Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, January 15, 2011

Novel "Interlok": SN Abdullah Hussain Tidak Menghina Sesiapa


Novel "Interlok": SN Abdullah Hussain Tidak Menghina Sesiapa

[Pendapat yang saya berikan kepada BERNAMA apabila saya diminta mengulas isu novel "Interlok" yang didakwa menghina kaum tertentu; terbit dalam Malaysiakini, portal BERNAMA dan Utusan Malaysia 11 Januari 2011]


Setakat yang saya ketahui, SN Abdullah Hussain ialah penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri. Novel Interlok merupakan gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan, dan pengisahan yang melibatkan penghijrahan kaum pekerja dari luar, termasuk orang dari India, memang terakam dalam karya-karya ilmiah. Kewujudan kasta yang dimaksudkan itu bukan suatu bentuk penghinaan, malah merupakan realiti di negara India dan memang golongan daripada kasta itulah yang dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka.

Amat mustahil mengharapkan SN Abdulah Hussein membohongi sejarah dengan mengatakan bahawa dalam kapal itu bersesak-sesak golongan Brahmin atau golongan Ksyatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api atau buruh di ladang getah, kerana golongan berkenaan tidak mungkin dibawa oleh penjajah Inggeris untuk menjadi buruh. Konteks yang menggambarkan suasana dalam kapal itu pula menunjukkan nilai murni golongan tersebut yang memiliki perasaan dan kesediaan hidup bersama tanpa berasa bimbang oleh sebab berlainan taraf atau kasta.

Semua pihak perlu membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah, apatah lagi jika berkaitan dengan perhitungan politik sempit pula.

~Awang Sariyan~

[Gambar ihsan Che Din, rakan Facebook]

3 comments:

  1. Salam, Prof,
    Yang sejenis dengan mereka sudah berjaya sebelum ini. Ungkapan "keling karam', keling mabuk todi" sudah jadi arwah dalam Kamus Dewan. Seorang pengarang kenalan saya, penulis buku teks, terpaksa menghadap Sangam mereka kerana isu istiadat rumput mencari kambing mereka. Akhirnya halaman yang menyentuh istiadat itu dibuang walhal buku sudah terbit. Kos untuk membetulkan perkara itu mencecah hampirr RM30 ribu.

    Mereka pernah berjaya suatu waktu dulu dan mereka mengharapkan kejayaan sekali lagi. Tunduk lagikah kita sekali ini oleh "kejahilan" mereka memahami maksud keseluruhan Interlok?

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    "Lulus jarum lulus kelindan"! Yang Melayu tampaknya sering memperlihatkan ciri 'layu' pula.

    [Saya mengambil kesempatan di sini mengundang sdr. dan keluarga ke majlis perkahwinan putera saya di Laman Pengantin, Jalan H-1, Taman Melawati (kira-kira 200 meter dari rumah saya) pada 6 Februari (Ahad), dari 12 tengah hari hingga 4 petang. Maaf, saya tidak sempat mengirimkan kad undangan kerana baru beberapa hari pulang dari Beijing.]

    ReplyDelete
  3. Salam, Prof,
    Terima kasih atas undangan tersebut. Insya-Allah, jika tidak berhalangan, saya akan sampai.

    Ada Melayu yang layu, ada yang Melayu yang tegak untuk terima menantu. Tahniah, Prof.

    ReplyDelete