Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, June 3, 2012

Tahniah UKM!

Petikan daripada blog Dr. Shafie Abu Bakar

TAHNIAH atas Pencapaian UKM Sebagai Universiti Terkemuka Di Dunia !

BBB, 10 Rejab 1433 = 31 Mei 2012.(Khamis):

TAHNIAH kita ucapkan kepada UKM kerana mencapai taraf ke-31 penilaian QS (Quacquarelli Symonds – Syarikat Penarafan Universiti berpangkalan di London) Asia University Ranking 2012 melibatkan 500 buah universiti dan berkedudukan ke 98 Inaugural Times Higher Education bagi 100 universiti di bawah 50 tahun usia dari beribu-ribu universiti di dunia ini bagi tahun 2012.

TAHNIAH disampaikan lantaran UKM berada di dalam Kawasan Dun Bangi yang menyemarakkan lagi dengan pencapaian UKM imej Bangi Bandar Ilmu. Secara peribadi Adun sama bersyukur dan gembira selaku bekas Pelajar Sulung UKM dan Mantan tenaga Pengajar yang telah berkhidmat dengan UKM lebih dari 25 tahun.

Pencapaian cemerlang yang dapat mengatasi universiti-universiti lain di Malaysia (UM 35, UPM 76 & UTM 74) adalah hasil dari kerjasama berpasukan yang diketuai Naib Canselornya Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, tenaga pengajar, pelajar dan kakitangan pentadbiran Universiti. Pencapaian UKM ialah kerana kecemerlangan di dalam bidang penyelidikan, penerbitan yang bermutu dan kualiti tenaga pengajar, kualiti dan kuantiti para pelajar dan staf-staf sokongan..Sekali lagi TAHNIAH !

Mengimbau kepada sejarah penubuhan UKM (18 Mei 1970) terlalu banyak keraguan ditimbulkan terhadap UKM yang dianggap universiti kelas dua dan diragui dari segi kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar di universiti (Ini tidak bererti bahasa lain tidak digunakan (misalnya Inggeris dan Arab). Kini ratusan ribu pelajar telah dikeluarkan. Ada kalangan mereka menjadi profesor, menteri, ahli koporat, pentadbir, pakar ekonomi dan ahli agama, maka keraguan makin menghilang. Kemampuan UKM dalam bidang akademik dan yang lain tidak diragui. Misalnya, UKM menyerlahkan dirinya dalam bidang perubatan. Hinggi kini UKM memperlihatkan kemampuan mengeluarkan graduan perubatan terbanyak berbanding dengan universiti-universiti lain di Malaysia. Jumlah pelajar perubatan yang dikeluarkan hingga kini ialah seramai 5,144 orang dengan 2,814 pakar perubatan dan 94 orang lulus Dr. Falsafah dalam bidang perubatan. Mutu graduannya diakui tinggi.

Kecemerlangan yang dicapai oleh UKM dengan sendirinya meletakkan UKM sebagai Universiti Penyelidikan Terkemuka di negara ini dan juga bertaraf tinggi antarabangsa.

Kejayaan yang dicapai oleh UKM seharusnya bukan merupakan titik kepuasan dari segi kejayaan, tetapi banyak lagi tugas dan tuntutan masyarakat terhadap UKM. UKM tidak seharusnya berpuas hati dengan prestasi tempatan dan nasional yang dicapai, tetapi hendaklah berusaha mencapai kedudukan terbaik sebagaimana kata Prof. Tan Sri Dr. Sharifah, ``Bagi meletakkan UKM antara 10 universiti terbaik di dunia.`` Ini tentulah memerlukan gemblengan tenaga dan intelektual bukan saja di UKM, tetapi dengan sokongan peringkat negara. UKM perlu menghasilkan penyelidikan dan penerbitan yang bermutu setanding dengan universiti-universiti terkenal di dunia. UKM perlu menarik profesor-profesor terbilang di dunia berkhidmat di UKM, menganjurkan seminar-seminar bertaraf antarabangsa dan memperkenalkan universiti di mata dunia. UKM seharusnya menjadi rebutan pelajar-pelajar antarabangsa yang berkualiti membuat ijazah lanjutan di UKM. Pihak Kementerian dan negara seharusnya memberikan ruang dan kemudahan kepada UKM untuk mengatur langkah terus mempertingkatkan diri bagi menjadi universiti terbaik negara dan dunia dan memberikan khidmat cemerlang kepada negara dan dunia.

Namun dengan kejayaan-kejayaan UKM mengawang tinggi, kita berharap UKM jangan lupa pada tanah yang dipijak dan langit yang dijunjung. UKM seharusnya mesra masyarakat. Dan paling penting misi utama UKM yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bahasa Melayu yang mewujudkan UKM mengharapkan UKM mempelopori perkembangan bahasa Melayu dan misi ini kelihatannya semakin pudar.

Sekian.

Dr. shafie Abu Bakar



No comments:

Post a Comment