Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, December 19, 2010

Puisi: Permainan Apakah Ini?


Permainan Apakah Ini?

Kalau silat Si Tuah merebahkan Si Jebat
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah sahabat berebut cinta
Cinta Si Tuah kepada raja
Cinta Si Jebat kepada saudara

Kalau putera raja dahulu kala
sesama bersengketa di istana
merebut hati raja dan bunda
fahamlah hamba akan ceriteranya
masing-masing berebut takhta

Kalau Feringgi melanggar Melaka
Raja Mendeliar, Si Kitol dan yang sebangsa
membuat onar membawa petaka
fahamlah hamba akan ceriteranya
bangsa penjajah menanti leka

Kalau Raffles, Light dan yang sewangsa
diutus menembusi istana memperdaya raja
dengan gerak halus lulus jarum lulus kelindan semua
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah si lemah habuan si haloba

Namun kini hamba bertanya
Permainan apakah yang kami saksikan kini?
Air yang dicencang tampak biar sampai putus
Carik-carik bulu ayam sampai sungguh cariknya
Mandi bukan sampai basah tetapi sampai binasa bejana
Berdakwat bukan sampai hitam tetapi sampai patah pena
Menyeluk pekasam bukan sampai di pangkal lengan tetapi sampai di perdu hawa
Rotan biar terkerat, arang biar patah
Retak sudah menjadi belah
Mahu mati bergalang tanah
Mahu nasi biar menjadi bubur!
Sesat di hujung jalan tidak mahu kembali ke pangkal jalan
Yang keruh tidak dibuang yang jernih tidak diambil

Demkiankah suruhan Yang Esa?
Demikiankah ajaran Nabi junjungan kita?

Apakah sesungguhnya permainan yang kalian pamerkan kini?

~Kembara Bahasa~
Beijing, 19 Disember 2010

4 comments:

  1. Salam, Prof,
    Alangkah malangnya kita kini dan kelak kalau kerisauan Prof itu tetap berlaku.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,
    Sejarah mungkin saja berulang, sama ada yang gemilang mahupun yang tembelang. Kepada Allah kita berdoa agar akan ada perubahan ke arah kebaikan.

    ReplyDelete
  3. perjuangan belum selesai, malah menjadi bertambah rumit. Semuanya akibat pemimpin plitik yang mempunyai agenda masing-masing, tidak kiralah di pihak mana mereka berkiblat!
    afyassin

    ReplyDelete
  4. Salam Prof.
    Allahyarham Datuk Dr Usman Awang SN pernah berpuisi.."berbuahlah pisang tiga kali, orang Melayu masih bermimpi". Akirnya kita menang sorak kampung tergadai..seperti dibimbangi Allahyarham Aminuddin Baki. Tahniah satu sajak yang cukup bermakna.

    Ajak8407

    ReplyDelete