Wasiat Ayahanda
Aduhai putera puteriku
Kepada kalian ayahanda berwasiat
Bukan kerana kuharapkan akan segera berpulang
Namun kerana ini ialah amanah
Persis wasiat Luqman al-Hakim kepada putera puterinya
Dalam kalam Allah tersurat nyata
Ayahanda tarbiah anakanda sekalian
Oleh murabbi dan mudarris diperteguh jua
Awwaluddin ma`rifatullah
Ada pun yang utama ialah pengesaan Allah
Usah disekutukan zat dan sifat-Nya
Itulah awal wacana di alam barzah
Sebagai tuntutan janji anak Adam di alam arwah
Nan dahulu dilafazkan di hadapan-Nya secara berjemaah
Sebelum ruh tersarung oleh jasad
Solat nan lima anakanda tunaikan
Itulah tiang seri agama Allah
Usah luput kerana disengajakan
Usah biarkan tiang agama menjadi goyah
Cintai dan taatilah Rasulullah
Bagindalah pembawa obor penerang kegelapan
Diutuskan Allah menyebarkan risalah
Mendidik umat menegakkan kebenaran dan keadilan
Basahi bibirmu dengan salawat
Kelak baginda memberikan syafaat
Kepada ibu bapa taat dan hormat
Insya-Allah hidupmu penuh berkat
Tiadalah ayahanda dan ibunda mengharapkan balas
Hanya mendambakan kasih sayangmu nan ikhlas
Rezeki dicari tuntutan sunnah
Bekerja jadikan amal ibadah
Sumber yang halal jelaslah sudah
Barang yang haram membawa musibah
Kurniaan Allah amanah jua
Usah dikira semata-mata laba
Kepada asnaf nan lapan infakkan harta
Janji Allah anakanda ‘kan bahagia
Demikianlah wasiat ayahanda nukilkan
Tiada emas dan perak ayahanda tinggalkan
Didikan dan nasihat itulah hanya
Untuk bekal anakanda melayari samudera
(Hari Bapa, 20 Jun 2010)
Assalammualaikum, Selamat Hari Bapa buat Prof. Tahniah dan jadilah yang terbaik.
ReplyDeleteWaalaikumussalam,
ReplyDeleteTerima kasih anakanda Wardah Munirah. Semoga hidupmu diberkati dan dirahmati Allah.
Salam, Prof;
ReplyDeleteNasihat yang baik daripada insan yang baik untuk anak-anak demi kebaikan mereka.
Selamat Hari Bapa untuk kita.
Sdr. Zul,
ReplyDelete"Tiada emas dan perak ayahanda tinggalkan...." kepada putera puteri; hanya wasiat itulah mudah-mudahan menjadi bekal mereka melayari samudera luas.
Selamat Hari Bapa jua kepada sdr.