Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, May 21, 2010

Masjid di China (2): Masjid Qinghe


Masjid Qinghe terletak dalam daerah Haidian di Kota Beijing. Letaknya agak jauh dari jalan besar, malah dapat dikatakan terletak di sebuah pekan kecil, sebaris dengan kedai-kedai yang sebahagiannya milik penduduk Islam. Penduduk Islam di kawasan tersebut berjumlah kira-kira 1,000 orang. Menurut Imam Jumaat (yang diberi nama demikian kerana lahir pada hari Jumaat), usia masjid itu melebihi 200 tahun.

Ada kisah yang menarik di balik pembinaan masjid itu. Masjid Qinghe dikatakan dibina untuk memenuhi keperluan sejumlah pekerja istana yang beragama Islam. Tidak jauh dari masjid itu terdapat istana lama, tetapi sayangnya faktor waktu menghalang saya mengunjunginya. Namun, yang menarik ialah bahawa ada sikap perihatin maharaja China kepada kebajikan pekerja istana, termasuk dalam hal keagamaan.

Masjid itu agak kecil; dewan solat dapat memuatkan kira-kira 80 orang, tetapi pada hari Jumaat dan hari raya, jumlah jamaah yang hadir mencecah 400 orang kerana memang menjadi kebiasaan masjid di China memiliki halaman yang agak luas. Antara yang mengimarahkan masjid itu termasuklah warganegara Pakistan dan Turki. Maka itu, tidak menghairankan bahawa di papan kenyataan di hadapan pejabat imam, terdapat papan tulis yang memaparkan tulisan dalam bahasa Urdu, sebagai bukti bahawa banyak jamaahnya yang terdiri daripada orang Pakistan. Menurut Imam Jumaat, kebanyakan mereka merupakan pelajar sebuah universiti yang berdekatan dengan masjid itu.

Selain menjadi tempat solat lima waktu berjamaah, solat sunat Idulfitri dan Iduladha serta sambutan majlis keagamaan seperti Maulidur Rasul, Masjid Qinghe menjadi pusat pengajian agama kepada masyarakat Islam setempat. Kuliah agama diadakan dua kali seminggu sesudah solat Zuhur, selain kuliah agama yang diberikan sebelum khatib naik ke mimbar pada setiap hari Jumaat.

Meskipun agak kecil saiznya, seperti masjid-masjid lain di China, Masjid Qinghe lengkap dengan pejabat imam, ruang tamu, tempat solat wanita dan dapur. Pembiayaan masjid diuruskan oleh Persatuan Islam Haidian.

[Saya rakamkan penghargaan kepada anakanda Mohd. Izzuddin dan Ahmad, kedua-duanya pelajar Malaysia yang mengikuti kursus bahasa Mandarin di sini, yang mengiringi saya dalam kajian ringkas ini.]

2 comments:

  1. Salam, Prof.
    Molek gambar ini kerana dirakamkan di hadapan mimbar berserta dengan jam.

    Agak cepat juga bertambahnya pengikut Prof.

    ReplyDelete
  2. Saya mulanya lebih berhajat memaparkan gambar masjid dan sudut-sudutnya yang menarik tanpa objek manusia (lebih-lebih lagi penulisnya); tetapi saran sdr saya terima untuk sekali-sekala memasukkan gambar penulis dan individu lain yang berkaitan supaya tidak ada anggapan bahawa gambar yang dipaparkan merupakan salinan daripada sumber sekunder.

    ReplyDelete