Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, May 24, 2010

Isu Mitos Penarafan Universiti Sedunia daripada Kaca Mata Sarjana Barat

[Sejak beberapa tahun belakangan ini hampir seluruh pemimpin IPT di Malaysia turut terjebak dan terpukau oleh jampi serapah dan mantera badan penarafan universiti sedunia, Times Higher Education (THE) dan Quacquarell Symonds (QS), sehingga dalam jaga dan dalam mimpi mereka THE dan SQ menjadi igauan, dan kadangkala menjadi mimpi buruk yang menakutkan. Maka berlumba-lumbalah para pemimpin IPT berusaha untuk memenuhi persyaratan dukun dan pawang kedua-dua badan yang rupa-rupanya tidak memiliki kaedah perdukunan ilmiah yang telus dan tuntas, sebaliknya lebih berasaskan agenda komersial. Apabila pandangan diberikan oleh orang bukan Barat, hatta oleh Prof. Diraja Ungku Aziz sendiri, mantan Naib Canselor di negara ini yang belum ada gantinya, kebanyakan pihak meremehkannya. Baru-baru ini Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Zulkifli Abd. Razak turut menulis rencana yang kritis tentang isu itu dalam Utusan Malaysia (19 Mei 2010). Kini seorang sarjana Barat yang baru dilantik kira-kira setahun lalu menjadi Pengerusi Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman, Prof. Dr. Arndt Graf, kebetulan teman lama saya, dengan telus dan tulusnya memberikan pandangan yang turut menyangkal mitos penarafan universiti sedunia itu. Beliau turut merintih kerana kepalsuan yang turut menjadi mitos juga dalam kalangan pemimpin institusi ilmiah apabila bahasa Inggeris dianggap satu-satunya bahasa Barat yang bermartabat bahasa ilmiah, sedang bahasa-bahasa Barat lain seperti Jerman, Perancis dan yang lain tetap utuh sebagai sendi tamadun bangsa-bangsa Barat lainnya. Di Malaysia, kebanyakan pemimpin ilmiah hampir-hampir tidak memberikan nilai ilmiah sama sekali (malah ada yang terus-terang menolaknya daripada kriteria pengiktirafan kesarjanaan) kepada karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Alangkah "tingginya rasa rendah diri" sebilangan pemimpin kita yang bergelar ilmuwan!]

RENCANA (Utusan Malaysia, 25 Mei 2010)
Apa sebenar penarafan universiti sedunia?

Oleh Prof. Dr. Arndt Graf

Debat tentang penarafan universiti sedunia sedang semakin hangat, khususnya sejak Phil Baty dari Times Higher Education World University Rankings dan Times Higher Education (THE) magazine baru-baru ini mengaku bahawa penarafan dari THE selama ini mempunyai beberapa masalah besar dan oleh kerana itu tidak sah.

Sayang sekali, sebelum pengakuan yang mengejutkan itu dibuat, sejumlah universiti di seluruh dunia termasuk di Malaysia, selama ini ditipu oleh data-data yang tidak sah itu. Oleh kerana mereka percaya pada data-data penarafan universiti sedunia itu, banyak wang dikeluarkan untuk 'naik' dalam penarafan yang digembar-gemburkan itu, termasuk untuk meningkatkan jumlah pensyarah 'antarabangsa.'

Beberapa hari lalu Nunzio Quacquarelli, Pengarah Urusan Quacquarelli Symonds (QS), pula mengatakan bahawa "Apa yang mengejutkan ialah kecenderungan pemimpin universiti dan kerajaan menggunakan ranking untuk menentukan sasaran strategik."

Namun, kejutan demi kejutan bahawa penarafan THE dan QS itu palsu mungkin juga membawa untung. Kini kita semua boleh merenung kembali mengapa sebenarnya penarafan universiti sedunia seperti yang dilakukan oleh THE dan QS boleh menjadi begitu penting dalam kurun waktu beberapa tahun sahaja. Bagaimana situasi dahulu sebelum syarikat swasta seperti THE dan QS menerbitkan penarafan mereka?

Harus diakui bahawa universiti-universiti sedunia dulu juga ditarafkan, iaitu secara tidak formal dan berdasarkan kriteria yang amat bermasalah. Misalnya, pada zaman kolonial dan mungkin sampai akhir-akhir ini, banyak profesor di Eropah atau di Amerika Syarikat dan Australia kurang mengakui mutu universiti-universiti di luar Barat secara umum.

Saya sendiri termasuk orang yang diminta pandangan oleh THE dan QS dalam penarafan universiti-universiti sedunia, dan saya seperti semua profesor lain yang ditanya, diminta untuk memberi persepsi subjektif saya. Kebetulan saya sedikit tahu tentang sistem universiti di Malaysia, kerana saya telah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia selama dua setengah tahun sebagai Profesor Madya dan seterusnya Profesor.

Namun, bagaimana dengan profesor asing lain yang pandangannya masuk ke penarafan THE dan QS? Apakah mereka memang tahu bahawa Universiti Malaya, umpamanya institusi yang berbeza dari Universiti Kebangsaan Malaysia?

Di luar negara, istilah "Malaya" dan "Malaysia" sampai sekarang sering dicampur-aduk!

Jelas, penarafan universiti-universiti sedunia berdasarkan kriteria yang jelas dan rasional akan merupakan kemajuan kalau faktor-faktor stereotaip dan prasangka dapat diatasi. Ini membawa kepada pertanyaan, apa sebenarnya faedah penarafan universiti sedunia?

Untuk negara seperti Malaysia yang ingin menarik banyak pelajar asing, jawapannya jelas: Kedudukan yang tinggi dalam penarafan universiti sedunia berfungsi sebagai maklumat kepada pelajar asing bahawa universiti di Malaysia dapat dipercayai, walaupun umur daripada banyak universiti di Malaysia belum begitu panjang kalau dibandingkan dengan universiti-universiti lama di Eropah.

Dari segi itu, penarafan boleh membantu universiti muda dan negara berkembang dalam usaha mereka untuk menarik pelajar asing. Ini dapat menjadi faktor ekonomi dalam persaingan dengan negara industri yang lama.

Walau bagaimanapun, erti dan faedah sebenar penarafan universiti sedunia akan tetap amat terbatas. Hal ini kerana aktiviti penarafan tidak mungkin mengukur semua kegiatan akademik di semua universiti sedunia secara rasional, jelas dan sah.

Bidang penyelidikan dan penerbitan sahaja amat kompleks - dan amat berbeza umpamanya antara sains dan ilmu kemanusiaan. Begitu juga dari aspek bahasa. Misalnya, apakah kita semua harus mengabaikan penerbitan dalam bahasa ibunda kita masing-masing, hanya kerana dalam penarafan universiti sedunia hanya terbitan dalam bahasa Inggeris? Tentu tidak! Bahasa Melayu, Perancis, Rusia, Arab, China, Jerman dan lain-lain mesti terus digunakan sebagai bahasa ilmiah.

Kalau perlu, yang patut dihapuskan adalah penarafan universiti sedunia, bukan bahasa ibunda kita masing-masing.

PENULIS ialah Pengerusi Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman.

3 comments:

  1. Salam, Prof;
    Kembang hati ini apabila membaca ulasan Prof. Dr. Arndt Graf itu.

    Dato' Baha baru menyentuh hal bahasa dalam Blognya. Seorang jurukomen di Blog itu ada memetik tulisan Prof dalam Utusan itu dan ulasan Prof. Dr. Arndt Graf.

    Saya tidak membeli Utusan sejak sekian lama.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Demikianlah, orang Barat yang rasional pun menolak sesuatu yang tidak wajar, apatah lagi orang Barat yang memang maju dengan perantaraan bahasanya, seperti orang Jerman yang diwakili oleh Prof. Arndt Graf itu. Tiga kali saya di Jerman; ternyata bahawa bahasa Jermanlah yang dominan dalam segi-segi utama kebudayaan dan kehidupan mereka, termasuk di tempat awam, tidak seperti di bandar-bandar di negara kita yang kurang mencerminkan citra dan jati diri Malaysia oleh sebab bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih di tempat kedua atau ketiga.

    Saya sudah membaca blog Datuk Baha; memang beliau antara pejuang yang istiqamah dari zaman mudanya. Sebilangan yang lain ditelan arus kepentingan peribadi.

    ReplyDelete
  3. Bahasa Melayu adalah bahasa kita yang pernah menjadi bahasa antarabangsa sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka. Maka kita perlu merasa dukacita di atas kelemahan Bahasa Melayu pada hari ini yang tidak begitu diharapkan oleh pemimpin kita supaya menjadi bahasa dunia seperti itu. Malang sekali situasi ini berlaku pada hari ini yang sepatutnya diperhebatkan lagi

    ReplyDelete