STRATEGI MEMBUDAYAKAN BAHASA MELAYU UNTUK PEMBINAAN TAMADUN NEGARA
Awang Sariyan
Dalam makalah saya sebelum ini, “Bahasa Berbudaya: Apakah Ertinya", telah saya jelaskan maksud “bahasa berbudaya” sebagai tunjang tamadun sesuatu bangsa dan sesebuah negara. Bahasa berbudaya sebagai petunjuk atau penanda aras tingginya tingkat tamadun sesuatu bangsa dan sesebuah negara tidak mungkin menjadi kenyataan jika proses pembudayaan atau penyerapan dan pelaksanaannya dalam kalangan masyarakat tidak berlangsung. Maka itu, kewujudan bahasa berbudaya sebagai warisan tamadun silam memerlukan pelestarian yang terancang untuk memungkinkan bahasa berbudaya itu terus-menerus berperanan sebagai asas pembinaan dan peningkatan tamadun bangsa dan negara.
Pembudayaan yang dimaksudkan dalam makalah ini ialah pemupukan sikap, kesedaran dan keterlibatan semua pendukung bahasa berbudaya dalam pelaksanaannya dalam pelbagai sektor. Pembudayaan di sini dapat juga disamakan dengan usaha pemasyarakatan bahasa berbudaya untuk mencapai tahap tamadun luhur. Dalam makalah ini, saya menyarankan beberapa strategi yang praktis untuk dijadikan renungan dan pertimbangan oleh pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan golongan cendekiawan.
Peneguhan dasar bahasa
Strategi yang pertama berkaitan dengan usaha peneguhan dan kesetiaan kepada dasar bahasa yang telah ditetapkan dalam undang-undang negara. Ibarat rumah yang telah didirikan sekian lama memerlukan perhatian dari waktu ke waktu untuk menjamin keutuhannya, maka dasar bahasa negara pun senantisa perlu diberi perhatian agar tidak reput dan rosak oleh perubahan semasa. Demikian juga, kesetiaan kepada dasar bahasa perlu dijadikan peringatan secara berterusan kepada semua penggubal dasar dan pelaksana dalam semua sektor kenegaraan, baik dalam pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media dan ekonomi.
Dasar Bahasa Kebangsaan telah diungkapkan dengan jelas dalam undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang diperlukan kini ialah peneguhan dasar itu, bukan pengurangan atau pencairannya. Kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sebagai contoh, masih memerlukan peneguhan dalam pelaksanaannya. Meskipun jelas bahawa erti bahasa rasmi dalam Perlembagaan meliputi penggunaan bahasa dalam segala urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam, namun sesudah lebih setengah abad merdeka, peruntukan itu belum terlaksana sepenuhnya, malah belum pada tahap yang cukup memuaskan. Kebiasaan bermesyuarat dalam bahasa yang bercampur-aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing masih merata. Pekeliling yang judulnya sahaja dalam bahasa Melayu sedang seluruh teksnya dalam bahasa asing pun masih dikeluarkan oleh sesetengah kementerian, jabatan dan pihak berkuasa awam.
Kesetiaan kepada dasar bahasa
Kesetiaan kepada Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu dasar negara perlu dibudayakan dengan sungguh-sungguh kepada seluruh lapisan masyarakat, daripada pemimpin negara kepada penjawat awam, pengamal media dan pengendali sektor swasta. Nasihat dan teguran semata-mata tampaknya tidak memberikan kesan yang nyata. Oleh itu, perlu dirangka mekanisme yang dapat memantau pelaksanaan dasar bahasa itu. Dalam era kepemimpinan negara kini menekankan KPI atau Indeks Pencapaian Utama untuk memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum, maka sewajarnya dasar bahasa turut diberi ruang dalam KPI di semua peringkat eksekutif.
Dalam beberapa seminar sebelum ini, saya pernah menyarankan agar diwujudkan sistem audit bahasa untuk perkhidmatan awam, jika kita serius dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan. Selagi tidak ada kesungguhan memantau pelaksanaan dasar bahasa dan penggunaan mutu bahasa yang baik, selama itulah dasar bahasa negara dijadikan perkara sampingan (atau malah tidak diacuhkan) dalam penentuan mutu kerja. Saran ini sekali gus dapat menjadi kayu ukur penilaian penguatkuasaan peruntukan-peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Pembudayaan melalui sistem pendidikan
Strategi kedua berkaitan dengan pembudayaan melalui sistem pendidikan.Oleh sebab pendidikan merupakan lembaga sosial yang terpenting dalam proses sosialisasi, maka pembudayaan bahasa berbudaya hendaklah benar-benar ditumpukan kepada sektor ini. Kurikulum pendidikan di negara ini berteraskan kurikulum bersepadu yang menekankan kesepaduan antara rohani, jasmani, emosi dan intelek, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Gagasan bahasa merentas kurikulum yang diperkenalkan sejak tahun 1987 menekankan peranan bahasa sebagai asas penguasaan pelbagai ilmu dan kemahiran. Kajian penilaian perlu dilakukan untuk memastikan adakah bahasa Melayu masih merentas kurikulum atau telah kembali semula ke petaknya yang dahulu kala, iaitu sebagai satu mata pelajaran semata-mata.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah berteraskan tiga komponen utama, iaitu hasil pemelajaran bidang interpersonal, hasil pemelajaran bidang maklumat dan hasil pemelajaran bidang estetik. Apabila menyaksikan lepasan sekolah yang masih menghadapi masalah berkomunikasi dengan meyakinkan, baik dalam lisan mahupun tulisan, kita seharusnya meneliti kesan pendidikan bahasa yang dilaksanakan di sekolah. Demikian juga, penekanan bahasa Melayu tinggi di sekolah yang bertunjangkan sistem bahasa yang teratur tampaknya masih memerlukan peningkatan yang sungguh-sungguh.
Kokurikulum difahami sebagai sokongan untuk mengukuhkan penguasaan kemahiran pelajar, termasuk kemahiran berbahasa. Pembudayaan bahasa berbudaya melalui kegiatan kokurikulum memerlukan perancangan yang benar-benar dapat membantu kemahiran bahasa pelajar.
Sisi lain yang masih perlu ditegaskan kepada kerajaan ialah peri pentingnya bahasa Melayu dikembalikan tarafnya sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi awam, dan pada waktu yang sama mengupayakan pemenuhan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang turut meliputi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi swasta.
Pembudayaan melalui media massa
Selanjutnya, stategi yang tidak kurang pentingnya ialah pembudayaan melalui media massa. Media massa merupakan satu lagi agen sosialiasi yang amat berpengaruh dalam pembentukan sahsiah anggota masyarakat, khususnya golongan muda. Akta penyiaran dan garis panduan penggunaan bahasa Melayu dalam media penyiaran kerajaan dan swasta perlu dikemaskinikan supaya bahasa Melayu mendapat tempat yang sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
Selain aspek pemenuhan taraf bahasa, aspek yang tidak kurang pentingnya dititikberatkan ialah mutu penggunaan bahasanya, termasuk kandungan program yang selari dengan gagasan bahasa berbudaya, terutama bahasa akliah, bahasa ilmu dan bahasa estetik.
Pengayaan khazanah ilmu
Strategi lain ialah pembudayaan melalui pengayaan khazanah ilmu. Dengan menegaskan bahawa prasyarat kelestarian sesuatu tamadun ialah kesuburan budaya ilmunya, maka upaya pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu perlu diketengahkan sebagai agenda pembangunan negara yang jelas. Cita-cita untuk menempatkan universiti di negara ini dalam penarafan yang cemerlang di peringkat antarabangsa tidak harus sampai menenggelamkan penghormatan kepada nilai ilmu yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu. Usahakanlah penerbitan dalam jurnal yang tersenarai dalam siri yang diiktiraf itu, tetapi tidak seharusnya diremehkan dan dinafikan nilai hasil sarjana untuk mengilmukan masyarakatnya dengan menggunakan bahasa Melayu.
Malahan institusi pengajian tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit lain perlu mengusahakan sesuatu agar jurnal yang diterbitkan dalam bahasa Melayu diterima dalam senarai jurnal yang mendapat pengiktirafan antarabangsa itu. Ada sejumlah jurnal berbahasa Melayu yang bertaraf jurnal berwasit dan editor perundingnya terdiri daripada kalangan sarjana antarabangsa. Mutu karya ilmiah yang bertaraf antarabangsa bukan bergantung semata-mata pada sesuatu bahasa perantaraan yang khusus. Semua bahasa yang telah mencapai taraf bahasa ilmu seharusnya diberi ruang dan peluang untuk diberi pengiktirafan sebagai bahasa perantaraan karya ilmu yang bertaraf antarabangsa. Fenomena yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Prof. Syed Husin Alatas sebagai "minda tertawan" dalam kalangan orang timur dan bekas anak jajahan tidak sepatutnya dibiarkan mengongkong penembusan karya ilmiah dalam bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Hal itu mesti bermula dengan reformasi sikap dan keyakinan diri pemimpin institusi ilmiah sendiri untuk bersedia melonjakkan karya ilmiah tenaga akademiknya yang ditulis dalam bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, dengan lebih dahulu mengiktirafnya di peringkat institusinya. Amatlah malang bahawa tanpa segan-silu dan dengan "tahap rasa rendah diri yang tinggi" ada pemimpin institusi ilmiah di negara ini yang terang-terang menolak dan tidak mengiktiraf karya ilmiah dalam bahasa Melayu.
Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi perlu mempunyai dasar dan garis panduan yang jelas agar institusi pengajian tinggi di negara ini tidak berlumba-lumba semata-mata untuk mendapat penarafan yang cemerlang di peringkat antarabangsa tetapi mengabaikan peranannya dalam mengilmukan rakyat negara ini sendiri. Perlu ada keseimbangan antara cita-cita membina imej global dan pengiktirafan antarabangsa dengan amanah sosial yang dipikul oleh institusi pengajian tinggi.
Kegiatan massa berdampak besar
Pembudayaan bahasa berbudaya perlu juga dilaksanakan melalui kegiatan massa yang berdampak besar. Jika dalam tahun 1960-an gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan berjaya memberikan dampak yang besar kepada pemupukan rasa cinta dan penghayatan bahasa Melayu tanpa mengenal bangsa, maka pada waktu ini perlu dirancang dan dilaksanakan kegiatan massa yang kira-kira sama dampaknya dengan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1960-an. Pada tahun 1999 telah dilancarkan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya (hingga tahun 2004) memperlihatkan dampak yang besar kepada rakyat massa. Apabila berlaku “penyederhanaan” hampir semua program bahasa dan sastera DBP, maka BBSN pun tampaknya menjadi hambar. Program Kembara Bahasa yang berjaya mendekatkan bahasa dan sastera dengan rakyat pelbagai lapisan dan lokasi, sebagai contoh, tidak digerakkan lagi.
Peningkatan usaha mengembalikan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan di Kuching, Sarawak oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran dalam bulan Oktober 2009 memperlihatkan lonjakan sedikit dalam menyemarakkan kecintaan dan kesedaran kepada peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, tetapi tampaknya memerlukan peningkatan yang lebih tinggi untuk mencapai dampak yang diharapkan.
Pembudayaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa
Akhirnya, perlu juga diberikan perhatian kepda pembudayaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Selaras dengan pemenuhan gagasan bahasa supra sebagai salah satu petunjuk bahasa berbudaya, maka tidak harus dialpakan pembudayaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Saya hanya ingin menyarankan bahawa program yang telah dirintis oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) selama lima tahun (2000-2004) dan telah pun mula memperlihatkan hasil yang nyata diteruskan, sekalipun dengan kaedah gerak kerja yang mungkin perlu diubahsuaikan. MABM perlu dijadikan prasarana untuk meningkatkan martabat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa melalui kejasama pakar dan aktivis sedunia dalam bidang penyelidikan, penerbitan, promosi, pengajian dan pelbagai kegiatan lain yang dapat meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.
Kewujudan lebih 100 buah institusi pengajian tinggi di dunia yang menjadikan bahasa dan persuratan Melayu sebagai fokus kajian dan pengajaran harus dimanfaatkan untuk melonjakkan taraf keantarabangsaan bahasa Melayu.
Hampir semua gagasan dan saran dalam makalah ini telah berulang kali dikemukakan dalam pelbagai wacana lisan dan tulisan sebelum ini, tetapi tampaknya masih banyak yang belum singgah dan lekat di hati sanubari pihak-pihak yang bertanggungjawab membudayakan bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun. Pejuang bahasa masih bersuara dan terus bersuara, dengan harapan akan sampai saatnya semua pihak yang berkaitan menginsafi peranan bahasa dalam pembentukan dan peningkatan tamadun bangsa.
[Makalah ini diubahsuaikan daripada makalah yang pernah terbit dalam majalah Dewan Bahasa, Mac 2010.]
No comments:
Post a Comment