Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, May 15, 2013

Dirgahayu DBP 57 Tahun

Pengemudi Watan

Zahirmu
dalam zaman gejolak
umat bermaruah menuntut hak
daripada penjarah
yang meragut kebebasan dan martabat

Zahirmu
daripada cetusan dan ledakan
semangat juang sekalian cendekiawan
bahasawan, sasterawan, wartawan, budayawan, agamawan
yang berpadu akal, ilmu dan wawasan
mempersiapkan bahasa watan
yang seawal abad Masihi
telah mula mengukir sejarah
di mayapada
untuk menjadi wahana
tamadun besar menjelang kemerdekaan
bahasa pembentuk jati diri umat merdeka
bahasa penyatu warga senegara
bahasa wasilah pentadbiran negara
bahasa landasan perkembangan ilmu beraneka

Lima dasawarsa tujuh tahun
dikau meniti jalan sejarah
mengisi erti bahasa bermartabat
mengisi bahasa yang zahir dan yang maknawi
sebagai daya pengungkap pandangan sarwa
kebijaksanaan dan peri segala ilmu milik wangsa
memperkaya khazanah kata, istilah, ungkapan, laras
persuratan susastera dan persuratan ilmu

Dikau akan terus kami kemudikan
sebagai bahtera tamadun wangsa dan negara
membentuk kekuatan berpaksikan nilai dan acuan sendiri
menjadi wahana akal budi
pendukung cita abadi putera dan puteri
di bumi payungan rahmat Ilahi.

Kembara Bahasa
16 Mei 2013/6 Rejab 1434


No comments:

Post a Comment