Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, January 31, 2011

Puisi: Kalau Memang Mahu


Kalau Memang Mahu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa mengekalkan Tanah Melayu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa beraliran pendidikan yang satu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa memaktubkan perlembagaan berdasarkan wahyu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa memutuskan citra negara berasaskan wangsa jitu

Lamun lakaran sejarah negara telah dirobah
atas cita dan tuntutan penjajah
kita sanggup memberi dan beralah
atas nama toleransi, integrasi, demokrasi dan muhibah
kita redha, akur dan pasrah
kendatipun kian sering jiwa kita menjadi gundah

Sekian lama satu demi satu
tuntutan demi tuntutan mengikut telunjuk nafsu
penghinaan demi penghinaan terbit dari jiwa yang kelabu
Masihkah kita atas nama peribadi yang syahdu
tunduk akur akan segala hawa yang palsu?

Kalau memang mahu
kita bisa dari dulu, kini dan waktu muka bersikap padu
mewaraskan nurani, memutuskan sesuatu atas pertimbangan kalbu
tidak menjual maruah, martabat dan harga diri atas laba kuasa sementara yang palsu
bermuka-muka di hadapan cauvinis yang keliru dan dungu

Kalau memang mahu
kita masih ada waktu
kita masih ada sesuatu
membetulkan yang semu

~Kembara Bahasa~
Kuala Lumpur, 1 Februari 2011

2 comments:

  1. Assalamualaikum Prof.
    Mesej puisi ini terlalu tinggi, setinggi harga tanah airku tercinta.Alangkah baiknya jika
    puisi ini bisa dibaca setiap rakyat Tanah Melayu; agar bisa semuanya merasakan betapa Sakitnya jiwa setelah menyedari maruah dijaja penguasa. Biar semuanya bisa berpadu...membetulkan yang semu.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, puan atas perkongsian rasa perihatin akan nasib Melayu sebagai bangsa asal dan teras di negara kita.

    ReplyDelete