Sembang Labu dan Labi:
Labu: Kaudengar tazkirah Imam Salman sesudah Subuh tadi?
Labi: Aku terlena, mengantuk.
Labu: Orang lain pun beribadat malam, tetapi mendengar tazkirah. Menuntut ilmu bukankah wajib?
Labi: Apa ceritanya?
Labu: Imam Salman mengingatkan agar kita tidak mengambil hak orang lain.
Labi: Itu semua orang tahu.
Labu: Tahu satu hal, beramal satu hal lain. Kadang-kadang dalam hal yang kecil kita tak ambil berat.
Labi: Contohnya?
Labu: Kata Imam Salman, dalam jamuan, ada orang yang haloba, mengambil hak orang lain. Contohnya, dia patut mengambil seketul ayam tetapi diambilnya dua atau tiga ketul sehingga ada tamu yang tidak mendapat bahagian. Itu dosa yang kurang disedari oleh kebanyakan orang.
Labi: Eh, yalah. Aku pun biasa begitu. Berdosa ya?
Labu: Ya, mengambil hak orang lain haram hukumnya, walaupun benda yang kecil. Bertambah lagi dosa kerana biasanya daripada sifat tamak berlaku pula pembaziran. Makanan yang diambil melebihi kemampuan kita makan menyebabkannya terbuang menjadi sisa.
Labi: Ha, aku pun nak memberikan tazkirah. Orang yang membazir itu saudara syaitan.
Labu: Bagus, kalau engkau tak lena semasa tazkirah tadi, banyak lagi aku dapat mendengar tazkirah daripada engkau.
5 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment