Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, October 13, 2010

Ulasan balas (Puan Mahaya dan Sdr. Mypandan)

Ulasan tentang Makalah "Bahasa sebagai Tonggak Pembangunan Negara"

Oleh sebab terdapat masalah teknikal, ulasan balas saya kepada ulasan Puan Mahaya dan Sdr. Mypandan tidak dapat disiarkan dalam ruang Komen meskipun telah beberapa kali saya cuba. Oleh itu, saya paparkan ulasan balas saya di sini.


1. Mahaya

Profesor yang dihormati,

Kalaulah setiap majalah, setiap akhbar, setiap stesen radio dan televisyen, sudut-sudut khas di setiap pejabat serta ruang-ruang tertentu di tempat-tempat awam ada hal-hal tentang Bahasa Kebangsaan kita,pasti kita rasa terpanggil dan terpukau untuk mengamati dan menghayatinya;
kalaulah kita semua ada perasaan cinta dan kagum akan Bahasa Kebangsaan kita...barulah benar-benar "Bahasa Jiwa Bangsa".
Oktober 7, 2010 8:06 PM

2. MYPANDAN

Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober saban tahun.Sesuaikah? Pengisian program untuk memantapkan dan menyerapkan amalan bahasa di Malaysia masih banyak yang perlu tingkatkan. Rakyat biasa lebih memberi sambutan tetapi bukan pihak pemimpin atasan. Apakah pandangan prof?
Oktober 11, 2010 6:49 AM


Puan Hajah Mahaya,

Demikianlah malangnya nasib bahasa Melayu di negara kita, yang sepatutnya melanjutkan peranannya sebagai sendi tamadun bangsa dan negara sejak berabad-abad silam. Ruang untuk bahasa dan persuratan Melayu masih jauh daripada yang sewajarnya; malangnya yang sudah diusahakan dan sudah menunjukkan dampak dihentikan pula. Dahulu saya usahakan Klik DBP di Berita Harian, siaran DBP di Radio Malaysia 2 jam sehari sepanjang 5 hari seminggu, siri dokumentari Jejak Bahasa (DBP-TV3) dan Semarak Bahasa (DBP-RTM) dsb; kini semua dihentikan oleh pemuka-pemuka yang mengambil alih kepemimpinan badan pemegang amanah rakyat itu atas alasan berhemat!

Aduhai, sungguh rendah nilai bahasa dan persuratan Melayu apabila diukur dengan ringgit dan sen yang tidak sebanding dengan biaya segala kenduri dan pesta di sana sini yang menggunakan wang rakyat, dan belum pasti bermanfaat.

Sdr. Mypandan,

Usaha mengadakan Bulan Bahasa Kebangsaan sebagai sambutan tahunan untuk menimbulkan kesedaran kepada rakyat (dan juga pemimpin sendiri) tentang peranan bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara tidak ada salahnya, malah dialu-alukan. Namun, yang lebih penting ialah pengisian erti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa tamadun negara.

Usahlah sesudah BBK berakhir, keadaan kembali seperti sedia kala – bahasa Melayu masih tetap diabaikan dalam segala urusan rasmi (seperti yang ditetapkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan). Ucapan dalam majlis dan upacara peringkat kebangsaan masih tetap dalam bahasa asing. Bahasa asing mesti menjadi bahasa penghantar sehingga 70% di IPT. Nama tempat, arah, bangunan dll. masih bercitrakan bahasa dan budaya asing.

“Kepemimpinan melalui teladan” – jika utuh semangat dan iltizam dalam kalangan pemimpin, insya-Allah rakyat lebih cepat mempunyai kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

2 comments:

  1. Salam, Prof;
    Sekarang, tampaknya sudah ada kecenderungan penerbit (sudah leluasa pun) untuk menjadikan nama siri buku masing-masing (buku kerja dan buku ulang kaji) dengan nama Inggeris. Sebagai contoh, "Efective Practice Bahasa Malaysia", dll, "On Track Bahasa Malaysia" dll, "Whizz Bizz" Bahasa Malaysia" dll, dan pelbagai nama lain. Tidak mengapalah mereka menjadikan nama siri itu untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, tetapi untuk Geografi, Sejarah, dll selain BM sendiri menampakkan bagaimana pihak penerbit (yang diketahui pemukanya bukan Melayu) memperlekeh BM.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Demikianlah akibat lanjutan daripada tindakan mengagung-agungkan bahasa Inggeris lebih daripada sekadar sebagai alat nilai tambah sebagai salah satu sumber pemerolehan ilmu dan maklumat. Ibarat roda, apabila bahagian tengah roda berputar, maka roda itu sendiri ikut berputar - kiasan bahawa apabila pemimpin berlebih-lebihan mengagungkan bahasa Inggeris, maka pihak-pihak yang dipimpin demikian juga. Perhatikanlah, pada suatu ketika dahulu, apabila ada pemimpin besar yang beriltizam tinggi tentang pelaksanaan bahasa Melayu, maka bergegas jugalah segala pihak mencuba mengikut rentak iltizam pemimpin berkenaan.

    ReplyDelete