Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, March 22, 2012

Ucapan Ketua Pengarah DBP: Majlis Anugerah Sastera Negara Ke-11


TEKS UCAPAN ALU-ALUAN
YBHG. DR. HAJI AWANG BIN SARIYAN, KETUA PENGARAH DBP
MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA PENYELENGGARA ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-11

MAJLIS PENGURNIAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-11

20 MAC 2012, 9.30 MALAM
HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah; dan
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Ampun Tuanku,

1. Patik selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggara Majlis Anugerah Sastera Negara Kesebelas merafak sembah serta menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Duli-duli Tuanku mencemar Duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara yang kesebelas ini.

2. Sesungguhnya keberangkatan Duli-duli Tuanku ke majlis ini menambahkan lagi seri majlis dan merupakan lambang naungan Tuanku terhadap bahasa dan persuratan di negara ini. Keberangkatan Tuanku berdua juga memberikan suntikan semangat kepada patik sekalian, khususnya para sasterawan, budayawan dan cendekiawan untuk terus memartabatkan bahasa dan persuratan.

3. Pada malam ini, seorang lagi sasterawan akan menerima Anugerah Sastera Negara dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kesebelas. Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada sasterawan di negara ini. Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tuanku mengurniakan anugerah ini sebentar lagi.

4. Ampun Tuanku. Patik memohon perkenan Tuanku untuk menyampaikan ucapan kepada sidang hadirin dalam majlis ini.

Ampun Tuanku.

Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-11 dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd. Sidek Hasan, Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh bin Yaapar
Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Datin

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri

Tuan Yang Terutama Duta-Duta dan Pesuruhjaya Tinggi di Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah
Sasterawan Negara Ke-11 yang diraikan

Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,

Para Sasterawan Negara

Panel penilai Anugerah Sastera Negara, dif-dif kehormat dan hadirin yang dihormati.

5. Terlebih dahulu, bagi pihak Jawatankuasa Penyelenggara Majlis Anugerah Sastera Negara kesebelas saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman kerana dapat hadir bersama-sama kita pada malam ini. Kehadiran YAB Tan Sri, Yang Amat Berbahagia Puan Sri, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk dan sidang hadirin amat kami hargai dan alu-alukan.

6. Semenjak Anugerah Sastera Negara diperkenalkan oleh kerajaan selama lebih tiga dekad yang lalu, seramai sepuluh orang sasterawan telah menerima anugerah, iaitu Kamaluddin Mohamad atau Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang atau Tongkat Warrant (1983), A. Samad Said (1985), Muhammad Abdul Biang atau Arenawati (1987), Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), Syed Othman Syed Omar (2003) dan Anwar Ridhwan (2009).

7. Pada tahun ini, penerima Anugerah Sastera Negara yang kesebelas ialah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah, atau nama pena beliau Kemala atau Akmal Jiwa. Penganugerahan ini telahpun diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 2 Mei tahun lalu.

8. Pengurniaan Anugerah Sastera Negara merupakan iltizam kerajaan yang berterusan untuk memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian sasterawan dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan. Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar sasterawan, kerajaan memberikan ganjaran sebanyak RM60 ribu, dan menerbitkan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya bernilai maksimum RM500 ribu. Karya tersebut akan dibeli dan disebarkan secara meluas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

9. Pemilihan Sasterawan Negara antaranya berdasarkan penilaian mengenai mutu karya sastera, sumbangan kreatif dan fikiran yang berkaitan dengan dunia sastera, dan kegiatan sasterawan secara berterusan yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Konsep atau taraf sastera kebangsaan di Malaysia tidak ditakrifkan atau dijelaskan melalui proses undang-undang, sebagaimana taraf bahasa kebangsaan. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 telah menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Perkara ini dapat ditafsirkan bahawa sastera kebangsaan ialah karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu. Semua penduduk Malaysia sewajarnya dapat membaca, memahami dan menghayati karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu.

11. Tafsiran ini bererti bahawa sastera kebangsaan adalah untuk semua rakyat Malaysia, dan bukannya untuk orang Melayu sahaja. Yang penting ialah mesej, persoalan kemanusiaan, konteks persekitaran, alam sosial dan alam budaya setempat yang melatari karya itu. Mesejnya mestilah dapat menembusi sempadan bangsa dan etnik dan berfungsi sebagai pencetus “nilai-nilai bersama” rakyat Malaysia seluruhnya. Saya menyeru rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum supaya menghasilkan karya dalam bahasa kebangsaan.

12. Sastera juga bukan sahaja untuk orang bahasa atau orang sastera. Sebaliknya sastera adalah untuk semua kerana sastera wujud dalam kehidupan manusia secara orang perseorangan dan juga kelompok masyarakat.. Saya berharap penulis dari disiplin ilmu yang lain seperti perubatan, sains, undang-undang dan pengajian Islam turut serta dalam menyuburkan dunia sastera.

13. Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang senantiasa prihatin akan perkembangan bahasa dan persuratan di negara kita. Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita terus terpelihara. Kerajaan telah menggubal dasar dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan penghasilan karya di negara kita.

14. Langkah kerajaan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dapat dianggap sebagai serampang dua mata untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sekali gus melahirkan pelajar yang menguasai pelbagai bahasa.

15. Pada tahun ini, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri , telah mengumumkan dana khas untuk membantu penulis dan karyawan. Pertama, dana berjumlah RM2 juta untuk mengiktiraf penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu. Penulis yang memenangi kategori ini akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. Kedua, YAB Timbalan Perdana Menteri juga telah meminta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan dana bagi membantu persatuan-persatuan penulis mengadakan kegiatan masing-masing. Sebagai permulaan, pada tahun ini DBP memperuntukkan RM300,000.00 untuk tujuan ini. Langkah ini menunjukkan bahawa YAB Timbalan Perdana Menteri memberi perhatian yang sangat serius terhadap usaha memartabatkan bahasa dan persuratan kita.

16. Akhir sekali saya bagi jawatankuasa penyelenggara majlis ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah, penerima Anugerah Sastera Negara Kesebelas. Kita berharap beliau dan para sasterawan yang lain akan senantiasa menghasilkan karya sastera yang bermutu, juga mampu menjadi warga sastera dunia bukan sahaja dengan mendapat pengiktirafan serantau, malah pada peringkat antarabangsa. Terima kasih saya ucapkan kepada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan YABhg. Puan Sri Norainee Abdul Rahman, dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan yang turut memeriahkan majlis penganugerahan Sasterawan Negara pada malam ini.

Ampun Tuanku,

17. Demikianlah ucapan patik kepada sidang hadirin sekalian. Patik sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat hadir menyempurnakan majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ini. Patik sekalian berdoa semoga Duli-duli Tuanku sentiasa dalam peliharaan Allah dan dengan berkat daulat Tuanku negara kita dan rakyat jelata seluruhnya sentiasa berada dalam limpahan rahmat keamanan, kedamaian dan perpaduan.

Ampun Tuanku.
Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment