Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Sunday, June 5, 2011
Puisi: Jawi Warisan Leluhur
Jawi Warisan Leluhur
Dengan angin dari tanah suci
nan datang membawa kesegaran
dengan angin dari tanah Nabi
nan sampai mengalih paksi perubahan
Dikau pendukung obor Risalah
Dikau penyebar kalam Allah
Dikau peneguh sendi akidah
Dikau pembentuk umah adabiah
Buah tangan bangsa cendekia
Mekar di jambangan persuratan nyata
Akidah, syariat, tasawwuf terpadu mesra
Terlakar utuh di paparanmu duhai aksara
Susastera nukilan pujangga bestari
Hikayat, ceritera dan segala peri
Dalam olahan prosa dan puisi
Subur tumbuh membentuk manusiawi
Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri
Syamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkili
Syekh Abdul Samad al-Falembani, Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari
Syekh Daud al-Fatani, Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji
serta barisan ulama', pujangga dan karyawan sejati
membina rupa dan jiwa tamadun merentas sempadan negeri
di alam Kepulauan Melayu seluruhnya terbentuk bangsa Jawi
bangsa nan islami dan kukuh makna diri
dengan bahasa dan aksaranya yang memancarkan peribadi bestari
dalam warkah dan perjanjian dengan pelbagai kuasa dunia turut terpateri
Kini masihkah dikau di puncak mercu tamadun bangsa?
Masihkah dikau dihormati sebagai penyuluh perihal agama?
Masihkah dikau diangkat untuk melakar khazanah karya?
Masihkah dikau digilap untuk menopang wajah dan citra?
Duhai Jawi warisan leluhur
Mengapatah nasibmu menjadi punggur?
Di bumi Melayu dikau tak subur
Mungkinkah kelak dikau terkubur?
Ayuhai rakan ayuhi taulan
sekalian penguasa sekalian cendekiawan
Di tangan kita terletak peranan
Memekarkan Jawi di persada zaman
Usah kelak disesali nasib sejarah
Usah kelak ditangisi dengan air mata darah
Andainya kita tidak segera melangkah
Membulatkan azam memastikan Jawi bermaruah
~Kembara Bahasa~
Sesudah Subuh, 6 Jun 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam, Pak prof,
ReplyDeleteBetapa kita mudah melupakan warisan bangsa kita sendiri. Aduhai ...
Sdr. AA,
ReplyDeletePerlu senantiasa mereka diingatkan dan kita meningatkan.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAKSARA JAWI
ReplyDeleteKarya: Rosnani Ahmad
Kelmarin...
kau megah
dengan gagah
memegang sepanduk bangsa
di mana-mana sahaja
engkau terserlah
di Batu Bersurat Terengganu
di Warta Melayu
di batu nesan moyangku
berakar tamadun
menjulang tradisi
mengagung generasi
denganmu bangsaku berkomunikasi.
Hari ini
aksaramu melalui hari-hari kelabu
menghampiri nasib malang Kirarabu
setelah ditenggelamkan
oleh aksara baru
ibarat api memakan sekam
kau menjadi abu
di dalam diam.
Di helaian kartu
dengan tinta biru
kudambakan harapan baru
kembalikan kewujudanmu
jangan biarkan kau menjadi debu
di pusar bayu.
Puan Rosnani Ahmad,
ReplyDeleteTerima kasih. Saya pernah beberapa mencadangkan agar dimulakan konsep 'berbalas puisi', sebagai peluasan 'berbalas pantun', iaitu puisi tertentu yang dinukilkan oleh seseorang tentang sesuatu isu diiringi oleh puisi-puisi penulis lain supaya isu itu berkembang dan dapat diperluas garapannya. Usaha memasukkan puisi puan di sini kali kedua dapat dilakukan, dan harap gagasan 'berbalas puisi' yang saya maksudkan itu dapat dikembangkan.
Terima kasih sekali lagi. Wassalam.