Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, November 5, 2011

Puisi: Munajat Idul Adha


Munajat Idul Adha

Labbaikallahumma labaik. Labbaika lasyarika lakalabaik. Innalhamda wanni`mata lakawalmulk lasyarikalak.

Saban tahun
perhimpunan di tanah pilihan-Mu
tiada berkurang malah melimpah
para tamu-Mu datang menyerahkan diri
tiada terbendung air mata dan luahan hati
bermunajat dikembalikan kepada fitrah laksana bayi
suci daripada dosa, suci daripada fasad dan fahsya'

Tawaf di Ka`bah yang penuh bersejarah
Saii dari Safa ke Marwah
Wuquf di Arafah
Bermalam di Muzdalifah
Melontar di tiga jamrah di Mina
dan segala amal lain bukti penyerahan diri kepada-Mu
tiada terungkapkan nikmat dan syahdunya

Ya, Allah
Ya, Zaljalali wal Ikram
Ya, Hayyu ya Qayyum
Terimalah penyerahan diri kami
Terimalah permohonan ampun daripada kami
Rahmatilah kami
Berkatilah kami
Bersihkanlah diri kami daripada segala dosa dan noda
sebelum Kauambil kami kembali kepada-Mu

Masukkanlah kami ke dalam golongan yang Engkau redhai
Himpunkanlah kami ke dalam golongan yang Engkau rahmati
Hidupkanlah kami dalam iman
dan matikanlah kami dalam iman
Rahmati kami dengan syurga-Mu
Jauhkan kami dari neraka-Mu
Amin ya Rabbal `alamin

~Kembara Bahasa
5 November 2011/9 Zulhijah 1432

2 comments: