Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, November 4, 2013

Puisi "Perihal Kuda"

Perihal Kuda

Ada orang yang berkuda
untuk ke mana-mana
Ada orang yang berkuda
untuk bersuka-suka
sebagai riadah senggang masa

Ada kuda
Ada kuda-kuda
Kuda bernyawa
kuda-kuda hanya benda
tanpa nyawa
kuda-kuda di bumbung rumah
kuda-kuda alat permainan si manja
kuda-kuda kedudukan dalam persilatan

Ada orang yang memperkuda
sesiapa sahaja yang sanggup diperkuda
untuk kuasa atau harta
untuk nama atau wanita
Yang memperkuda beroleh laba
Yang diperkuda ada kalanya beroleh hampa

Demikian perihal kuda
Berkuda dan bermain kuda-kuda
untuk keperluan manusia
Namun memperkuda
dan rela diperkuda
sifat dan tabiat tercela
Kuda diperkuda memang fitrah
Manusia diperkuda punah maruah

Kembara Bahasa
5 November 2013/1 Muharam 1435

No comments:

Post a Comment