KUNJUNGAN KE BALDATUN NA GU
Keterangan gambar: (1) Pemandangan bandar Na Gu dari jalan raya; (2)Masjid Na Jia Ying; (3)Dewan solat; (4) Dengan dua orang Haji Salehah; (5)Masjid wanita (masjid asal, 100 tahun); (6) Madrasah 5 tingkat
Kerana hasrat saya ke Kunming bukan sekadar untuk rehlah bersama-sama dengan keluarga, malahan untuk membuat kajian umum tentang Islam di provinsi Yunnan, maka saya meminta Khairul @ Xie Kankan, pelajar saya di Beijing Foreign Studies University memberitahu ayahnya di Kunming supaya mengatur kunjungan ke kawasan petempatan Islam. Permintaan itu dipenuhi oleh agen pelancongan di Kunming dengan mengatur perjalanan tiga jam lebih pada 5 Mei 2010 ke sebuah daerah di luar kota Kunming, melalui jalan yang berliku-liku dan sebahagiannya kurang baik.
Ketika kendaraan kami masuk ke daerah itu, di tepi lebuh raya tertulis dalam bahasa Arab ucapan selamat datang ke "Baldatun Na Gu". Saya terpegun kerana di negara yang saya sangka hanya menggunakan bahasa Mandarin dan sebahagiannya diterjemahkan dalam bahasa Inggeris rupa-rupanya turut meraikan bahasa Arab di kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Islam. Ungkapan nama Baldatun Na Gu itu pun menyebabkan saya tertanya-tanya adakah Na Gu bertaraf sebuah negeri atau negara, kerana kata itu bererti negeri atau negara, seperti yang saya fahami dalam ayat al-Qur'an "Baldatun taiyyibatun warabbun ghafur" (Negeri atau negara yang baik dan diampuni Allah).
Kami terus menuju ke bandar yang kira-kira sebesar bandar Kajang di Selangor dan mencari masjid sebagai pangkalan untuk saya mendapat maklumat tentang Islam dan masyarakat Islam di daerah itu. Sesampainya di hadapan pintu besar masjid di bandar itu, kami seolah-olah menerima suatu bentuk sambutan adat, apabila sepasang pengantin Islam dengan diiringi oleh sanak-saudara ditakdirkan sedang berjalan di hadapan masjid itu menuju ke sebuah restoran untuk majlis resepsi perkahwinan.
Saya tidak menduga bahawa di kawasan yang agak terpencil dan jauh dari kota besar terdapat sebuah masjid yang saiznya hampir menyamai saiz Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Bangunannya moden dan seni binanya lebih berunsurkan seni bina timur tengah, tidak seperti seni bina masjid-masjid lama di negara China. Kedudukan dewan solat yang tinggi, dengan puluhan anak tangga, segera mengingatkan saya kepada Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta. Dewan serba guna di lantai bawah masjid demikian besarnya, dan saya anggarkan dapat menampung tidak kurang daripada seribu orang. Di sisi kiri jalan masuk ke masjid terdapat sebuah sekolah lima tingkat, tempat anak-anak orang Islam setempat dan dari kawasan lain menuntut ilmu dalam bidang bahasa Arab, pendidikan Islam dan bidang ilmu lain.
Masjid khas untuk kaum wanita terletak kira-kira 500 meter di sebuah kawasan lain di seberang jalan masjid besar. Masjid yang berusia 100 tahun itu merupakan masjid yang asal sebelum didirikan masjid yang baharu itu. Seni binanya memperlihatkan warisan seni bina klasik China, sebagaimana seni bina masjid-masjid tua yang lain di negara China.
Sesudah selesai berwudhu', saya naik ke dewan solat dan menunaikan solat jamak takdim qasar Zohor dan Asar kerana telah masuk waktu. Namun, sebagaimana lazimnya di masjid-masjid di negara China, waktu Zohor berjamaah ditetapkan sama ada pada pukul 1.30 atau pukul 2 petang. Di Masjid besar Na Gu, solat berjamaah Zohor dilaksanakan pada pukul 2 petang, walaupun pada hari berkenaan masuknya waktu Zohor ialah pada pukul 12.45 tengah hari. Di bahagian hadapan dewan solat kelihatan sekitar 20 orang jamaah lelaki bertadarrus al-Qur'an.
Dengan waktu yang masih agak panjang untuk jamaah menunaikan solat berjamaah, saya mengambil kesempatan menemui anggota jamaah yang sedang berehat di pekarangan masjid untuk mendapat beberapa maklumat. Daripada Haji Salehah (nama Chinanya Na Heng Ci) yang berusia 71 tahun, dapat saya ketahui nama masjid itu, iaitu Masjid Na Jia Ying.
Menurut Haji Salehah, orang Hui, iaitu nama yang diberikan kepada umat Islam di negara China, telah mula menghuni daerah Na Gu sejak zaman Dinasti Yuan dari Monggolia pada abad ke-13. Beliau turut menjelaskan bahawa nama Na pada bahagian awal namanya (nama keluarga) berkaitan dengan orang di China yang nasabnya berkaitan dengan Nabi Muhammad s.a.w, barangkali sama dengan mereka yang berketurunan Sayyid seperti di Malaysia. Wawancara saya dengan Haji Salehah kemudian disertai pula oleh seorang Haji Salehah yang lain, berusia 73 tahun dan dua orang pelajar dari luar daerah Na Gu yang belajar bahasa Arab selama setengah tahun di madrasah kelolaan masjid.
Pengajian bahasa Arab, pendidikan Islam dan subjek-subjek lain di madrasah lima tingkat yang lengkap dengan asrama, itu terdiri daripada dua kategori, iaitu kursus yang meliputi tempoh satu tahun dan kursus yang meliputi tempoh tiga tahun, selain kursus jangka pendek semasa cuti sekolah dan pada waktu lain. Selain kelas pelajar lelaki, ada juga kelas untuk pelajar perempuan. Dana penyelenggaraan madrasah itu diperoleh daripada derma syarikat-syarikat milik orang Islam di bandar itu dan sebahagiannya daripada yuran yang dibayar oleh keluarga pelajar yang mampu.
Salah seorang pelajar yang sempat saya temui, He Shi Hao (17 tahun) menjelaskan bahawa di kelasnya terdapat 34 orang pelajar yang mengikuti kursus bahasa Arab dan ilmu-ilmu lain. Pengajian disampaikan dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa utama.
Bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an yang merdu oleh seorang lelaki dewasa yang diikuti oleh seorang kanak-kanak melalui sistem siar raya masjid menandakan bahawa solat Zohor berjamaah akan bermula. Betapa sayu dan hibanya hati mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an di sebuah negara yang pada anggapan umum tidak terpancar syiar Islam. Jamaah sudah berbondong-bondong naik ke dewan solat.
Kedua-dua orang Haji Salehah pun mohon diri untuk naik ke dewan solat dan kami sekeluarga dengan berat hati meninggalkan masjid itu untuk memenuhi keperluan alami mengisi perut yang kosong. Kami dibawa makan di sebuah restoran, dengan memilih jenis-jenis hidangan di dapur tempat tukang masak bertugas, bukan berdasarkan menu - suatu kelainan yang agak istimewa kerana kami dapat memilih saiz ayam dan kuantiti bahan mentah lain yang akan dimasak.
Sesudah itu kami berkeliling di sekitar bandar itu untuk meninjau kediaman masyarakat Islam. Ternyata bahawa banyak sekali rumah mewah milik usahawan Islam di bandar itu. Menurut Terry, pemandu pelancong kami, kebanyakan pemilik rumah itu ialah usahawan perlombongan atau kilang pengeluaran. Maka tidaklah menghairankan bahawa masjid sebesar itu dapat dibina di bandar tersebut kerana pastilah sebahagian besar sumbernya daripada amal jariah para usahawan Islam itu.
Amat menarik bahawa di pintu pagar banglo masing-masing dipamerkan kalimah syahadah sama ada dalam bentuk gerbang di atas pintu pagar mahupun di bahagian hadapan rumah, dengan saiz yang cukup besar. Selain menjadikan kalimah syahadah sebagai tanda syiar Islam, dapat saya perhatikan adanya tuan rumah yang meletakkan doa yang biasa dibaca untuk masuk ke masjid (Allahummaftahli abwa barahmatik)d pintu pagar atau di bahagian hadapan rumah, suatu kelainan daripada yang biasa kita temukan di Malaysia.
Belum puas rasanya saya menikmati kehidupan masyarakat Islam di Baldatun Na Gu. Seharusnya saya bermalam di bandar itu untuk mendapat maklumat yang lebih mendalam dan turut merasakan denyut nadi kehidupan masyarakat seagama. Ada dua buah masjid lagi di bandar itu yang tidak sempat saya kunjungi. Namun, kunjungan empat hari ke Kunming yang padat acaranya tidak memungkinkan saya berlama-lama di situ kerana ada lagi tinjauan yang perlu saya lakukan di tempat lain. Saya berazam untuk berkunjung lagi ke Baldatun Na Gu pada satu hari kelak. Mudah-mudahan niat itu dimakbulkan Allah. Sejahteralah wahai saudara-saudaraku di Baldatun Na Gu dan terus mekarlah mudah-mudahan syiar Islam di bumi itu. Zaijian!
Salam, Prof;
ReplyDeleteWah, sudah banyak gambar yang dapat dimuatkan! Sekali lagi, catatan ini sangat menarik. Semoga saya dimurahkan rezeki supaya dapat menjejakkan kaki di Kunming yang telah sekian lama saya dengar keistimewaannya.
Salam.
ReplyDeleteSaya mencuba-cuba sahaja menambahkan gambar sesudah beberapa kali sebelum ini hanya berjaya menyisipkan sekeping gambar sahaja. Namun, saya belum pandai memasukkan kapsyen bagi setiap gambar; sebagai langkah sementara saya catat keterangan gambar di bahagian bawah gambar.
Benar, saya pun berhajat untuk ziarah ke Yunnan lagi. Kunming sebagai ibu kota provinsi Yunnan baru merupakan sebuah kota yang agak besar jumlah penduduk Islamnya, tetapi ada 4 buah bandar lagi yang penduduk Islamnya banyak. Mudah-mudahan kita diberi kemudahan oleh Allah untuk menjejaki warisan Islam di situ dan di tempat lain.
Salam Dr, setelah membaca catatan ini, terasa nak pergi ke Kunming. Moga dimakbulkan hajat ini suatu hari nanti.
ReplyDelete