berimpak tinggi yang harus digerakkan oleh IPT dalam melaksanakan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT," katanya.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, semua IPTA di seluruh negara perlu merujuk pelan tindakan tersebut serta melaksana program melalui strategi yang digariskan supaya terdapat perubahan ketara dalam usaha memartabat bahasa Melayu di IPTA dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagi IPTS pula, tambah beliau, kursus-kursus penting perlu diajar dalam bahasa Melayu selari dengan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

"Saya juga menyarankan semua pelajar asing diwajibkan mempelajari bahasa kebangsaan komunikasi selain aspek kebudayaan masyarakat Malaysia," katanya.

266


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131009/dn_02/Guna-bahasa-Melayu---di-IPT#ixzz2hGiEBHjL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dr Shafie Abu Bakar: Gelombang Ketiga Tradisi Keislaman Dan Keilmuan Is...

Dr Shafie Abu Bakar: Gelombang Ketiga Tradisi Keislaman Dan Keilmuan Is...: BBB, 29 Zulkaedah 1434 = 05 Oktober 2013 (Sabtu): Perbincangan yang lepas melibatkan dua gelombang utama di dalam tradisi keislaman ...

Dr Shafie Abu Bakar: Sultan Zainal Abidin 111 Memimpin Majlis Ilmu, Mem...

Dr Shafie Abu Bakar: Sultan Zainal Abidin 111 Memimpin Majlis Ilmu, Mem...: BBB, 01 Zulhijjah 1434 = 06 Oktober 2013 (Ahad): Sultan Zainal Abidin (111) memerintah Terengganu antara 1881-1919. Pada zamannya Te...

Dr Shafie Abu Bakar: Terengganu Juga Mempunyai Panduan Kitab Ketatanega...

Dr Shafie Abu Bakar: Terengganu Juga Mempunyai Panduan Kitab Ketatanega...: BBB, 02 Zulhijjah 1434 = 07 Oktober 2013 (Isnin): Sebagaimana hukum-hukum mengenai ibadat, muamalat dan munakahat, demikianlah berhu...

Dr Shafie Abu Bakar: Nasihat Segala Raja-Raja: Naskhah Dan Kepengaranga...

Dr Shafie Abu Bakar: Nasihat Segala Raja-Raja: Naskhah Dan Kepengaranga...: BBB, 03 Zulhijjah 1434 = 08 Oktober 2013 (Selasa): Setakat ini, naskhah ini adalah satu-satunya didapati yang dimiliki oleh Sultan Z...

Berita Harian: TPM Minta BM Dimartabatkan di IPT

Kursus kritikal IPT perlu guna bahasa Melayu
2013/10/09 - 06:53:49 AM Oleh Nahar Tajri dan Nazwin Nazri

Kangar: Peratusan pengajaran dalam bahasa Melayu bagi kursus kritikal di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dipertingkatkan untuk memastikan statusnya dapat dilonjakkan ke satu tahap lebih wajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bukan bermaksud menidakkan penggunaan bahasa Inggeris kerana banyak kursus kritikal seperti kejuruteraan, undang-undang dan perubatan menggunakan bahasa Inggeris.
Malah, beliau yang juga Menteri Pendidikan meletakkan China, Jepun dan Korea sebagai negara contoh yang mengutamakan bahasa ibunda dalam usaha pemerolehan ilmu tetapi pada masa sama menguasai bahasa utama dunia yang lain.

“Saya sedar kursus kritikal seperti kejuruteraan, undang-undang dan perubatan di IPT menggunakan bahasa Inggeris. Justeru, saya fikir wajar sekali usaha dijalankan untuk mempertingkatkan peratusan pengajaran bagi kursus terbabit dalam bahasa Melayu, berbanding majoriti yang menggunakan bahasa Inggeris kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013, di Dewan 2020, di sini, semalam. Hadir sama Menteri Besar Perlis, Azlan Man serta Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Syarat kenaikan pangkat

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2013, turut menyarankan supaya cendekiawan yang aktif menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu khususnya bidang kritikal seperti perubatan, undang undang dan kejuruteraan diberikan pengiktirafan dan anugerah.
“Penulisan ilmiah dalam bidang kritikal sewajarnya dihargai. Malah, kerajaan turut menyarankan satu daripada syarat kenaikan pangkat bagi pensyarah termasuk menulis buku ilmiah atau makalah ilmiah dalam bahasa Melayu.

“Inilah bidang keberhasilan berimpak tinggi yang harus digerakkan dalam melaksanakan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak termasuk badan kerajaan dan bukan kerajaan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan negara.

Malah, Muhyiddin mencadangkan program sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan kali ini menerapkan unsur perpaduan dengan pembabitan pelbagai kaum bermula peringkat sekolah hingga dewasa.

Puisi "Seloka Bangsa Leka"

Seloka Bangsa Leka

Gegak gempita melayan rasa
Sorak-sorai terlalu gembira
Konon hilang segala nestapa
Konon selesai segala bala

Tidak diendahkan jiwa nan kosong
Tidak difikirkan pesta berlangsung
Melalaikan hati akal terpasung
Perasaan segera terapung-apung

Ekonomi bangsa corot di angka
Kadang-kadang sedar tetapi selalu lupa
Orang lain menjadi bangsa berjaya
Kita masih di takuk lama

Kembara Bahasa
29 September 2013

Puisi "Di Balik Kesepian"

Di Balik Kesepian

Kesepian
menggamit perhatian
kepada pemberi segala kebahagiaan
Dialah yang tidak pernah melupakan
tetapi ada kalanya terlupakan
Dialah pemberi yang tidak meminta balasan
Dialah tempat kami memujuk hati ketika rawan
Ya, Allah ampunilah kami atas segala kealpaan

Kembara Bahasa
Kangar
8 Oktober 2013

Puisi "Pengimbang Akal"

Pengimbang Akal

Rencana dan lakaran akal
tidak jarang berbaur dengan perasaan
kadangkala dibumbui kedangkalan
tiada kepastian
tercapai kesempurnaan

Tundukkan akal
kepada punca yang awal
kalam Allah kebenaran yang kekal
sabda Nabi daripada perawi yang pangkal
syarah waris anbiya pelengkap bekal

Tiada kelam dan waswas
dalam mencari sesuatu yang asas
suluhan wahyu amatlah jelas
akal terpandu, akidah tidak terjejas
setiap hujah cukup beralas

Kembara Bahasa
12.35 pagi 8 Oktober 2013
Kangar, Perlis

Puisi "Pertanyaan"

Pertanyaan

Sesekali daku bertanya
Apakah akhirnya jalan perjuangan ini
Adakah berulang dongeng Sisyphus
yang terus-menerus menolak batu ke puncak bukit
di situ ada dewa yang sentiasa siap siaga
menghalang batu sampai di puncak
Namun kuteguhkan keyakinan
janji kemenangan bukan ganjaran
kerana yang utama ialah pemenuhan amanah
yang telah terpateri sebagai janji kepada diri

Kembara Bahasa
8 Oktober 2013
Kangar

Sunday, October 6, 2013

Puisi "Deburan Ombak Malam"

Deburan Ombak Malam
(Dedikasi kepada USM penganjur Seminar Serantau Kearifan Setempat)

Deburan ombak
di pantai Kampung Rhu Tapai, Merang
meladen malam yang damai
menemani musafir
yang kelelahan
menarik nafas segar
menghimpunkan kekuatan semula
untuk esoknya melanjutkan misi
mengangkat kearifan bangsa
dalam manca ranah
- kesenian, perubatan, seni bina, kelautan, budaya, teknologi dan yang lainnya
digarap dalam wacana ilmu padu
penyumbang globalisasi seimbang
Barat-Timur dan Timur-Barat
agar kita bukan selama-lamanya
sekadar bangsa penerima dan pengguna
tetapi bangsa pencipta dan penyumbang kepada dunia

Kembara Bahasa
Sutera Beach Resort Terengganu
5 Oktober 2013

Wednesday, October 2, 2013

Puisi "Di RibaTakdir-Mu"

Di Riba Takdir-Mu

Akur daku
duduk dalam riba takdir-Mu
pasrah dan redha
menanti rahmat limpahan-Mu
sambil menggerakkan upaya
ikhtiar bak roda nan terus berputar tak berhenti
Seandainya dengan izin dan kehendak-Mu
akan tertunai hajat
Seandainya belum izin dan kehendak-Mu
tiadalah daku berhenti bermunajat
mengharapkan ihsan belas pada saat yang tepat

Kembara Bahasa
12.05 pagi 3 Oktober 2013

Puisi "Nikmat yang Tak Ternafikan"

"Maka nikmat yang manakah yang dikurniakan oleh Tuhanmu kepada kamu (wahai manusia dan jin) yang hendak kamu nafikan?"

Tiga puluh satu kali
Kauhadapkan pertanyaan
berulang kali kepada kami dan jin
dalam surah al-Rahman, surah Tuhan yang maha pengasih
Kami mendengar
Kami membaca
Namun ada kalanya kami seperti si tuli, ya Allah
Ada kalanya kami seperti si buta, ya Allah
Maka elokkanlah pendengaran kami
dan elokkanlah pelihatan kami
agar kami mendengar dan membaca kalammu
dengan hati kami
dengan akal kami
dengan kalbu kami
mensyukuri segala nikmat-Mu
semoga Dikau menambahnya
tanpa sekali-kali kufur nikmat
kerana menginsafi azabmu yang sungguh pedih

Kembara Bahasa
12.45 pagi 2 Oktober 2013

Tuesday, October 1, 2013

Puisi "Membaca Erti di Balik Takdir"

Ria dan duka
berputar bersilih ganti
mengambil giliran
apabila saatnya tiba.
Terimalah persilihan itu
sebagai fitrah kehidupan
yang mengundang daya fikir
dan kekuatan menafsir
akan erti di balik takdir.

Kembara Bahasa
1.40 petang 1 Oktober 2013