Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Monday, February 21, 2011
Pendidikan Bahasa dalam Pengembangan Akliah
Pendidikan Bahasa dalam Pengembangan Akliah
(Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis)
oleh Awang Sariyan
Peranan pendidikan bahasa sebagai wasilah pengembangan potensi akliah manusia, khususnya anak didik, berasas pada hakikat bahawa bahasa merupakan salah satu ciri dualistik yang bersepadu pada diri batin atau diri keruhanian manusia. Ciri itu ialah akal dan bahasa.
Kedua-duanya itu merupakan milik diri batin atau diri keruhanian manusia yang realisasinya muncul pada diri yang zahir. Contohnya, kemampuan akal dizahirkan pada tindakan manusia melakukan uji kaji, menyelidik, membina, mereka cipta, melakukan inovasi, penerokaan dan sebagainya. Kemampuan atau potensi bahasa pula terzahir dalam bentuk pennyataan fikiran, perasaan, taakulan, tafsiran, penilaian, hujah, rumusan dan sebagainya yang sama ada disalurkan melalui lisan (dengan menggunakan organ-organ artikulasi) atau lambang-lambang grafem, iaitu tulisan.
Hakikat bahasa sebagai salah satu ciri utama makhluk yang diberi nama “manusia” telah dibincangkan sejak awal pertumbuhan dan perkembangan tamadun manusia, terutama dalam bidang falsafah di Yunani pada abad kelima sebelum Masihi, khususnya dengan cetusan pemikiran Plato dan Aristotle. Hingga kini perbincangan tentang hal itu masih subur dan menarik minat sejumlah ahli bahasa, ahli falsafah, ahli psikologi dan ahli dalam disiplin ilmu yang lain. Baik dalam tradisi ilmu Barat mahupun Islam, hal itu mendapat garapan yang mendalam.
Dalam konteks pendidikan bahasa, kita tidak dapat mengabaikannya oleh sebab kaitannya yang amat rapat dengan salah satu matlamat pendidikan bahasa, iaitu “pengembangan potensi akliah manusia”. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa bukanlah proses yang mekanis semata-mata sifatnya, iaitu yang sekadar memberikan kemahiran bahasa tanpa hubungannya dengan pengembangan akliah anak didik yang seterusnya menjadi anggota masyarakat.
Istilah “akliah” yang berasal daripada bahasa Arab berkaitan rapat dengan istilah “budi” dalam bahasa Melayu yang salah satu maknanya ialah ‘akal’, selain makna ’kesopanan’ dan ‘pekerti’. Bahkan makna “kesopanan” dan “pekerti” itu pun berasas pada makna akal, kerana tanpa akal tidak mungkin wujud kesopanan dan pekerti. Oleh itu, pendidikan bahasa yang ideal ialah yang tidak mengabaikan aspek pembinaan dan pengembangan akal atau budi, pekerti, kesopanan dan sahsiah.
Pada semua peringkat dan sektor proses sosialisasi, baik keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, media dan masyarakat itu sendiri, bahasa menjadi wasilah penyerapan norma, sistem nilai, falsafah, pandangan sarwa (worldview) dan segala aspek kebudayaan masyarakat (aspek kebudayaan yang tampak, seperti seni bina, busana, peralatan dan juga aspek kebudayaan yang tak tampak, seperti falsafah, pemikiran, pandangan sarwa, sistem nilai dan sebagainya). Bahasa menjadi wasilah bagi berlangsungnya proses penyerapan dan pengamalan semua aspek kehidupan itu, dan pendidikan bahasa secara langsung menjadi bidang yang membidaninya.
Huraian linguistik yang berasaskan perspektif budaya, seperti Hipotesis Sapir-Whorf dan yang berasaskan perspektif mentalistik seperti Plato, von Humboldt dan Chomsky banyak memberikan rasional peri pentingnya bahasa dilihat sebagai unsur yang mesti dipertalikan dengan akal dan budaya.
Daripada perspektif Islam pula, hakikat bahasa sebagai juzuk penting diri batin manusia (yang menjadi paksi penguasa diri yang zahir, iaitu jasad) dihuraikan oleh ahli-ahli falsafahnya dengan berasaskan kata nutq yang menerbitkan ungkapan haiwan natiq atau haiwan yang berakal (rational animal).
Haiwan natiq atau rational animal merujuk kepada hakikat diri manusia yang ditandai oleh dua ciri utama, iaitu akal dan bahasa. Kata nutq yang menjadi akar kata natiq merujuk kepada akal dan bahasa sebagai suatu paduan, sehingga haiwan natiq bererti haiwan yang berakal dan berbahasa (al-Attas, 1995).
Paduan antara akal dengan bahasa inilah yang menjadi asas matlamat pertama pendidikan bahasa, iaitu untuk mengembangkan potensi akliah anak didik sebagai persiapan mereka menjalani kehidupan yang merentas pelbagai konteks dan bidang.
Sebagaimana yang telah disebut pada bahagian awal tentang matlamat pengembangan potensi akliah ini, pendidikan bahasa memungkinkan anak didik memahami, menakrifkan, menafsirkan, menganalisis, mensintesis, membedakan, membandingkan, merumuskan, menilai sesuatu (idea, objek, fenomena, konsep, fakta dll), dengan menggunakan akal dan menzahirkan semua kemampuan akliah itu melalui bahasa (baik lisan mahupun tulisan).
Mudah-mudahan dengan menghayati matlamat pendidikan bahasa sebagai wadah asuhan akal dan budi, anak didik dapat dibentuk menjadi manusia yang berfikir, bukan sekadar manusia yang berpelajaran. Biar dalam bidang apa pun mereka menceburkan diri sesudah tamat pendidikan formalnya, mereka diharapkan bukan sahaja menjadi birokrat, teknorat dan profesional, malahan menjadi pemikir yang dapat memulihara sifat keinsanan untuk mentadbir kehidupan di dunia, sebagai jambatan kehidupan di akhirat.
~Kembara Bahasa~
Kuala Lumpur, 21 Februari 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment