Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, May 9, 2011

Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 2)


Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 2)

oleh Awang Sariyan

Selanjutnya saya petik beberapa ayat al-Qur'an yang lain untuk menjelaskan hakikat bahasa:

3. Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya termasuklah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang yang tahu. (al-Rum: 22)

Huraian: Ayat ini dengan jelas menujukkan bahawa Allah menciptakan pelbagai bahasa untuk manusia, menurut bangsa masing-masing. Ayat ini rapat hubungannya dengan ayat 13 dalam Surah al-Hujurat yang menegaskan bahawa Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa supaya mereka saling mengenal. Pengertian "berbangsa-bangsa" dalam ayat itu berkaitan juga dengan hakikat bahawa setiap bangsa mempunyai bahasanya sendiri.

Menjadi tanggungjawab setiap bangsa mengembangkan dan memajukan bahasa yang dikurniakan oleh Allah itu. Meremehkan, apatah lagi meminggirkan bahasa kurniaan Allah bagi bangsanya itu merupakan suatu bentuk kufur nikmat meskipun Islam turut menggalakkan manusia mempelajari dan menguasai bahasa lain untuk saling memanfaatkan kelebihan sesama manusia yang berlainan bangsa.

Oleh itu anggapan bahawa hanya ada satu bahasa unggul di dunia yang dapat melonjakkan kemajuan sesuatu bangsa dengan jelas merupakan mitos dan menyalahi sunatullah dan fitrah manusia yang berbangsa-bangsa dan memiliki bahasa kurniaan Allah masing-masing. Menguasai bahasa asing untuk tujuan membantu meningkatkan tamadun bangsa tidaklah salah, tetapi tidak sewajarnya bertukar kepada tindakan menggantikan bahasa sendiri dengan bahasa asing.

Para ulama dan sarjana Islam silam menerjemahkan karya-karya Yunani ke dalam bahasa Arab dan kemudian para sarjana Barat menerjemahkan karya-karya dalam pelbagai bidang daripada bahasa Arab ke dalam bahasa mereka untuk mengembangkan ilmu dalam bahasa mereka sendiri.

4. Tiadalah Kami mengutus rasul-rasul itu melainkan dengan bahasa kaumnya supaya mereka dapat menerangkan (ajaran Allah) kepada kaum mereka (dengan jelas). (Surah Ibrahim: 4)

Huraian: Ayat ini memberikan isyarat bahawa penyampaian dakwah dan ilmu kepada sesuatu masyarakat jauh lebih berkesan dengan menggunakan bahasa masyarakat itu sendiri. Demikianlah yang dilakukan oleh para ulama sebagai waris nabi apabila berdakwah di alam Melayu dahulu, dengan menggunakan bahasa Melayu meskipun pendakwah itu orang Arab atau berbangsa lain. Syekh Nuruddin al-Raniri yang terkenal sebagai pengarang karya-karya besar Islam di alam Melayu berasal dari Gujerat tetapi menghasilkan karya-karyanya dalam bahasa Melayu. Inilah contoh teladan yang seharusnya diikut.

UNESCO yang tidak bersandarkan ajaran Islam pun tampaknya secara tidak langsung menghayati fitrah itu apabila di dalam piagamnya mengungkapkan bahawa penggunaan bahasa ibunda ialah kaedah yang berkesan untuk penyampaian ilmu dan pendidikan. Malang sekali halnya apabila orang Islam yang telah diberi petunjuk oleh Allah tidak memanfaatkan petunjuk itu.

[bersambung]

~Kembara Bahasa~
10 Mei 2011

2 comments:

  1. Prof. Sungguh menyedihkan apabila bahasa sanjungan kita dipermain dan dibolak-balikkan...Jika bahasa itu sneiri mampu bertutur kata, tentu sahaj dia sudah memarahi kita!

    Andainya sudah hilang bahasa Melayu dalam dunia ini, pudar juga semangat keMelayuan dalam diri setiap anggota bangsa Melayu!

    Tentu, Melayu mudah sahaja HILANG dan LENYAP. Kehadiran kita, semangat pejuang darjat bahasa Melayu, maka, saya selalu gembira menjadi sebahagian nyawa pejuang itu!

    Jika perlu, barisan hadapan dibantu, saya mohon tempat dalam barisan itu!

    Semoga Prof terus kuat. Kami anak-anak muda menyokong dan terus menyokong!

    Nor Azlin Kamarudin (FB)

    ReplyDelete
  2. Puan Nor Azlin,

    Semoga akan insaf hamba-hamba Allah bahawa bahasa itu kurniaan tertinggi, di sisi akal, khusus untuk makhluk yang bernama manusia. Tugas kita menyampaikan kebenaran itu dan mengajak semua orang faham dan mempertahankan kurniaan Allah itu. Semoga Allah memberikan hidayah.

    Terima kasih atas sokongan dan iltizam. Pasti tenaga dan penyertaan orang muda amat diperlukan dalam menggerakkan perjuangan bersama itu.

    ReplyDelete