Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, December 2, 2012

Bulan Bahasa Kebangsaan daripada kaca mata Uthaya Sankar

Free Malaysia Today

3 Disember 2012

Ketua Pengarah DBP tetap optimis walaupun objektif penganjuran masih belum tercapai sepenuhnya.

Dalam soal memartabatkan serta menjaga mutu Bahasa Malaysia, orang ramai biasanya meletakkan tugas dan tanggungjawab itu pada bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Namun, pada hakikatnya, tugas berkenaan merupakan tanggungjawab bersama setiap rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan mengemukakan pandangan yang sama sewaktu kami bertemu di pejabat beliau di Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November lalu untuk berbincang tentang program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

BBK 2012 peringkat kebangsaan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan pada 10 Oktober lalu manakala pelbagai program bahasa dan sastera diatur selama tiga bulan di seluruh negara.
“Dalam tempoh sebulan, waktu tidak cukup untuk melibatkan kelompok-kelompok yang penting dan meluas dalam pelbagai kegiatan yang padat dalam masa sebulan,” katanya sebagai menjelaskan perubahan yang dilakukan mulai tahun ini.

Sesungguhnya banyak program rasmi dan tidak rasmi diatur sepanjang Oktober hingga Disember 2012 di seluruh negara. Maklumat mengenainya disiarkan dalam majalah-majalah DBP keluaran Oktober lalu.

Dr Awang yang menerima Anugerah Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan daripada Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada 31 Ogos lalu melihat “Kembara Bahasa” sebagai salah satu pengisian penting bagi BBK.

“Dalam program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dahulu, Kembara Bahasa merupakan satu pakej penting. Kali ini, ia diadakan kembali sebagai usaha pemantauan bahasa, menghayati nilai keindahan bahasa dan tegur bahasa,” katanya.

Penyertaan Bukan Melayu masih kurang

Kembara Bahasa berlangsung pada 20-24 November serta melibatkan peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan, swasta, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO). Program ini melibatkan pergerakan simbolik kenderaan berkonvoi secara serentak melalui empat laluan – utara, timur, selatan, tengah – menuju ke Putrajaya sambil mengendalikan kegiatan bahasa, persuratan dan kemasyarakatan.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut menerima undangan pada 12 November 2012 tetapi memandangkan rata-rata ahli Kavyan baru sahaja kembali ke tempat kerja selepas cuti panjang (10-18 November) sempena Deepavali, amat mustahil untuk memohon cuti tambahan bagi menyertai Kembara Bahasa dengan notis yang relatif singkat. Mungkin penganjur terlepas pandang perkara ini sehingga menyebabkan penyertaan khalayak Bukan Melayu dalam Kembara Bahasa kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, Kavyan sempat menganjurkan “Baca Cerpen Kavyan” di Menara DBP pada 3 November sebagai pengisian BBK. Persatuan-persatuan penulis dan NGO lain turut mengendalikan pelbagai aktiviti di seluruh negara dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”.

Dr Awang mengakui bahawa penyertaan masyarakat Bukan Melayu pada kali ini memang amat kurang disebabkan pelbagai faktor. Bagi BBK 2013, beliau berharap perancangan dapat dilakukan sejak awal tahun supaya penglibatan adalah lebih menyeluruh dan menggambarkan realiti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Sekali lagi, tentulah tugas dan tanggungjawab melakukan perancangan lebih teliti sambil mengambil kira pelbagai perkara seperti di atas tidak terletak pada bahu DBP semata-mata. Sebaliknya, semua pihak pada semua peringkat harus sama-sama terlibat serta sensitif terhadap cuti musim perayaan kaum/agama pada Oktober-Disember apabila membuat perancangan aktiviti. Janganlah pula memberikan undangan pada saat akhir sehingga menyukarkan orang ramai menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Malah, berdasarkan program selama dua bulan lalu, Ketua Pengarah DBP mengakui bahawa objektif BBK belum tercapai sepenuhnya. Walaupun penyertaan adalah jauh lebih luas berbanding tahun-tahun sebelumnya, masih ada banyak ruang untuk melakukan pembaikan.
“BBK perlulah dianggap sebagai program negara walaupun masih ada yang melihatnya sebagai program DBP. Saya harap pihak swasta, kementerian, persatuan penulis, NGO dan semua sekali terlibat sama bagi memeriahkan dan menjayakan program memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Perlu buat perancangan lebih awal

Bagi bulan Disember pula, DBP merancang untuk mengadakan pesta buku secara besar-besaran di kota-kota utama seluruh negara sebagai usaha menghidupkan budaya ilmu.
“Melalui pseta buku itu, kita bukan hanya mempamerkan atau menjual buku, tetapi kita sepadukan dengan kegiatan bahasa dan sastera. Untuk itu, soal pemilihan lokasi adalah penting. Kita perlu memilih tempat yang selalu dikunjungi orang supaya objektif tercapai,” beliau menghuraikan.

Sekiranya senarai aktiviti BBK dirujuk dalam majalah-majalah DBP keluaran Oktober lalu, rata-rata program yang dirancang adalah bagi bulan berkenaan sahaja. Majalah-majalah keluaran November dan Disember tidak pula menyiarkan sebarang jadual aktiviti bagi bulan-bulan berkenaan.

Dr Awang mengakui bahawa kebanyak program besar sempena BBK sudah dilaksanakan manakala bulan ini diisi dengan pelbagai acara kecil yang masih meneruskan tradisi dan semangat memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa milik seluruh rakyat.

Berbalik pada soal kurangnya penglibatan masyarakat Bukan Melayu, beliau menegaskan bahawa DBP dan semua pihak terbabit perlu mengambil kira masalah yang timbul serta menggerakkan usaha bersungguh-sungguh melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum dengan membuat perancangan teliti sejak awal tahun sebagai persiapan bagi BBK 2013.
“Publisiti juga harus dilakukan secara lebih meluas supaya dapat mewar-warkan kepada orang ramai mengenai program-program yang diatur. Persatuan dan NGO pelbagai kaum yang berminat melaksanakan aktiviti sempena BBK boleh mengemukakan permohonan lebih awal kepada DBP. Peranan media juga amat penting dalam menyebarkan maklumat berkaitan kepada khalayak.

“Malah, saya berharap aktiviti bukan hanya di kota-kota dan kawasan bandar, sebaliknya sampai kepada khalayak di kawasan terpencil juga. Saya mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak yang mahu terlibat sama dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan,” katanya.

Audit Bahasa bermula Januari 2013

Dalam soal memartabatkan Bahasa Malaysia di luar konteks program BBK itu sendiri, Dr Awang menekankan pentingnya ketegasan dalam pelaksanaan usaha itu.
“Gerakan bahasa dan sastera kebangsaan semakin mendapat perhatian kerajaan dan orang ramai. Namun, komitmen yang lebih menyeluruh daripada semua pihak masih diperlukan. Saya berharap Audit Bahasa yang akan dimulakan pada Januari 2013 mendapat sokongan padu semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Pengauditan ini bertujuan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam semua sektor,” beliau menghuraikan.
Dr Awang optimis bahawa dalam masa tiga tahun, kita akan nampak lonjakan semangat dan komitmen untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dan bermutu dalam pelbagai sektor.

Ringkasnya, walaupun BBK yang pada asalnya dijalankan selama sebulan sudah diluaskan selama tiga bulan, tugas semua pihak dalam usaha untuk sama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan perlukan dilakukan secara berterusan sepanjang masa.
Dalam soal ini, tidak dapat tidak, saya teringat akan kenyataan Dr Awang yang disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Ogos 2012. Beliau bersetuju dengan pandangan saya bahawa golongan politikus menjadi antara pihak yang paling banyak menghancurkan Bahasa Malaysia.

Maka, bagi BBK 2013, mungkin pemantauan khas boleh dilakukan terhadap penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan golongan politikus; khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan selepas memegang jawatan dalam kerajaan pusat/negeri selepas PRU-13.
Persatuan dan NGO yang berminat mengendalikan aktiviti sempena BBK 2013 boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan panduan memohon dana.

No comments:

Post a Comment