Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, October 18, 2012

Ucapan KP DBP dalam Majlis Pelancaran BBK 2012

UCAPAN ALU-ALUAN KETUA PENGARAH
MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2012
10 OKTOBER 2012 DI STADIUM TERTUTUP NILAI, NEGERI SEMBILAN

Assalamualaikum warahmatullah
Salam sejahtera, salam satu Malaysia
Salam satu bahasa, satu bangsa, satu negara
Bismillahirrahmanir rahim. Alhamdulillahi rabbil alamin. Wabihi nastain.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
Yang Berhormat Dr. Mohd. Puad bin Zarkhasi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia
Yang Berhormat Anggota-anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Yang Berbahagia Dato’ Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Md. Salleh bin Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka
Datuk-datuk, Datin-datin, pimpinan media dan hadirin hadirat yang dimuliakan.

1. Alhamdulillah dengan inayah Allah s.w.t ., Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 2012 dapat dilangsungkan pada petang ini di Negeri Sembilan Darul Khusus, negeri yang kaya dengan warisan budaya.

2. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kami sampaikan kepada YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan, atas kehadiran untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 2012 peringkat kebangsaan. Ucapan terima kasih dan penghargaan kami sampaikan juga kepada YAB Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hassan bin Hj. Mohamad, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus sebagai tuan rumah Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, yang telah memberikan pelbagai kemudahan, sokongan dan kemudahan untuk kami menjayakan majlis pada hari ini. Kepada hadirin hadirat yang hadir untuk bersama-sama memperkukuh iltizam dan semangat juang memartabatkan bahasa kebangsaan kita, terima kasih jua kami ucapkan.

Yang Amat Berhormat dan hadirin hadirat,

3. Bulan Bahasa Kebangsaan ialah salah satu acara tahunan negara yang berkaitan secara langsung dengan salah satu dasar negara yang penting, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan. Kegiatan awalnya telah bermula pada tahun 1960-an. Dari tahun 1999 hingga tahun 2008, kegiatan itu dijenamakan semula sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan bermula pada tahun 2009, nama Bulan Bahasa Kebangsaan digunakan semula, untuk memberikan penegasan khusus tentang erti dan peranan bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara.

4. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan, iaitu “Satu bahasa, satu bangsa dan satu negara” berkaitan secara langsung dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang bertujuan membentuk satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan pembentukan satu bangsa itu pula menjadi asas pembentukan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, iaitu negara Malaysia. Sebagaimana di negara-negara lain, faktor bahasa sebagai asas jati diri dan perpaduan rakyat serta wasilah pembangunan tamadun negara amat relevan dengan konteks negara kita. Slogan “Memartabatkan bahasa kebangsaan” pula menjadi asas perjuangan untuk menjadikan bahasa kebangsaan kita benar-benar bermartabat dan dimartabatkan pada tempatnya yang hak sebagai bahasa negara, menurut peruntukan undang-undang negara, iaitu perlembagaan dan akta-akta yang berkaitan. Bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan hanya benar-benar bermartabat apabila bahasa itu dimartabatkan oleh seluruh warganegara pelbagai peringkat melalui penggunaannya dengan meluas dan berkesan dalam semua bidang kehidupan bertamadun di negara ini, seperti pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media am (media cetak dan media elektronik), perdagangan, tempat awam dan juga sebagai bahasa perhubungan umum atau lingua franca.

Yang Amat Berhormat dan hadirin hadirat,
5. Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 insya-Allah akan diisi dengan sejumlah kegiatan yang mudah-mudahan memberikan impak besar kepada peningkatan kesedaran, iltizam dan kesungguhan seluruh warganegara pelbagai lapisan, daripada kepemimpinan, penjawat awam, penggerak sektor swasta, badan bukan kerajaan dan rakyat jelata dalam menggalas tanggungjawab bersama memartabatkan bahasa kebangsaan dengan pengertian yang sebenar-benarnya. Selain majlis pelancaran peringkat kebangsaan dan peringkat negeri, kegiatan lain meliputi Kembara Bahasa, Pameran Bahasa dan Persuratan Kebangsaan, Wacana Ilmu, Sayembara, Penataran, dan Promosi serta Publisiti di media am. Kembara Bahasa yang merupakan pergerakan berkonvoi pelbagai jenis kendaraan di seluruh negara melibatkan penyertaan pelbagai golongan usia, kerjaya dan keturunan dengan pelaksanaan pelbagai kegiatan bahasa dan persuratan di setiap stesen persinggahan, seperti kegiatan pantau tegur bahasa, tinjauan penggunaan bahasa di tempat awam, baca puisi, dialog dengan masyarakat setempat, promosi bahasa dan persuratan, riadah bersama masyarakat setempat dan beberapa yang lain. Falsafah yang dijadikan landasan program Kembara Bahasa ialah pergerakan dari pelbagai arah, pelbagai kelompok rakyat bergerak seiring menuju ke destinasi dan matlamat yang sama, iaitu pembentukan satu bangsa dan satu negara.

6. Untuk menjadikan Bulan Bahasa Kebangsaan lebih berkesan, pada tahun ini dimulakan kegiatan-kegiatan prapelancaran dan kegiatan pascapelancaran hingga hujung tahun 2012, agar lebih banyak kegiatan dapat dilangsungkan dan lebih banyak pihak dapat terlibat. DBP sebagai urus setia BBK turut melakukan kajian keberkesanan kegiatan-kegiatan BBK dengan menjadikan peserta kegiatan BBK sebagai responden kajian, agar dapat dilakukan penambahbaikan pada tahun-tahun akan datang.

7. Akhirnya, kami sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan YAB Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hassan bin Hj. Mohamad, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, dif-dif kehormat, hadirin dan hadirat. Wabillahi hidayah wal taufik, wassalamualaikum warahmatullah.

Pejabat Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka

10 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment