Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, January 31, 2012

Puisi "Amanah"


Pada saat amanah itu kuterima
bukanlah gelaran mahupun kedudukan
bukanlah ganjaran mahupun sanjungan
tiadalah daku teruja amat oleh semua itu
kerana justeru semua itu tiada 'kan kekal

Yang kuimpikan
dapat kiranya bahasa wasilah tamadun diperkukuh
dapat kiranya persuratan ilmu dan kreatif wadah penjana kekuatan bangsa diperutuh
dan umatku menjadi bijaksana dengan akal bertimbang
yang benar dan adil dijulang
yang fasad dan fasik dikekang

Tiada 'kan mungkin amanah yang kugalas
terpenuhi tanpa dikau sekaliannya bersama
Ayuh kita perkemas saf hulubalang bangsa
mendepani tantangan dan harapan

~Kembara Bahasa~
31 Januari 2012/7 Rabiulawal 1433

1 comment:

  1. Professor, masih adakah masa depan untuk bahasa melayu dalam dunia hari ini?

    Kini negara China sudah bangkit. Sudah pun menggantikan Amerika sebagai kuasa ekonomi dunia. Dan yang lebih penting, China bangkit dengan bahasa sendiri.
    Dan juga India, hanya sedikit sahaja di belakang China.

    Indonesia juga tidak ketinggalan. Bahasa Indonesia digunakan di Universiti.

    Persoalan saya adalah dengan kebangkitan India dan China, kaum India dan Cina di Malaysia semestinya akan memberi tumpuan kepada bahasa Ibunda berikutan perkembangan ekonomi yang pesat di China dan India. Mandarin terutamanya akan menjadi amat relevan sebagaimana bahasa Inggeris hari ini.

    Di mana bahasa Melayu? Yang hari ini, hanya megah di persada politik, itupun untuk mengaut undi. Itulah fungsi paling hebat bahasa ibunda saya hari ini.

    Kebangkitan ekonomi Indonesia akan meningkatkan lagi nilai bahasa Indonesia. Saya jangkakan, pengaruh bahasa Indonesia ke atas bahasa Melayu di Malaysia akan berlaku dengan amat pesat. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya, bahasa Melayu tidaklah terus pupus.

    Saya antara orang yang bertuah kerana dapat menguasai bahasa2 eropah. Dan malu untuk saya katakan, penguasaan bahasa2 asing ini lebih baik daripada bahasa ibunda saya sendiri.
    Selalu saya merasakan bahasa ibunda saya ini miskin sekali apabila saya hendak menterjemah dari bahasa2 asing kerana kurang sekali konsep dan falsafah yang boleh diterjemahkan dalam pemikiran melayu.

    Dengan perkembangan pesat teknologi hari ini, cita2 saya dulu untuk menyumbang dalam bentuk terjemahan, mungkin terpaksa diabaikan.
    Yang paling saya takutkan adalah, akibat daripada mempelajari ilmu sains moden hari ini, saya tidak lagi dapat menyelamatkan Islam saya daripada perkembangan sains dan landasan falsafahnya yang menolak kepercayaan/keimanan daripada menjadi asas epistemologi sains.

    Jadi dilemma saya adalah, saya tidak lain hanya akan menjadi barah kepada bahasa ibunda jika saya cuba menterjemah konsep2 asing yang sememangnya berlawanan daripada budaya dan pandang alam Melayu.

    Akhirnya, saya berfikir, jika benar Tuhan itu wujud dan janjinya benar. Biarlah Tuhan saja yang akan menyelamatkan umat Islam dan Melayu itu.
    Pada orang seperti saya yang melihat pengetahuan Tuhan adalah sesuatu yang mustahil, apatah lagi pengetahuan tentang perancangan Tuhan, untuk sesuatu komuniti/bangsa maju, mereka sendiri sahaja yang bertanggungjawab kepada masa depan mereka. Oleh itu, masa depan bahasa Melayu terletak pada penuturnya. Saya berpendapat, Islam telah meragut tanggungjawab ini untuk disandarkan kepada Tuhan.

    Tidakkah jika Tuhan itu wujud, terlalu 'Tinggi' dan 'Besar' untuk mengambil kisah tentang ciptaan yang bernama manusia?

    ReplyDelete