Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, March 18, 2014

Puisi "Tiada Kalau Apabila Tiba Saatnya"


Tiada Kalau Apabila Tiba Saatnya

Terlalu banyak berkalau
dalam kehidupan di dunia
Masih kuingat semasa di bangku sekolah
arahan guru kepada murid
menulis karangan tentang "Kalau saya menjadi itu dan ini."
Maka muncul berbagai-bagai kalau

Kehidupan dewasa pun masih banyak kalau
"Kalau aku kaya...."
"Kalau aku berjaya...."
"Kalau aku itu dan ini."
Terlalu banyak kalau
sehingga cita menjadi melampau
angan-angan tidak terjangkau
kehidupan menjadi kacau
ada kalanya menyebabkan sasau
Ketentuan Ilahi pun disyaratkan berkalau

Tiada kalau apabila tiba saatnya
Janji Dia adalah pasti
Tiada yang dapat lari
Tiada yang mampu menghindari
Semua akan dijemput-Nya kembali
ke alam yang abadi
Ketika itu hanya ada satu kalau
Beroleh sakinah kalau diredai-Nya

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
1 pagi 17 Mac 2014




No comments:

Post a Comment