Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Sunday, June 6, 2010
Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku (1)
[Makalah ini merupakan kandungan buku Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia, 2009) dan diterbitkan di sini untuk menjadi bahan perkongsian fikiran dalam kalangan pembaca.]
MENCARI MAKNA DIRI MELAYU:
Renungan untuk Bangsaku
Prof. Dr. Awang Sariyan
(Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China,
Beijing Foreign Studies University)
Bahagian 1
Isu ketuanan Melayu, keunggulan Melayu, martabat Melayu dan yang bersinonim dengannya tampaknya menjadi isu malar yang terus-menerus diperkatakan, diperdebatkan, dipolemikkan dan dipolitikkan. Penulis berharap tidak ikut terjebak dalam polemik menetapkan kesahihan konsep ketuanan yang merujuk kepada hegemoni atau penguasaan, tetapi lebih bermaksud untuk menelusuri keunggulan Melayu sebagai bangsa besar atau mahawangsa di rantau yang dikenal sebagai Kepulauan Melayu, iaitu juzuk utama dan penting di Asia Tenggara. Dengan secara langsung, apabila Melayu menjadi teras kewujudan entiti sebuah wilayah penting, iaitu Kepulauan Melayu yang menjadi rebutan para penjajah Barat dalam tempoh ratusan tahun, maka negara Malaysia yang menjadi bahagian integral dunia Melayu berkaitan rapat dengan hakikat Melayu sebagai bangsa teras negara ini.
Hakikat itu bukan sesuatu yang diada-adakan apabila kita mengingat bahawa nenek moyang bangsa Melayu yang dinamai oleh ahli antropologi dan linguistik sejarah sebagai Austonesia atau Melayu-Polinesia sudah menghuni Kepulauan Melayu sejak zaman prasejarah lagi, puluhan ribu tahun yang lampau (lihat, antara lain Zainal Kling, 1998; Collins, 1998; Awang Sariyan, 2006). Bangsa Melayu sebagai anggota rumpun bangsa besar Austronesia itu pula telah melalui jalan sejarah di Kepulauan Melayu tidak kurang daripada dua alaf. Tentulah dalam tempoh yang panjang itu telah berlangsung pertumbuhan dan perkembangan tamadun yang kini diwarisi oleh bangsa Melayu sezaman. Apabila Dasar Kebudayaan Kebangsaan dirumuskan pada tahun 1971, maka salah satu asasnya ialah kebudayaan asal rantau ini, yang sebenarnya merujuk kepada kebudayaan Melayu.
Oleh itu, gerakan atau perjuangan bangsa Melayu tidak harus diukur daripada sudut kebangkitan nasionalisme dalam bentuk perjuangan menentang penjajahan pada zaman moden semata-mata. Dengan demikian, titik tolak perjuangan bangsa Melayu tidak harus didasarkan pada peristiwa kedatangan penjajah Barat (khususnya Inggeris di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia) yang menyebabkan kebangkitan nasionalisme, secara ketara bermula pada awal abad ke-20 dan yang kemudian berkembang dengan pejuangan menuntut kemerdekaan pada pertengahan abad ke-20 (Indonesia pada tahun 1945 dan Tanah Melayu pada tahun 1957).
Gerakan mengukuhkan martabat bangsa Melayu bermula jauh lebih awal daripada itu, iaitu dalam zaman mula bangkitnya tamadun Melayu itu sendiri, pada sekitar abad ke-7 Masihi. Dengan membuka mata kita kepada hakikat bahawa gerakan perjuangan bangsa Melayu telah lama bangkit dan bukan disebabkan oleh faktor kedatangan orang Barat semata-mata, maka baru akan lebih kukuh semangat dan gerak langkah kita untuk meneruskan perjuangan bangsa Melayu. Tambahan pula perjuangan dengan erti kata yang luas yang dilakukan oleh orang Melayu lebih menyeluruh dan bersepadu, daripada sekadar perjuangan yang berpangkal pada unsur perjuangan pembebasan politik.
Akar Perjuangan Bangsa Melayu Tahap Awal
Kelompok bangsa Melayu dalam zaman prasejarah yang terbatas pada petempatan kecil berkembang dalam zaman kuno, iaitu zaman sejarah dalam bentuk negeri dan negara yang berkerajaan. Kerajaan Campa (dari abad ke-3 hingga abad ke-14 Masihi) dikatakan oleh ahli sejarah sebagai kerajaan Melayu tertua di benua Asia (Zainal Kling, 1998). Ada beberapa kerajaan lain yang dimasukkan dalam senarai kerajaan negara Melayu awal, misalnya Langkasuka di Segenting Kra (abad 6-7 Masihi), Sriwijaya di Sumatera (abad 7-13 Masihi) dan Majapahit di Jawa (abad 10-14 Masihi).
Antara kerajaan-kerajaan Melayu awal itu, Sriwijayalah yang dianggap lebih banyak menjadi asas pembentukan tamadun Melayu awal. Sebagai kuasa kelautan yang wilayah takluknya meliputi negeri-negeri di Selat Melaka hingga selatan Thailand, dan bahkan mempunyai hubungan hingga sejauh Sri Lanka, Sriwijaya menjadi kerajaan yang menjelmakan citra utama tamadun Melayu, iaitu sistem pemerintahan yang utuh, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian ilmu. Menurut catatan I-Cing, iaitu pendeta Buddha yang singgah di Fo-syih, ibu negara Sriwijaya di Palembang dan tinggal di situ selama enam bulan dalam tahun 671, terdapat pusat pengajian agama Buddha dalam bahasa Melayu kuno.
Dalam zaman Sriwijaya jugalah berlangsung interaksi antara tamadun apabila tamadun India banyak memwarnai aspek-aspek ketamadunan Melayu pada zaman pra-Islam. Bahasa Melayu pada zaman itu yang dikenal sebagai bahasa Melayu kuno menerima sekian banyak kosa kata serta unsur tatabahasa bahasa Sanskrit, sebagaimana yang terlihat pada batu-batu bersurat yang ditemukan dalam zaman tersebut.
Terang bahawa keupayaan bangsa Melayu menubuhkan kerajaan yang menguasai negeri-negeri di sekitar Selat Melaka merupakan suatu bentuk perjuangan besar yang menjadi akar kewujudan sistem pemerintahan di tangan bangsa Melayu hingga kini. Demikian juga, penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan dan bahasa perdagangan pada waktu itu sayugialah menginsafkan kita pada zaman ini bahawa kemajuan bangsa dan negara dalam bidang ekonomi harus beserta dengan kemajuan keperibadian bangsanya dan tidak sewajarnya dilakukan pengorbanan mana-mana akar teras tamadun, termasuk bahasa, sebagai kononnya harga pembangunan dan kemajuan kebendaan.
Daripada sudut organisasi politik, Sriwijaya ternyata telah memiliki sistem yang kemas dan utuh. Telah wujud struktur pentadbiran bepusat, dengan daerah dan kuasa politik lain di bawah kuasanya memiliki struktur yang lain pula. Sriwijaya sendiri merupakan kedatuan dan tanah jajahannya terbahagi kepada beberapa mandala (jajahan pentadbiran) dengan setiap mandala ditadbirkan oleh datu yang dilantik daripada kerabat diraja atau orang besar (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, 1999). Selain mengetuai pentadbiran, raja Sriwijaya menjadi penaung keagamaan dan kebudayaan.
Sebagai kuasa maritim atau kelautan, Sriwijaya berjaya membentuk sistem ekonomi yang kukuh, dengan memiliki pelbagai sumber untuk memenuhi keperluan perdagangan Timur-Barat. Penguasaan ke atas Kedah, Caiya, Takuapa dan beberapa pelabuhan lain meningkatkan Sriwijaya sebagai pusat pelabuhan yang ulung di Asia Tenggara. Dengan peranan Sriwijaya sebagai pusat pelabuhan Timur-Barat, untuk kali pertama konsep pelabuhan entrepot wujud di Asia Tenggara. Sebagai entrepot utama, Sriwijaya berperanan sebagai pusat pembekal dan pengedar hasil Asia Tenggara dan juga hasil dari Timur Tengah, India dan Cina. Fokus perdagangan bertumpu di kawasan barat daya Sumatera, Sambas dan Pontianak (Borneo), Jawa dan kepulauan timur, utara Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan pedalaman serta lembah Sungai Irrawaddy (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, 1999).
Dapat dirumuskan bahawa dalam zaman awal kebangkitan perjuangan bangsa Melayu pada zaman kuno, telah diupayakan pembentukan institusi pemerintahan, sistem ekonomi, pengembangan kebudayaan dan peneguhan bahasa Melayu sebagai wahana tamadun.
Gelombang Perjuangan Bangsa Melayu Tahap Kedua
Gelombang perjuangan bangsa Melayu tahap kedua ditandai oleh kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu dalam bentuk sistem kesultanan. Kesultanan Melayu Melaka yang muncul pada awal abad ke-15 dapat dianggap menjadi pembuka babak sejarah baharu tamadun bangsa Melayu. Kemunculannya banyak membawa perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia Tenggara dan juga menjadi penyambung kewujudan empayar di alam Melayu, sesudah runtuhnya empayar Sriwijaya (Muhd. Yusof bin Ibrahim, 1996: 21). Malahan kesinambungan antara Sriwijaya dengan Melaka tergambar juga pada hakikat bahawa pengasas Kesultanan Melayu Melaka, iaitu Parameswara (Raja Iskandar Syah) merupakan raja yang terakhir memerintah Palembang sebelum diusir oleh tentera Majapahit. Sehingga demikian, terdapat sebahagian adat istiadat diraja, sistem pentadbiran dan sistem masyarakat yang diamalkan di Palembang diamalkan juga di Melaka, terutama pada bahagian awal sejarahnya.
Bermula dengan perkampungan kecil, Melaka dengan cepat menjadi negara pelabuhan yang terkenal. Demi kepentingan keselamatan dan ekonomi, Melaka meluaskan jajahan takluknya. Menjelang tahun 1424, iaitu sesudah kemangkatan Raja Mahkota Iskandar Syah (yang memerintah antara tahun 1414 hingga 1424) kuasa politik dan jajahan takluk Melaka telah meliputi bahagian pantai ke bahagian barat laut dan tenggara Tanah Melayu, iaitu seluruh wilayah yang terletak antara Kuala Linggi dengan Kuala Kesang. Peluasan kuasa Melaka berlangsung dengan pesatnya pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah sehingga meliputi Singapura, Muar, Selangor,Dinding dan Pahang. Pada zaman Sultan Mansur Syah pula jajahan Melaka berkembang ke Bernam dan Perak. Penguasaan Melaka ke atas Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Singapura dan Patani disempurnakan dalam zaman Sultan Alaudin Riayat Syah (1477-1488) dan Sultan Mahmud Syah (1488-1510).
Selain di Tanah Melayu, kuasa Melaka meluas juga di pantai timur Sumatera, iaitu di Bentan, Inderagiri, Kampar, Siak dan kepulauan Riau-Lingga. Demikianlah maka pada awal abad ke-16, Melaka telah muncul sebagai empayar yang agung dengan menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau-Lingga dan sebahagian besar kerajaan di pantai timur Sumatera (Muhd. Yusof bin Ibrahim, 1996).
Keutuhan Kesultanan Melayu Melaka tentulah berasaskan kekuatan sistem pemerintahan yang meliputi pentadbiran dan undang-undang yang rapi. Dalam bidang pentadbiran, kerajaan Melaka dikendalikan oleh raja atau sultan yang dibantu oleh Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana, Syahbandar dan Mendulika serta dan beberapa jawatan lain yang disandang oleh orang kaya-kaya (Muhd. Yusof bin Ibrahim, 1996: 60-61). Raja yang mula-mula mengatur sistem pentadbiran Melaka ialah Sultan Melaka yang kedua, iaitu Mahkota Iskandar Syah. Dalam bidang undang-undang, kerajaan Melaka terkenal dengan undang-undang tertulis, iaitu Hukum Kanun Melaka. Sebagai negara kota pelabuhan, terdapat pula undang-undang khusus, iaitu Undang-undang Luat Melaka.
Perjuangan bangsa Melayu dalam pengasasan dan pemantapan kuasa politik dan pentadbiran negara pada zaman Kesultanan Melayu Melaka seiring dengan perjuangan dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Melaka menjadi pusat perdagangan yang dikunjungi oleh pedagang dari seluruh Asia Tenggara dan juga dari Asia Barat dan Asia Timur, terutama sebagai tempat berlangungnya pertukaran barang perdagangan antara wilayah. Dalam zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Melaka telah mempunyai mata wangnya sendiri untuk menetapkan nilai barang dagangan. Demikian juga telah wujud sistem percukaian yang teratur.
Dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, digambarkan kepesatan ekonomi Melaka sebagai yang berikut:
“Ada pun pada zaman itu negeri Melaka terlalulah ramainya, segala dagang pun bertambah-tambah berkampung; dari sebelah Kampung Keling datang ke Kuala Penajuh, rapat rumah; orang pergi-pergian dari Melaka hingga datang ke Jugra tiada membawa api; barang di mana ia berhenti, di sana adalah kampung orang. Dari sebelah sini datang ke Batu Pahat, demikian juga; kerana rakyat Melaka sembilan belas laksa banyaknya yang dalam negeri itu juga.”
Di seluruh Kepulauan Melayu, muncul sekian banyak Kesultanan Melayu yang lain. Di Semenanjung Tanah Melayu sendiri, dikenal Kesultanan Melayu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Pahang, Patani, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan. Sebahgaiannya merupakan kesinambungan Kesultanan Melayu Melaka yang menaungi sekian banyak kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Di Borneo, terdapat Kesultanan Melayu Brunei (diasaskan pada pertengahan abad ke-14) dan Kesultanan Melayu Kutai.
Dalam aspek kebudayaan, pada zaman Kesultanan Melayu itulah berkembang dan mantapnya pelbagai sistem kehidupan, termasuk susun lapis masyarakat, adat istiadat, adat resam, sistem kekeluargaan dan perhubungan sosial, kesenian dan persuratan yang diwarisi sebahagiannya oleh bangsa Melayu hingga kini. Segala kekuatan yang dibina dan dimantapkan dalam zaman Kesultanan Melayu itulah yang menjadi asas citra kebudayaan rantau alam Melayu untuk tempoh ratusan tahun dan dalam konteks pembentukan kebudayaan kebangsaan sebagai asas jati diri Malaysia sebagai salah satu entiti rantau alam Melayu, penting sekali fakta dan hakikat itu difahami oleh semua rakyat, baik orang Melayu sendiri mahupun rakyat bukan Melayu.
Peristiwa terpenting yang melandasi gelombang perjuangan bangsa Melayu dalam tahap kedua, iaitu zaman Kesultanan Melayu ialah penerimaan Islam sebagai asas tamadun. Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972 dll.) menafsirkan kedatangan Islam ke rantau ini dan penerimaannya oleh bangsa Melayu sebagai fenomena peralihan paksi daripada tamadun rantau ini yang berasaskan agama serantau, iaitu Hindu-Buddha kepada tamaun yang berasaskan agama sarwajagat, iaitu Islam. Peralihan paksi tamadun ini penting dalam menentukan rupa dan jiwa bangsa Melayu yang baharu, iaitu bangsa yang bebas daripada belenggu khurafat dan takhayul menjadi bangsa yang rasional dan intelektual.
Sebelum munculnya Melaka, di pantai timur Sumatera telah wujud kerajaan Melayu yang dikenal sebagai Kerajaan Samudera-Pasai, iaitu kerajaan yang menurut rakaman sejarah telah menerima agama Islam pada hujung abad ke-13. Apabila Melaka kemudian menerima Islam pada zaman Raja Mahkota Iskandar Syah (sesudah kemangkatan Raja Iskandar Syah atau Parameswara), Melaka muncul sebagai Kesultanan Melayu yang menjadi pusat penyebaran agama Islam yang penting, selain kemudian Aceh dan Kesultanan Melayu yang lain di seluruh Kepulauan Melayu (antaranya di Banjarmasin, di Patani dan di Brunei).
Asas utama perubahan rupa dan jiwa bangsa Melayu itu ialah aqidah Islam yang berpokok pada konsep tauhid atau keesaan Tuhan dan perhubungan yang saling melengkapi antara manusia dengan Tuhan (hablum min Allah) dan antara manusia dengan sesama manusia atau hubungan kemasyarakatan (hablum min al-nas). Dengan perkataan lain, Islam meletakkan tanggungjawab atau mentaklifkan umatnya dengan tanggungjawab menegak atau vertikal dalam hubungan ketuhanan dan sekali gus tanggungjawab mendatar atau horizontal dalam hubungan kemasyarakatan dan kemanusisaan – hubungan bersepadu dan holistik yang tidak terdapat dengan sempurnanya dalam agama-agama lain.
Demikianlah, dengan pengenalan akan Islam, bangsa Melayu memperoleh acuan tatacara kehidupan yang syumul, daripada aspek aqidah hingga aspek ibadah, muamalat, munakahat, siasah dan jinayat sehingga tiada ruang lompong yang wujud dalam sistem kehidupan bangsa Melayu seandainya mereka mematuhi sistem itu sepenuh-penuhnya. Aspek inilah juga yang pada hemat saya cukup penting diberi perhatian dengan mendalam dalam bahagian cabaran semasa dan masa hadapan yang akan kita bincangkan kelak. Kekuatan bangsa Melayu dengan berlandaskan syariat Islam ternyata menjadi asas yang perlu diberi perhatian untuk mewujudkan kesinambungan perjuangan bangsa Melayu.
Salah satu kesan langsung daripada penerimaan Islam ialah wujudnya faham dan kesedaran kebangsaan yang meluas dalam kalangan bangsa Melayu (Hal ini dibincangkan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Syarahan Perdana, UKM, 1972). Hal ini dimungkinkan oleh faktor persamaan aqidah dan amalan kehidupan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatu (termasuk peranan tulisan Jawi). Di seluruh Kepulauan Melayu muncul pusat-pusat intelektual yang melahirkan ulama’, pemikir dan pujangga besar dalam kalangan orang Melayu dan juga yang datang dari luar alam Melayu (Nuruddin al-Raniri, misalnya, yang berasal dari Gujerat). Hamzah Fansuri, Syamsudin al-Sumaterani, Nuruddin al-Raniri Abul Rauf al-Singkili, Abdul Samad al-Falimbani, Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syekh Daud Fatani, Raja Ali Haji dan beberapa banyak lagi nama besar lain terakam dalam sejarah bangsa Melayu sebagai tokoh yang berperanan mengikat semangat persatuan dan kebangsaan serta pandangan sarwa melalui pemikiran dan ilmu.
Demikian juga, pada zaman Kesultanan Melayu itulah bahasa Melayu yang kita warisi hingga kini baru benar-benar memperoleh bentuknya yang mantap. Bahasa Melayu dalam zaman kuno sama demikian asing dan sukar difahami disebabkan pengaruh yang kuat daripada bahasa sanskrit, baik dalam bidang kosa katanya mahupun dalam bidang tatabahasanya.Perhatikan sahaja contoh bahasa Melayu kuno yang terdapat pada batu bersurat Kedukan Bukit, iaitu salah satu batu bersurat pada abad ke-7 seperti yang berikut ini, yang nyata amat jauh bentuknya daripada bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu kini:
Swastu Shri
Shakawarsatita 605 ekadashi
Shuklapaksa wulan Waishakha dapunta
Siyang naik disambu mengalap siddhayatra
Di Saptami Shuklapaksa Wulan
Jyestha dapunta hiyang marlapas dari Minanga Tamvan
Mamawa jang bala dua laksa
Dangan…dua ratus
Tsyara disambau dangan jalan
Saribu tlu ratus sapuluh
Dua banyaknya. Datang
Di Matajap
Sukhatshitta.
Di pantshami shuklapaksa Wulan
…laghu mudik datang
marwuat maua…Syriwijaya
jayasiddharyatra subhiksa.
Bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu, yang disebut juga zaman klasik, merupakan bahasa yang hingga kini dapat dikenal bentuknya dan dapat difahami, meskipun mempunyai gaya yang berlainan daripada bahasa Melayu kini. Sebahagian besar kosa kata bahasa Melayu klasik masih tetap difahami dan terdapat dalam kamus. Tatabahasanya masih merupakan acuan bahasa yang sama dengan tatabahasa bahasa Melayu kini, sehingga dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu zaman baharu berakar daripada bahasa Melayu zaman klasik yang mekar dalam zaman Kesultanan Melayu.
Bandingkanlah bahasa Melayu kuno pra-Islam itu tadi dengan bahasa Melayu sesudah Islam sebagaimana yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu (1303) yang tampak rapat dengan bentuk bahasa Melayu yang digunakan kini:
A
1. Rasul Allah dengan yang orang…(bagi) mereka
2. Ada pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan agama Islam.
3. Dengan benar bicara darma merkesa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
4. Di benuaku ini (penentu) agama Rasul Allah salallahu `alaihi wassalam raja
5. Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
6. behumi. Penentua itu fardhu pada sekalian raja mandalika Islam.
7. Menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
8. Bicara berbajiki benua penentua itu maka titah Raja Paduka.
9. Tuhan mendudukkan tamwa ini di benua Terengganu di pertama ada
10. Jumaat di bulan Rajab pada tahun Syartan di sasanakala.
11. Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua.
B
1. le iarga du benua jauh…kan…ul
2. (Datang) berikan keempat darma barang orang berpihutang
3. Jangan mengambil ke…ambil bilangkan emas.
4. Kelima darma barang orang…merdeka.
5. Jangan mengambil tugal buat tamsanya.
6. Jika ia ambil hilangkan emas, Keenam darma barang
7. Orang berbuat balacara laki-laki perempuan setitah
8. Dewata Mulia Raya jika merdeka bujan palu
9. Seratus rautan. Jika merdeka beristeri
10. Atawwa perempuan bersuami ditanam binggan
11. Pinggang dihembalang dengan batu matikan
12. Jika inkar balacara hembalang jika anak mandalika.
C
1. Bujan dandanya sepuluh tengah (tiga) jika ia…
2. Menteri bujan dandanya tujuh tahil sepaha
3. tengah tiga. Jika tetua bujan dandanya lima tahil…
4. Tujuh tahil sepaha masuk bendara. Jika orang…
5. merdeka. Ketujuh darma barang perempuan hendak…
6. Tida dapat bersuami jika berbuat balacara
D
1. …tida benar dandanya setahu sepaha
2. …Sri Paduka Tuhan siapa tida…dandanya
3. …kesepuluh darma jika anakku atawwa ku atawwa cucuku atawwa keluargaku atawwa
anak
4. …tamwa ini segala isi tamra ini barang siapa tida menurut tamra ini laknat
Dewata Mulia Raya
5. …dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini
(Othman Yatim, 2007: 46-52)
Prof. Syed Muhammad Naquib (1972 dll.) menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam, terutama dengan pengenalan akan “...peristilahan dasar yang membayangkan faham-faham dasar yang menayangkan pandangan alam serta kehidupan yang dialami….” (al-Attas, 2001: 99). Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan sarwa Islam dalam aspek sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat. Demikian juga Islam telah memberikan acuan baharu kepada wacana bahasa Melayu dengan pengenalan akan pelbagai bentuk wacana yang sebelumnya tidak ada dalam tamadun Melayu, seperti wacana ketatanegaraan (seperti dalam Tajul Salatin), wacana undang-undang (seperti Hukum Kanun Melaka), wacana penserajahan atau historiografi (seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Raja Pasai) dan pelbagai bentuk susastera prosa dan puisi.
Bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu benar-benar menjadi tonggak tamadun kerana digunakan dalam segenap lapangan kehidupan - pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, ilmu dan pendidikan. Kehebatan bahasa Melayu pada abad ke-16 dirakamkan oleh sarjana Belanda Francois Valentijn sebagai yang berikut:
“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.”
(Nik Safiah Karim et al. 2003: 14)
Sumbangan besar yang lain yang diberikan oleh Islam ialah pengenalan tulisan Jawi yang didasarkan pada aksara Arab. Dalam zaman Kesultanan Melayulah untuk kali pertama bahasa Melayu mempunyai tulisan yang benar-benar meluas penggunaannya dalam pelbagai bidang kehidupan sehingga muncul tradisi bahasa Melayu persuratan yang menjadi asas bahasa Melayu baku. Dalam zaman kuno, meskipun ada tulisan Palava, Kawi, Rencong dan sebagainya, tidak terdapat bukti sejarah tentang keluasan fungsi dan penggunaannya di tengah-tengah masyarakat. Tiada tinggalan karya sebagaimana yang kita warisi daripada zaman Kesultanan Melayu. Besarnya peranan tulisan Jawi terungkap dalam penamaan bangsa Melayu yang dikenal sebagai bangsa Jawi. Bangsa Melayu yang dimaksudkan itu pula merangkum semua kumpulan etnik yang mendiami Kepulauan Melayu, tidak kira Jawa, Sunda, Aceh, Mandailing, Rawa, Minangkabau, Bugsi, Bawean, Banjar dan yang lain-lain. Demikianlah faham kebangsaan Melayu yang luas yang telah wujud sejak lama dan dalam menghadapi zaman kini dan zaman mendatang, tidaklah harus dilupakan konsep Melayu dengan pengertian yang luas itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam, Prof;
ReplyDeleteSaya memang sudah memiliki "Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku" ini. Walau bagaimanapun, saya memohon izin untuk membuat salinan (copy) daripada siaran yang sangat berguna ini.
Sdr. Zul,
ReplyDeleteSilakan sahaja; memang niat saya agar tulisan ini disebarluaskan kepada khalayak masyarakat,khususnya bangsa Melayu untuk retrospeksi demi masa hadapan yang jelas arahnya.