Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, May 29, 2013

Puisi penghargaan kepada Allahyarhamhu Tan Sri Ainuddin Wahid

TAN SRI

Asar 28 Mei 2013
19 Rejab 1434
menyaksikan seorang cendekiawan
dijemput pulang oleh Pemilik hakiki
sesudah melunaskan amanah
sepanjang hayat yang dipinjamkan

Kala kuziarahi jenazahmu
Dalam keheningan sesudah Subuh
wajahmu tenang damai
membayangkan kepuasan
kehidupan yang dimaknai
oleh sumbangan dan bakti
Namun kusedari
semacam manik-manik air mata
membasahi kelopak matamu
mungkin sesalan
perihal masih berlangsungnya
kemelut umat Melayu Islam
di watan tercinta

Tan Sri
Masih kurindui patah-patah madah
yang menjadi azimat
dan pengobar semangat juang
yang Tan Sri gemakan
di pelbagai pentas wacana

Madahmu
mudah
tetapi indah
dengan jelasnya arah
bersendikan fikrah

Tan Sri
Dikau kobarkan
asas umat bangsa
berteraskan agama
agar jati diri dan martabat terpelihara
Dikau kobarkan
kekuatan bangsa
berwahanakan bahasa
kurniaan Nan Esa
tanpa silau atau bangga
akan kemegahan milik orang lain

Tan Sri
Dikau janakan
puluhan ribu teknokrat
yang mengenal hakikat
akan erti insan bermartabat
yang tunduk patuh kepada sunatullah
dan mengakar dalam budaya mardhatillah

Tan Sri
Masih kurindui
suara lunakmu
dengan tamsil dan kias
memecahkan empang keras
yang membendung kejahilan
dan kesalahan yang jelas
Madahmu
"Lain yang luka lain yang dibebat"
menyindir tegas
pemegang amanah
yang bertindak
tidak beralaskan hujah
dan alasan yang munasabah
akhirnya mendatangkan musibah

Tan Sri
Kuiringi kembalimu
ke pangkuan Kekasih Abadi
dengan doa semoga dikau dirahmati
di alam barzakh
dan kelak ke alam syurgawi
Jejak-jejak perjuanganmu
Dan denai peradaban
yang dikau rintis
Insya-Allah kami lanjutkan.

Tan Sri
Berbahagialah
di bawah naungan
dan payungan
rahmat Allah Izzati.

Kembara Bahasa
30 Mei 2013/21 Rejab 1434

Seberang Perai

No comments:

Post a Comment