Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, September 7, 2011

Renungan Ruhaniyah: Dekatnya Allah dengan Hamba-Nya


Dekatnya Allah dengan Hamba-Nya

"Dan jika hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai, Muhammad) tentang Aku, sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaku. Hendaklah mereka memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran." [al-Baqarah, 2:186]

Betapa pengasih dan penyayangnya Allah kepada hamba-Nya dengan senantiasa berada dekat dengan hamba-Nya itu meskipun sekian banyak hamba-Nya yang sering tidak ingat akan keberadaan atau kewujudan Allah lantaran alpa dan leka oleh kesibukan dunia. Alllah senantiasa menunggu kesediaan hamba-Nya memohon segala sesuatu kepadanya untuk diperkenankan hajat hamba-Nya, dengan syarat memenuhi perintah-Nya dan beriman kepada-Nya.

Kisah benar yang terjadi kepada seorang kenalan menunjukkan betapa rahmat Allah tidak pernah putus kepada hamba-Nya. Kenalan itu pada satu waktu, barangkali kerana bersikap revolusionar dalam usaha mencapai kebenaran berdasarkan akal, putus asa dalam usaha mencari Tuhan. Seperti Nabi Ibrahim a.s., ia mengaitkan Tuhan dengan pelbagai kuasa yang ada di alam ini, termasuklah haba. Sayangnya ia bukan nabi yang pencariannya dipandu secara langsung oleh Allah dan akhirnya hanya dengan bersandarkan akal yang terbatas, rasa putus harapnya tidak menemukan Tuhan, ia sampai pada peringkat mempersoalkan kewujudan Tuhan, termasuk melalui puisinya.

Dalam bidang kerjaya dan kehidupannya, ia tampak berjaya dengan memegang jawatan penting demi jawatan penting dan menjalani kehidupan yang mewah. Namun, kehidupan beragamanya tidak jelas, terutama dalam pelaksanaan ibadah-ibadah khusus yang difardhukan kepada setiap mukallaf. Ditakdirkan Allah, pada puncak kejayaan kerjaya dan kehidupan duniawinya, perniagaannya punah oleh angkara penipuan rakan kongsinya sendiri, sehingga ia menghadapi tuntutan bayaran demi bayaran daripada beberapa buah bank yang memberikan pinjaman perniagaan.

Risiko rumah banglonya dirampas oleh bank dan ia diisytiharkan muflis kerana tidak mampu melunaskan bayaran balik kepada bank menjadi beban kehidupan yang amat berat apabila semua wang simpanan di institusi kewangan dan pendapatan daripada sumber-sumber lain akan ditahan oleh pemegang amanah raya dalam tempoh muflisnya. Dengan bantuan beberapa orang kenalan rapat, sebahagian besar harta dan wang simpanan dan hasil pelaburannya dapat diselamatkan apabila dipindahkan atas nama kenalan-kenalan baiknya. Maka selamatlah ia daripada kehilangan rumah dan harta yang lain.

Dengan kejatuhannya dalam perniagaan dan supaya tidak tampak hidup mewah, maka ia membeli sebuah rumah teres dan hidup dengan cara yang sederhana. Dalam tempoh kejatuhannya itulah ia menyambung usaha mencari Tuhan, kali ini tidak dengan bersandarkan akal dan pengetahuannya semata-mata, tetapi dengan berguru kepada beberapa orang ulama' dan berusaha mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui pelaksanaan ibadah-ibadah khusus yang telah sekian lama tidak dilakukannya. Kitab suci al-Qur'an yang sekian lama tidak disentuh telah menjadi teman akrab sehingga ia kemudian mampu menghafal sejumlah surah, sekurang-kurangnya surah dalam juzuk `amma. Beberapa kali saya sempat bermakmum kepadanya apabila berkunjung ke rumahnya dan tampaknya ia dapat dikatakan menguasai kaedah solat yang sempurna. Ibadah puasanya pun saya kira sempurna, meskipun sekian lama diabaikannya. Kemuncaknya ialah kejayaannya menunaikan Rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan fardhu haji.

Kehidupannya pun menjadi stabil semula walaupun tidak semewah dahulu dan tampak keseimbangan antara memenuhi tuntutan dunia yang sementara dengan tuntutan akhirat yang abadi. Diringkaskan cerita, kepulangannya ke rahmatullah berlaku sehari dua sesudah ia kembali dari Makkah kerana menunaikan ibadah umrah. Penilaian zahir menunjukkan bahawa ia pulang menghadap Khaliqnya dalam keadaan diri yang suci dan kembali kepada fitrahnya.

Demikianlah, walaupun pada satu masa ia pernah mempersoalkan kewujudan Allah, namun dengan usaha kembali dan mendekatakan diri kepada Allah, Allah menjadi demikian dekat dengan dirinya dan menunaikan permohonan ampunnya dan permohonan dikembalikan kepada kehidupan yang aman dan bebas daripada tekanan hutang-piutang dan tekanan orang lain. Syirik merupakan sebesar-besar dosa yang tidak diampunkan Allah; namun kesempatan memohon keampunan sebelum ruh dipisahkan daripada badan mudah-mudahan membersihkan diri daripada kemurkaan dan azab Allah di alam akhirat.

~Kembara Bahasa~
10 Syawal 1432/8 September 2011



3 comments:

  1. Salam, Prof;
    Beruntung almarhum kenalan Prof itu kerana Allah mengujinya dengan ujian yang demikian dan Allah jua memberinya kerasionalan yang tinggi hingga almarhum itu sempat kembali mendekati-Nya.

    Al-Fatihah untuk roh almarhum.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wbt. Salam lebaran dan maaf zahir batin.
    Rasa-rasanya kenalan rapat Dr. Awang ini kenalan saya juga yang amat saya hormati dan saya sayangi. Arwah masih tokoh kontroversi yang tiada galang gantinya dalam bidang yang diceburi. Bersamalah kita menyedekahkan pahala fatihah kepada arwah.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Sdr. Zul dan Sdr. Suhaimi,

    Mudah-mudahan kisah itu menjadi iktibar kepada kita dan semoga dirahmati serta diredhai-Nya kita sebagai hamba-Nya.

    [Sdr. Suhaimi - Saya baru mendapat no. telefon sdr. dua hari lalu dan mencuba mengirimkan pesan; adakah pesan itu masuk?]

    ReplyDelete