Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, September 3, 2012

Ucapan penerimaan Profesor Kehormat

UCAPAN PENERIMAAN
ANUGERAH PROFESOR KEHORMAT PENGAJIAN BAHASA DAN KEBUDAYAAN
DARIPADA BEIJING FOREIGN STUDIES UNIVERSITY
31 Ogos 2012

Tuan Presiden
Timbalan-Timbalan Presiden,
Pengarah Jabatan Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa,
Dekan-Dekan,
Pengarah-Pengarah,
Ahli-ahli akademik Beijing Foreign Studies University

1. Pertama sekali saya mengucapkan salam persahabatan yang mesra daripada warganegara Malaysia kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah menjadi sebahagian rakan penting negara Malaysia.

2. Atas nama peribadi, keluarga dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta kerajaan Malaysia, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada Beijing Foreign Studies University, khususnya para pemimpinnya atas sifat murah hati menganugerahkan gelar Profesor Kehormat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan kepada saya. Anugerah ini mudah-mudahan menjadi titik tanda peningkatan dan peluasan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, iaitu badan perancangan bahasa dan persuratan kebangsaan kerajaan Malaysia dengan Beijing Foreign Studies University dan negara Republik Rakyat China umumnya.

3. Saya berasa bertuah kerana dapat berkhidmat di universiti ini selama tiga tahun setengah (Januari 2008 hingga Julai 2011) apabila Kerajaan Malaysia melantik saya sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di bawah program kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan BFSU. Kekuatan program pengajian Melayu di BFSU yang telah mula berakar pada tahun 1961, iaitu lebih setengah abad lalu, menjadi asas Kerajaan Malaysia memilih BFSU sebagai pangkalan pengembangan bahasa dan persuratana Melayu di negara ini.

4. Syukur, program ilmiah dalam bidang pengajian Melayu di BFSU telah berkembang pesat dan telah Berjaya mengeluarkan ribuan siswazah yang berkhidmat dalam pelbagai bidang dan sejumlahnya menjadi waris pengembang bahasa dan persuratan Melayu di negara ini dengan menjadi tenaga akademik, termasuk di beberapa buah universiti lain. Untuk kali pertama, bidang pengajian Melayu ditawarkan pada peringkat pascasarjana di negara ini, dan peristiwa penting ini berlaku di BFSU dan lulusan pertama penerima ijazah pengajian Melayu telah berkonvokesyen pada tahun 2012. Tahniah kepada para pemimpin BFSU. Pastilah tidak sempurna penghargaan saya dan Kerajaan Malaysia atas kejayaan BFSU itu tanpa menyebut nama tokoh perintis dan penggerak pengembangan pengajian Melayu di negara China, iaitu Prof. Wu Zong Yu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, BFSU yang telah menangani kerja tersebut sejak tahun 1961 hingga kini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Sejarah hubungan antara China dengan alam Melayu telah berlangsung begitu lama; menurut catatan sejarah istana dinasti China, sejak sebelum Masihi. Dalam zaman Dinasti Tang pada abad ke-7, wujud hubungan dengan kerajaan Sriwijaya, iaitu kerajaan tua di alam Melayu. Puncak hubungan antara dua tamadun besar itu berlangsung dalam abad ke15 antara Dinasti Ming dengan kerajaan Melayu Melaka, dalam bentuk hubungan dagang, kebudayaan dan diplomatik. Dalam bidang ilmiah, telah terhasil kamus Melayu-China yang mewakili 17 bidang kehidupan pada abad tersebut, susunan sarjana China untuk memenuhi keperluan hubungan dengan alam Melayu.

5. Dalam zaman moden, tahun 1974 menandai hubungan rasmi yang nyata apabila Malaysia dan China memeteraikan hubungan diplomatik. Sejak itu, hubungan perdagangan, diplomatik, pendidikan dan pelancongan dua hala kian meluas dan meningkat. Pada tahun 1996 telah tertubuh Pusat Pengajian Melayu China yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University, dengan Menteri Pendidikan Malaysia yang kini menjadi Perdana Menteri Malaysia, iaitu Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abul Razak sebagai Penaungnya hingga kini. Setakat ini telah ada tujuh buah universiti di negara China yang mempunyai Jurusan Bahasa Melayu, termasuk di BFSU.

6. Dewan Bahasa dan Pustaka telah lebih dua dekad menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu di BFSU dan penyunting di China Radio International serta di beberapa buah universiti lain, iaitu Universiti Komunikasi China dan Universiti Bangsa-bangsa Guangxi di Nanning. Mudah-mudahan kerjasama dengan BFSU dan institusi lain di negara ini dalam rangka mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu serta meningkatkan persahabatan dua buah negara akan dapat diteruskan dari waktu ke waktu. DBP insya-Allah akan terus memberikan kerjasama dalam bentuk perundingan, penasihatan, pengiriman bahan rujukan dan penyelidikan serta penerbitan bersama bagi bidang yang meliputi kepentingan bersama antara dua buah negara. Demikian juga, penubuhan Pusat Sumber Malaysia yang telah saya asaskan semasa menyandang Kursi Pengajian Melayu di BFSU akan saya teruskan peningkatan koleksinya dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan institusi lain di Malaysia.

6. Akhirnya saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pimpinan BFSU atas anuegerah Profesor Kehormat kepada saya. Saya bagi pihak DBP dan warganegara Malaysia mengalu-alukan kunjungan warga universiti ini ke Dewan Bahasa dan Pustaka dan negara Malaysia umumnya. Terima kasih.

Prof. Dr. Awang bin Sariyan
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia

31 Ogos 2012

3 comments:

  1. Tahniah Prof, saya bekas anak murid prof di upm sangat berbangga dengan pencapaian prof. saya akan sentiasa menyokong usaha prof untuk memartabatkan bahasa Melayu.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, Cikgu Indah Eyah Abu Samah. Mengajar di mana kini?

    ReplyDelete
  3. Salam prof..saya mengajar di melaka sekarang..maaf lambat memberi jawapan..selamat menyambut ramadhan prof

    ReplyDelete