Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, August 31, 2013

Bahasa dan Kemerdekaan


Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa

Bendera negara lambang kewujudan dan kedaulatan negara. Demikianlah jua bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa negara ialah lambang dan bahkan jiwa rakyatnya. Merdekakan diri daripada anggapan bahawa negara tidak dapat maju dengan berasaskan bahasa sendiri. Itu fikiran orang yang tidak merdeka. Bahasa asing kita perlukan sebagai nilai tambah, bukan sebagai pengganti bahasa sendiri. Hayati ayat 22, Surah al-Rum.

31 Ogos 2013

Monday, August 26, 2013

Isu "Respek Wanita"


Isu slogan atau tema "Respek wanita" bagi sambutan Hari Wanita 2013 telah agak banyak saya kupas pada siaran Fb sejumlah rakan yang menimbulkannya. Ungkapan itu baru satu daripada sekian banyak ungkapan yang diciptakan tanpa rasa peka, cakna dan bertanggungjawab terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun besar. Usaha memanau, menegur dan bahkan yang lebih "garang" seperti pelaksanaan Audit Bahasa di kementerian dan kerajaan negeri dan Penarafan Bintang di PBT di seluruh negara diyakini ada kesan yang jelas.

Namun seperti pihak berkuasa lain yang mengetatkan pelaksanaan peraturan berhadapan dengan sejumlah manusia yang terus berbuat onar, maka begitulah juga ada sejumlah pihak yang tidak peduli akan usaha kita membina tamadun bermaruah dan bergerak dengan selera dan caranya yang bertentangan. Tawaran dan khidmat yang diberikan untuk perundingan dan khidmat nasihat bahasa tiada ertinya bagi mereka kerana mereka itu pengamal liberalisme dan kononnya dalam kabilah orang moden dan maju, yang tidak berasa bersalah meminggirkan akar dan jati dri serta citra tamadun bangsanya.

Isu seperti "respek wanita" ialah isu taadun, sikap, pemikiran dan pandangan alam yang tidak dapat diselesaikan sekadar dengan menuding jari kepada sesiapa pun. Isu itu gambaran dekonstruktifisme yang kurang disedari atau tidak dianggap salah oleh sebahagian anggota masyarakat. Kta memerlukan agenda besar dan tegas melalui sistem pendidikan dan semua sektor kehidupan di negara ini untuk membina sikap bahasa, tamadun dan pandangan alam yang tepat dengan gagasan pembangunan menurut acuan kita.

27 Ogos 2013

Saturday, August 24, 2013

Tazkirah kepada diri: Hati-hati mencari laba

Ada peribahasa yang berbunyi "Di mana ada gula di situ adalah semut." Namun tidak jarang adanya semut yang mati di dalam gula.

25 Ogos 2013

Tazkirah kepada diri: Membina Kesempurnaan dalam Ketidaksempurnaan

Benar bahawa hakikat insan tidak sempurna, namun menjadikannya alasan untuk tidak mencuba dan berusaha berbuat atau menghasilkan sesuatu dengan sempurna justeru menambah ketidaksempurnaan diri.

25 Ogos 2013
Pulau Pinang

Friday, August 23, 2013

Anekdot Bahasa: Linguistik dan Logistik

Seorang ahli bahasa diundang untuk memberikan ceramah di sebuah jabatan. Ketika memperkenalkan ahli bahasa itu kepada khalayak, pengerusi majlis menyebut bahawa penceramah ialah "ahli logistik" yang terkenal. Sebahagian khalayak mengerutkan dahi kerana meragui keterangan itu, sementara yang lain tidak merasakan kejanggalan apa-apa kerana tidak menyedari adanya kesilapan yang terjadi.

Kasihan ahli lingustik atau ahli bahasa itu kerana tidak pernah terlatih dalam bidang pengurusan kemudahan dan peralatan tetapi diperkenalkan sebagai ahli logistik. Mujur sahaja beliau tidak diminta berceramah tentang kemudahan dan peralaan ketenteraan dan yang seumpamanya. Ceramahnya masih tetap tentang linguistik atau bahasa.

Kembara Bahasa
24 Ogos 2013

Friday, August 16, 2013

Kumpulan Pemikir Ibnu Khaldun

Bersempena dengan 100 hari kepemimpinannya, Ketua Menteri Melaka menubuhkan Kumpulan Pemikir Ibnu Khaldun untuk membantunya menggerakkan islah di negeri yang dipimpinnya. Dengan berteraskan tiga slogan "Berkat, Tepat, Cepat" dan berpaksikan agama sebagai suluh, diharapkan kesediaan beliau mendengar pandangan, nasihat dan teguran para pemikir itu membawa arah jelas bagi pembangunan yang seimbang, antara pembangunan lahiriah dengan pembangunan rohaniah. - Hotel Costa De Rio, Melaka, 16 Ogos 2012

17 Ogos 2013

Thursday, August 15, 2013

Puisi "Apabila Kata Kehilangan Makna"

Apabia ada kalanya
kata-kata kehilangan makna
zahirnya hambar hampa
kata tak berjiwa
Maka berbicaralah
kepada diri sendiri
mendengar suara hati
dengan sandaran kepada Ilahi
mudah-mudahan akan terbit erti

Kembara Bahasa
16 Ogos 2013

Wednesday, August 14, 2013

Puisi "Denai Peradaban"

Denai peradaban

Masih mampukah
kita jejaki denai itu
laluan lebih satu alaf
leluhur kita melakar sejarah
membina akar peradaban bangsa
mengacu tasawur bersendikan risalah Ilahi
membentuk wacana pelbagai ranah
dengan bahasa yang padu bermutu?

Masih mahukah
sekalian pemuka kita
menelusur denai peradaban itu
menjadikannya sendi pembinaan negara
agar warga tidak larut
dalam agenda penyirnaan sejagat?

Kembara Bahasa
15 Ogos 2013

Tuesday, August 13, 2013

Tazkirah kepada diri: Memupuk keharmonian bersama

Bukan kerana kita dalam satu kelompok maka kita benar dalam segala-galanya, dan bukan kerana kita tidak dalam kelomopok lain maka kelompok itu salah segala-galanya. Mari bermula dengan asas-asas persamaan atau persefahaman, biarpun sedikit atau kecil, untuk membina keharmonian.

7 Syawal 1434/14 Ogos 2013

Saturday, August 10, 2013

Tazkirah kepada diri: Kesepian yang bererti

Kesepian bukan hukuman
melainkan suatu kesempatan
untuk diri membetulkan haluan

Kembara Bahasa
4 Syawal 1434/11 Ogs 2013

Puisi "Zikir Alam"

Petir dan guruh
yang menyertai hujan malam
ialah zikir alam
mengingatkan daku
agar tidak lagha
sesudah tiada lagi
gema ayat-ayat suci bersela salawat
dalam solat tarawih dan witir
yang baru berlalu

Malam 4 Syawal 1434/10 Ogos 2013

Friday, August 9, 2013

Puisi "Aidilfitri di desa"

Desaku
biarpun dikau tidak seperti dahulu
kerinduan kepada zaman gembiraku
terubat jua
Bersama ibunda dan sanak-saudara
biarpun sekejap
memberikan erti
menyempurnakan Aidilfitri

2 Syawal 1434/9 Ogos 2013

Monday, August 5, 2013

Tazkirah kepada diri: Usah membuka keaiban orang

Janji Allah, bagi sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah menutup keaibannya. Maka itu berfikir panjanglah jika ada niat untuk membuka keaiban orang lain kerana pada waktu lain Allah akan membuka keaiban kita pula.

5 Ogos 2013

Sunday, August 4, 2013

Sembang Labu dan Labi: Menjaga hak orang lain

Sembang Labu dan Labi:

Labu: Kaudengar tazkirah Imam Salman sesudah Subuh tadi?
Labi: Aku terlena, mengantuk.
Labu: Orang lain pun beribadat malam, tetapi mendengar tazkirah. Menuntut ilmu bukankah wajib?
Labi: Apa ceritanya?
Labu: Imam Salman mengingatkan agar kita tidak mengambil hak orang lain.
Labi: Itu semua orang tahu.
Labu: Tahu satu hal, beramal satu hal lain. Kadang-kadang dalam hal yang kecil kita tak ambil berat.
Labi: Contohnya?
Labu: Kata Imam Salman, dalam jamuan, ada orang yang haloba, mengambil hak orang lain. Contohnya, dia patut mengambil seketul ayam tetapi diambilnya dua atau tiga ketul sehingga ada tamu yang tidak mendapat bahagian. Itu dosa yang kurang disedari oleh kebanyakan orang.
Labi: Eh, yalah. Aku pun biasa begitu. Berdosa ya?
Labu: Ya, mengambil hak orang lain haram hukumnya, walaupun benda yang kecil. Bertambah lagi dosa kerana biasanya daripada sifat tamak berlaku pula pembaziran. Makanan yang diambil melebihi kemampuan kita makan menyebabkannya terbuang menjadi sisa.
Labi: Ha, aku pun nak memberikan tazkirah. Orang yang membazir itu saudara syaitan.
Labu: Bagus, kalau engkau tak lena semasa tazkirah tadi, banyak lagi aku dapat mendengar tazkirah daripada engkau.

5 Ogos 2013

Tazkirah kepada diri: Tabii bulan beredar mengelilingi bumi


Wahai bulan! Sunatullah menetapkan tabiimu beredar mengelilingi bumi, bukan matahari. Dengan demikan, tiadalah dikau musnah terbakar.

4 Ogos 2013