Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Sunday, January 23, 2011
Menghayati Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu
Menghayati Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu
Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Universiti Pengajian Asing Beijing
Apabila ada orang yang mengagungkan bahasa asing tertentu dan bercita-cita untuk mengutamakan bahasa itu dalam ranah kehidupan penting (seperti ranah pendidikan, pentabiran, ekonomi dan yang lain) di negara ini, salah satu senjata yang digunakan ialah membesar-besarkan kekurangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu dikatakan miskin ilmu, bahasa Melayu bahasa setempat dan bukan bahasa antarabangsa, bahasa Melayu bahasa estetik dan bukan bahasa dinamik, bahasa Melayu kekurangan istilah, dan bahasa Melayu kekurangan itu dan ini.
Orang yang membesar-besarkan kekurangan bahasa Melayu itu sebenarnya sama ada tidak sedar atau tidak pernah berusaha mengambil tahu akan perkembangan bahasa Melayu sejak dirancang secara rasmi menjelang dan sesudah kemerdekaan negara ini. Jika sekalipun benar ada kekurangannya, bukankah tanggungjawab semua orang yang mengaku menerima bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, lebih-lebih lagi golongan pemimpin dan cendekiawan, berusaha memajukan bahasa itu? Adakah bahasa Melayu akan maju dengan sendirinya tanpa usaha, iltizam dan kesungguhan kita sendiri? Adakah bahasa-bahasa maju yang lain, hatta bahasa Inggeris yang asalnya bahasa masyarakat petani itu, maju dengan sendirinya tanpa usaha cendekiawannya?
Bahasa Melayu yang tergolong dalam rumpun Austronesia mempunyai sejarah yang cukup panjang. Meskipun pun ketetapan muktamad belum diperoleh oleh ahli-ahli linguistik sejarah dan perbandingan yang mengkaji sejarah bahasa Melayu, mereka pada umumnya percaya bahawa bahasa Melayu telah mula digunakan sejak dua alaf yang lalu. Yang cukup sahih tentang kekuatan bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun ialah bukti bahawa pada sekitar abad ke-7 bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan yang luas empayarnya, iaitu Kerajaan Sriwijaya dan telah menjadi bahasa pengajian agama serta bahasa perdagangan juga pada waktu itu. Ringkasnya, bahasa Melayu sudah sedia menjadi bahasa perhubungan umum atau lingua franca sejak zaman itu dan kemudian meningkat dengan lebih nyata dalam zaman Kesultanan Melayu.
Pada abad ke-16 bahasa Melayu telah muncul sebagai bahasa ilmu, bahasa agama, bahasa undang-undang, bahasa ketatanegaraan, bahasa diplomasi dan bahasa perdagangan. Bahasa Melayu telah mencapai taraf yang tinggi sebagaimana bahasa Latin di Eropah pada sekitar abad yang sama itu yang menjadi bahasa pelbagai ranah penting dalam kebudayaan di benua tersebut. Pada zaman itulah bahasa Melayu persuratan muncul dengan amat nyatanya dan berkembang subur melalui tulisan Jawi, iaitu tulisan yang disesuaikan daripada tulisan Arab di seluruh alam Melayu. Konsep bahasa Melayu baku, iaitu bahasa yang menjadi wahana seluruh penduduk alam Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan telah terbentuk pada zaman tersebut. Bahasa Melayu yang diwarisi pada zaman baharu hingga kini sebahagian besarnya berakar daripada bahasa Melayu pada zaman tersebut.
Kini bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa yang terbesar jumlah penggunanya dalam senarai lima bahasa dunia dan menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (walaupun Singapura pada hakikatnya berwahanakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi utama dalam segala lapangan kehidupan masyarakatnya). Umat pengguna bahasa Melayu terdapat juga di Thailand Selatan (dengan jumlahnya melebihi satu juta orang), di Kemboja, di Vietnam, di Laos, di Burma, di Filipina dan di luar alam Melayu, seperti di Sri Lanka, di Afrika Selatan, di Makkah, di Australia dan di Belanda, malahan di England dan di beberapa tempat lain lagi.
Di Malaysia, bahasa Melayu telah ditetapkan oleh pemimpin semua keturunan yang mewakili rakyatnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sejak kemerdekaan pada tahun 1957 lagi. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah satu asas kontrak sosial antara penduduk Malaysia berketurunan Melayu dengan penduduk berketurunan lain dan diperundang-undangkan dalam undang-undang tertinggi negara Malaysia, iaitu Perlembagaan Persekutuan Perkara 152). Bahasa Melayu telah dijadikan salah satu asas pembinaan negara, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa pembentuk jati diri negara bangsa, sebagai bahasa perpaduan, sebagai bahasa rasmi pentadbiran negara dan sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara.
Latar belakang ringkas tentang sejarah panjang bahasa Melayu yang saya paparkan dalam makalah ini akan disusuli oleh beberapa makalah secara berturutan yang menunjukkan hasil kejayaan perancangan bahasa Melayu yang telah mula berlangsung sebelum kemerdekaan negara ini tercapai dan digiatkan sesudah kemerdekaan tercapai. Rincian akan diberikan dengan memaparkan kejayaan perancangan bahasa Melayu di negara ini dalam dua bidang utama. Yang pertama ialah kejayaan perancangan bahasa Melayu dalam bidang taraf bahasa. Taraf bahasa dalam konteks negara kita ialah taraf atau kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Bidang kedua pula meliputi perancangan korpus atau bahan bahasa Melayu yang berkaitan dengan perancangan membakukan sistem ejaan, sebutan, tatabahasa, kosa kata dan laras bahasa. Usaha perancangan bahasa dalam pembakuan dan pemantapan sistem bahasa Melayu telah berlangsung sekian lama, terutama melalui usaha penyusunan kamus, buku tatabahasa, sistem ejaan dan yang lain. Usaha Pakatan Belajar dan Mengajar Bahasa Diraja Johor pada abad ke-19 lagi telah menjadi titik tolak usaha pembakuan bahasa Melayu baharu dan kemudian digiatkan oleh Pendeta Za`ba sejak tahun 1920-an serta ahli-ahli bahasa dan ahli-ahli ilmu dalam pelbagai bahasa, khususnya untuk memajukan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu dan kehidupan.
Sebenarnya sejak setahun sebelum kemerdekaan, iaitu ketika negara kita masih bertaraf ”Kerajaan sendiri” sebelum diberi kemerdekaan sepenuhnya oleh penjajah Inggeris, telah ditubuhkan Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini. Pada tahun itu juga kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai persiapan menjadikan bahasa Melayu wahana komunikasi yang berkesan dalam pelaksanaan jentera pentadbiran negara (bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi), dalam perundang-undangan dan kehakiman, dalam pendidikan dan dalam pelbagai sektor kehidupan yang lain. Selain itu, ditubuhkan juga Institut Bahasa (kini Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu atau IPGM Kampus Bahasa Melayu) sebagai langkah mempersiapkan tenaga pengajar bahasa Melayu untuk mendidik generasi muda di negara ini.
~Kembara Bahasa~
Kuala Lumpur, 23 Januari 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam Prof.
ReplyDeleteBenar sekali, indahnya mengenang kegemilangan Melayu masa silam. Saya membayangkan bagaimana pendita-pendita dan sarjana dari Cina berguru dengan pendita-pendita Melayu untuk mempelajari bahasa Sanskrit ketika zaman Sriwijaya. Tetapi mereka harus belajar tatabahasa Melayu terlebih dahulu.
Benggali Putih pun terpaksa belajar bahasa Melayu. Indah bila mengenangkan betapa megahnya Sultan-Sultan Melayu berutus surat kepada Raja-Raja Eropah dengan menggunakan tulisan jawi.
Sejarah-sejarah seperti ini harus disebarluaskan supaya generasi akan datang tidak memperlekehkan bahasa Melayu. Ini semua terjadi kerana ceteknya pengetahuan sejarah. Lebih parah lagi bila orang luar yang menulis sejarah kita sendiri.
Sdr. Hirwan Ab Rahman,
ReplyDeleteKekuatan bahasa dan tamadun Melayu pada zaman silam sewajarnya dijadikan asas perancangan yang serius oleh pemerintah, golongan cendekiawan dan yang lain untuk menggemilangkan semula bahasa dan tamadun Melayu di peringkat antarabangsa. Di sisi itu, iltizam dan usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat negara ternyata masih perlu terus ditingkatkan.