Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, September 15, 2011

Penyataan Media: Ulasan Gesaan JMM agar PPSMI Diteruskan





PENYATAAN MEDIA:
ISU PPSMI


Isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tampaknya masih terus dibangkitkan oleh beberapa pihak meskipun Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan bahawa program tersebut akan dimansuhkan pada tahun 2012 dan digantikan dengan program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Yang terkini ialah seruan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) agar PPSMI diteruskan atas alasan lebih 50 peratus ibu bapa setuju program itu diteruskan.

Saya menyokong ketegasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkhasi dalam menolak gesaan itu, atas asas bahawa pelaksanaan PPSMI tidak wajar didasarkan hanya pada kehendak sejumlah pihak; malah jumlah yang dikatakan melebihi 50 peratus ibu bapa itu cukup meragukan jika diperhitungkan seluruh ibu bapa yang ada di negara ini. Pemimpin PIBG peringkat kebangsaan, Prof. Madya Datuk Hasan Ali sendiri yang mewakili ibu bapa seluruh negara tidak dapat menerima pelaksanaan PPSMI.

Sebagai hujah ulangan yang telah sekian lama kita kemukakan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan dua daripada beberapa dasar negara yang bermatlamat membentuk makna diri atau jati diri dan juga perpaduan kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara telah diperundang-undangkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996.

Usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar hendaklah diupayakan melalui pengajaran mata pelajaran bahasa itu, bukan melalui mata pelajaran lain. Cadangan peningkatan dan penambahbaikan dalam sukatan pelajaran, bahan pengajaran dan pemelajaran, kaedah pengajaran dan latihan guru bahasa Inggeris perlu dijadikan asas untuk mencapai harapan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar. Maka itu, MBMMBI yang diputuskan oleh Kementerian Pelajaran perlu diberi ruang dan kesempatan untuk dilaksanakan, bukan dengan berpatah balik kepada pelaksanaan PPSMI.

Kajian-kajian ilmiah telah dijalankan oleh beberapa orang sarjana dan badan berwibawa tentang kegagalan PPSMI dan kesemuanya telah dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran dan telah disiarkan dalam media am. Kita perlu mengambil iktibar tentang kesilapan masa lampau yang mengorbankan sebahagian besar generasi muda kita melalui pelaksanaan PPSMI. Demikian juga, fakta yang dikemukakan oleh Dr. Mohd. Puad Zarkhasi, seperti PPSMI gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar, kemerosotan keputusan Sains dan Matematik di peringka Ujian Penilian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2008 sewajarnya dijadikan renungan dan asas keinsafan.

Badan yang bergerak atas nama Melayu sebagai golongan teras negara ini sewajarnya berfikir dan bertindak atas dasar yang jelas, iaitu untuk mempertahankan dan memperkukuh dasar-dasar negara yang sebahagiannya berasaskan golongan teras itu, termasuk kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai asas kenegaraan.

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia.
Mantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China

15 September 2011

No comments:

Post a Comment