Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, December 11, 2013

Puisi "Munajat untuk Sahabat"

Puisi "Munajat untuk Sahabat"

Sahabat
dengan penuh kesayuan
kuiring keberangkatan dikau
dengan munajat tulus
meskipun jasad kita jauh terpisah
Semoga dikau tabah melalui mehnah
Terimalah itu sebagai kafarah
meskipun daku tidak melihat dikau bersalah
Entah mengapa
meskipun kita tidak pernah bersua wajah
kecuali di alam maya sesekali bermadah
atas kesetiaanmu menurut daku menjelajah
dalam rimba raya kata-kata serta seribu hujah
dikau memberiku kepercayaan akan erti
adanya ruang berfikiran bebas
dalam ketiadaan kebebasan yang dikau dambakan dan rindui
Antara kita tiada sempadan dan jurang bicara
perihal kehidupan duniawi dan ukhrawi,
perihal kemanusiaan, kejujuran dan ketulusan
kendatipun dikau di alam yang berbeda daripada alamku
Sahabat
dalam meniti ujian itu
usah dikau alpa barang sesaat
untuk terus membasahkan lidahmu dengan zikrullah
Usah dikau lupa barang sekejap
untuk terus bergantung tawakal kepada-Nya
yang senantiasa memandangmu dengan penuh rahmah
Doa dan munajatku tiada akan lekang menemanimu
semoga dikau dikasihi-Nya
wahai sahabat!

Ba'dal Maghrib, 10 Disember 2013

No comments:

Post a Comment