Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, August 24, 2010

Ibu Patimah Murad dalam Kenangan

Nama Patimah Murad barangkali kurang dikenal dalam bidang penulisan dan penerbitan pada masa ini. Namun, pada tahun 1950-an dan 1960-an beliau merupakan salah seorang penulis dan wartawan wanita yang aktif, khususnya di Singapura. Beliau ialah isteri Allahyarham Pak Asraf (Hj. Mohd. Asraf bin Hj. Abdul Wahab), tokoh dan jurubicara ASAS 50, baik dalam bidang bahasa, terjemahan mahupun pemikiran tentang sastera.

Hajah Patimah dijemput oleh Allah pada hari Sabtu, 21 Ogos lalu, sesudah beberapa bulan uzur. Kali akhir saya menziarahinya di rumahnya di Subang Jaya ialah pada bulan Februari 2010, semasa cuti musim dingin. Ketika itu beliau baru keluar dari wad hospital.

Baru pada 20 Julai lalu, ketika bersua dengan Prof. Dr. Wan Mohd. Wan Daud, menantunya di UKM, saya mendapat khabar bahawa beliau telah mula pulih dan mula dapat menerima makanan. Saya bersyukur kerana pada saya beliau telah sekian lama menjadi ibu angkat saya, sejak tahun 1977 apabila saya mula bekerja dengan Allahyarham Pak Asraf di MacGraw-Hill FEP International, firma penerbitan di Petaling Jaya. Saya tinggal di rumah Pak Asraf di Kampung Tunku, Petaling Jaya selama kira-kira enam bulan sebelum pindah ke rumah sewa.

Meskipun menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, bakat dan pengalaman yang dimiliknya dalam bidang penulisan dan penerbitan telah memungkinkannya dilantik sebagai editor sambilan sebuah penerbit yang menerbitkan majalah Juita pada sekitar tahun 1977 hingga 1980-an. Saya masih ingat, ada kalanya dari pejabat di McGraw-Hill FEP, Pak Asraf dan saya langsung mengiringi ibu menemui tokoh untuk diwawancara atau ke pejabatnya untuk menyelesaikan kerja-kerja editorial. Antara tokoh yang masih saya ingat kami kunjungi termasuklah Ustaz Ahmad Awang, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia dan Allahyarham Hussein Enas, tokoh ternama dalam bidang seni lukis, di Jalan Bellamy.

Untuk ruangan yang bercorak keagamaan, sesekali saya diminta oleh ibu menulis makalah panduan ibadah, khususnya ketika menjelang Ramadan dan bulan-bulan lain yang penting dalam konteks agama Islam.

Pergerakan Allahyarhamah cukup tangkas, baik dalam pekerjaan mahupun dalam urusan rumah tangga. Dapat dikatakan bahawa segala urusan rumah dilakukannya sendiri. Hanya sesudah usianya mula lanjut dan beliau mula uzur sedikit, baru beliau mengambil pembantu rumah.

Masakannya pun amat enak dan beliaulah yang bertungkus-lumus membeli barang mentah dan memasaknya, bukan sahaja untuk keperluan sehari-hari bahkan untuk menjamu tetamu. Allahyarham Pak Asraf memang terkenal dengan keramahan dan baik budinya dan agak sering mengadakan jamuan di rumah.

Walaupun saya kemudian bertukar kerja ke Dewan Bahasa dan Pustaka dan beberapa buah universiti, termasuk di Brunei Darussalam, hubungan dengan Pak Asraf dan Ibu Patimah tetapi terjalin mesra. Kami saling berkunjung dan seringkali perbualan kami mengambil waktu yang cukup panjang. Pak Asraf memang terkenal dengan keseriusan dalam soal bahasa dan perjuangan bahasa sehingga percakapan melalui telefon mungkin sahaja memakan waktu satu jam atau lebih.

Masih terdengar-dengar oleh saya suara ibu sayup-sayup dalam telefon mengingatkan Pak Asraf bahawa waktu bercakap di telefon telah cukup panjang dan beliau faham bahawa saya memang keletihan bercakap lama melalui telefon. Itulah tanda kasih beliau sebagai ibu angkat saya yang cukup mengambil berat akan diri saya.

Sebagai ibu, banyak nasihat yang diberikannya kepada saya dalam melalui babak-babak kehidupan. Tanda keprihatinan beliau kepada 'anaknya' sehingga hal yang tampaknya kecil, seperti mengingatkan saya supaya bergunting rambut apabila rambut saya sudah kelihatan 'gondrong' walaupun memang kesukaan saya pada waktu itu menyimpan rambut yang agak panjang, menurut kecenderungan anak muda pada zaman itu.

Apabila anak-anaknya telah berdikari, ibu banyak menghabiskan waktu melancong ke beberapa banyak tempat di dunia, selain mengerjakan umrah beberapa kali. Keuzurannya kemudian mengurangkan pergerakannya di luar dan lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

Kemesraan hubungan dengan 'ayah' berlalu apabila Pak Asraf pulang ke rahmatullah dalam bulan November 1999, tidak lama sesudah pulang dari Makkah kerana mengerjakan ibadah umrah. Kini saya kehilangan pula 'ibu' yang selama lebih 30 tahun memberikan makna tersendiri dalam episod kehidupan saya dan keluarga.

Saya tetap sentiasa mendoakan kedua-duanya agar ditempatkan Allah di sisi golongan yang dikasihi-Nya. Takziah kepada anakanda mereka: Prof. Madya Dr. Ratnawati (pensyarah di Pusat Pendidikan, UIAM), Puan Elita (eksekutif bank), Jayawirawan (karyawan di Penerbit Sasbadi) dan Puspayanti serta menantu-menantu mereka dan cucunda-cucunda mereka. Al-Fatihah.

2 comments:

  1. Salam, Prof;
    Saya sempat bertemu dengan Almarhumah Ibu Patimah beberapa kali dan saya sangat bersetuju bahawa Almarhumah sangat lincah dan cergas gerak-gerinya.

    Namun, tidaklah saya ketahui bahawa Almarhumah pernah menjadi editor, dengan kata lain ada peranannya dalam penulisan dan penerbitan.

    Saya berdoa agar jasa almarhumah dalam bidang penerbitan menjadi amal jariah untuknya. Pemergiannya pada bulan yang mulia ini hendaknya menjadi petanda yang baik untuknya.

    Al-Fatihah.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Mudah-mudahan amalnya diterima Allah dan segala salah silapnya diampunkan Allah jua. Sayang dan sedih sekali saya tidak diberitahu tentang kepulangannya ke rahmatullah walhal saya ada di tanah air dan anak-anaknya pun tahu akan no. telefon rumah saya (jika mereka mengandaikan bahawa saya tidak ada di tanah air); saya hanya tahu melalui e.mel daripada Prof. Wan M. Noor menantunya 2 hari sesudahnya.

    ReplyDelete