Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, February 24, 2011

Soal Jawab Bahasa (15): Bolehkah Kata Sendi dan Kata Hubung di Pangkal Ayat?


Saya ingin tahu bolehkah kata sendi seperti 'dengan', 'untuk' dan sebagainya, dan kata hubung seperti 'kerana' digunakan di pangkal ayat?

~NHA~

Kata sendi dan kata hubung boleh digunakan di pangkal ayat asal sahaja ada ayat utama atau ayat induk yang lengkap subjek dan predikatnya. Kata sendi dan kata hubung itu biasanya digunakan dalam bahagian yang disebut adjung atau keterangan ayat sahaja, iaitu sebagai unsur tambahan kepada ayat utama atau ayat induk.

Contohnya:

1. Dengan hormatnya saya maklumkan bahawa persatuan kami akan menganjurkan seminar tersebut.
2. Untuk mencapai pembangunan yang seimbang, pembangunan aspek dalaman perlu diberi perhatian.
3. Kerana berlaku banjir kilat, kesesakan jalan raya bertambah teruk.

Dalam ayat (1), ayat utama atau ayat induk ialah "Saya maklumkan bahawa persatuan kami akan menganjurkan seminar tersebut." Ayat itu lengkap subjek dan predikatnya. Frasa sendi "dengan hormatnya" hanya merupakan keterangan ayat yang tidak mengganggu binaan ayat utama itu.

Dalam ayat(2), ayat utama atau ayat induk ialah "Pembangunan aspek dalam perlu diberi perhatian." Ayat itu pun sempurna binaannya kerana lengkap subjek dan predikatnya. Klausa "Untuk mencapai pembangunan yang seimbang" merupakan keterangan ayat dalam binaan ayat majmuk pancangan.

Dalam hal ayat (2) itu, kata 'untuk' bukan kata sendi, tetapi kata hubungan pancangan, tidak sama dengan kata "untuk" dalam ayat seperti "Untuk tatapan umum, gambar itu akan saya paparkan kelak." Dalam ayat yang baru saya nyatakan itu, kata "untuk" memang kata sendi kerana diikuti oleh frasa nama. Jelas bahawa sebagai kata sendi, kata "untuk" pun tetap boleh digunakan di pangkal ayat.

Tentang ayat (3) pula, ayat utama atau ayat induk ialah "Kesesakan jalan raya bertambah teruk." Ayat itu pun sempurna binaannya. Klausa "Kerana berlaku banjir kilat" merupakan bahagian tambahan ayat sahaja. Ayat itu merupakan susunan songsang bagi ayat "Kesesakan jalan raya bertambah teruk kerana berlaku banjir kilat". Dalam susunan biasa (subjek di hadapan dan predikat di belakang), klausa keterangan sebab "kerana berlaku banjir kilat" diletakkan di bahagian hujung ayat. Dalam susunan songsang pula, bahagian keterangan itu diletakkan di bahagian awal ayat.

Mudah-mudahan dengan keterangan itu, tidak timbul salah faham dan andaian yang tidak berasas bahawa kata sendi dan kata hubung tidak boleh digunakan di pangkal ayat. Yang menyalahi tatabahasa ialah bentuk yang belum sempurna sebagai ayat, seperti:

4. *Dengan tiba-tiba tanpa diduga.
5. *Untuk mengatasi masalah yang kian parah itu.
6. *Kerana hujan yang turun dengan tiba-tiba dan terus-menerus.

Ketiga-tiga binaan di atas belum menjadi ayat yang sempurna kerana tiada subjek dan predikatnya. Kesemuanya merupakan klausa tak bebas (dependent clause) yang menjadi adjung atau bahagian tambahan ayat. Kesalahan ketiga-tiga binaan itu bukan disebabkan penggunaan kata sendi dan kata hubung, tetapi disebabkan binaannya tidak lengkap sebagai ayat.

~Kembara Bahasa~
25 Februari 2011

No comments:

Post a Comment