Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, October 15, 2011

Kemajuan Bahasa Melayu di Peringkat Negara dan Antarabangsa - Cabaran dan Pelan Tindakan




KEMAJUAN BAHASA MELAYU
DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA:
CABARAN DAN PELAN TINDAKAN


Prof. Dr. Awang Sariyan
Mantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu
Kerajaan Malaysia di China
Beijing Foreign Studies University

[Kertas kerja yang disampaikan dalam Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Melaka pada 12-14 Oktober 2011 dengan tema Dunia Melayu Dunia Islam pada Abad Ke-21]

Pendahuluan

Upaya meneliti jejak pemerkasaan bahasa Melayu lebih setengah abad yang silam di Malaysia, iaitu dengan bertitik tolak dari tahun kemerdekaan Malaysia (yang sebelum tahun 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan cita-cita dan ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera (Awang Sariyan, 2006, 2007 dan 2009). Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Dengan perkataan lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa Melayu selama lebih setengah abad silam dan perancangannya untuk setengah abad mendatang dan seterusnya tidak akan bererti apa-apa dengan hanya membicarakan perkembangan bahasa tersebut sebagai wasilah mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi sekelompok umat. Maksudnya, perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan daripada sudut perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa), meskipun aspek itu memang penting dalam hal penentuan sosok bahasa yang menjadi sendi tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru menggambarkan sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar ialah yang berkaitan dengan pemenuhan dan pengisian dasar bahasa negara. Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan yang langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan kayu ukur kemajuan bangsa.

Di peringkat supranasional pula, pembicaraan tentang perkembangan dan perancangan bahasa Melayu wajarlah pula dipertalikan dengan cita-cita besar membentuk persatuan umat Melayu sebagai mahawangsa atau bangsa besar, yang di sisi rencam dengan kepelbagaian etnik dan budayanya di seluruh alam Melayu, masih dapat menampilkan keperibadian yang bernaung di bawah tonggak-tonggak utama tamadun, terutama bahasa Melayu dan agama Islam.

Bahasa Melayu sebagai Salah Satu Asas Kebangsaan dan Kenegaraan

Dalam pelbagai wacana lisan dan tulisan tentang sejarah perjuangan kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan tanah air, telah dihuraikan bahawa kebangkitan semangat kebangsaan yang berlangsung di negara ini merupakan kebangkitan semangat yang holistik sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air bukan terhad pada pembebasan daripada sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan turut merangkum aspek bahasa, pemikiran, pendidikan dan kebudayaan juga. Maka itu, muncul dalam kosa kata bahasa Melayu frasa nasionalisme bahasa atau nasionalisme linguistik, dengan pengertian nasionalisme atau semangat kebangsaan yang berteraskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu asas kebangsaan dan kenegaraan.

Gerakan nasionalisme sebagaimana yang berlangsung dalam kalangan nasionalis di Maktab Sultan Idris Tanjung Malim (yang ditubuhkan pada tahun 1922), wartawan, sasterawan, bahasawan dan bahkan agamawan yang tampak nyata berkobar dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang erti kemerdekaan tanah air. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956 sebagai badan perancangan bahasa Melayu itu pun merupakan hasil perjuangan rakyat, khususnya melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun yang sama dengan penubuhan badan itu.

Pada pihak Kerajaan (yang bertaraf kerajaan sendiri sejak tahun 1955) sebelum memperoleh kemerdekaan pada waktu itu, penubuhan Jawatankuasa Razak pada tahun 1956 turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara yang turut memperhitungkan peranan bahasa, apabila Laporan Razak menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara ini. Pancang yang diasaskan oleh Jawatankuasa Razak dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Rahman Talib (1960) itulah yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh pernyataannya dalam Akta Pendidikan 1996. Falsafah di baik penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara itu berkaitan rapat dengan agenda perpaduan kebangsaan, pembangunan yang berasaskan acuan sendiri dan juga pendemokrasian pendidikan.

Dengan menggunakan bahasa penghantar utama yang sama, iaitu bahasa Melayu, dicita-citakan berhasilnya pemupukan persefahaman dan tolak ansur yang membentuk perpaduan kebangsaan. Demikian pula, kemajuan dalam bidang pendidikan negara berlangsung dalam acuan sendiri apabila bahasa kebangsaan dijadikan asas untuk membentuk pemikir, tenaga ilmu dan tenaga kerja dalam pelbagai bidang. Yang tidak kurang pentingnya ialah penggunaan bahasa Melayu untuk melaksanakan pendemokrasian pendidikan dalam kalangan semua keturunan yang pada zaman Inggeris telah ternafi sebahagiannya apabila bahasa Inggeris menjadi wahana pendidikan kelas atasan dan golongan elit, sementara pendidikan berbahasa Melayu dan bahasa vernakular Cina dan Tamil bertaraf pendidikan kelas kedua.

Tempoh babak-babak tertentu dalam lebih setengah abad silam sebenarnya dapat dikatakan diwarnai oleh kejayaan tertentu dasar negara dalam hampir semua ranah. Meskipun masih jauh perjalanan untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara yang benar-benar bersatu padu rakyatnya, tercapainya keadilan ekonomi yang sesungguhnya dan jelas sendi kebudayaan kebangsaannya, namun kita telah bermula dengan perancangan yang bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman. Kisah kejayaan negara kita dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan adanya dasar-dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas landasan kontrak sosial yang jelas.

Prinsip jus soli yang memungkinkan golongan pendatang bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara ini diterima dengan penuh redha oleh orang Melayu atas kepentingan untuk mencapai kemerdekaan dan beberapa asas kenegaraan yang berteraskan kemelayuan dan keperibumian diterima pula oleh orang bukan Melayu sejak zaman menjelang kemerdekaan lagi (misalnya dalam manifesto pilihan raya 1955) sewaktu negara dalam tahap pemerintahan sendiri sebelum kemerdekaan diberikan. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera merupakan asas kontrak sosial yang tidak harus dilupakan. Sebagaimana kata Khoo Kay Kim (2005), hingga tahun 2020, iaitu tahun sasaran pencapaian negara maju bagi Malaysia, kontrak sosial tidak mungkin dapat diabaikan begitu sahaja sebagai asas kenegaraan Malaysia.

Dalam soal bahasa, jelas bahawa penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan kebangsaan yang penting. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara, dengan peranannya sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan pentadbiran sehingga kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada kecekapan bahasa yang ada pada penjawat awam pada pelbagai peringkat.

Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, bahasa Melayu mengisi erti pendemokrasian pendidikan, dengan pengertian bahawa pelbagai ilmu dapat disampaikan kepada sebahagian besar rakyat melalui bahasa yang satu, sehingga kemungkinan wujudnya kesenjangan atau jurang ilmu dan kemahiran, sebagaimana yang berlaku dalam zaman penjajahan dapat dielakkan kerana kita mempunyai sistem pendidikan kebangsaan, bukan sistem yang memisah-misahkan empat aliran (aliran bahasa Inggeris dan tiga aliran vernakular – Melayu, Cina dan India). Penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengembangan ilmu (yang memenuhi fitrah dan disokong oleh sekian banyak kajian, termasuk diungkapkan dalam piagam UNESCO) memungkinkan proses pengilmuan masyarakat menjadi lebih berkesan. Dalam tempoh kira-kira tiga dekad pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama (dengan mengambil tahun 1970 sebagai titik tolaknya), telah terhasil beberapa juta ahli ilmu, birokrat, teknokrat, profesional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dengan sebahagian besar mereka terdidik dalam sistem kebangsaan yang bahasa penghantar utamanya bahasa Melayu, sekurang-kurangnya sehingga peringkat menengah atas (Tingkatan Lima).

Aspek yang kurang diperhatikan dan kurang disedari kebanyakan orang tentang kejayaan sistem pendidikan negara yang berbahasa penghantar bahasa Melayu ialah terbentuknya kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda di Malaysia, selain terbentuknya budaya berbahasa yang relatif seragam. Orang yang bergerak dalam bidang pendidikan dan memperhatikan kehidupan di alam persekolahan pasti dapat menyaksikan bagaimana bahasa Melayu berhasil menjadi wahana yang membentuk sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa anak didik di institusi pendidikan. Ternyata bahawa prasangka perkauman dapat diatasi sebahagiannya oleh faktor bahasa. Pasti menarik hasilnya jika kajian empiris tentang aspek itu dapat dilakukan.

Cabaran dan Hambatan

Ibu segala masalah yang kita hadapi dalam pelaksanaan dasar bahasa yang berkaitan erat dengan proses pembinaan negara itu ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan, yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak atau kurang memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan. Pasti pula ketidakfahaman itu disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan, yang umumnya lebih dipertalikan sejumlah orang dengan pembangunan fizikal, sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan. Malang sekali bahawa sejumlah yang bersikap demikian ialah orang Melayu yang menjadi warganegara teras, baik daripada segi jumlah mahupun sejarahnya sebagai bangsa asal penduduk negara ini.

Dalam pada itu, kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi, umumnya ternyata begitu perihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya. Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya.

Andai kata dasar-dasar kenegaraan yang telah diletakkan oleh kepemimpinan terdahulu, khususnya pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, dihayati dan diperkukuh pelaksanaannya, nescaya kita tidak berhadapan dengan masalah ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar negara sehingga kita seringkali menjadi tikus yang membaiki labu. Kita sering membuat diagnosis yang silap dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh, dalam soal yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah serta universiti, diagnosis yang dilakukan ternyata silap sehingga penyelesaian terhadap masalah itu menjadi silap juga. Kiasan yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, bekas Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia amat tepat menggambarkan diagnosis yang silap itu, iaitu “Lain yang luka lain yang dibebat”.

Penyakit yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan lepasan sekolah dan universiti tidak diatasi dengan pembaikan dalam pengajaran bahasa itu tetapi dengan menjadikan bahasa Inggeris bahasa penghantar subjek-subjek yang berkaitan dengan sains dan matematik dan subjek-subjek teknikal. Kajian yang telah dilakukan (misalnya Juriah Long et al., 2004 dan Norhashimah, 2004) menunjukkan bahawa bukan sahaja pencapaian pelajar dalam subjek bahasa Inggeris tidak meningkat, bahkan subjek matematik dan sains merudum dengan nyatanya. Lebih malang lagi, pencapaian dalam subjek bahasa Melayu pun terkena tempiasnya. Kajian Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri menunjukkan bahawa hanya 4% guru sains dan matematik yang mengajar dalam bahasa Inggeris sepenuhnya keputusan UPSR dan PMR 2008 memperlihatkan kemerosotan yang nyata dalam mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris sebagai kesan pelaksanaan PPSMI (program pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). (Berita Harian, 10 September 2011)

Dengan perkataan lain, sesudah setengah abad merdeka, dapat dikatakan bahawa upaya membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain yang menunjang kehidupan bertamadun belum sepenuh-penuhnya berhasil. Perlu diakui bahawa ada penjawat awam, sarjana dan kalangan dalam sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara. Namun, dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang menurut orang Indonesia “masa bodoh” (tidak peduli) akan nasib bahasa Melayu. Pembinaan “sikap bahasa” ternyata perlu menjadi salah satu keutamaan dalam strategi perancangan bahasa kebangsaan untuk setengah abad mendatang dan seterusnya. Anggota masyarakat perlu disedarkan bahawa kecukupan “sandang pangan” (pakaian dan makanan) bukan satu-satunya matlamat kehidupan kerana ada agenda yang lebih besar daripada sekadar “hidup untuk makan”. Sekali lagi kita perlu belajar daripada sikap perihatin rakyat bukan Melayu yang meskipun mencapai ekonomi yang baik namun tetap memiliki rasa kepedulian yang tinggi kepada nasib bahasa dan budaya mereka.

Amat menyedihkan bahawa kian kabur pemahaman dan penghayatan sesetengah kalangan tentang peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan negara ini. Kekaburan dan malahan ketiadaan konsep kebangsaan dan kenegaraan yang berasaskan bahasa dalam minda sesetengah kalangan itu terpancar dalam bentuk sikap, pernyataan dan tindakan. Tidaklah sukar mencari contohnya. Pengutamaan bahasa asing dalam majlis dan urusan tertentu masih agak leluasa sebagai fenomena yang umum, hatta dalam urusan rasmi yang menurut Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa kebangsaan. Mesyuarat yang bercampur aduk antara bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan bahasa asing sehingga menimbulkan fenomena bahasa rojak dalam urusan rasmi masih belum betul-betul sirna dalam bidang pentadbiran.
Meskipun berlaku perkembangan yang ketara dalam pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara, namun kajian yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007 memperlihatkan keadaan yang belum cukup memuaskan. Di sini saya petik rumusan kajian tersebut:

1. Tahap Penggunaan Bahasa Melayu
Secara keseluruhannya, tahap penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan mencapai tahap yang memuaskan dengan kebanyakan dokumen ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi merupakan peratusan tertinggi, iaitu 93.22%. Ini menunjukkan bahawa penjawat awam peka dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu semasa menulis surat rasmi.

Kepekaan dan pengutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam memo juga tinggi, iaitu 86.24% menggunakan bahasa Melayu seluruhnya. Namun, dapatan menunjukkan penggunaan bahasa Melayu lebih rendah berbanding dengan surat rasmi, mungkin disebabkan tanggapan sesetengah pegawai bahawa memo dalaman merupakan dokumen yang kurang rasmi berbanding surat rasmi kerajaan. Oleh yang demikian, terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang lebih ketara. Namun, bagi dokumen yang lain, tahap penggunaan bahasa Melayunya lebih rendah, dan yang paling ketara ialah Laporan Tahunan yang hanya mencapai 57.78% dalam penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya, sementara 11.11% menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dan 31.11% menggunakan campuran bahasa Melayu-bahasa Inggeris.

Ini menunjukkan bahawa tahap penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan masih perlu diberi perhatian dan tahap kepekaan serta jati diri penjawat awam perlu ditingkatkan..


Demikian juga, hilangnya penghormatan kepada bahasa Melayu dalam pelbagai majlis rasmi negara hanya disebabkan adanya sejumlah kecil orang asing di majlis berkenaan pun masih menjadi fenomena yang menyebakkan. Di sisi itu, terasa begitu sulit hendak memahamkan kalangan yang bertanggungjawab tentang citra bandar, pusat pentadbiran, kawasan perumahan dan tempat awam yang lain tentang mustahaknya bahasa Melayu diberi tempatnya yang wajar, sehingga tidak terfikir sama sekali oleh Perbadanan Putrajaya, misalnya, untuk memberikan citra pusat pentadbiran negara dengan nama yang berciri kebangsaan, di balik berasa megah dengan Boulevard, Parcel, Presint dan sebagainya. Alangkah janggalnya juga bahawa di tengah-tengah sekian banyak wisma di bandar pentadbiran Putrajaya yang diberi nama dalam bahasa Melayu tiba-tiba wujud Palace of Justice! Syukurlah dalam kalangan pemimpin di Malaysia ada orang yang prihatin seperti Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Komunikasi dan Kebudayaan, sehingga suara hati pejuang bahasa dapat sampai ke nuraninya dan kemudian muncul nama yang indah Istana Kehakiman.

Peristiwa yang paling besar yang menunjukkan betapa cairnya penghayatan akan peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun negara menurut acuan sendiri ialah perubahan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara, apabila pada tahun 2002 diputuskan pengajaran sains dan matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan dengan dua subjek itu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, bermula pada tahun 2003. Institusi pengajian tinggi awam telah pun mula menyertai institusi pengajian tinggi swasta dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar utama, khususnya dalam penyampaian kuliah kursus-kursus sains dan teknologi. Bahkan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya yang menjadi pusat ilmiah pengajian Melayu pun telah diarah memulakan pengajaran ehwal bahasa, sastera dan budaya Melayu dalam bahasa Inggeris, bermula dengan 30% pada tahun 2007 dan beransur-ansur ditingkatkan sehingga menjadi 70%. Syukurlah bantahan kepada kepemimpinan Universiti Malaya berjaya menghentikan pelaksanaan arahan tersebut, tetapi soalnya sehingga bila kita perlu berhadapan dengan situasi berjihad memerangi sikap pelik bin ajaib seumpama itu!

Atas nama pragmatisme, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan intelektual beransur-ansur terhakis sehingga tidaklah mustahil bahawa akhirnya bahasa Melayu yang dikenal dan digunakan orang kelak hanya bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi sehari-hari sahaja dan bahasa Melayu tinggi tidak menjadi citra penting lagi sebagai cerminan tamadun bangsa Melayu. Hujah bahawa bahasa Melayu akan terus perkasa dan diperkasakan dalam keadaan bahasa Melayu dinafikan peranannnya sebagai bahasa ilmu menjadi hujah yang membingungkan dan sekali gus tidak masuk akal.

Syukurlah bahawa pada tahun 2009 telah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri yang merangkap tugas Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Mohd. Yassin bahawa PPSMI dimansuhkan dan digantikan dengan program MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Meningkatkan Bahasa Inggeris). Muncul sinar harapan bahawa bahasa Melayu terus menjadi bahasa penghantar utama sistem pendidikan di peringkat persekolahan.

Sekian banyak peristiwa seumpama itu sebenarnya berpunca daripada tiada atau kurangnya pengertian bahawa bahasa Melayu berperanan dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan. Lebih mendasar daripada itu, masih banyak orang yang tidak dapat memahami apakah hubungan antara bahasa dengan pembinaan diri, bangsa dan negara, disebabkan terbelenggu oleh pemahaman bahawa bahasa tidak lebih daripada suatu kemahiran yang mekanis sebagai alat komunikasi semata-mata (bahkan lebih buruk lagi apabila yang difahami dengan peranan bahasa sebagai alat komunikasi itu terbatas pada komunikasi asas seperti perbualan sehari-hari sahaja, bukan komunikasi pemikiran dan budaya tinggi). Usaha memberikan pemahaman yang betul tentang erti bahasa dalam kehidupan bertamadun tampaknya tidaklah pula mudah kerana hal itu pun tidak begitu jelas pembudayaannya dalam masyarakat, termasuk dalam sistem pendidikan.

Pemantapan dan Kemantapan Korpus Bahasa Melayu

Tempoh lebih setengah abad yang lalu turut memperlihatkan kepesatan usaha memantapkan korpus bahasa Melayu daripada sudut sistem ejaan, peristilahan, kosa kata umum, sebutan, tatabahasa dan laras bahasa. Kisah kejayaan perancangan bahasa dalam bidang korpus itu telah saya rumuskan dalam beberapa tulisan sebelum ini (lihat, misalnya, makalah saya dalam A. Rahim Bakar dan Awang Sariyan, 2005). Terlepas daripada polemik linguistik dan sosiolinguistik tentang sistem bahasa yang dimantapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dukungan sekian banyak ahli bahasa dan ahli ilmu dalam pelbagai bidang, dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu telah mencapai kemantapan korpusnya. Kemantapan korpus bahasa Melayu itu telah dimanafaatkan dengan agak meluas dalam pelbagai ranah.

Pemantapan korpus bahasa Melayu, biarpun dengan pelbagai istilah dan tafsiran, seperti adanya istilah pembakuan, penstandardan, penyelarasan atau yang lain, mempunyai erti yang penting juga dalam rangka pembinaan tamadun bangsa dan negara. Perancangan korpus bahasa berperanan mengisi erti taraf atau kedudukan bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi umum. Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (yang bermakna bahasa negara) jika sistemnya tidak keruan sehingga tidak dapat dikenal sosok bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara itu? Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi jika untuk menjadi wahana pelaksanaan pentadbiran negara bahasa itu tidak mempunyai sistem yang kemas dan relatif seragam dalam hal ejaan, sebutan, istilah, kosa kata umum, tatabahasa dan laras bahasanya sehingga tidak dapat menjadi wahana komunikasi pentadbiran yang cekap dan berkesan? Demikian pula, apatah eritnya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu jika sistem bahasanya tidak mencapai tahap teratur, baku atau standard dan berdaya mengungkapkan hal-hal ilmu?

Dalam kaitannya dengan semua keperluan itulah maka usaha pemasyarakatan bahasa yang baik, teratur dan santun perlu terus-menerus dilaksanakan. Mana-mana bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa yang baku atau standard, di sisi ragam bahasa basahan atau bahasa sehari-hari, untuk menjadi wahana penzahiran idea, ilmu konsep dan budaya tinggi. Sehubungan dengan itu, pembudayaan berbahasa dengan santun (dengan pengertian berbahasa menurut peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik) memerlukan perancangan dan pelaksanaan strategi yang lebih berkesan, khususnya melalui institusi pendidikan, pentadbiran dan media massa.

Tempoh lebih setengah abad lalu meskipun memperlihatkan kemajuan dalam penguasaan sistem bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, penjawat awam dan masyarakat umumnya, ternyata masih belum mencapai tahap yang cukup memuaskan jika diukur daripada sudut penggunaan “bahasa Melayu tinggi”. Dengan tidak bermaksud menafikan peranan bahasa sehari-hari, tampaknya bahasa Melayu tinggi yang dapat juga diistilahkan sebagai “bahasa terbina” (elaborated code menurut istilah Bernstein), sebagai lawan “bahasa terhad” (restricted code) belum membudaya dengan mantap dalam kalangan yang seharusnya menguasainya. Masih banyak karya ilmiah yang belum mencapai tahap bahasa Melayu tinggi yang sewajarnya. Masih ketara penggunaan bahasa Melayu yang tidak baku di tempat awam (iklan, nama tempat, bangunan, syarikat dan sebagainya). Demikian juga masih menjadi impian untuk kita menyaksikan pidato, ucapan, syarahan dan perbahasan yang mencerminkan bahasa Melayu tinggi, dengan kekecualian sejumlah orang yang masih agak kecil bilangannya. Seringkali harapan kita untuk menikmati wawancara atau ucapan yang bermutu penyampaiannya (termasuk dalam hal penggunaan bahasa) tidak tercapai, malahan perbahasan di Parlimen kadang-kadang tidak pula mencerminkan kemurnian dan taraf Parlimen itu sendiri, disebabkan bahasa Melayu tinggi yang seharusnya digunakan bertukar menjadi bahasa Melayu rendah, kadangkala dengan carutan dan maki hamun.

Dalam pada itu, sebarang langkah berundur daripada ketetapan dan pelaksanaan yang telah berlangsung disebabkan keraguan yang timbul dalam diri sendiri tidak membantu keutuhan bahasa Melayu. Sebagai contoh, pelaksanaan sebutan baku yang bertujuan untuk membentuk bahasa lisan formal sebagai salah satu cirinya, telah diputuskan pada tahun 1980-an, dan pelaksanaannya diterapkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah (KBSM dan KBSR) bermula pada tahun 1988. Dengan keputusan Kabinet pada tahun 2000, sebutan baku dihadkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja, tidak lagi merentas kurikulum seperti selama 12 tahun sebelumnya dan badan penyiaran tidak lagi mempunyai suatu piawai sebutan baku sebagaimana yang telah dilaksanakan selama lebih satu dekad oleh sekurang-kurangnya sebuah stesen televisyen (TV3).

Dalam perkembangan pelbagai media alternatif kini, terutama laman sosial seperti Facebook, Twitter, blog, sms dan sembang internet, fenomena sejumlah pengguna bahasa menggunakan ragam bahasa yang amat tidak formal dan malahan ragam bahasa ciptaan baharu kian menghakis ragam bahasa formal. Sistem ejaan, pilihan kata dan struktur ayat dalam media alternatif itu sudah memperlihatkan kecenderungan sejumlah pengguna bahasa tidak dapat membedakan sifat bahasa yang peribadi dengan sifat bahasa yang berkaitan dengan khalayak yang luas. Daripada segi kemantapan sistem bahasa Melayu, fenomena ini dikhuatiri menjadi hambatan kepada perkembangan bahasa Melayu rasmi dan bahasa Melayu tinggi. Pandangan ini tidak bermaksud menafikan hak seseorang menggunakan bahasa menurut ideoleknya, tetapi kurangnya perhatian kepada penggunaan bahasa yang berasaskan sistem bahasa, terutama dalam menghadapi khalayak yang luas dan berbagai-bagai dibimbangi akan memberikan kesan kepada kemantapan sistem bahasa Melayu yang unggul. Demikian juga halnya dengan kian kurangnya kawalan penggunaan kata dan ungkapan yang memenuhi sistem nilai yang beradab, santun dan tertib.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ANTARABANGSA
DAN UPAYA PENGANTARABANGSAANNYA


Istilah pengantarabangsaan yang saya gunakan bagi bahasa Melayu dalam kertas kerja ini barangkali mengundang persoalan: Mengapakah bahasa Melayu perlu diantarabangsakan, seolah-oleh bahasa tersebut belum bertaraf antarabangsa? Prof Dr. James T. Collins (1999) dalam kritiknya terhadap pertanyaan “Wajarkah bahasa Melayu diantarabangsakan” yang diajukan oleh seorang wartawan muda akhbar setempat kepadanya menegaskan bahawa bahasa Melayu tidak perlu diantarabangsakan kerana bahasa Melayu memang sudah bersifat (bertaraf) antarabangsa. Bahasa Melayu memang telah mencapai taraf antarabangsa sejak lebih seribu tiga ratus tahun lalu (Collins 1999), dengan memperhitungkan Kerajaan Sriwijaya sebagai titik tolak pengantarabangsaan bahasa Melayu. Pada zaman itu bahasa Melayu telah berinteraksi dengan bahasa Sanskrit yang mewakili kebudayaan India.

Apabila Islam datang ke alam Melayu pada sekitar abad ke-10 (malah sumber Aceh menyatakan bahawa Islam telah tiba di alam Melayu pada abad ke-8 lagi), bahasa Melayu mengalami interaksi dengan satu lagi bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Arab dan di sisi itu juga kemudian bahasa Parsi. Kegiatan penerjemahan teks daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu telah berlangsung, seperti usaha penerjemahan Aqaid al-Nasafi (1590) yang merupakan kitab tertua dalam bahasa Melayu (al-Attas, 1988). Dengan demikian bahasa Melayu telah diantarabangsakan daripada sudut kandungan bahasa itu sendiri dan pada waktu yang sama daripada sudut peranannya juga, iaitu sebagai bahasa yang digunakan dalam ranah hubungan antarabangsa, khususnya sebagai bahasa diplomasi. Antaranya termasuklah surat Sultan Aceh kepada kapitan Inggeris, James Lancester (1601), surat Sultan Alauddin Shah Aceh kepada Harry Middleton (1602) dan surat Sultan Aceh kepada raja Inggeris, King James (1612) (Nik Safiah Karim et al., 1996).

Selain itu, bahasa Melayu telah mula mendapat perhatian sarjana Barat sehingga seawal abad ke-17 telah terhasil sejumlah buku tatabahasa dan kamus seperti karya de Houtman (1603), Albert Ruyl (1611), Casper Wittens dan Sebastian Danckaerts (1623), David Haex (1631) dan lain-lain.

Interaksi bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa Barat kemudian, terutama bahasa Inggeris, telah memungkinkan bahasa Melayu menambah kekayaannya yang sedia ada, baik dalam bidang fonologi, kosa kata, sintaksis mahupun wacana. Bahasa Melayu telah mencapai tahap saling terjemah (inter-translatibality) yang tinggi dengan bahasa-bahasa moden yang lain.

Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya. Pada masa ini bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana halnya dengan bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica, Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana (Fishman et al., 1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana, Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India, Lesotho, Liberia, Malawai, Malta, Mauritius, Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe, Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania, Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991). Dengan kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai antara bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi, perbincangan tentang pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur asing menjadi tema yang mendapat perhatian besar sehingga perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan.

Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada penutur asing meskipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Fakta mutakhir yang cukup memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd dalam jurnal The Future of Language (27 Februari 2004) bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang amat pesat berkembang. Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya. Yang penting ialah bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada dan dipelajari oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memenuhi keperluan tersebut.

Semangat untuk mengantarabangsaan bahasa Melayu kini sebenarnya merupakan kesinambungan suatu sejarah gemilang bahasa Melayu yang telah terbina. Upaya kita kini sebenarnya lebih merupakan salah satu upaya meningkatkan “taraf antarabangsa” yang telah dicapai oleh bahasa Melayu, untuk memenuhi keperluan perkembangan zaman. Hal ini selaras dengan kenyataan bahawa keantarabangsaan bahasa Melayu kini jika dibandingkan dengan keantarabangsaannya pada zaman gemilang tamadun Melayu sebelum datangnya penjajah masih jauh daripada yang kita dambakan. Meskipun bahasa Melayu tersebar dan dipelajari di mana-mana bahagian di dunia ini, dan dengan demikian melayakkannya bertaraf antarabangsa, namun peranannya sebagai wahana kehidupan moden dalam kalangan masyarakat antarabangsa masih agak samar. Bahasa Melayu dalam era ini belum dapat dilihat sebagai bahasa perdagangan, bahasa ekonomi, bahasa ilmu dan bahasa teknologi di peringkat antarabangsa. Pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mudah-mudahan dapat beransur-ansur meningkatkan peranan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Potensi besar bahasa Melayu yang menimbulkan keperluan perencanaan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing ialah wujudnya pusat-pusat pengajian di seluruh dunia yang mengajarkan bahasa Melayu (dengan pengertian bahasa Indonesia juga). Bahasa Melayu diajarkan dan diteliti di puluhan universiti di Eropah, di Australia, di New Zealand, dan di Amerika Utara, di samping diajarkan dan diteliti di rantau Asia Tenggara, Asia Timur, dan Asia Utara.

Di Eropah Barat, kajian tentang bahasa dan sastera Melayu-Indonesia telah mencapai tahap yang mapan, meskipun harapan banyak bergantung pada tokoh-tokoh tertentu. Kegiatan pengajaran-pemelajaran dan penelitian bahasa, sastera dan budaya Melayu dapat dikatakan meriah di benua tersebut, terutama di pusat-pusat tradisional pengajian Melayu seperti Leiden, London, dan Paris. Di Leiden, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Kursi Pengajian Melayu untuk benua Eropah.

Selain itu, terdapat juga pengajian Melayu di Itali. Di Jerman pula, sebagai kesan munculnya minat masyarakatnya terhadap Indonesia, lima buah universiti di negara tersebut mengajarkan bahasa Melayu-Indonesia. Kelima-limanya itu ialah Universiti Hamburg, Universiti Cologne, Universiti Bonn, Universiti Frankfurt, dan Universiti Passau. Di sisi itu, ada juga perhatian kepada Dunia Melayu, termasuk bahasa Melayu di Universiti Bochum, di Universiti Kassel, dan di Universiti Giesen. Universiti Frankfurt, di bawah Pusat Pengajian Asia Tenggara telah mula memperkenalkan bahasa Melayu varian Malaysia pada tahun 2004 apabila Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dilantik sebagai Profesor Tamu untuk memperkenalkan dan mengajarkannya kepada pelajar dari seluruh Eropah. Secara berturut-turut pada tahun 2006 dan 2007, Prof. Dr. Awang Sariyan pula dilantik menjadi Profesor Tamu untuk memberikan kuliah intensif kepada sejumlah 20 orang lebih calon Magister (sarjana) tentang perbandingan bahasa Melayu varian Malaysia dan varian Indonesia, tatabahasa bahasa Melayu dan sosiolinguistik bahasa Melayu.

Di bahagian lain benua Eropah, khususnya di Portugal dan di Skandinavia tampak juga adanya minat terhadap bahasa Melayu. Di Perancis, telah lama berkembang pengajian Melayu, khususnya pengajian Indonesia di beberapa buah institusi ilmiah di Paris. Kemudian mula berkembang pengajaran bahasa dan sastera Melayu di Universiti La Rochelle di selatan Perancis pada tahun 2002. Sebagai hasil kerjasama yang terjalin dengan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), pelajar dari universiti itu telah dihantar ke DBP untuk program latihan industri pada tahun 2003. Telah ada juga ada ura-ura pembukaan program pengajian Melayu di Institut Asia dan Afrika Tiblisi, Georgia (surat Prof. Dr. Guram Chikovani, Rektor TIAA kepada pemakalah, bertarikh 25 Oktober 2005).

Di Amerika Syarikat, universiti yang mula-mula mengadakan pengajaran dan penelitian bahasa Melayu-Indonesia ialah Universiti Yale dan Universiti Cornell. Sesudah itu pengajian bahasa Melayu-Indonesia dipergiat melalui Program Musim Panas yang kemudian merangkumkan pelibatan Universiti Hawaii dan Universiti California-Berkeley. Kini bahasa Melayu diajarkan juga di Universiti Wisconsin, Universiti Ohio, Universiti Michigan, Universiti Illinois, dan Universiti Arizona (Ismail Hussein, 1995). Prof. Dr James Collins, pakar dialektologi Melayu yang selama dua dekad berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sejak akhir tahun 2008 telah bertugas sebagai Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara yang sebahagiannya mengupayakan pengembangan bahasa Melayu dalam program ilmiahnya di Amerika Utara.

Di Australia, pengajaran dan penelitian bahasa Melayu terdapat di Universiti Sydney, di Universiti Melbourne, di Universiti Kebangsaan Australia, di Universiti La Trobe, dan di Universiti Monash. Di samping itu, bahasa Melayu diajarkan di Curtin University of Technology di Perth, di Universiti Australia Selatan, di Kampus Bendigo Universiti La Trobe, di Universiti Griffith, di Universiti James Cook, di Universiti Deakin, di Universiti Flinders, di Universiti Queensland Selatan, di Universiti Murdoch, di Universiti Tasmania, di Universiti Kolej Wilayah Utara, dan di Sekolah Bahasa-bahasa Angkatan Udara Diraja. Di Victoria sahaja, terdapat sejumlah 120,000 orang pelajar bahasa Melayu (khususnya variasi Indonesia) dari peringkat sekolah rendah hingga universiti (Awang Sariyan, 2004).

Besarnya minat masyarakat Australia terhadap bahasa dan budaya Melayu walau bagaimanapun tidak pula menempiaskan minat yang sama besarnya kepada New Zealand sebagai satu lagi jiran Barat bagi Asia. Namun demikian bahasa Melayu ada diajarkan di Universiti Auckland dan di Universiti Victoria, di samping di Kolej Rongitoto. Malah Kursi Pengajian Melayu yang diusahakan atas kerjasama kerajaan Malaysia dengan New Zealand ditempatkan di Universiti Victoria, Wellington. Pada hemat penulis (dan juga penilaian bekas penyandang Kursi Pengajian Melayu di New Zealand, dalam percakapan tidak rasmi di Universiti Malaya pada awal 2009), Kursi tersebut lebih sesuai ditempatkan di Universiti Melbourne di Australia.

Sebagai hasil promosi bahasa Melayu oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, di Australia, khususnya di Melbourne, Universiti Deakin telah memberikan kepercayaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Putra Malaysia mengendalikan kursus bahasa Melayu kepada pelajar-pelajarnya yang didatangkan ke Malaysia dalam tempoh sebulan setengah bermula pada penghujung tahun 2004. Kumpulan kedua pelajar Universiti Deakin yang dihantar ke Universiti Putra Malaysia mula mengikuti kursus pada 19 Disember 2005 untuk tempoh sebulan setengah dan program yang sama diteruskan pada tahun 2006.

Di negara-negara Asia Timur, bahasa Melayu mendapat tempat yang cukup membanggakan. Di Jepun, pada akhir tahun 1980-an ada lima buah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai jurusan bahasa Indonesia, iaitu Universiti Pengajian Asing Osaka, Universiti Pengajian Asing Tokyo, Universiti Tenri, Universiti Kyoto Sangyu, dan Universiti Setsunan. Selain itu, ada sebelas universiti yang ikut mengajarkan bahasa Melayu walaupun tidak mempunyai jabatan khas bahasa Melayu, iaitu Universiti Kyoto, Universiti Takushoku, Universiti Nohon, Universiti Sophia, Universiti Ajia, Universiti Daitobunka, Universiti Senshu, Universiti Tokto, Universiti Tokyo Nogyo, Universiti Waseda, dan Universiti Pengajian Asing Kota Kobe.

Di Republik Rakyat China, pengajian bahasa Melayu mencapai kemantapan di Universiti Peking dan di Universiti Bahasa Asing di Beijing dan di Universiti Pengajian Asing Guangdong, Guangzhou. Institusi yang baru memulakan pengajaran bahasa Melayu ialah Universiti Komunikasi Beijing (2004). Perkembangan mutakhir yang meyakinkan ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang mula diisi pada awal tahun 2008 oleh Prof. Dr. Awang Sariyan. Peningkatan taraf program bahasa kepada pengajian Melayu di universiti tersebut yang menjadi asas penubuhan Kursi Pengajian Melayu telah bermula pada tahun 2005.

Atas usaha Universiti Pengajian Asing Beijing, khususnya Pengarah Pusat Pengajian Melayu China di BFSU, Prof. Wu Zong Yu, program bahasa Melayu telah dimulakan di Universiti Peribumi Guangxi di China Selatan pada bulan September 2008. Pada tahun 2010 pula, Universiti Peribumi Yunnan di kota Kunming telah memulakan program bahasa Melayu dan maklumat mutakhir yang saya peroleh, bagi dua kumpulan pelajar tahun 2010 dan 2011, terdapat 79 orang pelajar. Hingga kini, telah ada tujuh buah universiti di Republik Rakyat China yang mempunyai program bahasa/pengajian Melayu, iaitu tiga buah di kota Beijing, sebuah di kota Guangzhou, sebuah di kota Louyang, sebuah di kota Nanning dan sebuah di kota Kunming. Dengan peningkatan hubungan dagang, pendidikan dan kebudayaan yang kian meningkat, dijangka bahawa beberapa buah universiti di provinsi-provinsi lain akan menubuhkan program bahasa/pengajian Melayu.
Demikian pula di Korea Selatan bahasa Melayu diajarkan di Universiti Pengajian Asing Hankuk dan di Universiti Pengajian Asing Busan. Dari Universiti Busan inilah munculnya sarjana pengagum dan peneliti sejarah tulisan Jawi, iaitu Kang Kyoung Seock. Di Asia Utara pula, iaitu di Rusia, pengajaran dan pengajian bahasa satu sastera Melayu sudah sekian lama bertapak di Moskow dan di Leningrad.

Dengan agak meluasnya perhatian terhadap bahasa Melayu-Indonesia di pusat-pusat pengajian sedunia, maka memang amat relevan dibincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing. Meskipun matlamatnya masih lebih tertumpu pada minat ilmiah dan kebudayaan, dengan sedikit-sedikit pada peluang pekerjaan, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memungkinkan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing itu mencapai kesan yang sebaik-baiknya.

DBP pula dalam rangka mengisi agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu telah mengambil langkah menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dengan kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1997 dan memulakan operasinya dalam tahun 2000. Antara bidang yang ditangani termasuklah pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing. Di samping mengutus tenaga pengajar (seperti ke Republik Rakyat Cina, Korea, Eropah, Thailand, Sri Lanka, Kemboja dan sebagainya), usaha menyusun buku dan modul pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing telah dimulakan. Pada bulan Ogos dan September 2005, telah diadakan Kursus Bahasa Melayu untuk Munsyi Antarabangsa dengan pelibatan penatar bahasa Melayu dari Thailand, Kemboja dan Sri Lanka, iaitu penatar yang sebelumnya telah menerima kurus bahasa Melayu di negara masing-masing atas usaha DBP.

Merancang untuk Setengah Abad Mendatang dalam Abad Ke-21

Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun bangsa dan negara untuk setengah abad mendatang memerlukan waktu dan kaedah yang serapi-rapinya. Perlu ada sesi khas untuk sumbang saran pelbagai pihak dan perlu ada pendokumentasian strategi perancangan itu. Namun, dalam kertas kerja ini saya sekadar mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan dapat membantu sedikit banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh setengah abad mendatang.

1. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu

i. Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Jika Kerajaan bersedia meminda atau memperluas Akta DBP dalam hal pemberian kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang salah di tempat awam, maka tindakan yang sama hendaklah dikenakan kepada sesiapa jua yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya tindakan kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang lain. Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas,misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama sekali.

ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah penggunaannya. Mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi (termasuk perdagangan). Beberapa undang-undang yang berkaitan dengan bidang perdagangan yang selama ini ‘menyekat’ penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu disebabkan akta yang berkaitan telah ‘luput tarikh’ (sebilangannya diaktakan sebelum atau pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan unsur penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta pindaan itu.

iii. Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1) Akta Pendidikan 1996 hendaklah dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan negara. Ketetapan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara, baik di peringkat persekolahan mahupun di peringkat pengajian tinggi perlu dipatuhi dan diisi dengan program yang lebih terancang, dengan tidak menolak keperluan menguasai bahasa-bahasa asing untuk penguasaan ilmu, kemahiran dan unsur positif kebudayaan lain. Program penguasaan bahasa-bahasa asing yang perlu hendaklah dirancang dengan rapi agar tercapai hasrat untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa (atau bahasa-bahasa asing) yang penting, tetapi tidak sampai mengorbankan atau meminggirkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai salah satu acuan negara. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia melahirkan puluhan ribu siswazah dan sarjana dalam pelbagai bidang ilmu dengan berbahasa penghantar bahasa Melayu, termasuk penulisan tesis doktor falsafah dalam bidang sains dan teknologi patut dijadikan asas kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

iv. Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai lapisan khalayak perlu dijadikan agenda negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Berhad, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badan-badan lain hendaklah menyusun langkah yang lebih strategis agar benar-benar memenuhi tanggungjawab sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok dewasa, remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun elektronik. Perlu ada dana yang khusus untuk menjayakan agenda memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu sebagai agenda negara.

v. Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, dalam bidang-bidang utama kenegaraan, seperti pentadbiran, pendidikan, kehakiman dan media massa (khususnya media kerajaan). Jabatan ini boleh ditempatkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab memastikan mutu perkhidmatan yang baik, termasuk dalam bidang bahasa dan komunikasi. Dua aspek penting perlu diaudit, iaitu pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan mutu bahasa yang digunakan.

vi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan perancangan bahasa dan sastera kebangsaan hendaklah diberi wewenang sebagaimana yang seharusnya. Gangguan terhadap pelaksanaan badan tersebut sebagai badan yang diberi amanah memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan tidak seharusnya wujud. Bidang kuasa dan tujuan DBP ditubuhkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak harus terganggu oleh arahan semasa yang bertentangan dengan Akta DBP sendiri. Dalam pada itu, kepemimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka pula perlu berusaha memenuhi tujuan-tujuan badan itu ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan kehendak semasa pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan DBP. DBP perlu terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya.

2. Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu tinggi

i. Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu dirancang untuk membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi. Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan langkah positif yang dapat dimanfaatkan untuk turut membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mudah-mudahan komponen “bahasa Melayu tinggi” dapat diintegrasikan dalam pelaksanaan kempen tersebut. Konsep bahasa sebagai “warisan tidak tampak” atau “warisan tidak ketara” sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

ii. Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu tinggi. Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian program-program yang dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi. Dengan demikian tidaklah menular fenomena “sekerat ular sekerat belut” (seperti yang diistilahkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim) dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang sungguh-sungguh kita bimbangi ialah kegagalan masyarakat menempatkan ragam bahasa yang betul pada konteks dan situasinya. Sebagaimana kita tidak mengharapkan bahasa yang baku digunakan dalam komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita terima penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan ilmiah.

3. Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional

Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu yang gemilang dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu ialah bahasa yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam upaya memperkuat bahasa Melayu di peringkat negara, segala upaya memadukan kerjasama dengan negara-negara berbahasa Melayu yang lain dan mana-mana sahaja pihak yang dapat membantu melonjakkan citra dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan. Sekali lagi kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita yang mempunyai rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa. Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) perlu disemarakkan terus. Dewan Bahasa dan Pustaka yang memperoleh kelulusan Kabinet pada tahun 1997 untuk menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) (yang sudah mula beroperasi sejak tahun 2000 perlu mengaktifkan semula badan antarabangsa itu.

PERTIMBANGAN STRATEGI
Pertimbangan strategi pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing bergantung pada beberapa asas. Jack C. Richards (1991), misalnya, menyebut perkara yang berikut sebagai asas utama keberkesanan sesuatu program bahasa:

1. Faktor sosiobudaya
2. Faktor gaya pengajaran dan pemelajaran
3. Faktor pelajar
4. Ciri-ciri program (persediaan pengajar, kesahan kurikulum dan prosedur
pengujian, ragam pelajar, bahan, penyelarasan tenaga)

Asmah Haji Omar (2003) membincangkan faktor-faktor yang berikut sebagai asas pengajaran yang berkesan bagi program pengajaran bahasa kepada penutur asing:

1. Mengenal pasti keperluan pelajar
2. Menghadapi kumpulan pelajar yang keperluannya pelbagai
3. Keutamaan: fungsi atau bentuk?
4. Pendedahan kepada fungsi-fungsi bahasa
5. Pertimbangan wacana dan lakuan bahasa
6. Pengajaran nahu
7. Peraturan Sosial dan Budaya
8. Pemilihan variasi bahasa
9. Penyusunan dan pengelolaan butir-butir pengajaran

Untuk makalah ini, saya memusatkan perhatian pada lima aspek yang utama, iaitu:

1. Pelajar
2. Pengajar
3. Kurikulum dan Kaedah
4. Sumber/bahan
5. Pengujian dan penilaian

PELAJAR

Aspek pelajar meliputi isu:

1. peringkat, sama ada rendah, menengah, pengajian tinggi atau asas,
pertengahan, maju;
2. kelompok,sama ada pelajar insitutusi pengajian, profesional atau orang
awam;
3. tujuan dan keperluan mempelajari bahasa Melayu.

Kedua-dua variabel di atas menentukan pengajar, kurikulum dan kaedah, sumber atau bahan dan pengujian dan penilaian yang sesuai dengan peringkat dan kelompok berkenaan. Di Kemboja dan di Sri Lanka, misalnya, terjadi keadaan kursus bahasa Melayu yang disertai oleh pelbagai peringkat usia dan latar belakang demografi lain yang amat berbeda. Sewaktu pemakalah memberikan kursus bahasa Melayu di Seam Reap, Kemboja, dalam tahun 2003, misalnya, kursus berkenaan dihadiri oleh peserta semuda 12 tahun dan setua 60 tahun. Di Sri Lanka, guru bahasa Melayu yang dilantik oleh DBP dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara itu mengalami masalah berhadapan dengan pelajar semuda belasan tahun dan setua 70-an dan dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya. Masalah yang dihadapi oleh pengajar dengan mudah dapat diduga, terutama berkaitan dengan bahan dan kaedah pengajaran dan juga kesan psikologi pada kedua-dua pihak, iaitu pengajar dan pelajar. Maka itu, sebaik-baiknya pelajar perlu dikelompokkan menurut sekurang-kurangnya dua variabel yang pertama itu tadi.

Sebaik-baiknya dikenal pasti juga tujuan dan keperluan pelajar mempelajari bahasa Melayu. Di Universiti Hankuk, di Universiti Busan dan di Universiti Pengajian Asing Beijing serta di Universiti Penyiaran Beijing, ada pelajar yang mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan ilmiah tetapi ada juga yang bertujuan untuk mendapatkan kerja di sektor pelancongan, penyiaran dan diplomasi. Pengajar tampaknya perlu berusaha menyeimbangkan pengajaranya untuk memenuhi dua keperluan itu. Dalam kes yang lain, pengajaran bahasa Melayu kepada diplomat dan profesional yang lain memerlukan strategi yang berlainan daripada strategi pengajaran kepada pelajar di institusi pengajian. Kursus yang dikendalikan oleh Persatuan Linguistik Malaysia untuk doktor dari Pakistan, anjuran Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, misalnya, memerlukan pengajar menumpukan perhatian pada keperluan doktor-doktor berkenaan berkomunikasi dengan pesakit, di samping komunikasi sosial yang lazim.

Di Universiti Frankfurt, program intensif pengajaran bahasa Melayu anjuran bersama DBP dan Universiti Frankfurt (2004) selama sebulan setengah yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Abdullah Hassan dengan bantuan Prof. Dr. Bern Nothofer dan Prof. Dr. H. Steinhaeur dan kemudian dikendalikan berturut-turut pada tahun 2006 dan 2007 oleh Prof. Dr Awang Sariyan sebagai Profesor Tamu, berteraskan keperluan memahami persamaan dan perbedaan antara bahasa Melayu variasi Malaysia dengan bahasa Melayu variasi Indonesia. Maka penekanan pengajaran adalah pendedahan aspek kosa kata dan struktur antara kedua-dua variasi itu, selain aspek sistem bahasa Melayu dan aspek sosiolinguistiknya.

PENGAJAR

Pengajar bahasa Melayu kepada penutur asing menghadapi cabaran yang lebih berat daripada pengajar bahasa Melayu kepada penutur ibunda atau penutur kedua (dalam kes di Malaysia orang Melayu ialah penutur ibunda dan orang Cina, India dan kumpulan etnik lain sebagai penutur kedua). Daripada segi linguistik, pengajar perlu sedikit banyak mempunyai maklumat kontrastif antara bahasa Melayu dengan bahasa ibunda pelajar. Pengalaman pemakalah memberikan kursus kepada penatar dari Sri Lanka menunjukkan bahawa mereka terpengaruh oleh struktur M-D (akibat pengaruh bahasa Tamil dan Sinhalese).

Pengajar yang berkesan dalam program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing ialah pengajar yang bersedia memahami latar sosiobudaya, sistem nilai dan sistem bahasa ibunda pelajarnya. Faktor-faktor yang berkaitan dengan pelajar yang dibincangkan sebelum ini dengan sendirinya harus diperhitungkan oleh pengajar.

KURIKUKULUM DAN KAEDAH

Kurikulum program bahasa Melayu kepada penutur asing pertama-tamanya bergantung pada tujuan dan keperluan pelajar itu sendiri. Pada umumnya semua pelajar perlu diberi pendedahan dan penguasaan empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Bagaimanapun peringkat, kelompok dan tujuan akan menentukan pemberatan yang sesuai.

Doktor dari Pakistan yang dilatih oleh Persatuan Linguistik Malaysia ternyata memerlukan kemahiran mendengar dan bertutur lebih banyak daripada kemahiran membaca dan menulis, kerana tujuan dan keperluan mereka belajar bahasa Melayu adalah untuk berkomunikasi dengan pesakit di Malaysia. Maka kemahiran membaca dan menulis tidak terlalu dititikberatkan walaupun tetap perlu diberikan. Pelajar di Universiti Pengajian Asing dan di Universiti Pernyiaran Beijing, misalnya, mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa formal untuk tujuan ilmiah dan juga kerjaya. Maka kurikulumnya meliputi aspek yang menyeluruh. Selain kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, penguasaan sistem bahasa, terutama tatabahasa direncanakan dengan agak mendalam. Bahkan tulisan Jawi pun diajarkan. Di Kemboja, peserta kursus baru mengenal bahasa Melayu di peringkat yang amat asas; maka tenaga pengajar yang lantik oleh DBP menyediakan kurikulum yang amat asas dengan menitikberatkan aspek lisan dan sedikit-sedikit aspek tulisan. Tidak ada sama sekali pengajaran tatabahasa secara formal.

Pengalaman menunjukkan bahawa untuk kelompok dan untuk tujuan apapun, pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing lebih sesuai berteraskan kaedah terus, dengan kadangkala berbantukan kaedah terjemahan. Hanya di peringkat tertentu, iaitu apabila pelajar telah menguasai bahasa Melayu, kaedah kod-kognitif yang menekankan penguasaan rumus mungkin sesuai diterapkan, khususnya untuk pelajar yang telah sampai pada peringkat analisis linguistik.

SUMBER ATAU BAHAN

Pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran dan pemelajaran program pengajaran bahasa kepada penutur asing menjadi cabaran yang tidak kurat besarnya. Pengajar tidak boleh memilih dan menyediakan bahan menurut kesukaan dan minat peribadinya. Prinsip yang paling penting ialah kesesuaian bahan itu untuk peringkat usia tertentu, untuk peringkat program (permulaan, pertengahan atau maju), kelompok tertentu (berasaskan kerjaya dan lain-lain).

Dalam hal pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran dan pemelajaran inilah pengajar perlu memasukkan unsur-unsur sosiobudaya yang melatari bahasa Melayu agar penguasaan bahasa Melayu oleh pelajar asing itu tidak terpisah daripada konteks sosiobudayanya. Pengalaman pemakalah mengajar pelajar dari Universiti Deakin, Melbourne, Australia menunjukkan bahawa mereka perlu diorientasi, dengan pengertian diberi pendedahan kepada situasi sosiobudaya di Malaysia kerana selama ini mereka mempelajari bahasa Melayu yang berlatarbelakangkan sosiobudaya di Indonesia.

Menyepadukan bahan untuk meliputi kemahiran berbahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis), sistem bahasa (tatabahasa, kosa kata dan sebagainya) dan juga kandungan bahasa (ilmu dan maklumat serta aspek sosiobudaya) merupakan cabaran terbesar kepada pengajar. Modul yang biasa dianjurkan oleh pemakalah (dan juga oleh sejumlah pengajar lain) ialah penyediaan dan penyusunan bahan yang berteraskan tema tertentu, misalnya pada peringkat asas tema yang berkaitan dengan “diri”. Selain mengisi tema itu dengan struktur atau binaan bahasa (kata, frasa, ayat dan wacana) yang sesuai, tema itu perlu diisi dengan maklumat atau ilmu yang berkaitan (misalnya nama, usia, pekerjaan atau tahun/bidang pengajian, hobi dan sebagainya. Aspek sosiobudaya yang dapat dikaitkan, misalnya, ialah kata ganti nama diri dan bentuk sapaan yang betul dalam bahasa Melayu apabila merujuk kepada diri sendiri dan diri orang lain.

Bahan itu pula mestilah berbagai-bagai bentuk dan konteksnya. Maksudnya pengajar perlu menyediakan bahan berbentuk audio, video, grafik, lukisan, brosur, iklan dan karya kreatif. Daripada segi konteksnya, perlu disediakan bahan yang berkaitan dengan pelbagai aspek kehidupan, daripada yang asas seperti diri kepada keluarga, masyarakat, kesenian, sukan, rekreasi, reka cipta, dan di peringkat yang tinggi boleh tentang politik, pemikiran dan sebagainya.

PENGUJIAN DAN PENILAIAN

Pengujian dan penilaian yang dilaksanakan perlu selaras dengan objektif pengajaran. Bagi pelajar yang mengikuti program pelajaran bahasa Melayu sebagai mata kuliah atau kursus di insitutusi pengajian, ujian yang berkaitan dengan kemahiran bahasa yang empat (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) dan sistem bahasa (tatabahasa dan yang lain-lain) perlu diberikan. Bagi pelajar yang mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan khusus, seperti doktor dari negara asing, mereka tidak perlu diberi ujian yang meliputi semua aspek kemahiran dan sistem bahasa, sebaliknya diuji penguasaan komunikatifnya sahaja. Yang lebih penting dalam program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing ialah instrumen pengujian dan penilaian yang diagnostik sifatnya, iaitu yang dapat memberikan maklumat tentang pencapaian pelajar dari waktu ke waktu, bukan semata-mata pada akhir program yang mungkin tidak bertepatan dengan pencapaian sebenar pelajar.

ISU VARIASI BAHASA MELAYU: VARIASI MALAYSIA ATAU INDONESIA?

Umumnya ada dua variasi bahasa Melayu yang dominan, iaitu variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Bahasa Melayu Brunei masih amat rapat dengan variasi Malaysia jika dibandingkan dengan variasi Indonesia dan oleh itu dapat dikelompokkan dalam variasi Malaysia. Fakta menunjukkan bahawa bahasa Melayu yang dipelajari dan diajarkan kepada penutur asing di sebahagian besar pusat pengajian di negara asing ialah bahasa Melayu variasi Indonesia yang dikenal sebagai bahasa Indonesia. Variasi Malaysia baru diperkenalkan di beberapa pusat pengajian, seperti di Universiti Pengajian Asing Hankuk dan Universiti Pengajian Asing Busan, kedua-duanya di Korea. Di Eropah baru sahaja dimulakan usaha memperkenalkan bahasa Melayu variasi Malaysia apabila Universiti Frankfurt, Jerman mengendalikan kursus bahasa Melayu yang disertai oleh pelajar dari seluruh Eropah dan juga Rusia (kali pertama pada tahun 2004 dan kemudian pada tahun 2006 dan 2007, dengan mendatangkan profesor dari Malaysia). Universiti Deakin, Australia pun baru setahun memulakan pendedahan pelajarnya kepada bahasa Melayu variasi Malaysia apabila pelajarnya dihantar ke Malaysia untuk mengikuti kursus bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada hemat pemakalah, isu ini tidaklah terlalu besar dan tidak harus dijadikan halangan untuk mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) telah memutuskan bahawa bahasa Melayu yang didukung oleh majlis tersebut ialah bahasa Melayu supranasional, yang tidak ditandai ciri khusus mana-mana negara. Meskipun tampak mudah tetapi rumusan itu memang kurang realistik, kerana variasi Indonesia dan variasi Malaysia akan tetap tampak wujudnya. Maka itu, jalan sebaik-baiknya ialah memperkenalkan kedua-dua variasi itu apabila perlu supaya pelajar asing memperoleh manfaat untuk destinasi yang berbeda, iaitu Malaysia dan Indonesia. Terbitnya Kamus Bahasa Melayu Nusantara (DBP Brunei Darussalam, 2003) yang memasukkan lema variasi di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei Darussalam banyak membantu pemahaman pelajar asing tentang perbedaan yang wujud, terutama tentang makna kata yang berbeda.

Daripada sudut ejaan, dapat dikatakan bahawa tidak wujud perbedaan yang terlalu jauh sehingga pelajar asing tidak akan menghadapi masalah besar berhadapan dengan teks dalam bahasa Melayu variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Demikian juga istilah dalam pelbagai bidang ilmu sebahagian besarnya telah diselaraskan. Kedua-dua aspek itu, iaitu sistem ejaan dan istilah bagi bahasa Melayu mencapai keselarasan yang relatif tinggi berkat kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia (Mabbim) yang telah bermula pada tahun 1972.

KESEDIAAN DAN PERSEDIAAN

Kesediaan dan persediaan yang dimaksudkan oleh pemakalah ialah bahawa negara-negara berbahasa Melayu, khususnya Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam perlu pertama-tamanya mempunyai kesediaan untuk menggerakkan program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing secara bekerjasama dan menjadikannya agenda negara-negara berbahasa Melayu. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) perlu diaktifkan terus dengan dukungan semua negara berbahasa Melayu, meskipun inisiatif pembentukannya diupayakan oleh Malaysia. Perlu ada pemeruntukan dana bersama untuk segala program kebahasaan dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, apabila diadakan Minggu Bahasa dan Persuratan Melayu (seperti yang pernah diadakan di Australia dan di Eropah), semua negara berbahasa Melayu perlu ikut serta menjayakannya, daripada tahap perencanaan, pendanaan dan pengisian program.

Demikian juga, program Bahasa Indonesia untuk Penutur Asing (BIPA) yang telah lebih maju daripada program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing di Malaysia (dan mungkin di Brunei Darussalam juga) hendaklah dimanfaatkan bersama serta diubahsuaikan menurut keperluan tertentu. Dengan perkataan lain, perlu ada perencanaan bersama dalam kalangan negara-negara berbahasa Melayu untuk menyediakan kurikukulum, menyarankan kaedah, penyusunan bahan dan ujian tara bagi program bahasa Melayu. Jika untuk bahasa Inggeris ada British Council, untuk bahasa Perancis ada Alliance Francaie dan untuk bahasa Jerman ada Institut Goethe, maka untuk bahasa Melayu perlu ada badan yang diberi amanah mengajarkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, dan paduan kerjasama antara negara-negara berbahasa Melayu akan memungkinkan gagasan itu berhasil dengan lebih segera. Dengan demikian tidak berlaku persaingan atas nama negara, sebaliknya berlangsung kolaborasi yang menguntungkan bahasa Melayu dan negara-negara berbahasa Melayu.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian khusus ialah penyediaan bahan ajar bahasa Melayu melalui internet yang ternyata jauh lebih berkesan dan meluas khalayaknya serta interaktif pula jika dibandingkan dengan penyediaan bahan atau modul pelajaran dalam bentuk bercetak semata-mata. Untuk menjayakan program ini, diperlukan kepakaran mengolah bahan ajar bahasa Melayu untuk disalurkan melalui internet.

Penutup

Demikianlah secara ringkas kupasan tentang isu-isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu dalam tempoh lebih setengah abad yang lalu dan renungan dalam menghadapi setengah abad mendatang dalam abad ke-21. Saya mengaku bahawa tidak banyak hal yang baharu dalam kupasan itu kerana isu taraf dan mutu bahasa Melayu memang senantiasa berulang dalam pola yang sama tampaknya, dari zaman kita mula merdeka hingga kita mendekati usia setengah abad kemerdekaan.

Mudah-mudahan segala yang terlanjur silapnya dapat dibaiki dan tidak diulang. Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan. Jadilah kita umat yang syukur akan nikmat Allah atas kurnia-Nya memberikan bahasa yang telah mencapai tingkat bahasa ilmu dan pemikiran dan juga bahasa antarabangsa pada satu zaman dahulu. Tanggunjawab kitalah mempertahankan dan mengembalikan kegemilangan itu. Di sisi memperkukuh kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan, upaya mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa perlu dijadikan agenda berterusan, jika kita hendak menyaksikan kejayaan bahasa Melayu merentas dunia, sebagaimana Kerajaan Inggeris menngembangkan bahasa Inggeris melalui British Council atau pemerintah Perancis mengembangkan bahasa Perancis melalui Alliance de France dan pemerintah Jerman mengembangkan bahasa Jerman melalui Insitut Goethe. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah memperlihatkan kejayaan membina rangkaian kerjasama sedunia dalam pengembangan bahasa Melayu perlu dihidupakan semula.

Bibiliografi

Abdullah Hassan (Ed.). 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan (Ed.). 2006. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Dawama.
Asraf (Ed.). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Melayu.
Awang Sariyan. 2005. Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam Pembinaan dan Penakatan Tamadun. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Awang Sariyan. 2006. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2006. “Analisis Beberapa Isu Utama Sosiobudaya Bangsa”, kertas kerja Dialog Susulan Kongres Kepentingan Bangsa Peringkat Wilayah Persekutuan, Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya (15 April 2006). Terbit dlm. Abdullah Hassan. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. 2006. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Awang Sariyan. 2007. “Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu”. Ucap Utama Kolokium Pasca-Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), GAPENA, Persatuan Penulis Pulau Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (27 Mac 2007) di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang. Terbit dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia 2007.
Awang Sariyan. 2009. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan Kertas Kerja Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 (6-8 November 2006).
Juriah Long et al. 2004. “Laporan Kajian Kesediaan Guru dan Pelajar dalam Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (tidak diterbitkan).
Hassan Ahmad. 2000. Imbasan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norhashimah Jalaluddin. 2006.“Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik antara Dua Darjat” dlm. Abdullah Hassan (Ed.). Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Persatuan Linguistik Malaysia. 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

6 comments:

  1. Terima ksih .banyak ilmu yang saya dapat dari pembacaan artikel ni

    ReplyDelete
  2. terima kasih banyak izin kan saya mengambil bahan dari artikel ini untuk bahan kerja kursus.

    ReplyDelete
  3. terima kasih Prof.. izinkan saya mengambil artikel ini sebagai bahan rujukan untuk tugasan saya.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih banyak maklumat diperolehi.

    ReplyDelete
  5. Duh kalau mau bahas bahasa melayu yang diajarkan di kampus2 luar negeri,, kagak usah bawa bahasa indonesia segala,, itu yang mereka pelajari bukan bahasa melayu,, tapi bahasa indonesia.. beda..kalo gak percaya beda tanya aja sama masyarakat malaysia sendiri, waktu nonton drama, film, atau baca novel indonesia pada ngerti kagak? Gitu..

    ReplyDelete
  6. Indonesia mengenal 3 tingkat bahasa
    Tingkat yg Utama Bahasa Indonesia.
    Kedua bahasa Daerah.
    Ketiga Bahasa Asing

    Bahasa melayu hanya tingkat 2,atau bahasa Daerah
    Tetapi karena juga di pakai Negara Lain,Kedudukan bahasa melayu pun merosot tingkat 3,Golongan Bahasa Asing.

    Bangsa Indonesia jgn di rusak masalah bahasa,cukuplah Bahasa Indonesia tanpa embel Melayu. Jika tidak,akan menimbulkan kecemburuan dari Bahasa daerah yang lain. Apalagi bahasa Melayu di malaysia sungguh memperihatinkan nasib nya. Jangan usik bahasa indonesia dengan cara menggiring opini bahwa Bahasa Indonesia itu Sama Dengan Melayu. NUSANTARA itu bahasa SANKRIT JAWA,Tapi kok malaysia sering pakai kata Nusantara..?? Silahkan kembangkan Melayu Anda sendiri,Di indonesia,untuk bahasa daerah juga terus di pelihara supaya tetap ada.

    Jangan merasa Bahasa Indonesia itu Melayu,apalagi Melayu Malay. Karena hny ingin dompleng ketenaran saja. Indonesia terdiri dari ratusan suku dan bahasa,kami menerima bahasa Melayu sebagai DASAR bhs.indonesia secara kesadaran. Bukan paksaan. DASAR itu Telah berkembanh dg pesat kosa katanya. Ibarat Padi sudah jadi Nasi,Melayu padi nya,Bahasa Indonesia Nasi nya. Sudah beda bentuk dan rasa. Walaupun asalnya sama.

    Satu Bangsa Satu Bahasa Satu Tanah Air INDONESIA itu sumpah kami.

    ReplyDelete