Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, October 31, 2011

Myths on Mother Tongue Education


[Ihsan daripada Imran Mustafa dalam Nota Buku Wajah (Facebook) beliau]

In the name of God, most Gracious, most Merciful,

The following is an excerpt from a 2004 UNESCO document by Carole Benson entitled "The importance of mother tongue-based schooling for educational quality" that concerns the myths surrounding the usage of a mother tongue in education,

Note:
L1 = Mother tongue language
L2 = Foreign language

"Mother tongue-based bilingual schooling is seldom disputed on the basis of its pedagogical reasoning, and if decision-making were to be based solely on how to provide the highest quality education for the learner many more of the world’s languages would be used in education today. The structural challenges to implementation related to political decision-making have just been discussed; this section begins with some widely believed myths, then takes up more practical aspects of implementation.

The following myths and attitudes are regularly used to challenge use of mother tongues in education, yet their false arguments are easily revealed:

♦ The one nation—one language myth. The colonial concept that a nation-state requires a single unifying language has influenced policy-makers in many parts of the world, yet imposition of a so-called “neutral” foreign language has not necessarily resulted in unity, nor have relatively monolingual countries like Somalia, Burundi or Rwanda been guaranteed stability. In fact, government failure to accept ethnolinguistic
diversity has been a major destabilizing force in countries like Bangladesh, Pakistan, Myanmar and Sri Lanka (Ouane 2003).

♦ The myth that local languages cannot express modern concepts. Another colonial concept is the supposed inherent worth of European languages in contrast to others, but all human languages are equally able to express their speakers’ thoughts and can develop new terms and structures as needed. Léopold Senghor once illustrated this by translating Einstein’s Theory of Relativity into Wolof, a lingua franca of Senegal. The difference lies in which languages have historically been chosen for “intellectualization,” or development, through writing and publishing (Alexander 2003).

♦ The either-or myth. This myth holds that bilingualism causes confusion and that the first language must be pushed aside so that the second language can be learned. The research evidence to date shows the opposite to be true: the more highly developed the first language skills, the better the results in the second language, because language and cognition in the second build on the first (Cummins 1999, 2000; Ramirez et al. 1991; Thomas & Collier 2002). Further, there is no evidence that the L2 must be a medium of instruction to be learned well; countries like Sweden achieve high levels of L2 competence by teaching it as a subject and preserving the L1 for instruction.

♦ The L2 as global language myth. The foreign L2 is often seen as necessary for further education, work and other opportunities, yet as Phillipson (1992) points out this has not happened in a political vacuum but is the result of deliberate promotion by powerful countries or groups of their respective languages. Meanwhile, employment in the informal sector of low-income countries involves 50 percent or more of the population and is increasing, and primary schooling is still terminal for most. The vast majority will not be integrated into the global marketplace and will have little use for the L2 (Bruthiaux 2002).

♦ The myth that parents want L2-only schooling. The poorest and most marginalized are acutely aware that their access both to education and to the high-status language has been limited, and they have a right to expect the school to teach their children the same language that has benefited the elite. Undoubtedly parents will choose the L2 when presented with an either-or proposition; however, studies (see e.g. Heugh
2002) have shown that when parents are allowed to make an educated choice from appropriate options, they overwhelmingly opt for bilingual rather than all-L2 programs, and most bilingual program evaluations report high levels of community support (CAL 2001).

The attitudes reflected by these myths provide a background for understanding other more practical challenges of implementing mother tongue-based bilingual schooling."

Section 2.2 from
http://unesdoc.unesco.org/images/0014/001466/146632e.pdf

God knows best.

~Kembara Bahasa~
31 Oktober 2011/4 Zulhijah 1432

Saturday, October 29, 2011

Sokongan kepada Penegasan Dasar Bahasa Kebangsaan di Sekolah dan di Universiti




IKRAR SOKONGAN
KEPADA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI TENTANG PENEGASAN DASAR BAHASA KEBANGSAAN DI SEKOLAH DAN DI UNIVERSITI


[Dibaca dan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd. Yassin setelah beliau merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2011]

Dengan menginsafi bahawa bahasa Melayu telah menjadi salah satu pancang pembentukan negara kita yang berdaulat dan kedudukannya telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta dalam Akta Pendidikan 1996 sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara;

Dengan mengingat bahawa Wawasan 2020 yang memacu negara kita menjadi negara maju digerakkan dalam acuannya sendiri, termasuk dalam hal bahasa Melayu sebagai wasilah tamadun negara;

MAKA KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU KE-8 YANG DIADAKAN PADA 28-30 OKTOBER 2011 DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MALAYSIA, DENGAN DUKUNGAN 200 BADAN KERABAT KONGRES DAN 148 PERSATUAN LAIN MERAKAMKAN IKRAR SOKONGAN PADU KEPADA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DALAM MENEGASKAN SEMULA DASAR BAHASA KEBANGSAAN, KHUSUSNYA YANG BERKAITAN DENGAN:

1. Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Timbalan Perdana Menteri memansuhkan PPSMI selaras dengan semangat dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menintakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, dan selaras juga dengan Akta Pendidikan 1996 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, serta memenuhi Wawasan 2020 yang menetapkan kemajuan menurut acuan sendiri yang antara lainnya melibatkan bahasa Melayu sebagai salah satu acuan penting bagi negara ini.

Keputusan pemansuhan PPSMI yang memperhitungkan nasib dan kepentingan rakyat terbanyak hendaklah dipertahankan dan tidak dibiarkan terancam oleh kehendak segelintir kelompok yang tidak mewakili kepentingan majoriti rakyat, apatah lagi yang tidak menghormati Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu pancang penting pembinaan negara ini.

2. Gesaan YAB Timbalan Perdana Menteri agar Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1970 atas perjuangan rakyat untuk mewujudkan sebuah universiti yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar meneruskan ketetapan dan tujuan asal universiti itu ditubuhkan. Sebarang penyelewengan daripada ketetapan dan tujuan asal itu tidak akan diredhai oleh seluruh rakyat yang bercita-cita untuk melihat UKM muncul sebagai suri teladan dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai wasilah ilmu peringkat tinggi.

Sebagai lanjutan daripada hal itu, Kongres turut menyokong pelan transformasi pengajian tinggi yang telah menetapkan pengutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar kuliah dan pengutamaan karya ilmiah dalam bahasa Melayu sebagai ukuran kesarjanaan di universiti di negara ini dengan pelbagai insentif dan penghargaan. Kongres menggesa agar pimpinan universiti dengan tangkas membuat tindakan susulan yang konkrit untuk merealisasikan pelan transformasi itu.

Disediakan oleh:

PROF. DR. AWANG SARIYAN
(bagi pihak penganjur Kongres, 200 badan kerabat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8 dan 148 persatuan lain)

29 Oktober 2011

Ucapan Perasmian TPM dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8


[Gambar: Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-3, 1956 di Johor Bahru dan di Singapura]

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

DI MAJLIS PERASMIAN KONGRES BAHASA
DAN PERSURATAN MELAYU


PADA 29 OKTOBER 2011; PUKUL 9.00 PAGI;
BERTEMPAT DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
KUALA LUMPUR


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berbahagia Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ismail Hussein,
Ketua Satu GAPENA.

Yang Berbahagia Dato’ Haji Termuzi bin Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Yang Berbahagia Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar,
Ketua Dua GAPENA, merangkap Pengerusi Kongres.

Barisan Para Pemimpin Pertubuhan-Pertubuhan Melayu yang bersama-sama menganjurkan Kongres.

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian.

1. Marilah kita bersama-sama melafazkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Di atas limpah kunia dan izinNya jua kita dapat berhimpun pada pagi yang berbahagia ini dalam Majlis Perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-8.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur khasnya GAPENA dan Majlis Muafakat Melayu Malaysia yang sudi menjemput saya untuk merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada pagi ini. Saya bagi pihak kerajaan amat mengalu-alukan penganjuran kongres ini yang pada hemat saya amat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan kedudukan bahasa dan persuratan Melayu di negara kita.

Bahasa Melayu bahasa kebangsaan
Menjadi milik semua warga
Martabat bahasa demi perpaduan
Semoga kita sejahtera sentiasa

3. Ketika merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dua minggu yang lalu, saya telah mempertegaskan peri penting peranan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan. Penegasan ini adalah selaras dengan kedudukan istimewa bahasa Melayu yang telah terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan, dalam undang-undang bertulis dan dalam dasar-dasar utama negara.

BAHASA MELAYU BAHASA PERPADUAN

4. Apatah lagi dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya yang berbilang bangsa, budaya dan bahasa, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah amat penting kepada proses pemupukan perpaduan dan pembinaan negara bangsa. Jika kita menghimbau sejarah, kita akan dapati bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah terkait rapat dengan hasrat mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Paksi kepada perpaduan yang hendak dibina adalah satu identiti kebangsaan yang dipupuk melalui penggunaan satu bahasa kebangsaan.

5. Hasrat murni penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan sepertimana yang terkandung dalam Dasar Bahasa Kebangsaan bukanlah sesuatu yang sukar untuk kita fahami. Apabila bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ini bukan lagi menjadi milik eksklusif orang Melayu, tetapi milik bersama kaum-kaum lain juga. Orang Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain mempelajari bahasa Melayu, menulis dalam bahasa Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu.

6. Kesan positif daripada pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan adalah peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Hari ini, orang bukan Melayu bukan sahaja boleh berbahasa Melayu, tetapi ada dalam kalangan mereka yang lebih fasih berbahasa Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Malah ada antara mereka yang menjadi pakar dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu. Walaupun bukan orang Melayu, atas semangat dan jiwa sebagai warga Malaysia, mereka bangga menggunakan bahasa Melayu, malah gigih memperjuangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa perpaduan.

7. Dalam konteks ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah meruntuhkan tembok pemisah antara kaum di negara kita. Dengan bertutur menggunakan bahasa kebangsaan yang sama, kita telah berjaya membina satu identiti dan jatidiri nasional yang menjadi paksi kepada perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa. Pada masa yang sama, oleh kerana negara kita tidak mengamalkan dasar asimilasi dalam hubungan antara kaum, orang bukan Melayu juga bebas untuk mempelajari dan mengembangkan bahasa ibunda masing-masing.

8. Alhamdulillah, selama lima dekad selepas merdeka, kita telah berjaya memartabat dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu, tanpa menjejaskan bahasa ibunda kaum-kaum yang lain. Bermula dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita telah berjaya menggunakan bahasa Melayu secara meluas dalam sistem pentadbiran dan pendidikan negara. Hari ini, kita telah berjaya melahirkan ratusan ribu graduan yang mempelajari pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu. Mereka inilah yang kini menjadi pentadbir dalam perkhidmatan awam, pengurus dalam sektor swasta dan pakar dalam pelbagai bidang profesional yang memacu kemajuan negara.

BAHASA MELAYU DAN CABARAN GLOBALISASI

9. Namun, mutakhir ini peranan bahasa Melayu sebagai paksi kemajuan dan pembentukan negara bangsa semakin teruji. Ujian ini datangnya dari pelbagai sudut. Paling ketara adalah rempuhan arus globalisasi yang melanda seantero dunia. Sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara, globalisasi telah mengundang konflik antara kedudukan bahasa serta budaya bangsa di satu pihak dan kuasa pasaran di pihak yang lain.

10. Hal ini berlaku kerana dalam era globalisasi, kemajuan sesebuah negara ditentukan oleh kemampuannya untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, penguasaan bahasa antarabangsa, terutamanya bahasa Inggeris, menjadi semakin penting. Dalam keadaan ini, ada pihak yang menganggap penguasaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih penting berbanding bahasa kebangsaan. Malah ada yang tidak lagi percaya dengan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.
11. Saya tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris. Rakyat kita mestilah berupaya untuk menguasai lebih daripada satu bahasa supaya kita boleh mempelajari ilmu yang terdapat dalam bahasa selain daripada bahasa kita. Penguasaan pelbagai disiplin ilmu yang terdapat dalam pelbagai bahasa adalah penting untuk membolehkan kita menjadi bangsa yang maju.


BAHASA MELAYU BAHASA KEMAJUAN

12. Tetapi soalnya, apakah kita tidak boleh maju dengan bahasa kita sendiri? Apakah bahasa kita tidak mampu untuk mengungkapkan konsep-konsep ilmu dengan baik, menyampaikan ilmu-ilmu yang kompleks dengan jelas dan nyata, serta menjadi wahana kemajuan bangsa kita? Apakah hanya dengan mempelajari ilmu dalam bahasa asing akan menjadikan kita sebuah bangsa yang maju?

13. Mungkin kita boleh maju dengan menguasai bahasa bangsa-bangsa yang telah maju. Anak-anak kita boleh diajar untuk mempelajari ilmu dalam bahasa bangsa yang telah maju, bukan dalam bahasa kita. Dengan itu, kita tidak perlu menterjemah ilmu-ilmu baru ke dalam bahasa kita kerana kita boleh mempelajarinya dengan cepat dalam bahasanya yang asal. Kita juga tidak perlu menghasilkan karya dalam bahasa kita kerana sumbernya dalam bahasa asing lebih banyak dan boleh diperolehi dengan lebih cepat. Jika kita dapat mempelajari ilmu-ilmu baru dengan cepat, kita juga boleh maju dengan cepat.

14. Tetapi hakikatnya, berapa ramaikah di kalangan rakyat kita yang boleh menguasai bahasa asing dengan baik untuk membolehkan mereka mendalami ilmu dalam bahasa tersebut. Jumlahnya barangkali tidaklah ramai. Sebahagian besar rakyat kita lebih fasih berbahasa kebangsaan dan dengan itu lebih mudah mempelajari ilmu dalam bahasa kita sendiri.

15. Jika semua ilmu diajar dalam bahasa asing, maka hanya segelintir daripada masyarakat kita dapat menguasai ilmu. Sebahagian besar rakyat akan ketingalan dalam perlumbaan mengejar ilmu. Akhirnya, ilmu-ilmu yang penting hanya berlegar dalam kalangan segelintir mereka yang fasih berbahasa asing. Majoriti rakyat yang tidak fasih berbahasa asing akan gagal menguasai sebarang ilmu dan tercicir daripada arus kemajuan. Mereka tidak akan maju, jauh sekali menyumbang kepada kemajuan negara. Percayalah, bangsa kita tidak akan maju jika sebahagian besar rakyat kita tidak dapat menguasai ilmu dalam bahasa kita sendiri.

Janganlah kerana mengejar untung sejengkal
Kita menanggung rugi sedepa.

16. Dalam keghairahan kita menguasai bahasa asing, janganlah kita mengabaikan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Malah, dalam menempuh arus globalisasi yang semakin deras, usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu mestilah diperhebatkan lagi.

17. Dalam konteks ini, wajar kita mengambil iktibar dari sejarah lampau untuk dijadikan pedoman. Orang Eropah dahulu mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang terdapat dalam bahasa itu. Tetapi mereka kemudiannya menggunakan bahasa mereka sendiri untuk memperkayakan ilmu yang diperolehi. Mereka menulis karya-karya agung dalam bahasa mereka sendiri. Universiti-universiti didirikan untuk mengajar ilmu yang baru ditemui dalam bahasa-bahasa Eropah.

18. Hari ini, orang Eropah tidak perlu lagi mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Universiti-universiti mereka juga telah berjaya menjadi universiti terkemuka di dunia dengan menawarkan pendidikan dalam bahasa Eropah. Mereka telah berjaya mencipta ilmu dalam bahasa mereka sendiri dan mengembangkannya ke seluruh dunia. Akhirnya, bangsa Eropah menjadi bangsa yang maju dan bahasa mereka juga menjadi bahasa yang maju.

19. Inilah sikap bangsa yang telah maju. Mereka mempelajari sesuatu bahasa untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu tanpa merendahkan kemampuan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Mereka juga mempunyai rasa bangga yang amat kental terhadap bahasa mereka.

20. Sebagai bangsa yang sedang meniti arus kemajuan, kita sebenarnya berada di persimpangan jalan yang akan menentukan masa depan bangsa dan bahasa kita. Apakah kita ingin maju dengan menjadikan bahasa asing sebagai satu-satunya bahasa ilmu, atau memperkasakan bahasa kita sendiri sebagai bahasa ilmu? Pada hemat saya, satu-satunya pilihan yang ada ialah mempelajari bahasa asing untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu dan pada masa yang sama memperkasakan bahasa kita sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

Bersama nenda mencari lokan
Singgah sebentar di hujung desa
Bahasa Melayu bahasa kemajuan
Martabat bahasa majulah bangsa

LANGKAH MEMAJUKAN BANGSA DAN BAHASA

21. Hasrat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita capai. Tidak ada jalan pintas untuk kita memajukan bangsa dan bahasa kita. Ianya memerlukan komitmen dan pengorbanan pelbagai pihak. Pertama, kita perlu memiliki sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Kita sendiri perlu yakin dengan kemampuan bahasa kita sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kita perlu bangga bertutur dalam bahasa Melayu, menulis dalam bahasa Melayu, hatta berfikir dalam bahasa Melayu. Tanpa keyakinan dan rasa bangga terhadap bahasa Melayu, kita tidak mungkin mampu melangkah jauh dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

22. Kedua, kita perlu mengambil langkah proaktif untuk membina keyakinan rakyat terhadap bahasa Melayu. Ini kerana keyakinan itu tidak akan terbina dengan sendiri. Ia menuntut semua pihak berjihad memupuk rasa yakin serta bangga rakyat terhadap bahasa Melayu.

23. Dalam fasa baru jihad memartabat bahasa Melayu ini, para pejuang bahasa mempunyai peranan yang amat penting. Mereka tidak harus lagi bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-mata, tetapi perlu bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat terbanyak untuk memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa Melayu. Para pejuang bahasa perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat, menjadi penggerak kesedaran rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

Alang-alang berdakwat biar hitam
Alang-alang berminyak biar licin
Alang-alang mandi biar basah

24. Seterusnya, kita juga perlu pastikan bahasa Melayu mampu bergerak seiring dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Dinamika bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi perlu dimantapkan lagi. Usaha-usaha penciptaan istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu perlu dipergiatkan. Malah, lebih daripada itu, istilah-istilah yang dicipta perlu digunakan secara meluas samada dalam karya-karya ilmiah atau karya-karya popular. Ini bermakna, para ilmuwan di negara kita perlu mempergiatkan usaha untuk berkarya dalam bahasa Melayu.

25. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan ilmuwan kita menghasilkan karya-karya sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, saya telah mengumumkan pewujudan dana insentif sebanyak 2 juta ringgit di bawah seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ganjaran akan diberikan kepada penulis karya ilmiah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu yang karyanya diterima untuk diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

26. Kerajaan juga akan memperkukuhkan peranan Institut Terjemahan Negara Malaysia sebagai agensi penterjemahan utama negara. ITNM akan bertanggungjawab untuk memperhebatkan lagi usaha penterjemahan buku-buku ilmiah antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah menambah khazanah keilmuan dalam bahasa Melayu. Kita perlu mencontohi usaha yang dilakukan oleh Korea Selatan misalnya yang menerbitkan 10,000 karya terjemahan setahun daripada jumlah keseluruhan 40,000 judul buku yang diterbitkan. Taiwan pula menerbitkan 8,000 karya terjemahan setahun daripada jumlah keseluruhan 38,000 judul buku.

27. Saya juga menyambut baik pengumuman YB Menteri Pengajian Tinggi dua hari yang lalu bahawa penerbitan dalam bahasa Melayu akan dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat ahli-ahli akademik di institusi-institusi pengajian tinggi awam tempatan. Mudah-mudahan dengan langkah positif ini, darjat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan lebih perkasa lagi.

28. Saya berharap agar para ilmuwan kita segera merebut peluang ini untuk menghasilkan lebih banyak karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu, sekaligus memperkayakan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu. Sudah sampai masanya kita menjadi bangsa yang mencetus dan mencipta ilmu dalam bahasa kita sendiri, bukan sekadar bangsa yang mencedok atau menggunapakai ilmu dari luar.

PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU

29. Di samping memartabatkan Bahasa Melayu di tanah air sendiri, sudah sampai masanya bahasa Melayu diperkasakan di peringkat antarabangsa. Pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa perlu dijadikan antara fokus utama institusi-institusi pengajian Melayu di negara kita. Saya difahamkan terdapat lebih 150 Pusat Pengajian Melayu di seluruh dunia yang boleh dijadikan rakan strategik untuk memperluaskan pengajian bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

30. Untuk itu, saya mencadangkan agar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka menjalin kerjasama untuk menawarkan latihan dan kursus Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Untuk memastikan akses yang lebih luas dan mudah serta kos yang lebih efektif, teknologi digital boleh dimanfaatkan dengan menawarkan kursus-kursus dalam bentuk pembelajaran atas talian.

31. Ketika mengadakan lawatan rasmi ke Copenhagen pada bulan Mei yang lalu, saya juga telah mengumumkan kesediaan kerajaan untuk menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu ke negara-negara luar dan melatih rakyat Malaysia di luar negara sebagai munsyi bahasa Melayu. Ini bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia di luar negara untuk mempelajari bahasa Melayu. Lanjutan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti tenaga pengajar yang berkelayakan dan merangka program latihan yang bersesuaian. InsyaAllah, program ini kita akan mulakan pada tahun hadapan. Dengan adanya inisiatif ini, saya berharap agar usaha untuk mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu ke peringkat antarabangsa akan dapat dipergiatkan lagi.

32. Bagi pihak kerajaan, saya bersyukur ke hadhrat Allah s.w.t kerana saudara-saudari sekalian selaku penggiat bahasa telah berperanan sebagai benteng yang mempertahankan kedudukan istimewa persuratan Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Para pejuang bahasa terdahulu telah dengan tegas meletakkan Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara bangsa dan pentadbiran negara. Kini, saudara-saudari sekalian menyambung perjuangan mulia ini dan saya amat berharap agar perjuangan ini disahut pula oleh generasi muda kita di masa hadapan.

PENUTUP

33. Mudah-mudahan dengan iltizam dan keyakinan kita yang kental terhadap bahasa Melayu, kita akan berjaya membentuk keperibadian kebangsaan melalui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bangsa kita menjadi bangsa yang padu dan perkasa. Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus memperkasakan bahasa dan persuratan Melayu dengan fungsinya yang mantap, bermartabat dan mulia selama-lamanya di negara kita yang tercinta.

Elok bahasa kan bekal hidup
Elok budi kan bekal mati

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

~Kembara Bahasa~
30 Oktober 2011/3 Zulhuijah 1432

Thursday, October 27, 2011

Kerajaan Perlu Tegas Mansuhkan PPSMI

BERNAMA 27 Oktober 2011

Kerajaan Perlu Tegas Mansuhkan
PPSMI:Awang Sariyan



KUALA LUMPUR: Pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan, Dr Awang Sariyan pada Khamis meminta kerajaan supaya bertegas dan tidak melayan sebarang desakan mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara pilihan di sekolah.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran sendiri mengakui berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hanya tiga peratus pelajar mendapat manfaat dari PPSMI.

"Jadi adakah kita ingin mengabaikan hak asasi 97 peratus pelajar lain sedangkan pendemokrasian pendidikan menuntut pendidikan mesti diperoleh sejumlah besar rakyat, kita tak boleh korbankan 97 peratus hanya untuk melayan tiga peratus yang masih berminat dengan PPSMI," katanya kepada media selepas sidang media oleh 48 Badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyokong pemansuhan PPSMI , di sini, Khamis.

Beliau berkata golongan memerlukan PPSMI ialah golongan elit yang mungkin telah hilang jati diri.

"Mereka mendakwa Bahasa Inggeris bahasa ibunda mereka walhal mereka masih orang Melayu, ini satu kekeliruan.

"Kekeliruan (oleh golongan elit) ini tidak perlu dilayan, kerajaan perlu bertegas dan tidak lagi berdolak dalih, mengubah kembali keputusan pemansuhan kerana itu memberi tanggapan tidak ada dasar negara yang jelas," katanya.

Sebelum ini Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa agar diberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih PPSMI berdasarkan kajian mereka yang mendakwa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Sementara itu, pada sidang media oleh 48 NGO, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata satu memorandum yang mengandungi empat resolusi menyokong pemansuhan PPSMI akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri pada 29 Oktober depan sempena Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-8.

- BERNAMA

Pelan Transformasi Pengajian Tinggi: Syabas Khaled Nordin

Bernama Khamis, Oktober 27, 2011

Semua kursus wajib universiti dalam Bahasa Melayu


Penerbitan buku atau bahan-bahan akademik dalam Bahasa Melayu akan dijadikan satu daripada kriteria perjawatan atau kenaikan pangkat ahli-ahli akademik, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata perkara itu adalah antara inisiatif dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dilancarkan hari ini.

khaled nordinMelalui pelan itu juga, anugerah kepada ahli akademik di peringkat universiti yang cemerlang dalam penerbitan akademik Bahasa Melayu akan diwujudkan, manakala kategori baru iaitu Anugerah Penterjemah Karya Ilmu dalam Bahasa Melayu akan dimasukkan dalam Anugerah Akademik Negara (AAN) akan datang.

Bercakap pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di kementerian berkenaan hari ini, beliau berkata semua kursus wajib universiti seperti Kursus Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara serta Hubungan Etnik akan diwajibkan dikendali dalam Bahasa Melayu, manakala penuntut antarabangsa pula diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu Komunikasi.

"Kita meletakkan sasaran 30 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu bagi gugusan sains pada 2020. Dalam tempoh yang sama juga, kementerian meletakkan sasaran 70 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu bagi gugusan sains dan sosial," katanya.

Mohamed Khaled berkata aktiviti menterjemah penulisan akademik yang dihasilkan dalam Bahasa Inggeris atau bahasa asing ke dalam Bahasa Melayu akan dipergiat melalui unit terjemahan yang ditubuhkan di setiap IPT.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula akan dijadikan badan yang akan menghubungkan semua jabatan pengajian Melayu di luar negara untuk menyepadukan usaha memartabatkan Bahasa Melayu, katanya.

Beliau berkata usaha untuk menambah bilangan artikel berindeks dalam Bahasa Melayu dan bilangan penerbitan buku akademik dalam Bahasa Melayu akan ditingkat, selain memperkukuh jurnal tempatan berbahasa Melayu berkualiti di IPT sehingga dapat diindekskan dalam Scopus dan Institut Maklumat Saintifik(ISI), iaitu pangkalan data berindeks yang diiktiraf.

Mohamed Khaled berkata usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Melayu tinggi merentasi pelbagai bidang dalam IPT, sekaligus memastikan ia tidak hanya dimonopoli oleh mereka yang berada dalam bidang Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.

Beliau berkata ia akan dapat meningkatkan nilai ekonomi Bahasa Melayu serta memperbetulkan persepsi selama ini bahawa Bahasa Melayu hanya dikaitkan dengan taraf kehidupan yang rendah, iaitu bahasa yang dituturkan oleh mereka yang tidak berpendidikan tinggi.

"Dalam masa sama juga, pelaksanaan pelan tindakan ini tidak bermakna kementerian meminggirkan peranan dan penggunaan Bahasa Inggeris di kampus.

Sebaliknya, proses memperkukuh Bahasa Inggeris di IPT akan sentiasa berjalan terutama dalam usaha kita meningkatkan kualiti dan tahap kebolehpasaran graduan," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Mohamed Khaled berkata pelan tindakan itu dihasilkan berdasarkan Kajian Penggunaan Bahasa di IPT awam tahun lepas, yang mendapati tidak ada garis panduan yang tetap, berstruktur dan sistematik dalam memantapkan penggunaan Bahasa Melayu di IPT.

IPT-IPT di seluruh negara boleh memulakan usaha sepertimana dalam pelan tindakan itu mengikut kesesuaian selepas ia dilancarkan hari ini, katanya.

Mengenai ATMA, Mohamed Khaled berkata sehingga kini terdapat tujuh jabatan pengajian Melayu di universiti-universiti di China, manakala beberapa lagi di Eropah, Amerika, Jepun dan Korea yang selama ini tidak berhubungan antara satu sama lain.

"Selama ini sebahagian besar jabatan pengajian Melayu itu lebih menekankan Bahasa Indonesia, mungkin kerana kita tidak ada link, jadi kita nak mainkan peranan yang lebih aktif supaya kita dapat memantapkan penggunaan Bahasa Melayu di seluruh dunia," katanya.

- Bernama

~Kembara Bahasa~
28 Oktober 2011/1 Zulhijah 1432

Pernyataan Media 49 Persatuan: Sokongan Pemansuhan PPSMI



PERNYATAAN MEDIA SIRI KE-2
49 Buah Badan Bukan Kerajaan
PADA 27 OKTOBER 2011

(Dewan Seminar Aras 2, Bangunan Menara DBP, Kuala Lumpur)


MENYEDARI BAHAWA:

1. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan keputusan muktamad tentang pemansuhan PPSMI pada Julai, 2009 yang lalu.

2. Pelbagai pihak termasuk kami, gabungan 49 Badan Bukan Kerajaan telah mengemukakan pelbagai hujah melalui meja bulat, seminar, persidangan dan lain-lain yang antaranya diterbitkan berjumlah tidak kurang daripada 2,700 halaman di samping Sidang Media Pertama pada 12 September 2008.

3. Memorandum Pemansuhan PPSMI kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung telahpun dihantar pada 7 Mac 2008 dengan sokongan dan iringan lebih 100,000 orang peserta.

4. Kerajaan dan Kementerian Pendidikan melalui DBP dan kerjasama pelbagai pihak seperti MABBIM, universiti dan sebagainya telah mengusahakan ratusan ribu istilah dan penerbitan berkaitan pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi bagi memperkaya kepustakaan ilmu berbahasa Melayu di negara ini. Perbelanjaan yang besar tidak wajar dibazirkan iaitu kos jutaan ringgit dan kos intelektual yang terlibat.

5. Bahasa Melayu telahpun terbukti berjaya digunakan dalam sistem pendidikan di Malaysia khususnya sejak tahun 1970 -2003 (era sebelum PPSMI) dengan peralihan beransur-ansur daripada bahasa penghantar Inggeris kepada bahasa Melayu dari sekolah rendah sehinggalah di universiti termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Dalam masa tersebut lebih 5 juta orang pelajar Melayu, Cina, India dan lain-lain mengikuti pendidikan dalam bahasa Melayu. Dengan anggaran purata kira-kira 3,000 orang pelajar lepasan SPM setahun dapat menyambung pengajian di luar negara, tidak kurang daripada 90,000 orang pelajar berjaya menuntut di luar negara walaupun telah mengikuti pengajian dalam sistem kebangsaan di negara ini. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang menuntut di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran, di dalam dan di luar negara.

6. Bahasa Melayu bukan penghalang kualiti untuk memperoleh ilmu termasuk sains dan teknologi. Selain contoh di atas, UKM sendiri ( yang pernah ditentang penubuhannya termasuk oleh orang Melayu/pimpinan Melayu (?) sendiri ) pernah menduduki senarai 187 universiti terbaik dunia mengatasi universiti lain di negara ini. Malah kini walaupun banyak juga mata pelajaran sains dan teknologi telah dikuliahkan dalam bahasa Inggeris di universiti kita, kedudukan universiti tersebut tidak meningkat, malah merudum dengan baiknya sedangkan Fakulti Pergigian Universiti Malaya pernah diiktiraf badan berwibawa di England sekalipun menggunakan bahasa Melayu.

7. Usaha mewujudkan “kelas khas” walaupun hanya untuk 2 mata pelajaran iaitu sains dan matematik/teknologi adalah tidak benar dan mengelirukan dan hanya akan melayani segelintir pihak yang lebih mementingkan diri berbanding aspirasi negara dan perkembangan bahasa negara sendiri yang pastinya mewujudkan persaingan tidak sihat dalam bahasa penghantar pendidikan serta akan melebarkan jurang perbezaan dalam jangka panjang bagi upaya dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini kerana mata pelajaran sains dan matematik/teknologi bukan dua (2) sahaja jumlahnya terutama di peringkat menengah atas dan universiti.

Akibatnya wujudlah "fenomena antara 2 darjat" atau kasta dalam sistem pendidikan negara. Jurang sosioekonomi akan terus melebar kerana “lulus jarum luluslah kelindan”. Nilai ekonomi bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, bahasa ilmu hanya wujud sebagai "nilai teori" sedangkan "nilai praktisnya" tiada lagi. Renunglah sejarah negara ini sendiri dan negara lain sebagai pengajaran.

8. Banyak negara tetap maju walaupun menggunakan bahasa sendiri dalam sains dan matematik seperti Jerman, Perancis, Sweden, Norway, Finland,Rusia, Jepun, Korea, China dan lain-lain dalam sistem pendidikan. Mereka belajar dan cekap berbahasa Inggeris tetapi "TIDAK MEMBUANG" bahasa sendiri seperti hasrat segelintir rakyat Malaysia (malah berbangsa Melayu dan pastinya mereka tidak membaca pesanan lama Abdullah Munsyi). Kami menyokong 100% usaha untuk menguasai bahasa Inggeris tetapi bukan dengan cara yang dapat “meruntuhkan” bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi.

9. Bahasa Melayu benar-benar bermartabat dan bernilai hanya apabila digunakan bagi menyebar ilmu khususnya di peringkat tinggi dan tidak patut dihadkan bagi bidang sastera atau kemanusiaan sahaja.

10. Bahasa Melayu telah mulai "hancur" sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi dengan pelaksanaan PPSMI mulai tahun 2003.

11. PIBG tidak seharusnya diberikan kuasa mutlak membuat keputusan dalam soal dasar seumpama ini kerana pihak KPM khususnya memiliki kepakaran melalui bahagian-bahagiannya di samping turut menyediakan saluran komunikasi bagi tujuan tersebut. Telitilah tujuan dan matlamat asal penubuhan PIBG agar tidak lari dari landasan dengan tumpuan kepada membantu kecemerlangan pendidikan sekolah seperti masalah disiplin dsbnya.

12. Pungutan suara bukan penyelesaian terbaik bagi isu ini kerana ibu bapa dan anak-anak sekolah khususnya mempunyai kepelbagaian latar belakang dan kepentingan yang berbeza untuk meneliti dasar besar ini yang perlu diteliti secara makro dan mikro tentang banyak perkara seperti falsafahnya, prinsip, aspirasi negara, pembinaan tamadun dan negara bangsa, jati diri dan sebagainya.

13. Bahasa Melayu antara bahasa moden yang paling mudah dipelajari di dunia ini, bahasa yang “merakyat” dan merentas sempadan geografi, etnik dan sosioekonomi. Maka dengan itu usaha kembali secara beransur-ansur (soft-landing) daripada bahasa Inggeris tidak diperlukan, Malah semasa pertukaran kepada PPSMI secara yang agak pantas dahulu, tiada pun pihak tertentu yang menimbulkan kegusaran atas alasan yang sama seperti sekarang. Kami bimbang akan ruang “kelengahan” ini yang mudah diambil kesempatan untuk terus melengahkan bahasa Melayu kembali bertakhta sebagai bahasa sains dan teknologi.

MAKA DENGAN INI,

1. KAMI menyokong pendirian tegas berterusan kerajaan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dengan pemansuhan PPSMI dan meminta pengembalian martabat dan maruah bahasa rasmi, bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi hendaklah sepenuhnya dan menyeluruh, iaitu bukan sahaja di peringkat pendidikan rendah dan menengah, malah perlu juga bagi Tingkatan 6, matrikulasi dan universiti demi kelancaran dan kesinambungannya seperti yang telah terlaksana dengan baik dan cemerlang selama kira-kira 30 tahun sebelum era PPSMI tanpa berlengah-lengah lagi.

2. Demi kepentingan aspirasi nasional, bahasa Melayu (bahasa di nusantara dan kepulauan ini sejak sekurang-kurangnya abad ke-7 Masehi), sebagai bahasa perpaduan dan pemersatu yang merentas bangsa dan status sosioekonomi tidak sepatutnya diganti oleh bahasa negara lain pula walaupun Inggeris yang hanya menguntungkan/mementingkan segelintir kumpulan elit di negara ini. Jika tidak bahasa untuk sains dan matematik/teknologi akan menjadi kucar-kacir. Penempatan dan pertukaran guru juga akan menjadi lebih kompleks.

3. Bahasa Melayu bukan sekadar wahana ilmu dan kemahiran berfikir tetapi mengandung nilai dan budaya serta teras jati diri warganegara Malaysia dalam kehidupan. Pelaksanaan PPSMI merupakan SATU KESILAPAN BESAR, dan keputusan pemansuhannya merupakan langkah "sesat di hujung jalan kembali ke pangkal jalan.

4. Kami menganggap usaha untuk mengembalikan PPSMI sama ada sepenuhnya atau cuma sebahagiannya melalui aliran Inggeris untuk berpuluh-puluh/beratus-ratus mata pelajaran adalah usaha berterusan yang "mengkhianati" upaya dan peranan bahasa Melayu kerana dapat menjejaskan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi di rantau ini khususnya untuk berfungsi seperti bahasa-bahasa moden yang lain.

TERIMA KASIH.

[Al-Fatihah kepada Allahyarham Dato' Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi GMP (Gerakan Memansuhkan PPSMI) yang telah menerajui gerakan itu sebagai Pengerusi, dengan SN Dato' A. Samad Said sebagai Penasihat.]

Friday, October 21, 2011

Menghayati Isu Bahasa Melayu: Beberapa Bacaan Penting


Buku ini disusun oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, terdiri daripada sejumlah makalah yang mengupas isu PPSMI; terbitan Persatuan Penterjemah Malaysia. Maklumat lanjut dapat diperoleh dengan menghubungi Prof. Emeritus Abdullah Hassan (profabdullah@pts.com.my).



Buku ini disusun oleh Dato' Abd. Rahim Bakar (Allahyarham) dan Awang Sariyan, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia; menghimpunkan sejumlah makalah sarjana dan pejuang bahasa tentang isu-isu bahasa Melayu, termasuk PPSMI. Maklumat lanjut dapat diperoleh dengan menghubungi Setiausaha Persatuan Linguistik Malaysia, Cik Zaiton Ismail: zaiton3@dbp.gov.my atau saya sendiri (awsr@yahoo.com; Buku Wajah/Facebook: Kembara Bahasa).


Buku ini diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia, dengan kata penghantar oleh Awang Sariyan, Presiden PLM; menghimpunkan makalah dan puisi para pejuang bahasa pada tahun 1960-an yang menggerakan perisitiwa "Keranda152" kerana memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Maklumat lanjut dapat diperoleh dengan menghubungi Cik Zaiton Ismail (zaiton3@dbp.gov.my) atau saya sendiri (awsr@yahoo.com; Buku Wajah/Facebook: Kembara Bahasa).


Buku ini disusun oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan daripada kertas-kertas kerja Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sejak kongres yang pertama (1952). Maklumat lanjut dapat diperoleh dengan menghubungi Prof. Emeritus Abdullah Hassan (profabdullah@pts.com.my).


Buku ini disusun oleh Awang Sariyan berdasarkan kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Keempat pada tahun 1984 dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.


Buku ini disusun oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan daripada kertas-kertas kerja Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketujuh pada tahun 2006. Maklumat lanjut dapat diperoleh dengan menghubungi Prof. Emeritus Abdullah Hassan (profabdullah@pts.com.my).


Buku susunan Awang Sariyan ini diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia; mengupas isu-isu "makna diri" atau jati diri Melayu, sejarahnya dan isu-isu yang berkaitan dengan Melayu, termasuk isu bahasa. Maklumat lanjut dapat diperoleh dengan menghubungi Setiausaha Kehormat PLM (zaiton3@dbp.gov.my) atau saya sendiri (awsr@yahoo.com; Buku Wajah/Facebook: Kembara Bahasa).

Pesanan buku tersebut, sebahagiannya dapat dilakukan melalui pos.

~Kembara Bahasa~
22 Oktober 2011/24 Zulkaedah 1432

Thursday, October 20, 2011

Lagu Rakyat


Lagu Rakyat

[ I ]

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
Bertepuk ramai-ramai
Nanti mendapat sesuatu

Susu lemak manis
Santan kelapa muda
Yang miskin terus mengemis
Yang kaya membolot laba

[ II ]

Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Disuruh makan kami makan
Disuruh mengundi belum tahu

[ III ]

Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut luka di hati

[ IV ]

Cok cok gendung
Gendung menari-nari
Bagai lembu dicucuk hidung
Ditarik orang ke sana sini

[ V ]

Enjit enjit semut
Siapa sakit naik atas
Akal sudah jumud
Menimbang selalu terbabas

[ VI ]

Nenek, nenek si bongkok tiga
Siang malam asyik berjaga
Kalau hidup bertuhankan dunia
Lebih baik haiwan yang melata

~Kembara Bahasa~
21 Oktober 2011/23 Zulkaedah 1432

Bagaimanakah Tatabahasa Dapat Diajarkan dengan Berkesan?


BAGAIMANAKAH TATABAHASA DAPAT DIAJARKAN
DENGAN BERKESAN?


Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Beijing Foreign Studies University

[Kertas kerja untuk Bengkel Pengajaran Tatabahasa, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (19 Ogos 2009) dalam rangka tugas sebagai Profesor Adjung UPSI]



PENDAHULUAN

Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering, membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan membosankan kerana kononnya tata bahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya dengan matematik. Bercakap tentang tatabahasa seolah-olah bererti bercakap tentang soal salah betul penggunaan bahasa semata-mata. Sekian lama pula telah tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tata bahasa mengekang gaya bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan tatabahasa. Jika timbul rasa takut dan benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?

Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan tentang kaedah dan teknik pengajaran tata bahasa yang menarik ialah berusaha membetulkan anggapan salah tentang tatabahasa. Kata pepatah “Tak Kenal maka tak cinta”. Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tata bahasa, tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam lagu Melayu lama yang berbunyi “Kalau hati sudah suka, semua indah saja”. Demikianlah mudah-mudahan tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.

TATABAHASA DAN HAKIKAT BAHASA

Untuk mencapai makrifat tentang bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian yang lebih dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada morfologi dan sintaksis. Tata bahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat bahasa ialah satu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam ruh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata bahasa sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan bahasa dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu, tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem semantik.

Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses penyesuaian parameter. Dengan memahami asal usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tata bahasa merupakan asas yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya tata bahasa sejagat pada manusia inilah yang memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan yang biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.

Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti bahawa hanya ada satu tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya tata bahasa yang berlainan dijelaskan dalam al-Qur’an (Surah al-Hujurat, ayat 13 dan Surah al-Rum, ayat 22). Oleh itu perlu difahami perbedaan tata bahasa sejagat daripada tatabahasa khusus bagi bahasa yang tertentu.

Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu sistem yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai skema sistem itu dan menterjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos) yang ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai “seni membaca dan menulis”, yang dengan jelas menunjukkan peranan tata bahasa.

Demikianlah selayang pandang penjelasan tentang hakikat tatabahasa. Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari (oleh murid atau pelajar).

PENGAJARAN TATABAHASA: PENYATAAN FENOMENA

Tatabahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik pada guru mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik pula. Memang tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah agar murid menguasai sistem bahasa untuk selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu, penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang berkesan dan juga untuk tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan aspek-aspek fungsionalnya.

Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal tujuan pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa. Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam hal ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai “model pengajaran kemahiran” kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah” terlalu cenderung pada aspek praktis sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula.

Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan “keupayaan komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek komunikatif bahasa. Dalam hal pengajaran tatabahasa, penekanan kepada penguasaan rumus-rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya menjadikan tatabahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem.

Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tatabahasa yang dapat mengukuhkan ketrampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekaligus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa terhad” (restricted code) bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina” (elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan asas hingga yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya tinggi.

STRATEGI PENGAJARAN TATABAHASA

Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan menurut cara lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.

Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat 1970-an melibatkan:

a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa (terutama tata bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.

Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan ialah penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran tatabahasa tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tata bahasa sehingga menimbulkan kebosanan. Tatabahasa dapat diajarkan bersama-sama dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat pula murid memahami penggunaan tatabahasa secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa terancang.

Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek sistem bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu turut menekankan aspek kandungan bahasa.

Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat tentang kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara, serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagi kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan juga unsur kewarganegaraan.

Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tata bahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabungjalinan murid diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Melalui strategi, penyerapan pula, murid dituntun menguasai tatabahasa dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia perlu mengajarkan tatabahasa.

Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran tatabahasa memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi perancangan dan pengajarannya di bilik darjah.

Perancangan

Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selanjutnya unsur-unsur tata bahasa itu perlu dimasukkan dalam perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan relevannya dengan bahan pengajaran.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran. Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. “Bahan” di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian tentang unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian tentang makna dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang menjadi fokus pengajaran. Bahan yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi. Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai “bahan ransangan”.

Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tatabahasa ialah:

a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan grafik, sesuai dengan kepalbagaian konteks penggunaan tata bahasa.

b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu.

c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan nilai.

d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti iklan, borang, risalah, dan sebagainya.

e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan.

f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.

Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tatabahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema.


Pengajaran

Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid termasuklah:

a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur tatabahasa tertentu dalam bahasa.

b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan pola-pola tertentu yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan sebagainya.

c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid menamakan objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada bahan tersebut, dan sebagainya.

d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid menghayati unsur-unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan cerita.

e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.

f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu, misalnya sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).

g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka nama, sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda, memadankan unsur bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat untuk maksud yang sama, dan sebagainya.

h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan dan membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).

i. Kegiatan penghasilan – murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.

PENUTUP BICARA

Demikianlah secara umum gagasan tentang bagaimana kira-kira tatabahasa dapat diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama sekali menimbulkan pengertian bahawa tatabahasa ialah bahagian yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tata bahasa tidak boleh diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Untuk memenuhi strategi tersebut, perlu dibuat perancangan yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang sesuai bagi unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga pengajaran tata bahasa dapat membantu murid menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau terpaksa.


~Kembara Bahasa~
21 Oktober 2011/23 Zulkaedah 1432


Wednesday, October 19, 2011

Islam dan Cabaran Masa Kini: Aspek Ilmu dan Pendidikan


ISLAM DAN CABARAN MASA KINI:
TUMPUAN PADA ASPEK ILMU DAN PENDIDIKAN


Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Beijing Foreign Studies University


[Kertas kerja yang disampaikan dalam Forum Perdana Islam dan Cabaran Masa Kini, bersempena dengan Ihya’ Ramadhan UniMap 2009, Universiti Malaysia Perlis, pada 25 Ogos 2009]


1. Pendahuluan

Agama Islam yang berkonsepkan ‘selamat’ dan ‘penyerahan (makhluk kepada Khaliq)’ diturunkan Allah S.W.T sebagai penyempurna segala agama terdahulu untuk menuntun atau membimbing manusia:

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepdamu ni`mat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu (al-Maidah: 3).

Keperluan manusia dibimbing oleh Allah S.W.T melalui penurunan agama, dengan rasul-rasul pilihan, tidaklah lain disebabkan oleh amanah yang telah diberikan-Nya kepada manusia untuk menjadi khalifah-Nya di muka bumi (al-Baqarah: 30).

Dalam menghadapi kemelut tamadun moden yang simpang-perinang dan tampak terarah lebih berat kepada kemajuan kebendaan dan kemegahan kuasa pemerintahan dan pengetahuan manusia, Islamlah yang menjadi pilihan satu-satunya untuk manusia mencapai keseimbangan dalam pembangunan dan kehidupan. Asasnya ialah bahawa Islam sebagai agama penyempurna memberi manusia manhaj kehidupan yang memiliki ciri-ciri keseimbangan dan kesempurnaan (Al-Qaradhawi, 1998: 204-205).

Manhaj yang seimbang dan sempurna itu terkandung dalam kalimah as-sirat al-mustaqim (jalan yang lurus) (al-Fatihah: 6). Di samping itu, Allah S.W.T telah menjadikan umat Islam sebagai umat yang lebih istimewa daripada umat-umat lain:

“Dan demikian, Kami telah menjadikan kamu umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia.” (al-Baqarah: 143).

Dalam pelestarian Islam sebagai jalan lurus yang seharusnya dapat menjadi acuan segenap aspek kehidupan umatnya, timbul pelbagai cabaran. Cabaran itu lebih tepat dikaitkan dengan masalah umat Islam itu sendiri, daripada masalah Islam, kerana lunas-lunas Islam telah jelas disempurnakan oleh Allah S.W.T melalui semua wahyunya yang disampaikan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Cabaran kepada umat Islam dapat dibahagi kepada dua kategori utama, iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran. Tumpuan perhatian dalam kertas kerja ini diberikan kepada cabaran dalaman, kerana cabaran dalam kategori itulah yang sebenarnya yang lebih banyak menentukan jaya gagalnya umat Islam, baik untuk mendepani segala kemelut dan juga untuk menjadi pemimpin umat manusia seluruhnya. Dalam kertas kerja ini, hanya aspek cabaran kepada umat Islam dalam bidang ilmu dan pendidikan sahaja yang dibincangkan, kerana segala cabaran dan masalah yang melanda sesuatu umat, termasuk umat Islam sebenarnya berpunca daripada masalah ilmu dan pendidikan.

2. Ilmu dan Pendidikan Asas Kebangkitan Islam dan Umat Islam

Terang bahawa Islam ialah agama yang amat menitikberatkan ilmu. Ayat pertama yang diwahyukan oleh Allah S.W.T mengisyaratkan pentingnya ilmu:

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.” (al- `Alaq: 1-5)

Manusia pertama, Nabi Adam a.s. dilengkapi ilmu oleh Allah sebagai prasyarat untuk mentadbirkan alam, dengan dikurniai nama segala kejadian yang ada (beserta sifat, kualiti dan kegunaan setiap benda dan kejadian itu) (al-Baqarah: 31).

Ilmu jualah yang membedakan mutu dan nilai seseorang manusia daripada manusia yang lain:
“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (al-Zumar: 9).

Bahkan, tingkat taqwa seseorang kepada Allah ditentukan oleh taraf ilmunya:
“Sesungguhnya orang yang paling taqwa (paling takut kepada Allah) ialah kalangan hambanya yang berilmu.” (Fathur: 28).

Islam meletakkan hubungan tiga unsur yang tidak boleh dipisah-pisahkan untuk menjamin kelangsungan tamadun umatnya, iaitu paduan antara Islam, iman dan ilmu. Islam tanpa iman menyebabkan wujudnya umat Islam pada nama, sebahagiannya atas dasar keturunan (dan fenomena ini malangnya berlaku dan dapat disaksikan di beberapa banyak bahagian dunia). Salah punca terjadinya hal itu ialah ialah ketiadaan atau kekurangan ilmu dalam kalangan masyarakat berkenaan (sebahagiannya disebabkan penjajahan yang demikian lama oleh kuasa yang sama anti agama atau anti agama Islam).

Demikianlah pula, iman tanpa ilmu dengan mudah menyebabkan berlakunya kesesatan, kerana ilmu ialah imam (pembimbing) kepada iman. Ketiadaan atau kekurangan, atau kekeliruan ilmu yang benar mendatangkan pelbagai musibah kepada umat Islam, baik dalam amalan beragama mahupun dalam kehidupan sehari-hari.

Rumusan yang dapat dibuat ialah bahawa Islam menekankan pentingnya umatnya menguasai ilmu. Penekanan akan penguasaan ilmu itu pertama-tamnya untuk mengenal Allah sebagai pencipta sekalian kejadian dan segala yang berkaitan dengannya (yang dikenal sebagai Arkan al-Iman atau Rukun Iman), untuk mengetahui dan mengamalkan syariat Islam (segala yang terangkum dalam Arkan al-Islam atau Rukun Islam) dan segala aspek lain kehidupan yang menyeluruh (perihal muamalat, munakahat, jinayat, siasah, akhlak dan yang lain).

Selain itu, tuntutan Islam kepada umatnya agar menguasai ilmu berkaitan rapat dengan keperluan mereka memenuhi amanah manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, dan kemudian untuk menjadi pemimpin umat manusia seluruhnya. Tanpa ilmu, tidak mungkin manusia, khususnya umat Islam dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah:
“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (al-Zariyat: 56).

3. Cabaran-cabaran kepada Umat Islam dalam Bidang Ilmu dan Pendidikan

Antara isu yang timbul berkaitan dengan cabaran dalam bidang ilmu dan pendidikan termasuklah:

1. Isu ilmu fardhu `ain dan fardhu kifayah

Isu yang paling asas dalam kalangan umat Islam sedunia, termasuk di negara ini ialah penguasaan ilmu fardhu `ain dan ilmu fardhu kifayah, yang sama ada tidak memenuhi syarat yang asasi mahupun tidak mencapai keseimbangan dan kesepaduan antara kedua-duanya. Dalam hal fardhu `ain, misalnya, dapat dikesan wujudnya keadaan sebilangan umat Islam yang tidak menguasai ilmu tersebut pada tahap yang sewajarnya, sehingga ilmu tersebut masih tidak beres pada usia yang lanjut.

Dengan tidak berniat untuk meremehkan usaha mempelajari ilmu fardhu `ain yang telah tertinggal atau dialpakan pada usia yang lebih muda dalam kalangan orang yang berusia 40-an, 50-an atau malah yang lebih tua daripada itu, dapat kita bayangkan besarnya masalah umat Islam untuk dapat mencapai tahap ilmu yang lebih tinggi, termasuk ilmu yang berkaitan dengan pemikiran dan pengurusan pelbagai masalah umat Islam sezaman.

Dengan keadaan demikian, tumpuan perhatian sejumlah umat Islam tidak beranjak ke tahap peningkatan ilmu yang lebih kompleks. Masih banyak kekeliruan yang berkaitan dengan ilmu tentang amalan-amalan asas sebagai orang Islam yang telah mukallaf, sehingga perkembangan ilmu umat Islam dapat dirasakan tersekat. Sebagai contoh mudah, masih agak besar masyarakat umum yang keliru dalam menempatkan ibadah yang wajib dengan yang sunat; sebahagiannya meraikan ibadah yang sunat tetapi meninggalkan yang wajib (contohnya, mengimarahkan masjid pada bulan Ramadhan dengan solat sunat tarawih tetapi menyepikan diri daripada mengikuti kuliah di masjid) atau melaksanakan sebahagian yang wajib tetapi meninggalkan ibadah wajib yang lain (contohnya berpuasa, tetapi tidak solat). Sebahagian punca masalah itu tidak lain daripada kurangnya ilmu.

2. Kelemahan dalam penguasaan ilmu-ilmu fardhu kifayah

Isu selanjutnya yang erat kaitannya dengan isu pertama itu ialah kurangnya penguasaan umat Islam kini, berbanding dengan umat bukan Islam dalam bidang ilmu fardhu kifayah, iaitu ilmu yang berkaitan dengan maslahah umum. Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, khususnya pada zaman Bani Abbasiyah, umat bukan Islam menjadikan umat Islam sebagai sumber mereka mempelajari dan kemudian mengembangkan ilmu dalam pelbagai bidang, baik bidang sains kemanausiaan mahupun sains tabii. Sarjana Islam seperti Ibnu Khaldun menjadi sumber rujukan sarjana Barat dalam bidang sejarah dan sosiologi, sementara Ibnu Sina, al-Razi, al-Khwarizmi dan sejumlah besar yang lain menjadi sumber inspirasi orang Barat menguasai sains tabii, termasuk perubatan.

Kini, umat Islam pula yang menjadi makmum kepada sejumlah besar sarjana Barat dalam pelbagai bidang, sebahagiannya menjadi pengikut yang taksub dan tidak dapat menilai kebenaran ilmu dan kaedah yang diperkenalkan oleh sarjana Barat itu. Dalam bidang kehidupan yang umum, umat Islam ironisnya lebih bersikap sebagai masyarakt pengguna daripada masyarakat pencipta keperluan hidup, sehingga kreativiti seolah-olah menjadi milik umat lain, bukan milik umat Islam (sebagai umat yang terpilih). Dalam kebangkitan bangsa Jepun, Korea, China, di samping bangsa-bangsa Barat, kreativiti umat Islam tidak begitu ketara dalam bidang perekaan dan inovasi.

Kedua-dua isu itu tentulah berkaitan dengan sistem pendidikan yang belum berasaskan petunjuk yang telah ada dalam tradisi pendidikan Islam. Ilmu menurut kerangka Islam terbahagi kepada dua katetori yang utama. Yang pertama ialah ilmu-ilmu fardhu `ain (yang meliputi ilmu-ilmu tanzil atau ilmu yang diwahyukan - the revealed knowledge). Yang kedua ialah ilmu-ilmu yang dicari, iaitu ilmu-ilmu yang diperoleh daripada kajian, pemerhatian, renungan dan sebagainya oleh manusia (the acquired knowledge).

Kategori ilmu yang pertama merupakan teras kerana berkaitan dengan ilmu yang berkaitan dengan Allah sebagai pencipta, kepercayaan kepada para Rasul, Kitab-kitab, para Malaikat, Hari Pembalasan, dan Ketentuan Allah. Kategori ilmu yang kedua pula merangkum ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memenuhi keperluan hidup, termasuk untuk memenuhi amanah sebagai pentadbir atau pengurus di muka bumi. Dalam kategori ini terangkum pelbagai ilmu sains kemanusiaan (seperti sosiologi, sejarah, psikologi, pengurusan) dan ilmu sains tabii (seperti kimia, fizik, biologi, perubatan dengan pelbagai cabangnya dan lain-lain).

Umat Islam secara sejagatnya masih belum menguasai kedua-kedua kategori ilmu itu secara bersepadu dan seimbang. Sistem pendidikan sebahagian besar umat Islam masih terbelengggu oleh sistem dualisme, iaitu yang memisahkan ilmu keagamaan daripada ilmu duniawi, dan sebaliknya. Maka lahirnya pengkhususan atau aliran yang mengakibatkan adanya golongan lulusan bidang agama dan golongan lulusan bidang bukan agama (sains, perubatan, undang-undang, pengurusan dan sebagainya). Penguasaan ilmu-ilmu keagamaan dianggap sebagai pengkhususan golongan tertentu, sehingga golongan yang berada dalam aliran atau pengkhususan ilmu bukan keagamaan seakan-akan tidak disyaratkan menguasai ilmu keagamaan sebagai ilmu teras.

Kesan langsung daripada keadaan tersebut ialah sama ada kosongnya atau kurangnya nilai dan pertimbangan keagamaan dalam pelaksanaan tugas atau kerjaya sejumlah golongan yang bukan lulusan agama. Istilah jenayah kolar putih yang merujuk kepada jenayah dalam kalangan profesional dengan jelas membayangkan wujudnya masalah sosial yang berkaitan dengan kekurangan pertimbangan akhlak dalam bidang kerjaya. Bagi yang mempunyai kesedaran kemudian, mereka terpaksa mengqadha’ usaha menuntut ilmu fardhu `ain yang telah terabai sehingga terjadi keadaan “sekatan ilmu” pada mereka yang berkenaan, sebagaimana yang telah saya bicarakan lebih awal.

Oleh sebab perlu menampung kekurangan ilmu fardhu `ain yang kurang sempurna pada peringkat awal, usaha mendalami ilmu bagi mereka terbatas pada hal ehwal yang berkaitan dengan fardhu `ain yang seharusnya telah selesai pada peringkat remaja. Namun, sekali lagi saya tegaskan bahawa kesedaran untuk mengqhada’ menuntut ilmu fardhu `ain itu masih tetap terpuji, berbanding dengan orang yang tidak mempunyai kesedaran sedemikian dan terus hanyut dengan kejahilan.

Bagi golongan yang terlatih dalam bidang yang dikenal sebagai “pengajian Islam”, timbul anggapan sesetengah anggota masyarakat tentang penguasaan golongan tersebut dalam bidang penerapan, seperti pengurusan. Lulusan bidang agama seolah-olah tidak mempunyai keterampilan yang setanding dengan lulusan bidang lain, dan dalam sesetengah keadaan memiliki bidang kerjaya yang terhad. Sebilangan mereka menjadi mangsa sistem pendidikan yang dualistik.

Bagaimanapun kekecualian fenomena di atas berlaku dalam kalangan anggota masyarakat yang secara sedar berusaha menyepadukan kedua-dua kategori ilmu itu menurut maratib ilmu yang sewajarnya menurut kerangka ilmu Islam (seperti dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beberapa institusi lain, baik atas daya usaha kerajaan mahupun pihak bukan pemerintah). Usaha menyepadukan ilmu keagamaan dengan ilmu duniawi telah memperlihatkan hasil yang positif melalui sekolah menengah agama berasrama penuh kelolaan kerajaan dan juga melalui institusi pendidikan bukan pemerintah yang menekankan kesepaduan ilmu.

Demikian juga penstrukturan kurikulum yang memadukan bidang agama sebagai pengkhususan utama dengan bidang lain sebagai pengkhususan kedua (sebagaimana yang dilakukan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya) di harapkan dapat secara beransur-ansur mengatasi kesan dualisme dalam sistem pendidikan. Agenda mengatasi cabaran ilmu dan pendidikan yang tersebut di atas memang telah kian ketara di sebahagian negara umat Islam, tetapi jelas belum menyeluruh dan belum benar-benar memperlihatkan dampak yang seharusnya.

3. Kesan pengaruh epistemologi Barat

Cabaran lain yang berkaitan dengan ilmu dan pendidikan berkaitan dengan isu epistemologi atau teori ilmu. Lebih tadi ada saya bayangkan bahawa sebilangan anggota masyarakat Islam, khususnya kalangan sarjana, yang terpukau oleh pelbagai teori dan kaedah yang dikemukakan oleh sarjana Barat, sehingga mereka itu dianggap imam besar yang teori dan kaedahnya diterima bulat-bulat dan dikembangkan dalam kalangan masyarakat Islam tanpa penapisan atau penilaian.

Dalam tulisan saya (2007), saya merumuskan krisis dalam bidang epistemologi Barat sebagai yang berikut:

1. lebih cenderung untuk berkonflik daripada untuk mengusahakan pemaduan antara fahaman (seperti antara preskriptisme dengan deskrptifisme);
2. terpengaruh oleh pengasingan atau pemetakan unsur-unsur tertentu yang pada hakikatnya merupakan suatu kesatuan (seperti sumber ilmu yang disandarkan mutlak pada pancaindera dan sumber lain seperti intuisi dianggap tidak ilmiah)
3. lebih cenderung menghormati dan meraikan sesuatu yang lebih baharu (teori, konsep dsb.) daripada yang sedia ada, sehingga pada peringkat yang ekstrem bidang ilmu diperlakukan seolah-olah sebagai fesyen;
4. kehilangan matlamat yang jelas dan hakiki dalam keasyikan dan zauq melaksanakan kerja ilmiah.
5. kepercayaan bahawa ilmu berubah terus-menerus dan tiada kebenaran yang pasti.

Kenyataan yang tidak dapat ditolak dalam perkembangan kegiatan ilmiah, bahkan dalam hampir seluruh kehidupan manusia ialah besarnya pengaruh kebudayaan Barat, yang mula tumbuh dalam zaman Yunani beberapa abad sebelum Masihi kepada kebudayaan manusia sedunia, termasuk masyarakat Islam. Dapat dikatakan bahawa seluruh bidang ilmu, baik ilmu sains tabii mahupun ilmu sains kemanusiaan disandarkan pada tradisi ilmu Barat, termasuk dalam hal epistemologi.

Tradisi ilmu yang kukuh dalam zaman gemilang Islam, terutama dalam zaman Abbasiyah, sejak diambil alih oleh kebudayaan Barat hampir-hampir tidak kelihatan kesannya dalam perkembangan ilmu di dunia. Hanya sesudah timbul gerakan pengislaman ilmu yng secara nyata bermula pada tahun 1970-an, barulah tampak sedikit perkembangan ilmu yang berasaskan epistemologi dan kerangka falsafah Islam.

Oleh sebab hampir keseluruhan perkembangan ilmu sedunia hingga kini dapat dikatakan berteraskan kerangka falsafah kebudayaan Barat, termasuk aspek epistemologinya, maka ada baiknya lebih dahulu diberikan gambaran secara ringkas inti sari falsafah Barat yang secara langsung mempengaruhi epistemologi dan perkembangan ilmu sedunia.

Falsafah Barat yang diasaskan oleh orang Yunani sejak 600 tahun sebelum Masihi di Miletus di pantai timur laut Aegean bertitik tolak daripada semangat untuk memahami alam di sekeliling manusia dan alam dalam diri manusia sendiri (White, 1991: iv). Pada para pemikir Yunani purba, falsafah merupakan bahagian penting kehidupan manusia kerana falsafah berkaitan dengan tiga soal asas, iaitu apakah hakikat alam di sekeliling manusia, bagaimanakah fikiran manusia bekerja, dan apakah jalan mencapai kebahagiaan.

Matlamat praktis falsafah ialah memahami isu isu asas yang berkaitan dengan kehidupan manusia, dengan akal menjadi alat utama untuk melaksanakan penyelidikan falsafah itu. Demikianlah maka sejarah perkembangan falsafah Barat dari zaman kuno yang diwakili oleh orang Yunani ke zaman pertengahan, dan kemudian ke zaman moden ditandai oleh kegiatan akal untuk mencari dan memahami hakikat diri dan alam di sekitarnya.

Usaha manusia Barat mencari hakikat itu dapat dilihat dalam bidang yang dikenal sebagai metafizik, epistemologi, etika, logika, dan falsafah politik (White, 1991: 13 14). Metafizik yang disebut oleh Aristotle sebagai "falsafah pertama" menggarap isu isu asas seperti hakikat, kewujudan, kemanusiaan, kebebasan lawan ketentuan, dan sebagainya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori hakikat kewujudan. Hal ini sesuai dengan etimologi kata metafizik daripada bahasa Latin (meta bererti belakang; oleh itu metafizik berkaitan dengan apa apa yang ada atau dipercayai ada di belakang sesuatu) (Sidi Gazalba, 1974: 70).

Epistemologi (daripada kata episteme yang bererti ilmu dan logos yang bererti kajian atau sains) ialah bidang falsafah yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan konsep konsep yang berkaitan dengannya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori ilmu. Sementara itu, etika yang dikenal sebagai falsafah moral ialah bidang yang berkaitan dengan isu benar, salah, dan aspek aspek lain yang berkaitan dengan penilaian tingkah laku manusia.

Selanjutnya, logika ialah bidang falsafah yang mengkaji alasan dan struktur hujah, dan menjadi asas setiap penyelidikan falsafah. Akhir sekali, falsafah politik merangkum isu isu yang timbul dalam kehidupan manusia sebagai anggota masyarakat, termasuk isu kekuasaan politik, utopia, keadilan, dan masalah pengharmonian antara kebebasan dengan tanggungjawab.

Inti sari falsafah Barat yang berkisar di sekitar lima bidang itu tergambar dalam sejarah falsafah Barat dari zaman awal hingga zaman moden. Albert William Levi (1991) membahagi sejarah falsafah Barat kepada empat zaman, iaitu:

a. falsafah zaman silam atau kuno (zaman aristokrat);
b. falsafah zaman pertengahan (zaman paderi);
c. falsafah zaman moden (zaman gentleman);
d. falsafah kontemporari (zaman profesional).

Pembahagian Levi itu membayangkan evolusi falsafah Barat yang bermula dengan peneguhan sistem aristokratik dalam zaman Yunani lalu berkembang kepada penguasaan gereja Roman dalam zaman pertengahan (abad 5 15 M.), dan selanjutnya kepada kemajuan sains dalam zaman moden yang bermula pada abad ke 17.

Menurut analisis Levi (1991: 449), keempat empat zaman itu menayangkan sejarah dan situasi politik, agama, sains, dan semantik yang dilalui oleh masyarakat Barat dari zaman kuno hingga zaman moden. Falsafah zaman kuno yang dicetuskan oleh Plato, yang dianggap oleh Whitehead sebagai pencetus dan pemuka citra falsafah Barat melalui ungkapan "keseluruhan tradisi falsafah Barat ialah siri nota kaki kepada Plato" (Levi, 1991: 3), menimbulkan soalan "Bagaimanakah aristokrasi dapat dipulihkan?" Saint Thomas Aquinas yang mewakili zaman falsafah gereja pula menimbulkan soalan "Bagaimanakah gereja Roman dapat mencapai kejayaan?" dalam rangka menyediakan institusi serta ideologi yang memungkinkan tercapainya kemapanan sosial secara teokratik.

Selanjutnya, falsafah zaman moden yang diwakili oleh Rene Descartes mengajukan soalan "Bagaimanakah sains dapat berkembang maju dan mencapai kepastian?" sebagai upaya membebaskan falsafah dan pemikiran daripada belenggu paderi ke tangan cendekiawan dengan premis kerjanya berdasarkan kuasa akal dan diri, bukan Tuhan dan ciptaan Nya.

Betrand Russell (1993) pula membahagi sejarah falsafah Barat kepada tiga zaman, iaitu:

a. falsafah purba yang meliputi zaman pra Socrates (mazhab Miletus, Pythagoras, Heraditus, Parmenides, Empedocles, Anaxygoras, ahli atom, dan Protagoras), zaman Socrates, Plato, dan Aristotle, dan zaman pasca Aristotle (aliran cynic dan sceptic, fahaman Epicurus, fahaman Stoik, dan Plotinus);

b. falsafah Katolik yang meliputi zaman paderi (agama Kristian sepanjang empat abad yang pertama, doktor doktor gereja, iaitu Saint Arubrose, Saint Jerome, Saint Augustine, dan Pope Gregory) dan zaman ahli mazhab (zaman gelap sistem pemerintahan Paus, John The Scot, pembaruan gereja pada abad ke 11, Saint Thomas Aquinas, mazhab Franciscan, dan zaman gerhana Paus).

c. falsafah moden dari zaman pembaruan hingga zaman Hume (zaman pembaruan Itali, Machiavelli, Erasmus dan More, islah Katolik, kebangkitan sains, Francis Bacon, Leviathan Hobbes, Descartes, Spinoza, Leibniz, Liberalisme berfalsafah, teori ilmu Locke, falsafah politik Locke, Berkeley, dan Hume) dan dari zaman Rosseau hingga kini (gerakan Romantik, Rosseau, Kant, aliran pemikiran abad ke 19, Hegel, Byron, Schopenhauer, Nietzshe, golongan utilitarian, Karl Marx, Bergson, William James, John Reney, dan falsafah analisis logika).

Zaman falsafah purba yang mengalami ketidaktentuan tentang hal hal yang berkaitan dengan teologi dan kosmologi bermula dengan ahli ahli falsafah mazhab Miletus seperti Thales, Anaximender, dan Anaximenes yang spekulasinya bersifat saintifik kepada mazhab falsafah di Itali Selatan yang lebih bersifat keagamaan, dengan Pythagoras sebagai pemukanya; kemudian kepada falsafah keagamaan dan politik (ketaatan kepada negara) yang diwakili terutamanya oleh Socrates, Plato, Aristotle di satu pihak dan golongan Stoik (yang lebih mementingkan hubungan ruh dengan Tuhan lebih daripada hubungan rakyat dengan negara; dan diakhiri oleh Plotinus yang memulakan metafizik Tritunggal Suci (Holy Trinity).

Falsafah Katolik yang menandai tahap kedua evolusi falsafah Barat memperlihatkan konflik antara tugas kepada Tuhan dengan tugas kepada negara dalam bentuk pertentangan antara gereja dengan raja. Pada zaman ini kehidupan intelek diisi oleh kaum paderi. Tempoh keagungan pertama falsafah Katolik dikuasai oleh Saint Augustin sementara tempoh kedua diakhiri oleh Saint Thomas Aquinas. Dari abad ke 4 sehingga abad ke 14, kaum paderi memonopoli falsafah secara mutlak dan dengan itu falsafah ditulis berdasarkan sudut pandangan gereja (Russell, 1993: 362).

Tahap ketiga evolusi falsafah Barat, iaitu falsafah moden ditandai oleh kebangkitan sains yang secara nyata dipelopori oleh Rene Descartes yang di samping menjadi ahli falsafah merupakan ahli matematik dan ahli sains juga. Dalam falsafah, perhatian Descartes tertumpu kepada diri individu dan peranan akal, yang diungkapkannya sebagai "Corgito, ergo sum" ("saya berfikir kerana itulah diri saya"). Dalam hal pengasasan epistemologi Barat moden, Descartes mengemukakan kaedah kesangsian (kesangsian Cartesian) yang ternyata menjadi asas falsafah ilmu dan perkembangan ilmu orang Barat sehingga kini yang menjelma dalam bentuk fahaman subjektivisme, relativisme, dan bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak dan muktamad.

Perbincangan tentang inti sari falsafah Barat yang jauh lebih bererti daripada perbincangan tentang perkembangan evolusi falsafah Barat ialah yang berkaitan dengan hasil kegiatan berfalsafah orang Barat dalam pengutaraan asas pemikiran tertentu yang berpengaruh sebagai kerangka falsafah dan pemikiran umat sedunia, tidak terkecuali umat di dunia Islam. Pemahaman akan kerangka falsafah dan pemikiran Barat yang berpengaruh ini penting dalam konteks membebaskan falsafah dan pemikiran umat Islam daripada kerangka falsafah Barat yang tidak cocok dengan pandangan sarwa atau weltaanschauung Islam. Dalam rangka melaksanakan gagasan pengislaman ilmu, kesedaran dan pemahaman akan kerangka falsafah Barat yang dominan dalam perkembangan ilmu dan sistem pendidikan umat Islam perlu dijadikan titik tolak strategi.

Hasil langsung kegiatan berfalsafah orang Barat dalam konteks pembinaan kerangka falsafah dan pemikiran yang mendasari segala kegiatan intelektual dan ilmiah sehingga kini ialah munculnya fahaman rasionalisme, empirisisme, dan positivisme. Rasionalisme dan empirisisme menjadi dua paksi asas ilmu yang berada pada dua ekstrem dalam tradisi ilmiah Barat, sehingga tidak ada ilmu yang dibincangkan dengan tidak berasas atau bersandar pada dikotomi salah satu fahaman itu. Sementara itu, positivisme merupakan suatu bentuk empirisisme tulen (pure empiricism) yang bermula dengan pengalaman sebagai asas ilmu tetapi sesudah memperoleh teori dan kaedah tertentu persoalan metafizik tidak dianggap penting lagi (Alparslan, 1994: 8).

Rasionalisme ialah fahaman bahawa sekurang kurangnya sebahagian ilmu manusia bersumber daripada akal tanpa bantuan deria, dan oleh itu manusia dapat mengetahui sesuatu yang tidak dapat dinyatakan oleh deria (Wolff, 1992: 29). Bibit fahaman ini telah bermula pada zaman Plato sehingga beliau disebut sebagai orang yang pertama dalam sejarah yang berusaha memberikan penerangan yang sistematik tentang struktur akal atau mental (Hase, 1992: 91). Beliaulah yang mempelopori doktrin bahawa "... tidak ada apa apa yang wajar disebut `pengetahuan' yang dapat diperoleh daripada deria, dan bahawa pengetahuan yang sebenarnya berkaitan dengan konsep" (Russell, 1993: 182).

Dalam teori ideanya, Plato membedakan pengetahuan daripada pendapat, dengan menegaskan bahawa pengetahuan tidak mungkin salah, sedang pendapat mungkin saja salah. Satu lagi aspek penting teori idea Plato ialah bahawa sesuatu yang ketara (apparent) hanya merupakan tanggapan yang berasaskan idea atau bentuk unggul. Dengan kata-kata lain Plato mendasarkan tanggapan tentang sesuatu pada konsep. White (1991: 337 341) merumuskan rasionalisme Plato sebagai yang berikut:

a. Terdapat persamaan dan pertalian antara falsafah dengan matematik dalam mencapai kebenaran;
b. Selain alam fizikal yang dapat ditanggap oleh indera, ada dimensi lain tentang hakikat yang dapat ditanggap hanya oleh akal;
c. Alam tampak penuh dengan objek objek matematik yang disebut Plato bentuk bentuk. Bentuk sukar dinyatakan dengan beberapa patah kata kerana sifatnya yang bukan benda, model unggul sesuatu yang wujud, dan abstrak. Bentuk mewakili bukan saja benda konkrit bahkan juga sifat seperti keadilan, kecantikan, dan kebaikan;
d. Ilmu tentang bentuk merupakan sebenar benarnya ilmu dan ilmu ini hanya dapat diperoleh oleh akal. Maklumat yang diperoleh oleh deria rendah martabatnya kerana bersifat sementara dan berubah terus, sedang ilmu daripada akal memenuhi ciri kebenaran (truth), kekekalan (permanence), kemantapan (stability), ketahanan (duration), dan ketentuan (certainty).

Rasionalisme mendapat garapan yang lebih mendalam, sistematis, dan utuh di tangan Rene Descartes (1596 1650 M.) pemuka falsafah moden Barat, khususnya yang berkaitan dengan konsep ilmu, sehingga epistemologi atau teori ilmu terangkat menjadi tumpuan kajian falsafah (White, 1991: 341). Pendekatan Descartes menjadi ikutan sejumlah ahli falsafah ternama dalam pemecahan soal bagaimana akal manusia bekerja sebagai alat yang menghasilkan ilmu.
Pendekatan Descartes yang mempengaruhi sebilangan ahli falsafah Barat dikenal sebagai "Kesangsian Radikal" (Radical Doubt). Kata radikal merujuk kepada kesangsian yang asas dan juga yang ekstrem, kerana bagi Descartes, kebenaran mestilah pasti dan tidak goyah. Tidak boleh ada sama sekali kesangsian, walaupun sedikit, dalam akal; sesuatu idea perlu ditolak jika timbul kesangsian (White, 1991: 342).

Sebagai lawan rasionalisme yang berteraskan akal, empirisisme ialah fahaman yang menegaskan bahawa semua pengetahuan manusia bersumber daripada bukti atau pengalaman deria yang lima, dan bukan hasil operasi akal (Wolff, 1992: 29 dan White, 1991: 348). Kalau bibit rasionalisme telah tersemai sejak Plato, maka bibit empirisisme telah bermula lima abad sebelum Masihi juga, iaitu pada zaman Aristotle apabila timbul ungkapan "Tidak ada yang dapat difahami kalau tidak terlebih dulu kita tangkap dengan pancaindera" (Scruton, 1989: 18). Gagasan Aristotle kemudian mempengaruhi falsafah pada Zaman Paderi selama dua abad (abad ke 11 dan 12 M) dengan tokohnya yang terkenal ialah Saint Thomas Aquinas. Dalam zaman falsafah moden Barat, fahaman itu digarap dengan lebih mendalam dan sistematis oleh John Locke (1632 1704 M) dan ahli ahli falsafah yang sealiran dengannya.

Dua rukun empirisisme ialah:
a. Ilmu datang melalui deria;
b. Fakta mesti dapat diperhatikan dan diuji (observable and testable). Pemerhatian yang tidak memenuhi dua ciri ini dianggap palsu dan bukan ilmu yang tulen.
(White, 1991: 348)

Golongan empiris menolak pegangan golongan rasionalis atas dasar bahawa ilmu yang berasaskan pendekatan rasional tidak memberikan sesuatu yang baru, sebaliknya ilmu empiris menghasilkan sesuatu yang belum diketahui sebelumnya.

Asas yang membedakan kedua dua pendekatan itu ialah bahawa golongan rasionalis menghasilkan penyataan analitis (analytic statements) sementara golongan empiris menghasilkan penyataan sintesis (synthetic statements) (White, 1991: 348 350). Yang dimaksudkan penyataan analitis ialah penyataan yang memberikan sifat kepada sesuatu dan bahawa sifat itu sedia implisit dalam takrif objek atau konsep itu, misalnya "satu segi sama mempunyai empat sisi" atau "Orang bujang ialah orang yang belum kahwin". Penyataan sintesis pula memberikan sifat kepada sesuatu, tetapi sifat itu di luar takrif benda atau konsep yang berkenaan, misalnya "Kertas ini putih", dengan sifat putih bukan sifat yang sedia terkandung dalam takrif kertas (kerana kertas dapat berbagai bagai warnanya).

John Locke, ahli falsafah Inggeris yang terkenal dengan Teori Perjanjian Masyarakat (Social Contract) menolak gagasan bahawa akal dapat menanggap pati semesta yang tidak nyata dan bahawa akal telah dilengkapi idea nurani (innate ideas), kerana menurutnya akal tidak lain daripada sehelai kertas kosong yang kemudian menerima tulisan ilmu dari dunia di luarnya. Setiap sesuatu yang ada dalam akal ialah hasil pengamatan (dengan deria) atau refleksi (pemikiran tentang pengamatan). Pandangan Locke ini diperkukuh oleh seorang lagi ahli empirisisme David Hume yang percaya bahawa objek objek di dunia menghasilkan kesan (impressions) dalam akal yang jika berkekalan menjadi idea (White, 1991: 351). Kesan rasionalisme dan empirisisme dalam konteks falsafah bahasa dan pendidikan bahasa akan dihuraikan kemudian.

Epistemologi Islam dapat difahami dengan mendalami bidang falsafah Islam kerana epistemologi merupakan salah satu bahagian kajian falsafah. Istilah falsafah Islam membangkitkan kontroversi dalam kalangan sesetengah sarjana Islam, khususnya yang bersangkutan dengan etimologi kata falsafah itu sendiri dan juga kandungan bidang itu. Kedua dua isu yang menimbulkan kontroversi itu saling berkaitan. Sebagaimana yang telah dihuraikan lebih awal, kata falsafah dalam bahasa Arab merupakan kata serapan daripada bahasa Yunani philosophia yang bererti `cinta akan hikmah atau kebijaksanaan'.

Tradisi falsafah Yunani yang menjadi tunjang falsafah Barat memancarkan pandangan hidup orang Yunani dalam aspek teologi, kosmologi, dan etika atau aksiologi yang menurut pandangan Islam meraba raba dan senantiasa dalam pencarian yang tidak berkesudahan. Ketidakserasian konsep falsafah Yunani yang lebih disebabkan oleh kandungannya yang bertentangan dengan asas asas aqidah Islam dalam beberapa hal (seperti yang akan diuraikan kelak) menyebabkan timbul keberatan pada sebilangan sarjana Islam untuk menerima istilah falsafah Islam.

M. Saeed Sheikh (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7), misalnya, dengan tegas membedakan istilah falsafah muslim daripada falsafah Islam. Falsafah muslim mungkin saja bersifat tidak Islam apabila, misalnya, ahli ahli falsafah yang beragama Islam berusaha menyesuaikan falsafah mereka dengan falsafah yang berakar umbi dalam kebudayaan Barat.

Demikianlah, citra falsafah yang disebut falsafah Islam pada peringkat awalnya memang ditandai oleh upaya menerapkan falsafah Yunani, khususnya Platonisme, Neo Platonisme, dan Aristotelisme. Inilah yang diusahakan oleh tokoh tokoh yang dikenal dalam sejarah sebagai falasifah, iaitu ahli falsafah Islam, misalnya al Kindi, al Farabi, Ibn Sina, dan Ibn Rushd (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 1 2; Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 3 6; Shariff, M.M. 1992), sedang falsafah yang dikembangkan dengan berasaskan falsafah Yunani itu dipertikaikan, ditolak, atau malah dikafirkan oleh setengah setengah sarjana Islam.

Tokoh yang paling keras menganggap falsafah yang berasaskan falsafah Yunani itu sebagai sesat ialah al Ghazali (1058 1110 M) yang melalui karya seperti Tahafut al Falasifah (Kekacauan Ahli Falsafah) dan Al Munqidh Min al Dalal (Pembendung Kesesatan) memperlihatkan asas asas kesesatan aliran falsafah itu (lihat Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: Pendahuluan dan 3 6).

Dalam Tahafut al Falasifah Al Ghazali mengemukakan 20 kesalahan aqidah dalam falsafah yang dianut oleh al Farabi dan Ibn Sina, serta ahli ahli falsafah yang lain, dan tiga yang paling besar ialah:

a. Alam ini qadim dan azali;
b. Allah hanya mengetahui perkara perkara yang umum atau universal (al kulliyat) dan tidak mengetahui perkara perkara yang khusus (al juz'iyat);
c. Jasad manusia tidak dibangkitkan semula pada hari Kiamat; hanya roh yang akan menerima pembalasan.
(Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 2 dan Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 17)

Jelas bahawa yang menjadi keberatan sarjana sarjana Islam yang berusaha menjaga kemurniaan aqidah dan syariah Islam ialah aliran falsafah yang bernafaskan falsafah Yunani, sehingga falsafah sedemikian menurut M. Saeed Sheikh hanya layak disebut falsafah muslim kerana kebetulan dikembangkan oleh ahli ahli falsafah yang menganut agama Islam, tetapi belum mencapai konsep falsafah Islam. Apakah falsafah Islam?

Menurut M. Saeed Sheikh, falsafah Islam mesti ditakrifkan sebagai upaya menerjemahkan dan membina semula pelbagai wawasan metafizik yang terdapat dalam al Qur'an dengan menggunakan bahasa dan gaya falsafah yang tidak terdapat di dalamnya sebarang unsur muhibah terhadap sesuatu yang tidak Islam (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7 8).

Dengan lebih mendalam, Alparslan (1994) menakrifkan konsep falsafah Islam sebagai "konsep saintifik yang muncul daripada pandangan hidup Islam, tetapi sebagai unjuran daripadanya, secara langsung melalui skema konsep saintifik Islam". Berasaskan takrif tersebut, beliau menggariskan tiga faktor yang mencirikan konsep falsafah Islam, iaitu:

a. pandangan hidup Islam sebagai perspektif yang seluas luasnya dan sebagai asas falsafah;
b. skema konseptual saintifik sebagai asas yang bersifat langsung dan rapat, yang dengannya ahli falsafah melaksanakan kegiatan kegiatannya;
c. kegiatan falsafah itu sendiri yang dilaksanakan melalui istilah istilah khusus yang disebut skema konsep saintifik yang khusus.

Faktor pertama, iaitu pandangan hidup merupakan suasana latar bagi kewujudan falsafah Islam. Pandangan hidup Islam yang melatari falsafah Islam dirumuskan oleh al Attas (1978: 41 42) melalui konsep pengislaman sebagai pembebasan manusia daripada kekangan tahayul, dongeng, animisme, tradisi budaya pribumi, dan sekularisme terhadap akal dan bahasanya. Oleh itu, segala kegiatan saintifik falsafah terlaksana dalam lingkungan suasana latar yang berasaskan pandangan hidup tersebut.

Faktor kedua, iaitu skema konsep saintifik dikenal sebagai "konteks" falsafah Islam. Tatanama yang dihasilkan oleh sarjana Islam dengan berlandaskan pandangan hidup Islam melahirkan skema konsep saintifik Islam yang berbeda daripada skema konsep saintifik Barat. Mana mana kegiatan falsafah yang tidak berasaskan skema konsep saintifik Islam tidak dapat diterima sebagai hasil falsafah Islam. Antara skema konsep saintifik Islam yang penting termasuklah konsep ilmu, kebenaran, sains, penyataan saintifik, teori, dan kaedah (Alparslan, 1994: 27).

Akhirnya, faktor ketiga, iaitu skema konsep saintifik yang khusus ialah hasil penyelidikan sarjana dalam bidang masing masing yang bersifat khusus untuk bidang ilmu yang tertentu, tetapi kesemuanya tetap dalam kerangka pandangan hidup dan skema konsep saintifik Islam tadi. Sebagai contoh, konsep konsep dalam disiplin sains tabii mungkin berlainan daripada konsep konsep dalam sains sosial; namun kelainan itu semata mata bersebab daripada kelainan bidang tetapi tetap berasaskan skema konsep saintifik yang sama dalam hal ilmu, kebenaran, keadilan, teori, kaedah dan sebagainya.

Sejajar dengan kenyataan bahawa pandangan hidup Islam melatari falsafah Islam, Seyyed Hossein Nasr (1989) menegaskan ciri falsafah Islam sebagai suatu ilmu tabii yang merujuk serta berdasar pada tauhid sebagai doktrin induknya. Dengan sendirinya falsafah yang berlandaskan skeptisisme atau kesangsian yang menjadi kegiatan ego diri manusia untuk melampaui ilmu Tuhan tidak dapat diterima sebagai falsafah Islam.

Bahkan tafsiran "keislaman" ahli falsafah muslim yang jelas terjerat oleh falsafah Barat seperti yang dilakukan oleh Iqbal, menurut S.H. Nasr masih tetap di luar konsep falsafah Islam (Nasr, 1989: 4). Senario falsafah menurut perspektif Islam tidak sesuai lagi disempitkan kepada konsep falsafah yang diamalkan oleh orang Yunani atau ahli ahli falsafah Barat moden seperti Descartes, Leibnitz, Locke, Hume, Kant, dan Hegel, ataupun falsafah yang melahirkan aliran pemikiran eksistensialisme, positivisme, dan mekanisme.

Bahkan falsafah Islam yang sering dikaitkan dengan Ibn Sina dan al Farabi itu pun belum sesungguhnya memenuhi konsep falsafah Islam sejati. Seperti kata Mahsin Mahdi (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Bakar, 1994: 9 10), falsafah Islam yang berasal usulkan tradisi Yunani sudah berupa suatu persoalan sampingan saja; pelbagai gantian telah dikemukakan sebagai pilihan yang lebih baik untuk mengisi falsafah Islam, iaitu teologi Islam, perundang undangan Islam, tasawuf Islam, dan sebagainya sehingga sekalian mutakallimin (ahli ilmu kalam atau teologi), ahli sufi, fuqaha, muhadithun (ahli hadith) merupakan pemikir yang sah untuk digelar sebagai ahli falsafah Islam.

Seyyed Hoesein Nasr (1987: 3 4 dan 21 25) memperkukuh pandangan itu dengan mengungkapkan bahawa yang difahami sebagai falsafah itu bukan semata mata falsafah menurut perspektif Barat, bahkan wujud juga dalam segala ilmu Islam yang lain seperti tafsir, hadith, kalam, usul fiqh, tasawuf, sains tabii, matematik, kosmologi, kesenian, psikologi, sains sosial, dan sains politik. Sesungguhnya konsep falsafah yang difahami umum, iaitu falsafah menurut kerangka atau skema pemikiran Barat itu merupakan kesan gerakan orientalisme yang menyemaikan kepercayaan melalui bidang ilmiah dengan teori kebangsaan12 bahawa Islam tidak mampu melahirkan ilmu falsafahnya sendiri melainkan mencedok falsafah tradisi Yunani (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 84 89).

Daripada sudut penggunaan akal sebagai asas berfalsafah, tidak ada agama mana pun yang meletakkan akal manusia begitu tinggi kecuali agama Islam (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 86). Allah memuliakan manusia dan melebihkannya daripada makhluk Nya yang lain dengan mengurniakan akal. Agama Islam meletakkan akal sebagai asas aqidah dan pertanggungjawapan manusia. Mengabaikan penggunaan akal dianggap sebagai satu kesalahan atau satu dosa. Hal ini ditegaskan dalam al Quran Surah al-Mulk, ayat 10 11. Jelas bahawa al Quran menyeru manusia supaya menggunakan akal fikirannya dan hal ini akan dihisab kelak, sesuai dengan penegasan al Quran dalam Surah al Isra’, ayat 36.

Dengan tegas Islam menolak taklid secara melulu dan sebaliknya mewajibkan penggunaan akal fikiran dalam segala hal yang bersangkutan dengan aqidah dan syariah Rasulullah S.A.W. menurut riwayat al Tarmizi bersabda, "Jangan kamu menjadi pengikut buta." Dalam konteks inilah Taha Jabir al Alwani (1993) menegaskan ijtihad sebagai keperluan mutlak dalam memastikan kelangsungan hidup syiar Islam. Di samping itu Islam menolak segala bentuk khurafat, sihir, tilik menilik, dan segala perbuatan yang tidak bersandar pada akal yang terpimpin. Inilah asas yang memungkinkan terbentuknya tamadun dan pemikiran Islam yang menurut al Attas berasaskan intelektualisme dan rasionalisme (1965, 1972, dan 1979).

Dalam konteks pengembangan falsafah sebagai suatu disiplin ilmu, al Quran menyeru manusia menyelidik sekalian yang ada di langit dan di bumi serta yang ada pada diri manusia sendiri untuk mengenal hakikat kebenaran. Salah satu ayat al Quran yang berkaitan dengan hal ini terdapat dalam Surah Fussilat ayat 53 (“Kami memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada mereka, di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Qur`an itu adalah benar.”) dan pada . Jika kita pertalikan persoalan pokok yang digarap oleh ahli ahli falsafah sejak zaman awal, iaitu yang berfokus pada hakikat alam dan hakikat diri, jelas bahawa Islam memang menganjurkan penelitian yang sedemikian.

Berkaitan dengan doktrin falsafah, al Quran menyajikan aspek aspek yang sempurna, iaitu meliputi hal ehwal duniawi dan hal ehwal ukhrawi. M.M. Shariff (1994) dalam kupasannya tentang doktrin falsafah dalam al Quran menggariskan aspek aspek yang berikut:

a. Hakikat muktamad (Allah dan sifat sifat Nya).
b. Tuhan dan alam.
c. Hubungan Tuhan dengan manusia.
d. Hakikat ruh.
e. Teori ilmu (epistemologi).
f. Kuasa manusia.
g. Kebebasan manusia.
h. Perihal mati.
i. Hidup sesudah mati.

Jelas bahawa cakupan falsafah Islam tidak terkeluar daripada perkara perkara dasar yang berkaitan dengan aqidah. Inilah yang membedakan falsafah Islam daripada falsafah Barat.

Khusus tentang epistemologi Islam, beberapa prinsip yang penting tentang ilmu dapat dirumuskan daripada huraian Jurjani dalam kitabnya Ta`rifat (Muhammad Zainy Uthman, 1989) seperti yang berikut:

1. Ilmu didasarkan pada pegangan (iktikad) yang teguh, bertepatan dengan hakikat.
2. Tibanya rupa sesuatu pada akal (al-Attas mengungkapkannya sebagai “ketibaan makna pada diri”).
3. Ilmu merupakan suatu sifat yang ada pada diri manusia yang membolehkannya mendapat dan mengenal kulliyat dan juz`iyyat.

Tentang sumber ilmu pula, kitab Aqaid al-Nasafi yang menjadi sumber rujukan utama Ahli al-sunnah wal-Jamaah menetapkan tiga sumber utama ilmu, iaitu pancaindera yang lima, khabar yang sadiq atau benar dan akal. Jelas bahawa menurut epistemologi Islam, asas untuk merumuskan sesuatu ilmu (termasuk dapatan dan analisis kajian) tidak disandarkan semata-mata pada pancaindera sebagaimana yang begitu ditekankan dalam epistemologi Barat. Dalam tradisi ilmiah masyarakat Islam kini, penekanan yang berlebihan pada pancaindera sebagai sumber ilmu amat ketara, selaras dengan falsafah empirisme. Sebagai satu ekstrem lain, penolakan terhadap pancaindera menyebabkan penekanan yang berlebihan pula kepada akal sebagai sumber ilmu, selaras dengan falsafah rasionalisme dalam tradisi Barat. Demikian kuatnya rasa terikat oleh epistemologi Barat, tradisi ilmu umat Islam sebahagiannya tidak mendukung panji-panji ilmu menurut kerangka Islam, bahkan sebahagiannya bertentangan pula.

Strategi Mendepani Masalah Ilmu dan Pendidikan Umat Islam

Antara strategi dan langkah yang dapat membantu umat Islam mendepani masalah dalam bidang ilmu dan pendidikan termasuklah:

1. Penggubalan semula atau penyemakan kurikulum pada semua peringkat pendidikan, daripada peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kepada peringkat pengajian tinggi. Asas penggubalan kurikulum ialah klasifikasi ilmu-ilmu menurut kerangka Islam, iaitu pertama ilmu-ilmu teras yang termasuk dalam kategori “ilmu yang ditanzilkan” dan kedua ilmu-ilmu yang termasuk dalam kategori “ilmu yang dicari”. Pemaduan antara kedua-dua kategori ilmu itu, yang juga mengisi konsep ilmu fardhu `ain dan ilmu fardhu kifayah dapat memenuhi konsep pendidikan menurut kerangka dan konsep pendidikan Islam. Falsafah Pendidikan Negara yang telah digubal dan direalisasikan dalam Kurikulum Bersepadu pada peringkat sekolah di Malaysia, bermula pada tahun 1987 hendaklah diberi perhatian semula. Dualisme, terutama yang memisahkan pendidikan agama daripada pendidikan umum perlu dirungkai.

2. Di institusi pengajian tinggi, Ilmu Wahyu (The Revealed Knowledge) atau yang berkaitan dengan ketuhanan perlu dijadikan komponen teras dan diwajibkan kepada pelajar, supaya Ilmu Yang Dicari (The Acquired Knowledge) tetap selaras dengan lunas-lunas yang berkaitan dengan ilmu teras itu. Hal ini penting untuk menyepadukan kedua-dua kategori ilmu itu. Dalam hal ini, kurikulum Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dapat dijadikan asas rujukan.

3. Penerapan epistemologi Islam dalam pelbagai disiplin ilmu perlu dijadikan agenda besar oleh sarjana Islam dalam disiplin-disiplin tersebut (sains kemanusiaan dan sains tabii). Usaha seperti yang dilaksanakan di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) yang mengupayakan pengislaman ilmu perlu diperluas dengan pelibatan institusi-institusi dan pertubuhan kesarjanaan yang lain, khususnya yang dipimpin atau digerakkan oleh sarjana Islam dalam pelbagai disiplin ilmu.

4. Budaya ilmu perlu dijadikan salah satu tonggak pembangunan negara dalam segenap bidang, baik pentadbiran, ekonomi, undang-undang, media massa (media elektronik dan media cetak). Asas budaya ilmu ialah kebenaran dan keadilan. Peranan dan pelibatan ahli ilmu perlu ditingkatkan dalam semua sektor pembangunan.

5. Hedonisme atau fenomena hiburan melulu dan melampau yang melanda sebahagian besar umat Islam perlu dikawal oleh pihak yang berkuasa, melalui penguatkuasaan undang-undang dan juga melalui sektor pendidikan yang menyeluruh (pendidikan formal dan pendidikan tidak formal).

Penutup

Demikian sekadar kupasan selayang pandang tentang isu-isu asas yang berkaitan dengan cabaran atau tantangan kepada umat Islam kini dalam bidang ilmu dan pendidikan. Mudah-mudahan dengan menyedari masalah yang perlu didepani itu, umat Islam dapat beransur-ansur melepaskan diri daripada krisis dan masalah dalaman yang menghalang kemajuan dan juga menghalang pemenuhan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

~Kembara Bahasa~
20 Oktober 2011/22 Zulkaedah 1432