Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, October 24, 2012

Penerapan Bahasa Melayu Tinggi dalam Bidang Pendidikan (Bahagian 3)

PENERAPAN BAHASA MELAYU TINGGI
DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Awang Sariyan, Ph.D
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan
Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU)


[Kertas kerja untuk Seminar Pemantapan Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu, anjuran Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak pada 16-18 September 2012]

BAHAGIAN (3)

VIII. Kesantunan Bahasa: Sistem Sapaan

Sistem sapaan bermaksud kaedah yang digunakan oleh sesuatu masyarakat atau bangsa untuk menegur atau menyapa seseorang, baik dalam konteks yang ramsi mahupun yang tidak rasmi. Sistem sapaan berperanan sebagai penghubung langsung antara pihak yang menyapa dengan pihak yang disapa. Bentuk-bentuk sapaan menjadi unsur wacana yang penting dalam pelbagai komunikasi manusia dan perlu digunakan dengan tepat menurut sistem yang diterima oleh masyarakat atau oleh pihak yang diberi wibawa menentukannya. Dalam menentukan sistem protokol yang berkaitan dengan ketepatan penggunaan gelar dan panggilan hormat, misalnya, pemerintah atau kerajaan mempunyai jabatan yang khusus. Kerajaan Malaysia mempunyai Bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri.

Bentuk-bentuk dalam Sistem Sapaan

Amat Juhari Moain dalam bukunya Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu (1989) membahagi sistem sapaan dalam bahasa Melayu kini kepada empat yang utama, iaitu:

1. Susunan kata-kata yang digunakan pada masa membuat sapaan dan panggilan (yang terbahagi kepada dua lagi, iaitu (a) sapaan yang lengkap dengan kata rujukan kehormat, gelaran dan/ataupangkat yang disandang dan nama peribadi yang lengkap dan (b) sapaan
ringkas yang menyebut nama gelaran dan/atau pangkat dengan atau tanpa nama peribadi.

2. Sebutan senarai orang yang disapa daripada peringkat yang paling kanan hingga peringkat yang di bawahnya.

3. Penggunaan kata ganti nama diri.

Untuk pedoman pengguna bahasa, huraian sistem sapaan dalam bahasa Melayu dimulakan dengan penggunaan kata ganti nama diri dahulu, kerana bentuk itulah yang lebih umum dan lebih kerap digunakan, serta kurang kompleks berbanding dengan bentuk-bentuk sapaan yang lain.

Kata Ganti Diri

Kata ganti diri dalam bahasa Melayu terbahagi kepada tiga, iaitu kata ganti nama diri pertama, kata ganti nama diri kedua dan kata ganti nama diri ketiga. Bentuknya bergantung pada sama ada kata ganti nama diri itu digunakan dalam suasana dan urusan rasmi atau dalam suasana dan urusan tidak rasmi.

Jumlah kata ganti nama diri yang digunakan untuk suasana dan urusan rasmi agak kecil, misalnya saya, kami, kita, tuan, puan, beliau, dia, ia, mereka dan sebagainya seperti yang akan dihuraikan sesudah ini. Sebaliknya kata ganti nama diri yang digunakan dalam suasana dan urusan tidak rasmi amat banyak. Hal ini disebabkan banyaknya dialek yang ada dalam bahasa Melayu dan dapat dikatakan bahawa dalam setiap dialek terdapat kata ganti nama diri yang tersendiri.

Dalam bahagian ini, yang diberi penekanan ialah penggunaan kata ganti nama diri yang digunakan dalam suasana dan urusan rasmi sementara kata ganti nama diri yang digunakan dalam suasana dan urusan tidak rasmi dihuraikan sekali lalu sahaja untuk menimbulkan kesedaran kepada generasi muda, khususnya, tentang kekayaan kata ganti nama diri yang ada dalam bahasa Melayu.

Kata Ganti Nama Diri Pertama

Kata ganti nama diri pertama ialah kata yang digunakan oleh orang yang bertutur atau menulis sebagai ganti namanya walaupun dalam pertuturan tidak rasmi ada juga orang yang menggunakan namanya. Kata ganti nama diri ini terbahagi kepada bentuk tunggal dan bentuk jamak. Bentuk tunggal digunakan oleh penutur atau penulis bagi pihak dirinya sendiri, sementara bentuk jamak digunakan oleh penutur atau penulis untuk mewakili dirinya dan pihak lain juga.

1. Kata ganti nama diri pertama tunggal - Kata ganti nama diri pertama tunggal yang paling umum dan luas penggunaannya saya. Kata itu digunakan dalam suasana dan urusan rasmi secara umum. Kata ganti nama diri ini bersifat neutral dan sesuai digunakan oleh sesiapa jua yang berbicara atau yang merujuk kepada dirinya sewaktu berkomunikasi, baik dalam komunikasi lisan mahupun dalam komunikasi tulisan rasmi. Pada umumnya, kata itu tidak dibatasi oleh faktor kelas atau darjat sosial (bagi orang kebanyakan yang bukan bertaraf raja, sultan atau kerabat utama diraja). Kata itu juga sesuai digunakan tanpa mengira latar usia, latar belakang pendidikan dan asal keturunan. Batasan penggunaannya hanya berlaku dalam komunikasi dengan raja, sultan atau kerabat utama diraja (seperti pemangku raja, permaisuri dan sebagainya) seperti yang akan dibincangkan berikutnya.

Dalam komunikasi lisan, kata ini perlu digunakan, antaranya oleh:

i. pengacara (majlis, rancangan televisyen dan sebagainya);
ii. pengerusi (mesyuarat, sidang, forum, seminar dan sebagainya);
iii. penyampai (berita, maklumat dan sebagainya);
iv. pengajar (sekolah, maktab, universiti dan sebagainya);
v. pemidato atau penceramah (termasuk pembentang kertas kerja dan khatib);
vi. penyambut tamu;
vii. telefonis;
viii. pegawai khidmat kaunter dan khidmat melalui telefon

Semua pelaksana tugas yang tersebut di atas terlibat dalam suasana dan urusan rasmi dan perlu menggunakan kata ganti nama diri yang betul, iaitu saya. Kata ganti nama diri yang lain tidak sesuai digunakan dan dianggap tidak santun. Kata ganti nama diri seperti aku sama sekali tidak sesuai digunakan dalam suasana dan urusan rasmi. Masyarakat perlu diberi pemahaman dan kesedaran bahawa kata ganti nama diri itu tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi, seperti ketika berurusan di pejabat kerajaan atau di sekolah.

Mungkin ada anggota masyarakat yang tidak memahami perkara itu dan menggunakan kata ganti nama aku atau kata ganti nama lain yang biasa digunakan dalam komunikasinya sehari-hari, misalnya teman bagi orang Perak, kawan bagi orang Johor, kuwe bagi orang Pahang, ambo bagi orang Kelantan, eden atau ese bagi orang Negeri Sembilan dan sebagainya. Mereka perlu dibudayakan untuk menggunakan kata ganti nama diri yang sesuai dengan urusan dan majlis rasmi, iaitu saya.

Demikian juga kata lain, seperti I yang diambil langsung daripada bahasa Inggeris yang lazim digunakan oleh sesetengah anggota masyarakat dalam kelas menengah atau orang yang berpelajaran tidak sesuai digunakan dalam komunikasi rasmi. Kata itu sama sekali tidak sesuai dan tidak wajar digunakan dalam mesyuarat, misalnya. Penekanan ini bukan untuk menghalang anggota masyarakat menggunakan bahasa menurut keselesaan mereka tetapi untuk membudayakan kehidupan masyarkat yang santun berbahasa, iaitu masyarakat yang tahu memilih bentuk bahasa yang sesuai dengan suasana dan keperluan.

Dalam komunikasi tulisan rasmi pula, kata saya digunakan dalam situasi seperti yang berikut:

i. surat;
ii. memo;
iii. laporan;
iv. pengakuan;
v. perakuan dan pengesahan.

Selain saya, ada dua lagi kata ganti nama diri pertama tunggal yang digunakan dalam komunikasi lisan rasmi, khusus apabila komunikasi itu melibatkan sultan atau raja. Kata ganti nama diri yang digunakan oleh sultan atau raja untuk merujuk kepada dirinya ialah beta sementara kata ganti nama diri yang digunakan oleh orang kebanyakan kepada sultan dan raja ialah patik.

Beberapa contoh penggunaan kata ganti nama diri pertama tunggal adalah seperti yang berikut:

a. Untuk memulakan majlis, saya dengan hormatnya mempersilakan Ketua
Pengarah menyampaikan ucapan alu-aluan.
b. Sebelum memulakan mesyuarat, saya ingin menyampaikan beberapa maklumat.
c. Ya, ini pejabat Ketua Pengarah. Boleh saya bantu puan?
d. Dengan hormatnya saya merujuk kepada perbincangan kita melalui telefon
pada 20 Julai 2005.

2. Kata ganti nama diri pertama jamak - Dalam komunikasi rasmi, baik lisan mahupun tulisan, kata ganti nama diri pertama jamak (diri pertama yang lebih daripada seorang) ialah kami dan kita. Kata kami digunakan apabila pembicara atau penulis mengujarkan sesuatu atas nama dirinya sendiri dan juga pihak lain. Situasinya dapat berbagai-bagai. Pembicara mungkin bersama seorang atau lebih daripada seorang rakannya. Pembicara mungkin juga jurucakap sesuatu kumpulan. Ia mungkin pula bercakap atau menulis bagi pihak jabatan, syarikat atau organisasi. Situasinya dapat digambarkan pada ujaran seperti yang berikut:

a. Kami telah beroperasi sejak tahun 2000 di kawasan perindustrian Shah
Alam. (wakil syarikat atau firma)

b. Kami di Dewan Bahasa dan Pustaka sedia memberikan khidmat nasihat
bahasa kepada masyarakat. (wakil jabatan kerajaan)

c. Kami dengan hormatnya mempersilakan tuan/puan hadir ke majlis
perkahwinan anak kami. (ibu bapa atau wakil keluarga)

Kata kita pula digunakan oleh seseorang apabila ia merujuk kepada dirinya dan juga pihak yang menjadi teman bicara atau khalayaknya. Biasanya kata kita digunakan untuk menyatakan adanya persamaan keanggotaan, kepentingan dan sebagainya. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:

a. Kita sebagai warganegara yang baik perlu mengamalkan Rukun Negara.
b. Kejayaan pasukan kita bergantung pada kerjasama semua anggota.
c. Marilah kita berdoa kepada Allah agar usaha kita diberkati-Nya.

Dalam ketiga-tiga contoh itu, jelas bahawa kata ganti nama diri kita digunakan untuk merujuk kepada kedua-dua pihak, iaitu yang berbicara dan yang menjadi teman bicara atau khalayaknya. Pihak yang berbicara menegaskan unsur persamaan antara dirinya dengan sasaran komunikasi, iaitu sebagai sesama warganegara (contoh a), sesama anggota pasukan (contoh b) dan sesama anggota satu perhimpunan atau majlis (contoh c). Dalam kalangan raja dan sultan, kadangkala kata ganti nama diri kami dan kita digunakan untuk merujuk kepada diri pertama tunggal, iaitu diri raja dan sultan. Namun penggunaan itu terhad dalam kalangan itu sahaja dan tidak dalam kalangan masyarakat umum.

Kata Ganti Nama Diri Kedua

Kata ganti nama diri kedua digunakan untuk merujuk atau menyapa pihak yang menjadi teman bicara atau sasaran komunikasi. Kata ganti ini terbahagi dua juga, iaitu kata ganti nama diri kedua tunggal dan kata ganti nama diri kedua jamak.

1. Kata ganti nama diri kedua tunggal - Dalam komunikasi rasmi, kata ganti nama diri kedua tunggal yang umum digunakan (bagi orang yang tidak mempunyai gelar) ialah tuan, encik, puan, cik, saudara dan saudari. Kata ganti nama diri tuan, encik, puan, cik digunakan sebagai kata ganti nama diri yang umum dalam komunikasi rasmi.

Bagaimananpun dalam surat dan memo, hanya kata tuan dan puan yang digunakan, tidak kira apakah taraf jawatan penerima surat atau memo itu, termasuk kakitangan seperti pembantu am rendah. Dalam komunikasi lisan rasmi pula, seperti dalam mesyuarat dan persidangan, kata tuan dan puan sering juga digunakan serangkai dengan jawatan, misalnya Tuan Yang Dipertua, tuan pengerusi dan puan setiausaha. Beberapa contoh penggunaan kata tuan dan puan dalam urusan rasmi adalah seperti yang berikut:

a. Tuan hendak berjumpa dengan siapa?
(ujaran penyambut tamu atau pegawai keselamatan di pejabat kepada
pelanggan atau tamu lelaki dewasa)

b. Puan boleh menyerahkan dokumen itu bila-bila masa dalam waktu pejabat.
(layanan pegawai kepada pelanggan wanita dewasa di pejabat atau melalui percakapan telefon)

c. Atas kerjasama tuan itu, kami ucapkan terima kasih setinggi-tingginya.
(surat rasmi)

d. Tuan/puan dikehendaki berhimpun di pekarangan pejabat pada pukul 9.00
pagi.
(notis/pengumuman)

e. Tuan Yang Dipertua, saya mohon mengemukakan usul.
(persidangan Parlimen)

f. Saya ingin mendapat penjelasan daripada puan pengerusi tentang perkara 4.1
dalam minit mesyuarat.
(mesyuarat)

Kata encik dan cik lebih sesuai digunakan dalam komunikasi lisan. Kedua-duanya itu digunakan dalam komunikasi tulisan hanya apabila digunakan bersama-sama dengan nama diri orang berkenaan, misalnya Encik Badri dan Cik Maznah. Contoh penggunaannya:

a. Encik perlu menyertakan salinan kad pengenalan encik pada borang itu.
(layanan pegawai kepada pelanggan lelaki dewasa di pejabat atau melalui
percakapan telefon)

b. Cik perlu datang untuk pemeriksaan lanjut sebulan lagi.
(ujaran doktor atau jururawat kepada wanita muda)

c. Peserta yang bertuah dalam cabutan nombor bertuah pada malam ini ialah
Encik Subramaniam.
(majlis keraian)

d. Cik Haslinda selaku wakil kumpulan diminta membentangkan hasil kerja
kumpulannya.
(kursus/bengkel)

Kata ganti nama diri saudara dan saudari pula boleh digunakan dalam komunikasi kepada individu atau kelompok yang khusus, seperti teman sejawat dan pelajar dan kurang sesuai digunakan kepada kelompok lain, terutama orang yang lebih tinggi kedudukannya. Contoh penggunaannya:

a. Saudara saudari sebagai mahasiswa perlu aktif dalam pelajaran dan juga
kegiatan persatuan dan kemasyarakatan.
(ceramah/sesi kaunseling)

b. Saudari Tan Sek Fong akan mengikuti program pertukaran pelajar ke Jepun.
(mesyuarat/perhimpunan/buletin)

Untuk menyapa orang yang bergelar, maka kata ganti nama diri yang digunakan hendaklah diselerasakan dengan gelar yang dimiliki oleh orang berkenaan. Kepada raja atau sultan dan raja permaisuri atau raja perempuan, digunakan tuanku. Kepada orang yang mempunyai gelar yang dianugerahkan oleh ketua negara (Yang di-Pertuan Agong) dan ketua negeri (Raja, Sultan dan Yang Dipertua Negeri), digunakan kata ganti nama diri berdasarkan anugerah itu, misalnya Tun, Toh, Tan Sri, Puan Sri, Datuk, Dato’, Dato’ Seri. Demikian juga, orang yang mempunyai gelar disebabkan keturunannya, khususnya keturunan raja yang bergelar Tengku hendaklah disapa dengan panggilan itu. Contoh penggunaannya:

a. Kami mengucapkan terima kasih banyak kepada Yang Amat Berbahagia Tun
kerana sudi bersama-sama dengan kami dalam majlis ini.
(majlis)

b. Kami amat berharap bahawa Dato’ Seri dapat menimbangkan rayuan kami
itu.
(surat)

c. Untuk makluman Tengku, seminar itu akan dirasmikan oleh Perdana
Menteri. (Dalam keadaan tertentu digunakan sekaligus panggilan hormat
Yang Mulia atau jika beliau juga menteri atau wakil rakyat dipanggil Yang
Berhormat Mulia Tengku)
(mesyuarat/perbincangan)

Kata ganti nama diri yang lain daripada yang telah dibincangkan di atas tidak sesuai sama sekali digunakan dalam komunikasi rasmi. Dalam pertuturan sehari-hari terdapat kata engkau dan kamu. Kata engkau, menurut pemerhatian penulis, tidak pernah digunakan orang dalam komunikasi rasmi, tetapi kata kamu ada waktunya digunakan oleh orang tertentu. Orang berkenaan mungkin beranggapan bahawa kata kamu ialah padanan kata you dalam bahasa Inggeris lalu menggunakannya, seperti dalam taklimat atau tunjuk cara untuk memperkenalkan keluaran atau khidmat yang diberikan olehnya atau oleh syarikatnya. Penggunaan kata kamu dalam komunikasi rasmi itu jelas tidak tepat dan patut dihindari. Kata itu mungkin sesuai digunakan oleh guru kepada murid, tetapi bukan kepada pegawai atau eksekutif.

Di samping itu, walaupun penekanan dalam bahagian ini ialah komunikasi rasmi, iaitu majlis dan urusan rasmi yang berkaitan dengan kerajaan, firma dan organisasi, namun dalam komunikasi tidak rasmi, kata ganti nama diri kedua yang dinyatakan di atas masih perlu digunakan. Penggunakan kata ganti nama diri kedua yang neutral sifatnya itu penting diberi perhatian, terutama apabila pihak yang menjadi sasaran komunikasi, iaitu pihak kedua tidak mempunyai hubungan akrab dengan pembicara. Jurujual atau penjual, misalnya, lebih sopan menggunakan panggilan tuan, puan, atau encik daripada menggunakan panggilan yang lazim digunakan sebagai “panggilan mesra” seperti abang, kakak, pak cik, mak cik dan sebagainya. Tidak semua orang boleh atau suka dipanggil dengan panggilan mesra seperti itu.

2. Kata ganti nama diri kedua jamak - Kata ganti ini digunakan untuk merujuk kepada pihak yang menjadi sasaran komunikasi yang jumlahnya lebih daripada seorang. Bentuk yang sesuai digunakan ialah tuan-tuan, puan-puan, hadirin dan hadirat. Kepada orang yang bergelar, digunakan bentuk ulang gelar seperti Dato’-Dato’, Tan Sri-Tan Sri dan sebagainya.

Dalam komunikasi rasmi, perlu dielakkan penggunaan kata ganti nama diri kedua jamak yang hanya sesuai digunakan dalam komunikasi tidak rasmi atau yang hanya sesuai digunakan dalam hubungan yang akrab. Antara yang tidak sesuai digunakan dalam komunikasi rasmi termasuklah anda dan kalian.

Kata ganti nama diri anda hanya sesuai digunakan digunakan kepada khalayak yang umum seperti dalam iklan tetapi tidak sesuai digunakan dalam majlis perasmian, perhimpunan, mesyuarat, taklimat, surat dan yang seumpamanya. Demikian juga, kata kalian ialah kata ganti nama diri jamak yang digunakan kepada khalayak yang akrab dan tidak sesuai digunakan dalam majlis atau urusan rasmi.

Oleh itu, elakkanlah kebiasaan melahirkan ujaran seperti yang berikut ini:

a. Terima kasih atas kehadiran kalian dalam majlis perasmian ini.
(seharusnya: Terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam
majlis perasmian ini.)

b. Anda sebagai penjawat awam patut mempunyai keperibadian yang luhur.
(seharusnya: Tuan-tuan dan puan-puan sebagai penjawat awam patut
mempunyai keperibadian yang luhur.)

Walau bagaimanapun kata anda boleh digunakan untuk merujuk kepada pelajar, sebagaimana yang digunakan dalam buku pelajaran. Hal yang sama berkaitan dengan penggunaan kata kamu yang boleh digunakan sebagai kata sapaan kepada pelajar.

Kata Ganti Nama Diri Ketiga

Kata ganti nama diri ini digunakan untuk merujuk kepada pihak ketiga. Bentuknya terbahagi kepada dua juga, iaitu untuk diri tunggal dan diri jamak.

1. Kata ganti nama diri ketiga tunggal - Kata ganti nama diri ketiga tunggal yang umum digunakan dalam komunikasi rasmi ialah beliau, dia dan ia. Bentuk singkatnya pula ialah nya dan digunakan di hujung kata lain. Khusus untuk raja, sultan, raja permaisuri dan pemangku raja, digunakan kata baginda.

Kata beliau digunakan untuk merujuk kepada orang yang dihormati, seperti pemimpin, guru, ketua, pegawai dan ibu bapa. Kata itu tidak sesuai digunakan untuk merujuk kepada orang yang bersalah, penjenayah dan tidak sesuai juga digunakan untuk merujuk kepada kanak-kanak atau remaja.

Contoh penggunaan kata ganti nama diri beliau ialah:

a. Perdana Menteri meminta semua pegawai kerajaan bekerja bersama-sama
dengan beliau, bukan bekerja untuk beliau.

b. Beliau dikurniai Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kerana sumbangannya
yang amat besar sebagai pendidik.

c. Kenangan kami kepada beliau tidak mungkin luput, kerana sebagai ibu,
beliau bukan sahaja melahirkan kami tetapi membesarkan dan mengasuh
kami hingga menjadi anggota masyarakat yang berguna.

d. Sebagai ketua jabatan, beliau sentiasa memberikan bimbingan kepada
pegawai dan kakitangannya.

Antara kesalahan penggunaan kata beliau yang sering berlaku pula ialah:

a. Beliau dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat kerana menyebabkan
kematian jurujual itu tanpa niat.
(seharusnya: Dia dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat kerana
menyebabkan kematian jurujual itu tanpa niat.)

b. Polis sedang memburu beliau yang didapati menyebarkan ajaran sesat.
(seharusnya: Polis sedang memburu dia yang didapati menyebarkan ajaran
sesat.)

c. Beliau, murid tahun enam sekolah itu diberi sijil kepujian kerana
menyelamatkan dua orang rakannya daripada lemas di tasik itu.
(seharusnya: Dia, murid tahun enam sekolah itu diberi sijil kepujian kerana menyelamatkan dua orang rakannya daripada lemas di tasik itu.)

Sebaliknya, tidaklah santun pula orang yang menggunakan kata dia atau ia sahaja dan tidak menggunakan kata beliau untuk merujuk kepada orang yang terhormat. Perlu dicatat di sini bahawa penggunaan kata beliau dikatakan tidak sesuai untuk kanak-kanak dan remaja bukan kerana kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang berada pada tahap yang rendah dalam masyarakat. Perkara itu sebenarnya disebabkan oleh sistem masyarakat kita yang meletakkan seseorang atau sesuatu sesuai dengan haknya. Faktor usia ada waktunya dijadikan asas penggunaan bahasa. Kata peribahasa Melayu, “Yang tua dihormati; yang muda disayangi”. Dengan tidak menggunakan kata beliau untuk kanak-kanak dan remaja, tidak timbul soal merendahkan kedua-dua golongan itu.

3. Kata ganti nama diri ketiga jamak - Hanya ada satu bentuk kata ganti nama diri jamak dalam bahasa Melayu, iaitu mereka. Kata itu dalam bentuk singkatnya boleh digantikan oleh kata nya. Daripada segi penggunaannya, tidak ada masalah yang ketara, kecuali ada sesetengah penulis yang menggunakannya untuk merujuk kepada makhluk selain manusia, seperti haiwan. Perkara itu terjadi bukan kerana keperluan ilmiah seperti yang didakwa oleh sesetengah orang, termasuk pengkaji bahasa. Terjadinya perkara itu sebenarnya disebabkan penulis yang berkenaan tidak mempunyai rasa bahasa yang kuat dan kurang menghayati aspek nilai dalam berbahasa. Jika memang kita perlu mengulang nama haiwan itu untuk menunjukkan bentuk jamaknya, mengapakah pengulangan itu tidak dibolehkan? Dalam bahasa Melayu ada cara lain kita menyatakan bentuk jamak, selain pengulangan nama. Tentu aneh dan janggal halnya apabila binatang-binatang ternakan itu diberi kata ganti nama mereka.

IX. Penutup

Demikianlah pembicaraan tentang beberapa aspek yang berkaitan dengan bahasa Melayu tinggi, khususnya dalam rangka melestarikan tamadun dan adab bangsa yang memang dalam rakaman sejarah telah memiliki sistem kesantunan bahasa yang jelas. Dalam arus pemodenan dan globalisasi, peneguhan adab dan kesantunan bangsa menjadi agenda penting yang setara dengan agenda pembangunan ekonomi, prasarana, sains dan teknologi kerana pembangunan yang seimbang dan harmonis memerlukan perhatian yang sama beratnya kepada dua aspek pembangunan, iaitu pembangunan luaran dan pembangunan dalaman. Usaha membudayakan kesantunan bahasa termasuk dalam aspek pembangunan dalaman yang penting kerana “bahasa menunjukkan bangsa”.

Proses pembudayaan dan pemasyarakatan bahasa Melayu tinggi sebagai tonggak tamadun bangsa dan negara hanya benar-benar berkesan melalui bidang pendidikan yang takrif asasnya memang berkaitan dengan proses membentuk adab pada anak didik. Oleh itu, penting sekali penerapan bahasa Melayu tinggi dijadikan salah satu agenda penting dalam sistem pendidikan negara.



Biodata Pembentang Makalah Utama



Awang Sariyan sejak 1 Februari 2012 dilantik sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-10. Beliau memperoleh ijazah pertama dan diploma pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafahnya di Universiti Malaya. Kerjayanya bermula sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Sastera Melayu dan Kertas Am, kemudian sebagai Editor dan Ketua Editor di FEP International, Pegawai Penyelidik Bahasa, Editor Jurnal Dewan Bahasa dan Pegawai Penyelidik Kanan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pensyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam, profesor madya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Pengarah Jabatan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, profesor bahasa di Universiti Putra Malaysia, profesor bahasa di Universiti Malaya dan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Beliau telah menghasilkan lebih 50 judul buku ilmiah, buku umum, buku teks dan kamus, lebih seribu makalah ilmiah dan umum, dan lebih 200 syarahan, kertas ucap utama, kertas dasar dan kertas kerja di Malaysia dan di luar negara (seperti Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Rusia, Singapura, Sri Lanka, Thailand). Beliau pernah dua kali dilantik menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankurt, Jerman dan di Universiti Sumatera Utara, Indonesia dan dilantik sebagai Perunding Seberang Laut serta penatar kursus bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Republik Singapura. Dalam perkembangan mutakhir, pada 31 Ogos 2012, beliau dianugerahi Profesor Kehormat Bidang Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan oleh Beijing Foreign Studies University sebagai penghargaan atas meningkatkan dan meluaskan pengajian Melayu di China semasa menyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China selama tiga tahun setengah (Januari 2008- Julai 2011). Tulisan interaktifnya, termasuk puisi, terdapat dalam Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa dan Kumpulan Kembara Bahasa serta blog kembarabahasa.blogspot.com.

~Kembara Bahasa~
25 Oktober 2012/9 Zulhijah 1433








No comments:

Post a Comment