Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, March 10, 2012

Perlunya sumber ilmu daripada pelbagai bahasa


Perbincangan hamba dengan Atase Kebudayaan Kedutaan Perancis pada petang Jumaat lalu, 9 Mac 2012, membuka langkah awal untuk memperluas sumber rujukan ilmu dalam pelbagai bidang di negara ini dalam pelbagai bahasa lain, seperti Perancis, Jerman, Arab, Cina, Jepun, Korea, Rusia dan yang lain.

Selama puluhan tahun kosa ilmu di negara kita lebih banyak bergantung pada sumber ilmu dalam bahasa Inggeris sehingga sebahagian besar kita menjadi seakan-akan kuda yang dikekang dan hanya melihat bahasa Inggeris sebagai sumber ilmu walhal sumber ilmu dalam bahasa-bahasa lain demikian kayanya.

Atase Kebudayaan Perancis itu telah hamba minta menyiapkan senarai karya-karya penting yang meliputi pelbagai displin ilmu supaya usaha penerjemahannya ke dalam bahasa Melayu dapat mula digerakkan. Dengan demikian, katalog perpustakaan di negara kita dan juga bibliografi tesis, buku dan jurnal diharapkan menjadi lebih pelbagai sumber dan tidak semata-mata sumber ilmu dalam bahasa Inggeris. Jika hal yang sama dapat dibuat untuk sumber ilmu daripada bahasa Jerman, Rusia, Jepun, Cina, Korea dan yang lain, mudah-mudahan pada satu waktu kelak sumber ilmu di negara kita menjadi lebih kaya dan luas.

Pengajaran bahasa asing pun tidak tertumpu semata-mata kepada bahasa Inggeris yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai bahasa agung dan satu-satunya bahasa sumber ilmu. Asas pengajaran beberapa asing seperti bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Mandarin yang telah dimulakan di sejumlah sekolah menengah di negara ini perlu ditingkatkan dan diperluas di lebih banyak sekolah. Demikian juga, timbul keperluan pengajaran bahasa-bahasa asing itu di peringkat pengajian tinggi sebagai persiapan untuk membentuk tenaga penerjemah ilmu daripada pelbagai bahasa itu ke dalam bahasa Melayu.

~Kembara Bahasa~
11 Mac 2012/18 Rabiulakhir 1433

2 comments:

  1. Malaysia kekurangan ahli fikir. Pelajar kita diajar untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat ke luar negeri. Implikasinya kita mendidik anak2 kita bahawa ilmu yang lebih maju tidak terdapat di tanah air, kita bukan pengeluar ilmu. Telaga ilmu di sini kontang. Itulah pandang dunia pelajar2 kita hari ini.

    Tapi ada kebenarannya juga. Memang kita masih ketinggalan. Tetapi alasan2 seperti mangsa sistem kolonial dan akibat sejarah tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk terus ketinggalan. Korea, Taiwan, Cina, dan India sebagai contoh, sedang begitu agresif maju kehadapan. Terlalu sukar untuk berpura-pura tidak nampak dengan jiran kita di selatan Johor itu.

    Kita masih terikat dengan minda mangsa.

    Betul, kita masih boleh bercakap tentang apa kayu ukur yang menentukan suatu negara itu 'berjaya'. Saya amat percaya bahasa adalah antara komponen paling utama. Mungkin pada sesetengah orang, kemajuan ekonomi terlalu materialistik untuk dijadikan ukuran. Hakikatnya, itulah yang membantu bahasa untuk berkembang.
    Ekonomi memberi peluang kepada manusia untuk menikmati dan mencipta budaya. Walaupun benar matlamat yang sama boleh juga dicapai tanpa kemajuan ekonomi seperti yang dibuktikan oleh ramai watak2 sejarah, kita perlu ingat bahawa yang menjadi tanggungjawab kita di sini bukanlah individu tetapi masyarakat.

    Berbalik kepada soal ilmu. Kita tidak boleh lagi berfikiran bahawa ilmu itu harus 'dicari dan dibawa balik dan disimpan'. Pada saya ini adalah satu penyakit. Penyakit yang tidak sedar betapa ilmu itu bersifat dinamik.

    ReplyDelete
  2. Hari ini dengan bantuan Google, berjuta-juta maklumat dan ilmu pengetahuan boleh dicapai dengan carian mudah. Bukan dengan mempunyai simpanan ilmu pengetahuan yang paling banyak kita akan melahirkan generasi yang berilmu, tetapi kita harus mendidik pelajar untuk mencipta ilmu pengetahuan. Saya tidak rasa ada perkataan yang lebih cocok dari mencipta.

    Mentaliti mencari ilmu mempunyai implikasi negatif kepada epistemologi seseorang kerana secara tidak langsung ia berfahaman ilmu itu bersifat statik, tidak berubah dan jumlahnya bersempadan.

    Hipotesis saya, pandang alam kita berfahaman bahawa kita mengetahui lampauan perlakuan Tuhan. Misalnya, bila bercakap tentang takdir, amat mudah untuk frasa 'Semuanya takdir Tuhan','Aku berserah pada takdir' terpacul dari mulut individu dalam situasi tertentu. Persoalannya, mengapa pada waktu terdesak itu individu berkenaan mengandaikan dia mengetahui ketidakbatasan perlakuan Tuhan?

    Pada saya ini adalah penyalah gunaan konsep takdir. Tiada yang patut mengingatkan diri tentap takdir hanya pada sesuatu waktu tertentu dan bertindak seperti tidak memahaminya ketika berada di luar waktu tertentu tadi.

    Jika Prof masih sanggup membaca. Bayangkan datang individu kedua yang kita boleh sandarkan sebagai B. A adalah individu yang mengingati takdir ketika waktu tertentu tadi. B lebih banyak mengingati betapa manusia mempunyai kebebasan dalam tindakannya. B faham bahawa wujudnya kafir seperti Firaun dan Hamun adalah antara bukti paling kukuh kepada kebebasan yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia. Manusia diberi pilihan untuk beriman atau tidak. Bukankah itu kebebasan yang paling besar diberi Tuhan?

    Kembali kepada si A yang lebih mengingati takdir. Pada A semuanya takdir, jika tidak mustahil Tuhan itu Maha Mengetahui.

    Saya rasa Prof sudah mula nampak kemana tujuan saya.

    Jadi, bagaimana A dan B boleh disatukan? A melihat dunia adalah kebebasan dan B melihat dunia sebagai aturan.

    Saya rasa, akal manusia manapun tidak akan mampu menyelesaikan paradoks A dan B tadi. Di sinilah kita mula 'percaya' kepada Tuhan. Kerana ilmu tentang Tuhan itu adalah mustahil.

    Jika Prof setuju dengan kenyataan akhir saya tadi, tidakkah Prof juga setuju bahawa A dan B membuat sesuatu yang mustahil? Iaitu yakin dengan pemahaman mereka tentang Tuhan?

    Negara Eropah membayar nilai yang cukup mahal sebelum epistemologi mereka berkembang sehingga hari ini. Banyak kritikan boleh diberi kepada pencapaian mereka, tetapi adakah wujud tamadun lain di dunia yang pernah membayar ilmu agama untuk ilmu 'dan lain-lain'.

    Saya jauh dari mencadangkan kita harus mengikut langkah yang sama. Jika ada yang terfikir saya ingin mencadangkan sedemikian, itu juga bukti bahawa kita masih terikat kepada 'mentaliti mencari ilmu' di ""sana"".

    Tetapi saya yakin, untuk berlaku satu anjakan epistemologi dalam kalangan kita, satu kejadian yang tidak kurang hebatnya harus berlaku kepada dunia kita; dunia Islam terutamanya. Kita mesti mengalami kesakitan yang Eropah alami, sebelum kembali yakin mampu mencipta tamadun dengan acuan sendiri.

    Maaf kepada coretan panjang ini. Saya ingin melahirkan pendapat saya tentang peranan bahasa yang nampaknya tiada dalam kalangan rakan saya yang berminat tentang masa depan Bahasa Melayu.

    Sekian.

    ReplyDelete