Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, June 15, 2010

Puisi: Mengenangmu Ayahandaku

Andainya mampu kuputar waktu
Seribu harapan untukku terus bersama-sama denganmu

Andainya mampu kuputar usiaku
Sejuta dambaan dapat kurasakan belai kasihmu

Andainya mampu kuputar jalan hidupku
Ingin aku mengabadikan bakti kepadamu

Andainya mampu kuputar derita getirmu
Ingin aku menjadi galang gantinya

Andainya mampu kuputar jejakmu
Ingin kusantuni sekalian sahabat taulanmu

Andainya mampu kuputar sejarah leluhurmu
Ingin kutelusur persebarannya di rantau alam Melayu ini

Andainya mampu kuputar lakuku
Ingin kubersihkan segala dosaku kepadamu

Wahai ayahandaku yang telah pulang
Tiadalah dayaku
memutar segala yang telah berlalu
Redhalah aku akan kepergianmu
kembali ke haribaan Rabbul Izzati

Munajatku akan tetap kuhadapkan kepada-Nya
Bahagialah ayahanda dinaungi rahmat-Nya
Semoga segala hak dan amanah yang telah ayahanda tunaikan
kepada pencipta jiwa dan jagat raya
juga kepada makhluk di alam semesta
memberikan sinar di alam barzahmu

Istirahatlah wahai ayahandaku
di alam yang bebas daripada tipu daya dunia
sementara menanti tibanya alam mahsyar
perhimpunan besar penentu destinasi abadi
Semoga kita bersua di syurga jannati.

11.30 malam, 15 Jun 2009

5 comments:

  1. Salam, Prof,
    Sayu hati saya dengan sajak ini. Saya masih punya ayah, yang kadang-kadang saya terlupa untuk menghubunginya walaupun saya sentiasa mengingatnya. Ya, Prof, kita tidak mampu memutar waktu dan saya wajib menghargai detik ini. Terima kasih, Prof dan sekali lagi salam takziah buat Prof sekeluarga.

    P.S. Saya yakin Prof ada kembali ke tanah air, tetapi saya tidak fikir sekarang waktu yang sesuai untuk menghubungi Prof.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Saya belum dapat pulang ke tanah air kerana memenuhi tanggungjawab yang sedang mendesak di sini. Insya-Allah pada 8 Julai baru saya berangkat pulang untuk bercuti musim panas. Terima kasih banyak atas sokongan semangat pada saat saya "sebak dalam redha".

    ReplyDelete
  3. Salam,Prof..
    Saya pun trsentuh membaca sajak ini..ayah saya pun sudah stahun pergi mninggalkan dunia,dan Alhamdulillah Allah mmberi pluang kepada saya untuk brada di sbelah arwah di saat dia nazak..Trima kasih Prof kerana menulis sajak ini..
    Takziah buat Prof..

    ReplyDelete
  4. Takziah buat Prof... Semoga tabah mengharunginya

    ReplyDelete
  5. Sdr Rozaid dan Srikandi Idaman,

    Terima kasih. Saya redha kerana telah sampai saatnya Allah menjemputnya kembali. Semoga titipan doa saya, kaum kerabat, sahabat dan kenalan untuk Allahyarham diterima Allah.

    ReplyDelete