Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, September 30, 2010

Bual Bahasa: Bahasa Melayu Tonggak Pembangunan Negara


MAJALAH DEWAN BAHASA (Oktober 2010, Jilid 10, Bilangan 10, hlm. 61-65)

Bual Bahasa: Bahasa Melayu Tonggak Pembangunan Negara

“Harapan terhadap kedaulatan dan martabat bahasa Melayu di negara ini perlu seiring dengan usaha pengisian secara terancang, terutama daripada segi pelaksanaan penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.” - Profesor Dr. Awang Sariyan



Bermula pada bulan Oktober 2009, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bagi menggantikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang sebelum ini disambut pada bulan September setiap tahun. Pada tahun ini, majlis perasmian BBK yang bertemakan “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara” akan diadakan di Ipoh, Perak.

Bersempena dengan fokus Dewan Bahasa (DB) keluaran Oktober, iaitu BBK 2010, sidang editor Dewan Bahasa telah mewawancara Profesor Dr. Awang Sariyan, mantan Pengarah Jabatan Bahasa (1999-2004) dan kini sedang bertugas sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Universiti Pengajian Asing Beijing, untuk mendapatkan pandangan beliau tentang BBK.


DB: Selepas berada di China sekitar dua tahun, apakah pandangan Profesor tentang kedudukan dan perkembangan bahasa Melayu di sana?

AS: Bahasa Melayu mendapat perhatian yang istimewa sebagai salah satu bahasa asing yang diajarkan di enam buah institusi pengajian tinggi. Di Beijing sahaja, bahasa Melayu diajarkan di tiga buah universiti, iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (pangkalan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia), Universiti Peking dan Universiti Komunikasi China. Di kota Guangzhou bahasa Melayu diajarkan di Universiti Pengajian Asing Guandong. Di kota Nanning, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi telah memulakan Program Bahasa Melayu pada bulan September 2008. Di Akademi Tentera Louyang bahasa Melayu diajarkan juga. Yang terdekat ialah pembukaan Program Bahasa Melayu di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan di kota Kunming.

Selain menjadi kursus ilmiah, bahasa Melayu mendapat tempat dalam bidang penyiaran kerana terdapat Bahagian Bahasa Melayu di Radio Antarabangsa China yang menyiarkan rancangan dalam bahasa Melayu setiap hari. Bahasa Melayu digunakan juga di beberapa gedung beli-belah, di gerai-gerai di kaki Tembok Besar China dan di Masjid Nan Dao Ya, Beijing, papan tanda dan papan arah dalam bahasa Melayu digunakan.

DB: Bagaimanakah pula pandangan Profesor tentang kedudukan bahasa Melayu di negara kita, terutamanya menjelang perubahan daripada PPSMI kepada MBMMBI?

AS: Langkah kerajaan memansuhkan PPSMI merupakan langkah yang tepat walaupun dari awal keputusan dibuat pada tahun 2002 dan pelaksanaannya pada tahun 2003 kami pejuang bahasa dan pakar pendidikan umumnya telah memberikan pandangan bahawa program itu bertentangan dengan undang-undang negara dan tidak menguntungkan keseluruhan pelajar dan rakyat. Syukurlah, dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan yang menyatakan bahawa hanya tiga peratus pelajar yang mendapat manfaat daripada program itu dan oleh itu PPSMI akan digantikan dengan program peningkatan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kita mengharapkan bahasa Melayu tetap didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini, selaras dengan Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

Walau bagaimanapun pemansuhan PPSMI bukan jaminan mutlak bahawa bahasa Melayu tidak berhadapan dengan masalah lagi. Banyak lagi ruang peningkatan yang perlu dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun negara dalam semua sektor, baik pentadbiran, pendidikan, media massa, undang-undang dan swasta. Sesudah lebih setengah abad merdeka, kita masih belum benar-benar dapat berpuas hati dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

DB: Sejak 1999 DBP telah mengadakan program BBSN (Bulan Bahasa dan Sastera Negara) dan setahun selepas itu diadakan pula Kembara Bahasa sebagai salah satu daripada program utama yang diadakan sempena BBSB. Apakah pandangan Profesor tentang kedua-dua program tersebut?

AS: BBSN menekankan penyuntikan kesedaran dan kecintaan rakyat di seluruh negara dalam semua sektor (awam, swasta, pendidikan, persatuan, belia dan lain-lain) terhadap bahasa dan sastera Melayu yang menjadi salah satu tonggak pembangunan negara dalam aspek dalaman atau keruhaniannya. Kembara Bahasa pula merupakan program induk yang dapat merealisasikan cita-cita BBSN itu, kerana melalui program Kembara Bahasa, dapat dikatakan bahawa semua lapisan masyarakat dalam pelbagai sektor kehidupan (pegawai kerajaan, eksekutif swasta, tentera, polis, penulis, pelajar, pendidik, belia dan malahan pemimpin negara dan negeri) dapat dilibatkan dalam konvoi dari pelbagai arah, termasuk dari Sabah dan Sarawak, menuju ke ibu kota Kuala Lumpur, suatu bentuk lambang kesatuan cita-cita dan arah dalam proses pembinaan negara. Dalam perjalanan berkonvoi dari pelbagai arah itu (timur, utara, selatan, Sabah dan Sarawak), peserta Kembara Bahasa dilibatkan dalam pelbagai kegiatan bahasa, sastera dan ilmu seperti deklamasi sajak, program pantau tegur bahasa, kursus penulisan, forum, kajian penggunaan bahasa di tempat awam, rekreasi bahasa dan sastera bersama rakyat dan sebagainya). Di Sabah dan di Sarawak malahan dilaksanakan Kembara Bahasa di peringkat negeri kerana luasnya kedua-dua buah negeri itu.

Walaupun nama BBSN telah diubah menjadi Bulan Bahasa Kebangsaan, pada hemat saya cita-cita untuk menyuntikkan kesedaran dan kecintaan kepada bahasa dan persuratan Melayu perlu dijadikan terasnya dan oleh itu kegiatannya perlu benar-benar bersifat kebangsaan. Saya menyarankan agar program Kembara Bahasa digerakkan semula kerana kesannya amat besar dan mendalam. Laporan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, laporan peserta, laporan urus setia Kembara Bahasa dan pandangan positif pemimpin peringkat kebangsaan dan negeri dapat mengesahkan keberkesanan program itu. Berdasarkan pengamatan saya sebagai pencetus dan pemantau program itu sewaktu menjadi Pengarah Jabatan Bahasa DBP, program Kembara Bahasa bersifat bersepadu kerana dalam program itu semua kegiatan bahasa, sastera dan ilmu dirangkumkan dengan pelibatan para peserta konvoi dan masyarakat setempat. Keberkesanan program itu kemudian mencetuskan idea pelaksanaan Kembara Merdeka dan pelbagai bentuk kembara lain.

DB: Apakah pula pandangan Profesor tentang Program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang mula diadakan pada tahun lepas untuk menggantikan BBSN?

AS: Oleh sebab bertugas di luar negara, saya hanya dapat mengikuti berita beberapa kegiatan BBK, termasuk pelancarannya melalui siaran media, tetapi semangat yang menyeluruh dan bersifat kebangsaan kurang ketara jika dibandingkan dengan program yang dilaksanakan dalam BBSN dahulu. Sekali lagi saya tegaskan bahawa perubahan nama tidak menjadi masalah asal sahaja pengisiannya benar-benar dapat menyuntikkan semangat kesedaran dan kecintaan kepada bahasa dan persuratan Melayu sebagai salah satu unsur pembangunan dalam rakyat negara ini. Salah satu sebab kurang tampaknya dampak atau kesan kegiatan dalam BBK ialah ketiadaan program seperti Kembara Bahasa yang merentas batas geografi negeri dan merentas pelbagai kumpulan etnik serta sektor kerjaya dan bidang. Kegiatan runcit-runcitan di sana sini kurang memberikan dampak yang diharapkan dalam konteks pemasyarakatan dan pembudayaan bahasa dan persuratan Melayu secara meluas dan mendalam. Kesannya memang ada tetapi kurang bersifat kebangsaan dan menyeluruh.

DB: Selain kempen, pada pandangan Profesor, usaha yang bagaimanakah lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang baik?

AS: Selain kempen, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan perlu ditingkatkan. Sebagai contoh, Undang-undang Kecil Penggunaan Bahasa di Tempat Awam yang meliputi iklan, paparan papan arah dan papan tanda telah ada tetapi penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan tidak seragam dan bergantung pada iltizam PBT tertentu. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu menyelaraskan penguatkuasaan undang-undang itu. Demikian juga penggunaan bahasa dalam media massa, terutama media penyiaran (radio dan televisyen) perlu didasarkan pada undang-undang atau peraturan yang lebih wajar tentang tahap minimum penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Yang lebih utama ialah penghayatan akan takrif bahasa rasmi yang diungkapkan dalam Perlembagaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi wajib digunakan dalam segala urusan rasmi di tiga peringkat pentadbiran, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam (badan berkanun dan agensi kerajaan). Apabila takrif “bahasa rasmi” itu tidak dihayati dan dihormati, maka terjadilah fenomena mengabaikan penggunaan bahasa rasmi itu, yang bertentangan dengan semangat menghormati Perlembagaan. Kerajaan sendiri, melalui ketua jabatan perlu menguatkuasakan peruntukan Perlembagaan tentang penggunaan bahasa rasmi sebagai salah satu peraturan dasar bagi semua penjawat awam.

Saya pernah menyarankan agar diadakan pemantauan pelaksanaan penggunaan bahasa rasmi (baik daripada segi taraf mahupun mutunya) melalui Sistem Audit Bahasa. Bunyinya agak keterlaluan, kata sesetengah pihak, tetapi jika kerajaan serius untuk melaksanakan salah satu dasar negara, iaitu dasar bahasa, maka sistem audit bahasa itu dapat menjadi mekanisme atau kaedah memantau penggunaan bahasa rasmi dalam sektor awam, sekurang-kurangnya. Untuk sektor swasta, ada kaedah lain yang dahulu telah pun dilaksanakan oleh DBP melalui jawatankuasa kerja antara DBP dengan 16 sektor swasta.

DB: Akhir sekali, apakah harapan dan pandangan Profesor terhadap usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dan seterusnya mengantarabangsakan penggunaannya menjelang 2020 sebagaimana yang pernah disasarkan suatu ketika dahulu, iaitu bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama yang digunakan di PBB.

AS: Harapan terhadap kedaulatan dan martabat bahasa Melayu di negara ini memerlukan pengisian secara terancang, terutama daripada segi pelaksanaan penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Harapan akan tinggal harapan jika semua pihak yang berwajib tidak menghormati dan melaksanakan segala peruntukan yang telah diabsahkan dalam undang-undang negara. Mana-mana dasar atau program yang diputuskan untuk dilaksanakan mestilah dinilai lebih dahulu daripada segi selaras atau bertentangan dengan segala undang-undang negara itu.

Sebagai contoh, Akta Pendidikan menetapkan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara; maka tidak sewajarnya berlaku arahan atau keputusan menetapkan bahawa 70 peratus kuliah dalam semua bidang di IPTA mesti dalam bahasa yang bukan bahasa kebangsaan. Demikian juga tidak wajar sama sekali keputusan melaksanakan PPSMI pada tahun 2002 dahulu. Akta DBP sendiri mencatat tujuan pertama penubuhannya ialah untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi. Apabila segala keputusan Parlimen yang telah diaktakan dan dijadikan peruntukan dalam Perlembagaan dipatuhi, maka ada harapan bahawa bahasa Melayu berdiri teguh sebagai salah satu tonggak negara. Jika sebaliknya yang berlaku, iaitu undang-undang negara tidak dihormati, maka malaplah harapan bahasa Melayu untuk menjadi salah satu asas pembinaan bangsa dan negara.

Tentang kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa pula, kewujudan kira-kira 120 buah institusi ilmiah sedunia yang sama ada mengajarkan atau menyelidik bahasa Melayu dan pengajian Melayu menjadi bukti wujudnya minat yang besar dalam kalangan masyarakat sedunia kepada bahasa dan pengajian Melayu. Kerajaan Malaysia sendiri menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di Leiden (Belanda), di Wellington (New Zealand), di Beijing (Republik Rakyat China) dan di Seoul (Korea Selatan). Namun dengan penghentian kegiatan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diluluskan penubuhannya oleh Kabinet pada tahun 1997 dan beroperasi dengan giat sejak tahun 2002 hingga tahun 2004, kita kehilangan wadah utama untuk meneruskan kerja pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu.

Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tahun 2020 termasuk dalam rangka kerja MABM dan memerlukan iltizam serta pelibatan kerajaan secara serius. Hal itu mestilah dijadikan agenda negara, bukan agenda DBP semat-mata, kerana DBP hanya merupakan agensi yang menggerakkan dasar kerajaan dalam soal bahasa. Saya menyarankan agar DBP menggerakkan semula MABM sebagai agen pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu yang rasmi bagi pihak kerajaan Malaysia kerana amanah itu telah diberikan oleh kerajaan pada tahun 1977 melalui keputusan Kabinet yang meluluskan penubuhannya. Jika DBP berhalangan meneruskannya (hal yang tidak sepatutnya berlaku), maka kerajaan perlu memindahkan MABM ke kementerian atau jabatan lain, misalnya Jabatan Pengantarabangsaan di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (kerana kementerian berkenaan telah pun melaksanakan salah satu kegiatan utama MABM sejak tahun 2007, iaitu Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri Malaysia (sejak tahun 2010 telah ditingkatkan menjadi Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia).

Akan Leburkah Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Bersepadu?

Kembara Bahasa: Apabila Falsafah Pendidikan Kebangsaan tinggal menjadi dokumen untuk diarkibkan, kurikulum bersepadu kian lesu pelaksanaan dan pemantauannya, maka ilmu merentas kurikulum kian kabur, bahasa merentas kurikulum hampir terkubur, nilai murni merentas kurikulum makin lebur, kemahiran berfikir merentas kurikulum makin terbentur. Krisis akhlak masyarakat kian subur!

Semalam pada pukul 1.25 pagi · Komen · SukaTidak suka

Hariani Ibrahim, Norfaizah Mohd Anorwar, Arif Atan dan 32 yang lain gemarkannya.

o
Suhana Lina Sarkawi

Warga pendidik dilatih jadi warga korporat, buat dokumentasi sahaja dan analisis peperiksaan yang tak kesudahan. Fokus kepada P&P telah lama diabaikan sejak 2002 (bukan dengan sengaja tapi atas arahan pentadbir)! Murid2 jadi liar dan terbiar!
Semalam pada pukul 1.42 pagi · SukaTidak suka · SeorangSedang Memuatkan...
o
Abdullah Hassan

Saya selalu memikirkan tentang perkara yang sama, khususnya dari sisi konsep dan pelaksanaannya.

Ada pihak yang keliru tentang mewujudkan konsep dan melaksanakan perkara dalam konsep itu. Kita ada falsafah pendidikan, namun bagi melaksanakan...nya kita memerlukan muslihat-muslihat yang mesti jelas dan dapat dilakukan. Sebagai contoh, kita mahu membina warga yang dapat berkomunikasi dengan baik, dalam bahasa yang baik (iaitu bahasa Melayu Tinggi), tetapi adakah pengajaran, latihan dan amalan berbahasa Melayu kita dapat membimbing pelajar kita menuju ke matlamat tersebut.Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 4.11 pagi · SukaTidak suka · 2 orangSedang Memuatkan...
o
Salbiah Sawal Sokong pernyataan SLS. Keadaan bertambah buruk apabila diperkenalkan pula pelbagai anugerah spt Anugerah Sekolah Cemerlang, Sek Berprestasi TInggi ,Pengetua Cemerlang dsb fokus P&P berubah, sekolah bukan lagi untuk mendidik murid menjadi insan seimbang, mulia akal pekertinya tetapi murid yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi kosong jiwanya.
Semalam pada pukul 5.50 pagi · SukaTidak suka · SeorangSedang Memuatkan...
o
Suhana Lina Sarkawi tertarik dgn kata2 SS, pelajar cemerlang tapi jiwanya kosong.
Sistem pendidikan kita direkabentuk untuk keperluan 'industri' bukannya keperluan 'ilmu'.

Kita melahirkan banyak siswazah yang bijak atas kertas tetapi tidak mampu berfikir denga...n kritis dan mencapah (tidak semua).
Penganugerahan sememangnya wajar diberikan kepada yang layak namun dalam pelbagai itu, guru tersepit di antara 'memenuhi kehendak rakus' sebilangan besar pentadbir sekolah / institusi pendidikan dengan keperluan membangunkan JERI murid.

Arahan pentadbiran yang bercanggah antara KPM dan Ketua Jabatan juga memburukkan keadaan. Klausa terakhir 'Melaksanakan arahan-arahan dari semasa ke semasa oleh Ketua Jabatan DOMINAN dari perincian utama fail meja guru kini.

Laporan yang 'mungkin diperindahkan' dihantar ke KPM mungkin telah MENGGELAPKAN pandangan sebenar ke atas kejadian yang saya rasa tidak sihat ini.Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 7.07 pagi · SukaTidak suka · SeorangSedang Memuatkan...
o
Zanariah Abdol

Kesedaran telah lama wujud dalam kalangan pendidik tetapi tidak menyeluruh kerana penekanan yang terlampau kepada peperiksaan awam. Pengajaran hilang seni, minda pelajar diasak diuliti dan berkadar terus dengan tubuh mereka yang semakin ber...isi.
Kepimpinan tertinggi KPM telah menyusun strategi termasuk cadangan pemasuhan PMR & UPSR, namun banyak pihak termasuk ibu bapa sukar diyakinkan. Kini, konvensyen Kebangsaan Guru Cemerlang memasuki hari ke-3. Harap-harap GC dapat menyemarakkan usaha... Insya-AllahLihat seterusnya..
Semalam pada pukul 7.09 pagi · SukaTidak suka
o
Munsyi Mohamad Musip

Cabaran juga dihadapi oleh pendidik guru di IPG. Pensyarah secara sedar menyuntik konsep kesepaduan, rentasan ilmu dan nilai, adab dan akhlak, dan yang seumpamanya kepada bakal-bakal guru. Namun, apabila guru-guru permulaan berada di sekol...ah, yang cepat mempengaruhi mereka ialah budaya sekolah dan tuntutan semasa daripada segi pentadbiran dan kehendak arus perdana - peperiksaan. Bagi saya, kesedaran tulen tentang pendidikan bersepadu dalam kalangan guru permulaan dan guru lama penting dipupuk...Gurulah yang menjadi asas pelengkap dan pembentuk perubahan dalam kehidupan murid, selepas ibu bapa.Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 7.16 pagi · SukaTidak suka · SeorangSedang Memuatkan...
o
Abu Alex

Ramai yang perasan, sudah banyak tahun sekolah kita dijadikan cabang gerakan mengindustrikan negara; kewujudannya semata-mata untuk memenuhi keperluan menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti (untuk gerakan industri ini).

Ini bukan rahsia, ...sudah laungkan oleh pemimpin negara sejak 20 tahun lepas lagi ~ jelas tidak berselindung.

Mandat demi mandat yang mereka perolehi pada setiap PRU adalah bukti sokongan rakyat pada dasar ini.

Kita kan mahu kaya dan maju.

:(Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 7.58 pagi · SukaTidak suka
o
Sam Rizal
bila akhlak rakyat mula rosak, guru bawahan menjadi 'bull eye' sasaran semua pihak. sedangkan guru bawahan mengajar mengikut apa yg diarahkan w/p tidak menurut falsafahoendidikan itu sendiri
Semalam pada pukul 9.09 pagi · SukaTidak suka
o
Kembara Bahasa

MMM: Usaha pendidik yang memahami dan ada iltizam dalam pelaksanaan FPK dan KB amat dihargai dan saya yakin memang ada kalangan itu yang masih bertahan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, termasuk IPGM. Hanya yang kina kabu...r dan lebur ialah pada peringkat dasar dan iltizam pada peringkat kepemimpinan dalam KPM sendiri. 10 tahun pertama pelaksanaan KBSR dan KBSM cukup menguja kita golongan idealis dengan program pelaksanaan dan pemantauan, tetapi kini?

AA: Benarlah bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan, seperti yang saya catat dalam siaran awal, seakan-akan menunggu saat untuk diarkibkan sahaja, kerana falsafah pendidikan yang mendominasi sistem perdana ialah utilitarianisme, yang memang menjadikan bidang pendidikan lebih untuk penghasilan tenaga kerja, berbanding dengan pembinaan insan itu sendiri.Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 9.29 pagi · SukaTidak suka
o
Kembara Bahasa

SR: Benar bahawa dalam tradisi kebangkitan sesuatu tamadun dari dahulu hingga kini, pihak kepemimpinanlah yang mesti lebih peka, mempunyai kejelasan dan iltizam serta menggerakkan dasar dan falsafah yang telah digubal. Dalam satu dekad pert...ama pelaksanaan KBSR dan KBSM sebagai realisasi FPK dan Kurikulum Bersepadu, program latihan, pelaksanaan dalam P&P dan pemantauan oleh pentadbiran pelbagai peringkat - sekolah< PPD, JPN dan KPM berlangsung dengan nyatanya. Malang sekali sesudah itu beransur-ansur cair usahal awal yang cukup baik itu apabila pihak di atas tidak memberikan perha;tian kepada FPN dan KB, sebaliknya sibuk dengan agenda yang tidak relevan dan membawa musibah, seperti PPSMI. Pola pembangunan di negara ini saya dapati sering ditandai oleh proses " buka/mula" dan "tutup/henti". Program dimulakan dengan penuh ghairah tetapi akhirnya ditutup/dihentikan atau jika tidak pun dilaksanakan dengan sikap "melepaskan batuk di tangga".Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 9.44 pagi · SukaTidak suka · 2 orangSedang Memuatkan...
o
Abu Alex

Tuan, yang jelas memang sudah terbentang di hadapan mata; khalayak sengaja tak mahu faham, takut nanti terpaksa "selesai"kan "masalah tunjang".

Saya sendiri lihat, "masalah tunjang" ialah orang-orang yang laungkan "gerakan industri"; masalah... tak selesai jika tak "selesai"kan mereka ini.

Dasar akan jadi "arkib" bila tiada keinginan untuk laksanakannya; wallahualam.Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 9.50 pagi · SukaTidak suka
o
Norliza Md Yusof

Betul cikgu..saya ms baru keluar dr MPPM,saya bnyk terikut budaya guru lama..tapi Alhamdulillah,guru2 lama semuanya sangat berdedikasi dan bersungguh2..so smp skrg saya terikut cara mereka wpun kebanyakannya sdh berpindah...tp sedih tgk cikgu yg baru posting,mcm x kisah pun tentang kepentingan guru perlu berada didalam kelas,wpun sekadar relief...
Semalam pada pukul 9.57 pagi · SukaTidak suka · SeorangSedang Memuatkan...
o
Baharudin Ali Masrom

Setuju Prof. Kerajaan perlu tegas dalam pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jangan asyik bertukar polisi sahaja apabila bertukar menteri.
Semalam pada pukul 10.21 pagi · SukaTidak suka · 3 orangSedang Memuatkan...
o
Fareh Daud

Kewajaran untuk menukar polisi sepatutnya dihalusi kepentingannya untuk kepentingan seluruh masyarakat bagi 20 tahun bukan hanya berdasarkan kumpulan tertentu.
Kumpulan tumpuan untuk dikeluarkan daripada institusi pula perlu dihiasi dengan ...ciri-ciri yang berdasarkan falsafah pendidikan. Bukan keluar menjadi "malaikat" yang hanya mengikut tanpa sebarang pertanyaan dan membuat sesuatu mengikut arahan golongan pengurusan atas. Cuma sebagai "manusia" yang tahu berfikir, membuat keputusan untuk kepentingan agama, diri, keluarga dan masyarakat dan seterusnya bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.
Alhamdullilah, saya dan sahabat-sahabat telah menemui beberapa kumpulan Pendidik yang mengenalpasti kekurangan tersebut dan sedang melakukan perubahan untuk mencapai ciri-ciri "manusia"yang dikehendaki. Alhamdullilah, terima kasih kepada semua Pendidik Malaysia.Lihat seterusnya..
Semalam pada pukul 11.21 pagi · SukaTidak suka
o
Sobirin Duli

Sedih... Prof, saya pernah terlibat dengan memberi kursus kpd guru-guru berkaitan dengan KBSR & KBSM suatu ketika dulu. FPK telah memberi asas yang kukuh kepada pelaksanaan P&P. Guru-guru walaupun faham konsep penilaian dan pentaksiran teta...pi akhirnya tewas dengan tuntutan kecemerlangan dalam peperiksaan awam. Akhirnya kerajaan nak menilai semula kedudukan UPSR &PMR. Apabila PPSMI diperkenalkan, kerajaan berbelanja besar dalam memberi latihan penggunaan teknologi dan memantapkan penguasaan BI di kalangan guru-guru dan dari situlah bermulanya pengabaian keatas penghayatan FPK ini. Kini kita masih tercari-cari... seolah-olah kita
kembali "bodoh" setelah kita dahulunya "cerdik". Wallahu-a'lamLihat seterusnya..
Semalam pada pukul 12.29 ptg · SukaTidak suka · 3 orangSedang Memuatkan...
o
Rahmat Haroun

Penukaran polisi pendidikan membuka peluang menjana keuntungan material. BM dijual secara murah 1.5bilion RM.
Semalam pada pukul 7.09 ptg · SukaTidak suka
o
Kamariah Haroon

Saya setuju dgn sobirin duli. pada akhir 80an sehingga akhir 1990an fpk diterapkan kpd semua pengetua dgn begitu serius. pengetua2 diarahkan menghadiri kursus demi kursus, seminar demi seminar, bengkel demi bengkel sehingga setiap pengetua ...dpt menguasai penghayatan fpk utk disebar luaskan kpd guru2.selepas thn 2000 keadaan mula berubah dgn tumpuan kecemerlangan sekolah bukan saja dr segi prestasi keputusan peperiksaan, malah kpd kecemerlangan prestasi pengetua, guru n sekolah tp tidak pada murid2 dr segi JERI. peruntukan x ada tp pengetua terpaksa berlumba-lumba mencari duit dgn pelbagai strategi utk pemeliharaan, pemiuliharaan n kecerian sekolah dgn pelbagai taman, kemudahan2 prasarana sekolah. guru2 tertekan dgn tugas2 tambahan keceriaan sekolah. saya x dpt ikuti perkembangan seterusnya sbb saya bersara pada thn 2001.yg nyata, setiap kali menteri pelajaran, ketua pengarah kpm n pengarah jpn bertukar, maka berubahlah dasar2 pendidikan.sekolah menjadi tempat perllaksanaan idea2 menteri kabinet utk diserapkan dlm syllabus beberapa subjek.bila pendidik boleh tumpu pd membina perkembangan manusia seimbang sebagaimana yg diharapkan oleh fpkLihat seterusnya..
23 jam yang lalu · SukaTidak suka · 2 orangSedang Memuatkan...
o
Zainal Abidin Zulcifly


Mana pergi pejuang-pejuang bahasa kita? Bolehkah kita terus berdiam sahaja? Bahasa Melayu sudah jadi b.Malaysia, kita ada sek. C, sek T, tak ada sek Mel - yang ada sek kebansaan yg di dalamnya ada diajar beberapa bahasa lain juga.......masihkah DBP relevan kalau keadaannya sudah jadi seperti yg dikatakan Kembara Bahasa?
21 jam yang lalu · SukaTidak suka
o
Sam Rizal

Nampaknya POLITIK merentas 'nyawa'
13 jam yang lalu · SukaTidak suka
o
Mohd Baharin Harun

Sepatutnya ada usaha untuk memberi penekanan semula FP tu atau adakan pendekatan baru untuk melaksanakannya... agaknya kita perlu tambah banyak meja bulat lagi!... hihihi..
13 jam yang lalu · SukaTidak suka
o
Sam Rizal

Saya kira FP sudah sempurna walaupun tidak syumul. yg lebih pentinpelaksanaannya yg lebih praktik tanpa berbelit dan berselirat
13 jam yang lalu · SukaTidak suka
o
Mat Nasir Berandaian falsafah negara dan tata bernegara masih tidak upaya dihayati oleh banyak kalangan pemimpin.
12 jam yang lalu · SukaTidak suka · SeorangSedang Memuatkan...
o
Kembara Bahasa


SD:Kisah program yang baik kemudian dihentikan atau diabaikan pelaksanaannya apabila muncul personaliti baru di peringkat atasan sudah menjadi fenomena dalam segenap bidang di negara kita. Kisah itu persis sama dengan kisah Sisyphus dalam d...ongeng Yunani purba; ia dihukum menolak batu ke puncak bukit dan setiap kali ia hampir menggolekkan batu ke lereng bukit yang satu lagi, datang 'dewa' menolak batu itu dari atas sehingga akhirnya tidak pernah kesampaian usaha Sisyphus menolak batu ke puncak bukit untuk memungkinkan batu itu bergolek di lereng sebaliknya. Begitulah, dasar-dasar negara yang baik dalam bidang pendidikan, bahasa, ekonomi, budaya dll telah diusahakan oleh sejumlah Sisyphus tetapi setiap usaha itu digagalkan oleh para 'dewa'. Bagi sesiapa yang terlibat dalam penggagasan FPK(asalnyaFPN) dan Kurikulum Bersepadu, baik dalam perancangan, pelaksanaan, pengendalian kursus, pemantauan dan lain-lain, memang amat pedih dan perit kita rasakan. Inilah bahayanya apabila falsafah pragmatisme menjadi pegangan hidup; perubahan dibuat konon untuk memenuhi keperluan semasa, dan mengabaikan idealisme pembentukan jati diri, sahsiah dan pembangunan bersepadu (antara yang fizikal dengan yang ruhaniyah).Lihat seterusnya..
10 jam yang lalu melalui Jawab emel · SukaTidak suka
o
Kembara Bahasa

AA: Itu makanya golongan yang sedar dan masih ada idealisme tentang jati diri, sahsiah dan pembangunan bersepadu perlu terus-menerus memberikan kesedaran dan pemahaman kepada khalayak yang lebih luas kerana perubahan atau 'penyelesaian' yang sdr. kemukakan itu mesti berakar daripada kesedaran dan pemahaman lebih dahulu tentang isu-isu penting yang berkaitan dengan pembinaan manusia dan peradaban.
9 jam yang lalu melalui Jawab emel · SukaTidak suka · SeorangSedang Memuatkan...
o
Mohd Baharin Harun

Tujuan dan matlamat jelas tapi pelaksanaannya tak kesampaian disebabkan dasar masih tak difahami atau diragui oleh sebahagian guru/pelaksana, kurang pengetahuan atau kemahiran dlm menyampaikan silibus bersepadu tersebut, fokusnya mungkin telah lari kerana terlalu fokus kpd peperiksaan, pengukuhan mungkn kurang... dan banyak lagi...
9 jam yang lalu · SukaTidak suka
o
Hariani Ibrahim

Apabila sistem pendidikan negara turut dipolitikkan. semua pihak menerima kesannya..falsafah pendidikan negara bukan lagi menyumbang untuk pembangunan negara tetapi lebih bertumpu kepada aspirasi pihak yang memerintah.. 'trial and error' yang tak sudah-sudah konon atas nama dinamik dan pemajuan sistem pendidikan semakin melihatkan betapa tidak mantapnya sistem pendidikan itu sendiri malah makin menggalakkan pembaziran masa,wang, tenaga dan fikiran..
32 minit yang lalu · SukaTidak suka
o
Mohd Baharin Harun
teringat mula2 pendedahan kurikulum bersepadu tahun 1976.... susah juga nak faham istilah gabung jalin, nilai merentas kurikulum, dll.
Tapi bila dah faham FPN barulah istilah2 itu sangat penting dan berguna..... demi menjayakan dan mancapai ...matlamat FPN itu..
Bak kata Prof tu...matlamat dan tujuan dah kabur dan lentur.. perlaksanaan pula bermasaalah.... tak taulah apa akan jadi akan datang?.....Lihat seterusnya..
8 minit yang lalu · Suka

Monday, September 27, 2010

Soal Jawab Bahasa (8): Binaan Ayat yang Gramatis

Binaan ayat yang gramatis


Salam. Saya minta bantuan Prof untuk menganalisis ayat yang berikut, iaitu:

1. "Apa lagi yang anda berikan kepadanya?" Soalan saya, adakah ayat ini gramatis Dan apakah penjelasannya?
Dihantar melalui Facebook Mudah Alih

2. "Saya belikan apa yang dia mahu." Adakah ayat tersebut baku? Dan apakah huraiannya?
Dihantar melalui Facebook Mudah Alih

- Jamal Iskandar bin Ismail


Kembara Bahasa pada 28hb September pukul 12.30 ptg

1. Apa(kah) lagi yang anda berikan kepadanya?"

Ayat di atas gramatis, iaitu ayat yang binaannya merupakan ayat tanya songsang (predikat di hadapan dan subjek di belakang). Frasa "yang anda berikan kepadanya" ialah subjek dan "apakah lagi" ialah predikatnya. Binaan biasanya (subjek di hadapan dan predikat di belakang) ialah "Yang anda berikan kepadanya apa lagi?" (Biasanya dalam bahasa lisan).

2. "Saya belikan apa yang dia mahu".

Ayat di atas tidak gramatis dan lebih merupakan ayat dalam bahasa lisan tidak rasmi dan juga terjemahan langsung daripada struktur ayat Inggeris " I bought him whatever he wanted." Struktur ayat yang sepatutnya perlu dalam bentuk pasif diri ketiga (dalam konstituen subjek), iaitu "Saya belikan apa-apa sahaja yang dipintanya/dimintanya/dikehendakinya".

"Apa-apa sahaja yang dipintanya/dimintanya/dikehendakinya" merupakan subjek dan "saya belikan" ialah predikat. Ayat "Saya belikan apa-apa sahaja yang dipintanya" itu merupakan ayat berita songsang (predikat di hadapan dan subjek di belakang). Binaan biasanya ialah "Apa-apa sahaja yang dipintanya saya berlikan".

Bentuk "apa yang dia mahu" tidak gramatis kerana 'dia' ialah pelaku diri ketiga dan bentuk pasifnya perlu ditandai oleh awalan 'di'.

Thursday, September 23, 2010

Puisi: Pesan Tanah Melayu

~Pesan Tanah Melayu~

oleh Shahdattul Olivia Ferranee Imelda

Semilir berbisik lagi..
Pada rembang senja..
Tika lembayung melabuh warna..
Sayup gemersik nyanyian buluh..
Mengalun resah dipinggir kali..
Terhimpun dalam satu tafsiran..
Terucap dalam seribu kiasan..
Lantas kukirimkan kata sakti..
Buat menyapa angin di perantauan..
Sudikah “Tanah Besar” menyambut..
Andai Tanah Melayu berkirim pesan..
Salam pertemuan lewat bicara kelmarin..
Cuma satu kegusaranku..
Sampaikah khabarku..
Andai angin tega bersiru lagi..

(Dedikasi buat Prof Dr. Awang Sariyan)

12.03 pagi, 24 September 2010


Salam Kedamaian dari Tanah Besar

oleh Kembara Bahasa

Merdu sayup suara syahdu
dibawa angin nan berlalu
dari Tanah Melayu tanah leluhurku
Pesan dan khabar nan dititipkan
bermukimlah sudah di teratak kalbu
di Tanah Besar Laksamana Zheng He
menyimpulkan tali akrab bersejarah lama
Dinasti Ming dan Kesultanan Melaka
Abadikanlah
nilai manusiawi yang dipaterikan bersama
Semoga Laut China Selatan tidak mengocak kedamaian sukma

6. 30 pagi 24 September 2010

Tuesday, September 21, 2010

Soal Jawab Bahasa (7): Golongan yang Menghancurkan Bahasa Melayu

Siapakah Golongan yang Menghancurkan Bahasa Melayu?

"...Prof..
Ada anak Melayu yang berkata...
"Melayu itu sebenarnya yang menghancurkan dan "melacurkan" bahasa sendiri.."
Apa pendapat Prof ??..." - Sofi

SOFI: Lebih dahulu saya tinggalkan kata 'melacurkan' kerana mungkin kata itu terlalu bernada emosional, tetapi dapat saya terima kata 'menghancurkan'. Anasir yang 'menghancurkan' bahasa Melayu banyak, jika dilihat daripada etnik, bukan Melayu dan Melayu sendiri; jika dilihat daripada sudut sektor, pelbagai penjawat dalam sektor awam dan swasta.

Rumusannya, tidak ada satu kelompok khsusus yang dapat didakwa 'menghancurkan' bahasa Melayu.Sesiapa sahaja yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan pelbagai Akta (spt Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta DBP) dapat dianggap orang yang menghancurkan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak tamadun dan asas pembinaan negara ('nation building').

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah asas jati diri rakyatnya; apabila bahasa Melayu tidak digunakan oleh rakyatnya, sirnalah jati diri rakyat dan daripada sudut bahasa. Jika semua warganegara menghormat bendera kebangsaan, lagu kebangsaan dan lambang-lambang kenegaraan yang lain, mengapakah tentang bahasa Melayu sebagai lambang utama bangsa dan negara diabaikan?

Demikian juga, kedudukan dan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, iaitu bahasa untuk pentadbiran hancur atau musnah apabila bahasa itu tidak digunakan sebagai wahana jentera pentadbiran negara (menurut Perlembagaan, bahasa rasmi hendaklah digunakan dalam semua urusan ramsi di peringka pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam).

Dalam bidang ilmu dan pendidikan pula, akan hancur bahasa Melayu apabila dibenamkan ke lumpur pekat kerana daripada peranannya sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara (menurut Akta Pendidikan yang diluluskan oleh Parlimen, diturunkan darjatnya menjadi bahasa pinggiran, baik di peringkat sekolah mahupun peringkat pengajian tinggi.

Timbulnya ayat "Melayu itu sebenarnya yang menghancurkan bahasa sendiri" dalam wacana tertentu (seminar, forum dan tulisan) bukan untuk mendakwa bahawa hanya orang Melayu yang terbabit, tetapi lebih untuk menekankan bahawa sewajarnya orang Melayulah yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap bahasa Melayu kerana itulah bahasa ibunda mereka yang telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa utama tamadun di negara ini. Demikian pula, kepemimpinan negara dan pelbagai institusi awam dapat dikatakan masih dinakhodai oleh orang Melayu.

Jika dalam keadaan orang Melayu menjadi majoriti penduduk dan menduduki tampuk kepemimpinan negara pun bahasa Melayu terumbang-ambing, dapatlah dibayangkan apakah yang terjadi jika orang Melayu bukan majoriti dan tidak menerajui kepemimpinan negara dan institusi.

AS, 22 September 2010

Saturday, September 18, 2010

Puisi: Musim Luruh

Musim Luruh

Musim luruh
Engkau bertandang lagi
semoga menjadi isyarat
dan lambang alam
perihal luruhnya
segala dosa kami
ketika kembali ke fitrah kami
pada Idulfitri

Perkenankanlah ya, Rabb.


10 Syawal 1431/19 September 2010

Friday, September 17, 2010

Kembaraku


Kembaraku


Kembaraku
jalan seribu liku
daripada jiwa yang Kauciptakan
ke dalam jasad ruh Kautiupkan
dari tulang sulbi aku Kaukeluarkan
di alam rahim bermula kembaraku
di alam zahir nyata kembaraku

Atas kealpaan dan keasyikanku
Rupa-rupanya kian berakhir kembaraku
Jalan nan kutempuh kian ke hujung
Pencarian yang kadangkala tidak bertebing
Keasyikan kepada dunia yang sementara
dan terleka oleh laba yang tidak seberapa
Menyebakkan dada
apabila kuhitung dosa dan pahala
apabila kukira rugi dan laba
untuk dibawa ke sana

Ya Rabb
Kupohon barakah
bagi sisa kembaraku
Kupohon rahmah
bagi baki perjalananku
Lorongkanlah inayah
Pancarkanlah hidayah
Kupohon kembaraku
berakhir dengan hasanah
Kupohon redha-Mu
untuk ke destinasi kembaraku
menemui Dikau
kembali ke haribaan-Mu.

[AS, Sesudah Subuh - 9 Syawal 1431, 18 September 2010]

Wednesday, September 15, 2010

Peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu: Sanggahan kepada Lee Kuan Yew

Malaysia Kini 15 September 2010

Bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan
Sep 15, 10 6:18pm



Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan tidak menghalang kemajuan, malah penggunaannya sebagai bahasa ilmu lebih 30 tahun lalu membawa banyak kejayaan kepada negara, kata Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Professor Dr. Awang Sariyan.

“Tidak mustahil dengan ilmu yang diperolehi daripada sumber bahasa Melayu, Malaysia satu hari nanti akan mampu mengatasi negara lain termasuk Singapura dalam beberapa hal termasuk ekonomi,” katanya menerusi kiriman e-mel hari ini.

Beliau mengulas kritikan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times baru-baru ini, kononnya bahasa Melayu sebagai bahasa sekolah, tidak boleh membantu dalam memperolehi pengetahuan moden.

Ia, kata Lee, dapat dilihat pada Melayu di Singapura ''yang moden serta berpandangan jauh'' kerana berpendidikan Inggeris.

Awang berkata, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain juga tidak pernah diabaikan malah turut dikuasai rakyat Malaysia sebagai nilai tambah kepada penguasaan ilmu mereka.

Mengulas lanjut, Awang berkata, Lee sepatutnya membaca ulasan bekas perdana menteri sesudahnya, Goh Chok Tong, yang pernah melahirkan kekesalannya akan keadaan generasi muda Cina Singapura yang menurutnya “hanya Cina pada biologinya tetapi sudah kehilangan Cina pada bahasa dan budayanya”.

Mengenai dakwaan Lee tentang "hegemoni Melayu rakyat Malaysia", Awang dengan ringkas berkata, “memaku dulang paku yang serpih".

Awang berkata, Lee tidak akan pernah senang dengan Malaysia kerana sejarah hitam hubungan peribadinya dengan pemimpin Malaysia sebelum ini menyebabkan beliau gemar mengeluarkan kenyataan kontroversi.

- Bernama

Monday, September 6, 2010

Puisi: Sendu Ramadan

Untuk kesekian kalinya
Engkau bertandang

Di bawah sedarku
telah lebih lima dekad lamanya
dari zaman tertaklif aku menyantunimu
atas tuntutan syariat

Alangkah alpanya aku
akan kurnia istimewa Yang Esa
Datangmu dengan rahmat tak tepermanai
Sepertiga pertama rahmat
Sepertiga kedua pengampunan
Sepertiga akhir pelepasan daripada neraka
Para malaikat suruhan Yang Perkasa
sepanjang malam hingga terbit fajar
mengucapkan salam sejahtera
kepada hamba-hamba-Nya
yang mengabdikan diri
ke hadrat pencipta dan penguasa yang tak berbanding

Ramadan
markaz tarbiah
peningkat iman pengukuh takwa
pelembut hati penyantun jiwa
memanusiakan manusia
kembali kepada fitrah
pembina jiwa mutmainnah
menjadi golongan yang mendapat redha

Ramadan
Adakah kita akan bersua lagi?
Belum puas kuhirup lazat sarbat syahdumu
Belum puas kuhadamkan zikir membesarkan-Nya
Belum puas kunikmati hamparan kasur munajat kepada-Nya
Belum terhapus titik-titik hitam pada peta kehidupanku

Ramadan
Engkau terlalu cepat meninggalkanku
Engkau terlalu bingkas pergi dari haribaanku
Kudambakan kunjunganmu lagi
Kudambakan dakapan syahdmu
Kepada-Nya aku bermunajat
Agar akan bersama denganmu lagi.

28 Ramadan 1431/7 September 2010