Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, January 15, 2011

Soal Jawab Bahasa (12) - "Dalam" sebagai Kata Sendi dan Kata Hubung


Kata "Dalam" sebagai Kata Sendi dan Kata Hubung

Bolehkah kata sendi nama "dalam" diikuti oleh kata kerja, sebagai contohnya "dalam meningkatkan pencapaian ..."? Ada orang yang mengatakan bahawa kata "dalam" tidak boleh diikuti oleh kata kerja.

~TCL, Pulau Pinang~

Penjelasan

Kata 'dalam' dalam konteks contoh yang sdr. berikan itu bukan kata sendi, tetapi kata hubung. Ada dua kelas kata bagi kata 'dalam', seperti juga bagi kata 'untuk'. Dalam frasa 'dalam hal ini', jelas bahawa kata 'dalam' memang tergolong dalam kelas kata sendi, iaitu kata yang diikuti oleh frasa nama; tetapi dalam konteks yang sdr. nyatakan itu, binaannya bukan frasa, tetapi klausa. Maka kata 'dalam' dalam klausa itu tergolong dalam kelas kata hubung, iaitu sebagai kata hubung komplemen dalam ayat pancangan komplemen seperti:

1. Dalam meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara, kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu.

('Dalam meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara' ialah klausa tak-bebas/ayat kecil/anak kalimat bagi klausa bebas/ayat induk/induk kalimat 'Kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu'. Klausa "Dalam meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara" menjadi komplemen bagi ayat induk "Kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu").

Penggunaan kata 'dalam' itu betul, sama dengan penggunaan kata 'untuk', iaitu:

2. Untuk meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara, kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu.

(Kata 'untuk' dalam konteks ayat ini bukan kata sendi tetapi kata hubung komplemen. Klausa "Untuk meningkatkan dasar ekonomi negara" menjadi komplemen bagi ayat induk "Kerajaan merancang fasa-fasa yang bersepadu.").

Kata 'untuk' dan 'dengan' sebagai kata sendi jelas diketahui apabila unsur yang mengikutnya ialah frasa nama seperti 'untuk saudara' dan 'dalam hal ini'.

Sebagai rumusan, penentuan golongan atau kelas kata ada waktunya bergantung pada fungsinya dalam binaan ayat. Dalam kes kata 'dalam' itu, golongannya boleh jadi kata sendi dan boleh juga kata hubung. Maka tidak timbul anggapan bahawa kata itu tidak boleh diikuti oleh kata kerja, kerana kata itu menjadi kata hubung komplemen, bukan kata sendi.

No comments:

Post a Comment