Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, September 3, 2012

Mengenang Jasa Bakti Almarhum Dato' Dr. Hassan Ahmad

[Mengenang jasa almarhum bersempena dengan genap setahun kepulangannya ke rahmatullah pada 31 Ogos]

Almarhum Dato’ Dr. Hassan Ahmad merupakan tokoh besar dalam bidang bahasa, persuratan dan penerbitan di negara Malaysia, di peringkat serantau dan di peringkat antarabangsa. Saya mengenal beliau secara dekat apabila saya mula berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan April 1978. Ketika itu beliau telah dilantik menjadi Ketua Pengarah DBP, sesudah beberapa tahun menjadi Pemangku Pengarah dan sebelumnya sebagai Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa. Rapatnya perasaan dengan beliau muncul apabila saya mengetahui bahawa pada tahun 1961 beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian, tempat saya dilahirkan. Ketika itu saya menuntut di darjah dua Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang.

Dalam kalangan pemimpin DBP, beliaulah yang pertama dilantik daripada kalangan orang yang memang mengkhusus dalam bidang pengajian Melayu, khususnya linguistik. Lulusan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya pada waktu itu memang terkenal kuat pelibatannya dalam perjuangan bahasa Melayu, apatah lagi pada zaman negara baru mencapai penjajahan dan bahasa Melayu sedang dalam era pelaksanaannya sebagai bahasa negara dalam bidang pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan bidang lain.

Dalam zaman Almarhum Dato’ Dr. Hassan Ahmad menjadi Ketua Pengarah DBP, tugas yang berkaitan dengan perancangan bahasa Melayu, baik daripada segi taraf mahupun korpusnya berlangsung dengan pesat. Penyusunan kamus, penggubalan istilah dalam puluhan bidang ilmu dan professional, penyusunan tatabahasa dan kerjasama serantau kebahasaan melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia menjadi antara tanda kepesatan perancangan bahasa Melayu di bawah kepemimpinannya.

Selain itu, gerakan sastera kebangsaan dalam bentuk pelbagai wacana, pemupukan dan anugerah cukup ketara berlangsung di bawah kepemimpinannya. Demikian juga bidang penerbitan yang menjadi wadah pengembangan ilmu dan karya kreatif mendapat perhatian dan sentuhan khusus daripada beliau, yang memang dikenal juga sebagai tokoh penerbitan ulung di negara ini.

Pelibatan beliau dalam perjuangan bahasa menjadi lebih rancak apabila beliau pulang dari Paris sesudah beberapa tahun menjadi Wakil Tetap Malaysia di UNESCO dan meraih gelar Doktor Falsafah dalam bidang perancangan bahasa daripada Universiti Leiden, Belanda. Beliau menjadi anggota Kumpulan Prihatin yang aktif dan terlibat dalam perancangan beberapa agenda perjuangan bahasa. Sebagai pemikir, beliau banyak kali diundang menyampaikan syarahan dan kertas kerja tentang ilmu bahasa, pemikiran, kesusasteraan dan kebudayaan.

Dalam gerakan memansuhkan PPSMI, iaitu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, beliau dilantik menjadi Pengerusi dan memimpin gerakan massa untuk mendesak pemansuhan program yang bertentangan dengan Perlembagaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Penyusunan buku biografi tentang Almarhum Dato’ Dr. Hassan Ahmad ini kena pada saatnya kerana demikian banyak jasa dan sumbangan beliau semasa hayatnya kepada bahasa, persuratan dan penerbitan dalam bahasa Melayu, khsususnya. Mudah-mudahan jalan yang telah dirintisnya dapat menjadi ikutan pejuang dan sarjana pelapis agar tamadun bangsa dan negara dapat terus ditingkatkan.

Beliau menjadi suri teladan yang unggul dan dapat dijadikan tokoh yang patut diketengahkan kepada generasi muda untuk melanjutkan perjuangan dalam bidang bahasa, persuratan dan ilmu. Al-Fatihah untuk roh Almarhum, mudah-mudahan Allah merahmatinya.

No comments:

Post a Comment