Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, December 13, 2011

Novel Sejarah "Jejak Pewaris Istana Melaka: Air Mata Raja"


Alhamdulillah pada hari ini hamba menerima naskhah hadiah novel "Air Mata Raja" daripada salah seorang pengarangnya Norzailina Nordin (penulis bersamanya Shaharudin Haji Ali), terbitan DBP, 2011. Karya ini sebahagiannya diadaptasi daripada "Sejarah Melayu" dengan menampilkan kelainan dalam seni penulisannya yang mencetuskan satu kemungkinan lain dalam sejarah tanah Melaka.

Karya ini mengisahkan pelbagai peristiwa yang dialami oleh Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang ketika menulis karya besar "Sejarah Melayu". Di penghujung kesaksian Tun Seri Lanang, maka bermulalah satu perjalanan liku hidup pewaris Sultan Mahmud Syah, Melaka selama 500 tahun yang merentasi dimensi masa dan peradaban, saling berputar antara realiti sedar dan impian mistik dunia Melayu.

Menurut penulis, kajian selama tiga tahun dilakukan untuk memperoleh maklumat yang berkaitan dengan kepengarangan Tun Seri Lanang. Buku setebal 963 halaman ini dijual dengan harga RM 55 di pasaran, dan dengan harga RM50 melalui pesanan di laman sesawang penulis (rajamenangis.com). Syabas kepada kedua-dua orang penulisnya.

~Kembara Bahasa~
14 Disember 2011/18 Muharam 1433

1 comment:

  1. Suatu usaha murni yang akan membolehkan generasi muda negara mengetahui sejarah negara secara tersendiri. Begitu juga dengan Interlok, suatu rakaman era pra merdeka yang penuh cabaran yang dilakarkan begitu hebat oleh penulisnya. Selain itu, novel Melati Sarawak yang melukiskan masyarakat Melayu Sarawak sekitar tahun 1928 patut juga dibaca oleh generasi baharu Malaysia.

    ReplyDelete