Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Sunday, October 24, 2010
Sekolahku Akarku: Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang (1960-65)
Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang
Pendidikan formalku bermula di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang, Pontian, Johor pada tahun 1960, ketika aku berusia 7 tahun. Sebelumnya, sekolah itu dikenal sebagai Sekolah Umum Teluk Kerang. Tidak dapat kupastikan bilakah sekolah itu mula dibuka, tetapi aku yakin bahawa selewat-lewatnya pada awal tahun 1950-an sekolah itu telah ada, kerana kakak sulungku yang lahir pada tahun 1947 bersekolah di situ.
Bangunan induk sekolahku merupakan bangunan bertiang batu dan kolongnya yang agak tinggi cukup selesa menjadi tempat murid berteduh, berehat dan bahkan bermain. Di kolong itu terdapat batu konkrit yang menjadi tempat duduk kesukaan kebanyakan pelajar; khabarnya batu itu tinggalan tentera Jepun sewaktu memerintah Tanah Melayu pada tahun 1941 hingga 1945.
Tangga naik ke bangunan itu dibuat daripada batu dan bentuknya seakan-akan tangga batu rumah Melaka. Tangga itu juga menjadi tempat kesukaan murid-murid berhimpun dan bermain. Bilik darjah yang terdapat di bangunan itu empat atau lima buah kesemuanya. Oleh sebab hanya ada satu tangga di pintu masuk utama, seperti halnya rumah kediaman, maka murid-murid perlu melalui kelas pertama yang terletak dekat dengan muka pintu setiap kali keluar masuk dan pastilah hal itu menjadi gangguan sedikit.
Bumbungnya atap rembia, baik untuk cuaca yang panas, tetapi apabila telah berlaku kebocoran di sana sini, maka setiap kali hujan turun timbul masalah. Keseluruhan dinding, tingkap,pintu, lantai, gelegar, alang-alang dan bahagian lain bangunan, kecuali tiang dan tangga, dibuat daripada kayu yang cukup teguh. Untuk membuka tingkap, daun tingkap perlu ditopang dengan kayu sepanjang kira-kira dua kaki atau satu meter.
Di bahagian hujung bangunan, terdapat stor yang juga menjadi bilik rehat guru-guru yang mengajar di bangunan itu, kerana bilik guru terdapat di sebuah bangunan setingkat yang terletak di seberang padang sekolah.
Ketika di darjah satu, aku ditempatkan di sebuah bangunan setingkat tidak jauh dari bangunan rumah atas itu. Apabila naik ke darjah dua hingga darjah empat, berpindahlah aku ke bangunan rumah atas itu. Ketika di darjah dan darjah enam pula, aku ditempatkan di bangunan setingkat yang jua menempatkan pejabat guru besar, pejabat sekolah dan bilik guru. Itulah tiga bangunan utama yang menampung murid-murid sekolah rendah di kampungku. Terdapat sebuah Rumah Pengakap sebagai pusat kegiatan pengakap dan kegiatan-kegiatan lain. Bilik air dan tandas terasing daripada bangunan sekolah. Di bahagian hadapan padang sekolah, dibina dua buah wakaf tempat murid-murid berehat dan sebuah gelanggang sepak takraw. Rumah guru untuk dua buah keluarga pula terletak di bahagian hadapan Rumah Pengakap.
Di sekolah itulah aku mula mengenal huruf dan angka, kerana pada zaman itu tidak ada tadika. Mata pelajaran asas dalam darjah satu ialah membaca, menulis dan mengira. Setiap murid perlu membawa papan tulis dan kapur setiap hari. Buku hanya mula digunakan dalam darjah dua. Papan tulis itu berwarna hijau dan saiznya lebih besar sedikit daripada saiz kertas 3A. Ketika pulang dari sekolah, papan tulis itulah yang menjadi pelindung daripada panas terik cahaya matahari.
Guru Besar pada waktu itu ialah Cikgu Mohamad yang dikenal di kampung dengan nama Cikgu Mat Besar (mungkin bukan sahaja kerana jawatannya tetapi juga kerana badanya memang agak besar). Apabila beliau ditukarkan ke sekolah lain, Cikgu Kumasi bin Haji Dainuri mengambil alih tugas Guru Besar. Keluarga beliau memang terkenal di kampungku sebagai keluarga orang alim, berada dan berpengaruh. Rumah dua tingkat keluarganya menjadi salah satu kayu ukur keberadaan atau taraf sosial sesebuah keluarga ketika itu. Adiknya Haji Khudairi bin Hj. Dainuri pernah menjadi Kadhi Besar Johor. Adik bungsunya, Mohd. Som bin Hj. Dainuri kemudian pernah menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang pada tahun 1980-an.
Kereta yang dimiliknya pun tergolong dalam model kereta yang agak mewah dan tidak biasa terdapat di daerah Pontian pada waktu itu; Bougward lebih kurang begitu nama modelnya. Beliau aktif dalam dunia penulisan dan persatuan persuratan. Salah sebuah cerpennya terbit dalam antologi cerpen yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada awal tahun 1960-an. Apabila aku mula terlibat dalam kegiatan bahasa dan persuratan sesudah tamat mengaji di universiti, dapat kukesan gambar Cikgu Kumasi dalam gambar perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956, di hadapan Istana Besar Johor. Sedikit banyaknya motivasi yang diberikannya telah menumbuhkan minat menulis pada diriku. Beliau terus aktif dalam kegiatan persuratan, selain dalam bidang dakwah hingga akhir hayatnya. Sesekali aku bertemu dengannya dalam seminar atau kegiatan lain di Johor Bahru dan beliau melahirkan sinar wajah yang menunjukkan rasa bahagia apabila bersua dengan bekas anak muridnya.
Guru kelasku semasa darjah satu ialah Cikgu Bujang bin Ahmad (ayahanda Prof. Dr. Rahmah Bujang, ahli akademik di Universiti Malaya). Beliau sekali gus menjadi Guru Penolong Kanan. Beliaulah yang kali pertama memperkenalkan huruf dan angka kepadaku dan teman-teman sekelas. Orangnya tinggi lampai, bersongkok miring, berperawakan betul-betul sebagai bapa. Paip dapat dikatakan menjadi teman akrabnya. Sesekali beliau menghisap rokok daun yang diisi tembakau.
Guru darjah dua kelas 2A ialah Cikgu Jaafar dari Kampung Rambah. Wajahnya serius dan dikenal antara guru yang tegas. Namun di balik ketegasannya, kelembutan hatinya tetap menyerlah. Antara yang kukenang budi baiknya ialah apabila aku kehilangan duit belanja (10 sen sahaja pada waktu itu), lalu beliau memberiku duit untuk membeli makanan pada waktu rehat.
Pada waktu itu 10 sen dapat digunakan untuk membeli sebuku roti kuah (roti yang dibelah dan dibubuh kuah sambal sotong) dan minuman. Harga kuih pun hanya lima sen satu. Beberapa orang temanku yang keluarganya agak berada, sama ada anak guru, penghulu dan sebagainya, biasanya berbelanja 20 sen atau lebih pada waktu rehat dengan makanan yang 'mewah', dan biasanya diberi layanan khas oleh pengusaha kantin dengan diberi meja tempat makan, sementara kami yang membeli sekadar sebuku roti atau kuih memakannya di tepi padang, di bawah kolong sekolah atau di mana-mana yang sesuai.
Sepanjang persekolahanku di peringkat rendah, masih dapat kuingat hampir semua guru yang pernah mengajarku dan guru-guru lain yang pernah berkhidmat di sekolah itu. Semasa aku di darjah satu, selain Ciku Mohamad dan Cikgu Kumasi sebagai Guru Besar dan Cikgu Bujang sebagai Penolong Kanan dan guru kelasku, aku ingat akan Cikgu Hamzah bin Hamdan, Cikgu Muhani bin Abdul Ghani (yang kemudian ditakdirkan Allah menjadi teman akrab dan rakan penulis pada sekitar tahun 1980-an).
Guru yang pernah mengajarku, selain Cikgu Bujang dan Cikgu Jaafar ialah Cikgu Shaarani bin Abdul Jalil (ayahnya Kiayai Abdul Jalil terkenal di daerah Pontian), Cikgu Mohd. Noh (atau Master Mohd. Noh yang dikenal dengan Volkswagen JE 2555), Cikgu Kamar bin Abdul Karim, Ustaz Afandi, Ustaz Ramli, Cikgu Maznah, Cikgu Bahyah binti Ahmad (guru kelasku di darjah enam)dan Cikgu Sudin bin Mohamad. Guru lain yang masih kuingat ialah Cikgu Alwi bin Ahmad (guru disiplin yang cukup tegas), Cikgu Ismail bin Awang, Cikgu Safiah binti Awang dan Cikgu Tarmudi. Walaupun tidak mengajarku, Cikgu Tarmudi memilih aku menyertai Pasukan Anak Serigala dan kemudian Pasukan Pengakap sekolah. Antara kegiatan yang masih kuingat ialah Malam Unggun Api dan kegiatan memungut derma di pejabat-pejabat kerajaan dan di rumah pegawai-pegawai kerajaan di bandar Pontian.
Antara kenangan manisku di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang termasuklah menerima Hadiah Kelakuan Baik berupa piala yang disampaikan oleh Ketua Kampung, Haji Salim bin Alias (kebetulan datuk saudaraku) dalam majlis Hari Ucapan. Dalam darjah dua pula aku menerima hadiah tempat kedua sebagai murid cemerlang. Oleh sebab aku antara murid yang cekap membaca, maka sesekali guruku meminta aku membaca teks dalam buku bacaan di hadapan kelas untuk diikut oleh teman-teman sekelas(antara kegiatan belajar yang agak popular pada waktu itu).
Antara teman yang masih kuingat semasa di sekolah rendah termasuklah Atan (nama sebenarnya Johari), Abdul Shukor bin Ahmad, Baki bin Husin, Karmain bin Sardini, Abdul Razak bin Mohamad, Sulaiman bin Kamijo, Sarpon, Borhan bin Junid, Abdul Hadi bin Ehsan, Abdul Karim bin Said, dan Sirajudin bin Ahmad.
Kini bangunan rumah atas yang menjadi mercu tanda sekolahku itu telah lama dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baharu. Begitu juga bangunan setingkat yang asal pun kini dalam proses digantikan dengan bangunan baharu. Sungguh sayang sekali rasaku, kerana bangunan bersejarah itu tidak akan dapat dilihat lagi sebagai gambaran bangunan sekolah pada tahun 1950-an dan 1960-an. Alangkah baiknya bangunan itu dibaik pulih daripada dirobohkan. Namun sejarah telah mengubah keadaan. Kenanganku kepada Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang tetap abadi dalam sejarah kehidupanku. Terima kasih kepada semua guruku yang telah memberikan pendidikan asas untuk kemudian aku melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan. Al-Fatihah kepada guru-guruku yang telah pulang ke rahmatullah.
[Gambar kelas sewaktu aku dalam darjah enam]
Antara guruku (dari kanan): Ustaz Afandi, Cikgu Mohd. Noh, Cikgu Kumasi bin Haji Dainuri (Guru Besar), Cikgu Safiah binti Awang dan Cikgu Bahyah binti Ahmad
Antara teman sekelas yang masih kuingat namanya: Karmain bin Sardini, Abdul Razak bin Mohamad, Omar, Abdul Shukor bin Ahmad, Md. Din bin Abdullah, Mohd. Sha bin Sarijan, Mutalib, Muhamad Azam, Yatim bin Makmur, Ahmad, Fadilah bin ?, Ashrori bin Hj. Saleh, Musa bin Shuib, Yunus, Jaafar bin Harun, Kalsom bt. Said, Lasima bt. Murad, Fatimah, Rokiah bt. Abdul Hamid, Salbiah bt. Muhyin, Tumirah bt. Nasir, Safiah bt. Salikin, Noresah bt. Ismail, Khadijah bt. Abdul Aziz, Suriati bt. Amsur, Aznah bt. Adnan, Mukminah bt. Fatoni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sangat menarik kisah/sejarah persekolahan tuan. Eloklah dipanjangkan lagi dan rasanya boleh dibukukan. Ahli bahasa tidak semestinya menulis kegiatan bahasa sahaja. Cerita ini penting untuk tatapan generasi akan datang. Saya sendiri mula mengenali tuan melalui beberapa buku bahasa. Tidak pernah mengikuti kuliah atau ceramah tuan. Cuma sekali sahaja berdepan dengan tuan semasa menghadiri temuduga pensyarah bahasa UPSI tahun 1999. Tuan salah seorang ahli panel temuduga. Soalan yang saya masih ingat ialah hukum DM. Calon yang ditemuduga kalau tidak silap 8 orang sahaja. Saya tidak berjaya dalam temuduga dan tidak tahu sebabnya. Tidak mengapa. Saya anggap bukan rezeki. Rezeki ada di mana-mana. Alhamdulillah, kini pendapatan lebih dari pensyarah universiti rasanya(mungkin)... Perkara yang penting, minat saya tentang bahasa Melayu masih berterusan. Adanya IT membolehkan kita mengikuti perkembangan bM dengan lebih mudah. Selamat berkarya.
ReplyDeleteSdr. Mypandan,
ReplyDeleteInsya-Allah beransur-ansur riwayat hidup saya akan saya tulis untuk kenang-kenangan putera puteri saya dan sanak-saudara generasi muda saya, jika ada yang dapat dijadikan iktibar oleh mereka. Mudah-mudahan catatan awal di blog ini pada suatu waktu kelak dapat dicantumkan dan diolah semula untuk menjadi buku. Namun rancangan saya yang lebih utama ialah mengisahkan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu - rona-rona dan seribu satu kisah yang mungkin tidak diketahui masyarakat di balik perjuangan itu. Terima kasih atas perhatian dan dorongan semangat daripada sdr.
Terimalah setiap yang kita lalui sebagai takdir dan sambil itu kita usahakan peningkatan; syukur bahawa sdr. telah mencapai sesuatu yang lebih tinggi daripada hasrat menjadi pensyarah dahulu. Ada hikmah di balik setiap sesuatu. Dalam mana-mana temu duga pula, keputusan yang diambil ialah keputusan jemaah panel yang diberi amanah, bukan keputusan orang perseorangan.
Teruskan peningkatan dalam kerjaya dan kegiatan yang membantu menunjang martabat bahasa dan tamadun kita. Salam perjuangan!
ini sekolah saya dulu!
ReplyDeleteAs salam prof Awang Sariyan, kali akhir saya jumpa anda di SMKSSAAS Shah Alam..masih ingat saya: rakan sekelas semasa darjah 6 dahulu? saya seronok bila anda menulis nama saya di antara kawan2 yg prof ingat. Sedihnya ada dikalangan kita yg sudah kembali ke rahmatullah.
ReplyDeletemak saya kata, dia pun antara rakan sekelasnya..saodah bt misngat 😃.
ReplyDelete