Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, January 31, 2013

Tazkirah kepada diri: Hakikat ujian

Tazkirah kepada diri:

Sepanjang hayatmu, banyak ujian yang pasti datang. Maka usahlah menilai ujian yang sedang kauhadapi sebagai ujian yang begitu besar sehingga menjadi penutup kesabaran dan takwa kepada-Nya.

Sesungguhnya akan tiba ujian terbesar dan ibu segala ujian kelak, iaitu ujian untuk berhadapan dengan-Nya.

Kembara Bahasa
1 Februari 2013

Saturday, January 26, 2013

Tazkirah kepada diri: Kasihi saudara dan sahabat

Tazkirah kepada diri:

Dalam doa sesudah solat dan yang lain, tidak kita lupakan doa untuk keampunan dan kesejahteraan sekalian saudara kita muslimin dan muslimat.

Namun dalam kehidupan sehari-hari, ada kalanya (bagi sesetengah orang menjadi kebiasaannya) kita umpat keji dan kita aniayai serta kita zalimi saudara dan sahabat kita.

Bertentangan sekali doa dengan perbuatan. Marilah kita belajar mengasihi saudara dan sahabat.

Kembara Bahasa
27 Januari 2013/15 Rabiul Awal 1434

Friday, January 25, 2013

Surat daripada Prof. Russell Jones dari England

E-Mel: awang@dbp.gov.my

Dr. Awang bin Sariyan
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka

Dear Dr Awang,

Greeting. It is so long since we were in touch, indeed I only remember that when DB had a workshop in Pualau Langkawi in 2002, unfortunately you were away in Europe. I am glad to see you are flourishing. For years I have been living in this remote part of England and getting more and more out of touch with things that matter.

But at the age of 86 I still try. I am focused on watermarks (tera air) in Malay manuscripts. I am assembling a corpus of watermark images to aid the recognition of watermarks, which I hope eventually will be uploaded on a website to be available to all codicologists. I have not yet found an institution in Malaysia (or Indonesia) to host the website.

I am also collecting my scattered articles on Malay manuscripts and their watermarks together for republication in a volume so that they will be more accessible. That is why I am writing this, and I was delighted to see on the website that the Ketua Pengarah is a familiar name. I have known the directors from Syed Nasir onwards. In 1988 I had an article ‘On Malay manuscripts with reference to Aceh’ published in Tenggara vol. 21/22, pp 99-110. I am writing to ask for your consent for me to republish my article from the journal, of course with acknowledgement of details of the original publication.

Sorry I write in English, I guess it will be easier for you to reply in Malay.

Best regards, nice to be in touch,
Russell 25-01-13

Dr Russell Jones
Address: Little Antron, Antron Lane, Mabe,
Penryn, Cornwall TR10 9JD, UK.
Email: rumajones26@tiscali.co.uk
Phone: + 44 1326 376 376

mStar Online : Prof Korea Mahu Popularkan Tulisan Jawi

mStar Online : Prof Korea Mahu Popularkan Tulisan Jawi

Monday, January 21, 2013

Tazkirah kepada diri: Keikhlasan syarat amal diterima

Tazkirah kepada diri: Keikhlasan tercapai apabila segala yang dilakukan hanya kerana Allah, bukan untuk mendapat penghargaan manusia.

Alangkah ruginya kita berpenat lelah melakukan sesuatu kerja atau usaha tetapi tidak dihitung perbuatan itu sebagai amal jika tidak berlandaskan keikhlasan. Ampunilah kami, ya Allah.

Kembara Bahasa
22 Januari 2013/10 Jamadil Awal 1434

Sunday, January 20, 2013

Tazkirah kepada diri: Manusia Pemangsa

Dalam kalangan haiwan, dikenal adanya haiwan pemangsa.

Jangan lupa bahawa dalam kalangan manusia ada pula manusia pemangsa, yang kerjanya menjadikan orang lain sebagai mangsanya, sama ada mangsa fitnah, mangsa hasad, mangsa iri hati dan yang lain.

Kembara Bahasa
21 Januari 2013/9 Rabiul Awal 1434

Tuesday, January 15, 2013

Siapa yang berhak menggunakan kalimah "Allah"?

Beberapa orang meminta hamba menyatakan sikap tentang isu kalimah Allah. Secara ringkas, kalimah itu merujuk kepada Tuhan yang esa, yang tiada sekutu bagi-Nya. Maka sesiapa yang beriman sedemikian berhak menggunakannya.

Kembara Bahasa
16 Januari 2013/4 Jamadil Awal 1434

Tazkirah kepada diri: Tujuan hidup

Kalau hidup sekadar untuk memenuhi keperluan sandang pangan atau pakaian dan makanan, tanpa cita dan idealisme, terpenuhikah amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi?

Kembara Bahasa
16 Januari 2013/4 Rabiul Awal 1434

Sunday, January 13, 2013

Puisi "Kembalikan Hak Pustaka Pusaka"

Cuaca dingin di Netherlands
Pohon rontok kehilangan sinar mentari
Air di sebilangan sungai mula membeku
menghentikan aliran
Tompok salji di sana sini
Angin dingin menggigit kulit
Tiadalah kuhiraukan semua itu
kerana dorongan batinku
dikobarkan oleh hajat nan terpendam sekian lama
berdasawarsa
untuk mengembalikan hak pustaka pusaka bangsa
untuk mengembalikan warisan peradaban
ke pangkuan tanah leluhur
yang dipindahkan ke tanah asing
entah secara rela entah secara paksa

Warisan peradaban besar itu
mewakili tasawur, falsafah, sistem nilai
ungkapan akal budi penuh beretika dan bersalut estetika
dan perihal budi dan daya pencetus sistem siasah dan iktisad
perihal hukum kanun, falak, seni bina, perubatan, persenjataan
dan segala yang dimaknai oleh takrif peradaban
Mengapatah terus dibiarkan berwujud di tanah asing
dipuja dan dirindui dari jauh
tanpa tampak pada mata kasar dan mata hati
Mengapatah terus dibiarkan berlangsung
waris bangsa menyeberang sempadan
untuk menafsirkan makna diri

Dengan berhemah perlu dipadukan
segala upaya dan iltizam
untuk mengembalikan segala warisan peradaban
ke pangkuan alam Melayu
tanpa bertangguh lagi
kerana kita telah kehilangan sebahagian makna diri
sekian lama

Gelora dan badai yang bakal kita hadapi
usah menyurutkan harapan cita pertiwi
Kemaskan kemudi
Berpadu bestari
nescaya terpenuhi
hajat ikhlas di hati
kerana kita tidak mengambil yang bukan hak
melainkan yang hak bagi kita
Semoga langkah mula
bersusulan langkah penuh berdaya
sehingga terhimpun semula segala warisan bangsa
di buminya yang hak
untuk kita taakul, tafsirkan dan manfaatkan
dalam mengenal dan membina makna diri
dalam membina kesinambungan budi dan daya
dalam membina cita dan masa depan wangsa dan negara

~ Kembara Bahasa ~
Hotel Pulitzer, Amsterdam
13 Januari 2013


Monday, January 7, 2013

Raja-Raja Melayu Penaung Tonggak Negara


2 Januari 2013

DBP mempersembahkan beberapa terbitan DBP kepada KDYMM Pemangku Raja Perak dalam majlis mengadap menjunjung kasih atas perkenan baginda untuk DBP menyiarkan titah syarahan baginda dalam majalah Dewan Masyarakat keluaran Januari 2013.

Alhamdulillah baginda amat prihatin akan perpaduan umat Islam dan tonggak negara yang berasaskan kontrak sosial, iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak bangsa Melayu dan Bumiputera.

Daulat Tuanku!
~Kembara Bahasa~
2 Januari 2013

Sunday, January 6, 2013

Puisi "Usah kita sekadar menangis"


[Puisi untuk Malam Puisi Palestin di UniKL, 8 Januari 2013]

Kisah derita
kisah sengsara
kisah nestapa
kisah duka
kisah zalim
kisah pembunuhan jiwa tak berdosa
kisah penganiayaan jasad tak berupaya
dan kisah segala kejelekan
di bumi warisan anbiya
wadah tersebarnya dan mekarnya risalah Yang Esa
tempat munculnya peribadi-peribadi luhur berakhlak terpuji
tabiin, para mujahid, para mujtahid, para ulamak
dan para syuhadak
bukanlah kisah semalam
bukanlah kisah setahun silam
bukan jua kisah sedasawarsa silam

Lebih enam dasawarsa
telah larut penzaliman
meleburkan nilai manusiawi
memusnahkan martabat insani
di tangan kotor Zionis penderhaka Ilahi

Cukupkah dengan sekadar tangisan
Cukupkah dengan sekadar rintihan
Cukupkah dengan sekadar jeritan
Cukupkah dengan sekadar nistaan?

Ayuh dengan akal berencana
Ayuh dengan kudrat yang ada
Kita gempur sekalian anasir Zionis pembawa petaka
yang melata di segenap pelosok buana
hatta yang berselimut sesama kita
yang dalam terang laksana seteru nyata
lamun dalam gelap bersekutu adanya

Infakkan tenaga
infakkan harta
infakkan bicara
infakkan akal bitara
merancang strategi tekal
atas landasan umat sejagat
atas landasan amanah terpahat
mengembalikan hak dan martabat
saudara kita yang kehilangan tempat

Ayuh!
Usah kita sekadar menangis
Mulakan langkah penyatuan
sesama kita
dan pendukung kemanusiaan
sekaliannya.

~ Kembara Bahasa ~
7 Januari 2013/24 Safar 1434

Puisi "Kata-kata"


Kata-kata
meskipun terbit sebagai deretan fonem-fonem dalam lisan
dan terakam sebagai deretan grafem-grafem dalam tulisan
ada kalanya menghiris jantung hati
membunuh kedamaian sukma
menghakis pautan kasih
merungkai simpulan hati
meleburkan silaturrahmi
apabila diungkapkan tanpa seni komunikasi
dizahirkan tanpa niat yang murni
disampaikan dengan gaya hati yang mati

Kata-kata
sewajarnya dijaga
dibaja subur menjadi pohon budi
menjadi wasilah akal dan pekerti
menjadi sangga peribadi terpuji
justeru kerana bahasa kurniaan Ilahi
sebagai acuan menzahirkan peri
tentang segala nan di dalam dan di luar diri
juga penanggap, penafsir dan penaakul sakti
segala nan dicerap pancaindera tentang alam kulliy

Kata-kata
dapat menyatukan hati
mendamaikan jiwa
memadukan persaudaraan dan persahabatan
seandainya disaluti adab dan kesantunan
tetapi dapat memecahkan benteng perpaduan
memusnahkan kemanusiaan
seandainya disaluti api kebencian dan perseteruan

~Kembara Bahasa~
6 Januari 2013/24 Safar 1434

Saturday, January 5, 2013

Tazkirah kepada diri: Kuasa sebagai amanah

Tazkirah kepada diri:

Usahlah risau akan kehilangan kuasa kerana kuasa itu hanya dipinjamkan sementara.

Sebaliknya risaulah kalau-kalau kuasa yang diamanahkan itu tidak dilaksanakan dengan sempurna, atau lebih buruk disalahgunakan.

Kembara Bahasa
6 Januari 2013/23 Safar 1434

Friday, January 4, 2013

Tazkirah kepada diri: Mengapa retak menunggu belah?

Mengapatah "retak menunggu belah"?

Yang retak wajar ditampal, yang robek perlu diranjut.

Biduk segeralah berlalu, kiambang segeralah bertaup.

Ingatlah rintihan Nabi, "Ummati, ummati, ummati".

Kembara Bahasa
5 Januari 2012/22 Safar 1434

Harapan seorang pencinta bahasa


Kamarul Faizal kepada Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Di Facebook 19 jam yang lalu (4 Januari 2012)

Aktiviti pengauditan Bahasa Melayu (BM) yang dipelopori oleh Prof merupakan satu usaha dalam penambahbaikkan mutu BM khas di sektor kerajaan. Tahniah Prof. Wajar juga pada pendapat saya untuk diperluaskan ke sektor swasta dan GLC yang bertindak sebagai enjin ekonomi bagi kerajaan dalam memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi serta seterusnya menjadi kelompok negara maju. BM dalam sektor swasta dan GLC amat-amat menyedihkan. Bahasa penjajah khasnya bahasa inggeris digunakan secara keterlaluan sehingga menampakkan BM seolah-olah langsung tiada nilai ekonomi dan komersil. BM dinodakan dengan perlakuan sebahagian besar golongan professional dan pekerja yang rata-ratanya mendapat pendidikan kebangsaan.

Sebagai contoh saya sekadar mengambil satu syarikat iaitu PETRONAS sebagai entit syarikat berkait kerajaan (GLC). Saya pernah bekerja sebagai kontraktor di PETRONAS hampir 5 tahun. Satu kebanggaan buat saya kerana dapat mencari pengalaman dalam bidang saya iaitu keselamatan, kesihatan dan persekitaran (HSE) di loji-loji minyak dan gas sama ada di darat (onshore) mahupun laut (offshore) milik konglemerat nasional ini. Cuma satu rasa kesedihan dan kekecewaan adalah nilai BM yang diamalkan di PETRONAS. Biarpun ia dikendalikan oleh bangsa kita, Melayu dan majority pekerjanya adalah orang Melayu dan rakyat Malaysia, namun penggunaan BM amatlah mengecewakan.

Bermula dengan motonya dalam bahasa penjajah (reimagining energy) yang kononnya untuk menonjol imej korporat dan keantarabangsaan , laman sesawangnya yang menggunakan sepenuhnya bahasa penjajah, mesyuarat (biarpun dihadiri oleh orang melayu atau mereka yang memahami BM) yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa penjajah atau bahasa sekerat ular sekerat belut, minit mesyuarat dan memo yang sepenuhnya dalam bahasa penjajah, apa jua borang yang berkaitan dengan urusan kerja PETRONAS, tender, laporan tahunan dan apa jua bentuk pemberitahuan atau penyiaran hampir semua menggunakan medium bahasa penjajah semata-mata..

Jadi saya terfikir di mana nilai BMnya? Cukupkah sekadar memperlihatkan wajah kemelayuan atau ketimuran tetapi berlidah atau berminda barat sepenuhnya. Semata – mata untuk menunjukkan bahawa konglemerat kita adalah sebahagian dari warga global tajaan Amerika dan Barat, sanggup kita meminggirkan penggunaan BM dalam syarikat yang bertaraf multinasional ini. Sikap yang sebahagian besar warga PETRONAS yang bermula dari pengurusan tertinggi sehingga ke golongan pelaksana (eksekutif) yang bertaraf Melayu professional tidak menggambarkan mereka sebagai professional Melayu. Melayu professional adalah mereka yang berfikiran bahawa mereka ini kononnya maju tetapi hampir tercabut nilai kejatidirian mereka khasnya dalam mempertahankan nilai BM dan kebudayaan melayu, berbanding pula professional Melayu yang begitu kental semangat kemelayuan dan keislaman mereka biarpun mereka bukan dari golongan Melayu professional.

Jika dibuatlah pengauditan BM di PETRONAS pasti penarafannya adalah sangat menyedihkan. Pengalaman saya rata-rata mereka begitu fasih berbahasa penjajah (sesuatu yang dibanggakan) namun dari segi BM mereka amatlah menyedihkan, lagi-lagi yang bercakap itu adalah bangsa kita sendiri. Disebabkan persekitaran kerja yang menggunakan sepenuhnya bahasa penjajah, sedikit demi sedikit BM hilang dari memori fikiran dan penulisan mereka. Budaya korporat yang diterapkan dalan persekitaran PETRONAS menjadikan BM itu sendiri hilang daya saingnya. BM hanya digunakan dalam komunikasi tidak formal sahaja.

Dalam situasi formal baik mesyuarat, laporan dan penulisan hanya satu bahasa sahaja terpakai. Saya lihat tiada usaha dilakukan dalam memberi nilai pengupayaan dan pemerkasaan BM dalam budaya kerja PETRONAS. Mungkin saya bias atau terlalu kritik atau tidak adil dalam hal yang melibatkan BM di PETRONAS. Tetapi itulah realitinya yang berlaku di konglemerat atau syarikat yang bertaraf multinasional di negara kita. Ia diterajui sendiri oleh bangsa kita, namun bangsa kita sendiri yang meletakkan taraf BM ditahap yang hina sekali. BM tidak diberi peluang untuk diikutsertakan sekali dalam kemajuan industri petrokimia negara negara kita. Biarpun PETRONAS telah menjana keuntungan ratusan billion ringgit sejak mula beroperasi pada 1974, namun nilai BM tidak pernah berubah, malah terus diperosok jauh ke dalam dan ke bawah..

Mudah-mudahan audit yang dilakukan dapat menunjukkan nilai sebenar BM di PETRONAS atau mana-mana GLC. Letakkan KPI atau penanda aras BM dan diberitakan kepada umum. Biar semua orang tahu nilai sebenar bahasa kebangsaan kita. Kenapa perlu hendak malu, kerana itu memang realitinya. Kita hanya meletakkan keuntungan setiap ringgit sebagai aras kemajuan, tetapi tidak pernah mempedulikan nilai kemusnahan bahasa kebangsaan kita akibat kerakusan mengejar kemajuan….kenapa saya hanya memperkatakan PETRONAS secara langsung. Kerana PETRONAS satu-satunya GLC milik Malaysia yang berjaya menempatkan dalam Forbes 500. 500 syarikat terbaik di dunia.

Jika BM dapat didaulatkan dalam PETRONAS bermakna maruah dan imej BM dalam bidang teknologi dan ekonomi dapat diberi pencerahan dan In Shaa Allah akan diikuti oleh GLC dan syarikat swasta lain. Kita hanya mahukan hak BM diberi keadilan dan diletakkan ditempat yang sewajarnya dalam semua syarikat ini. Kalau tidak sampai bila-bila pun BM tetap dihina, diperlekeh, menjadi bahasa kelas kedua atau ketiga oleh warganya sendiri. Jika warganya sendiri memperlekehkan bahasanya sendiri bagaimananya kita mengharapkan orang luar untuk menghormati bahasa kita.

Teruskan usaha Prof dan DBP…moga dalam tahun baru ia memberi sinar kepada BM yang kian sirna di dalam hampir semua sektor swasta baik atas nama bumiputra apatah bukan bumiputra.

Balasan hamba dalam Facebook 15 jam lalu (4 Januari 2012):

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa: DBP telah dua kali mengadakan dialog, pertama dengan Khazanah Nasional, iaitu syarikat kerajaan dalam beberapa bidang dan kedua dengan Syarikat Menteri Kewangan Yang Diperbadankan yang mengawal semua syarikat berkepentingan kerajaan.

Keputusan telah diambil untuk menubuhkan Jawatankuasa Bersama Bahasa Kebangsaan Syarikat MKD - DBP yang akan merancang kursus bahasa dan penulisan teknikal, pemantauan bahasa di GLC, penggubalan istilah bidang yang berkaitan dengan keperluan GLC dan kegiatan semarakmbahasa dan sastera di GLC.

Tampaknya kerja perlu dibuat secara bertahap menurut kategori pengguna bahasa. Audit Bahasa untuk perkhidmatan awam dahulu, Penarafan Bintang dalam bidang bahasa bagi Pihak Berkuasa Tempatan dan untuk GLC program khas yang bersifat pengisian pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam sektor perniagaan. Selanjutnya usaha dilakukan untuk sektor swasta pula.

5 Januari 2012/22 Safar 1434

Tazkirah kepada diri: Usah menjadi burung unta di padang pasir

Laksana burung unta di padang pasir yang menyembunyikan kepalanya di dalam pasir apabila mengetahui adanya serigala, demikianlah sebilangan orang memejamkan mata untuk tidak mahu melihat adanya masalah yang perlu diselesaikan.

Akhirnya si burung unta tetap menjadi mangsa serigala dan orang yang tidak mahu menghadapi kenyataan adanya masalah yang perlu diselesaikan membiarkan masalah tidak terselesaikan dan menjadi mangsa masalah itu.

Kembara Bahasa
5 Januari 2013/22 Safar 1434

Thursday, January 3, 2013

Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa


Pada pagi ini, 3 Januari 2013 YAB Ketua Menteri Melaka melancarkan Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa di Bangunan Yayasan Melaka, usaha sama kerajaan Melaka dan DBP.

Pusat itu akan menghimpunkan sebanyak mungkin manuskrip dan dokumen sejarah berkaitan dengan segala aspek tamadun Melayu dalam bentuk asli dan salinan, terutama yang dibawa keluar dari alam Melayu dan tersimpan di pelbagai institusi luar seperti di Belanda, United Kingdom, Perancis dan tempat lain.

Yang lebih penting ialah bahawa pusat itu akan mengundang sebanyak mungkin sarjana setempat, serantau dan antarabangsa untuk melakukan kajian dan analisis manuskrip dan dokumen yang terkumpul tentang sejarah, agama, falsafah, pemikiran, bahasa, susastera, kebudayaan, perubatan, undang-undang, ketatanegaraan, persenjataan, seni bina dan aspek-aspek lain tamadun Melayu, untuk kemudian diterbitkan sebgagai khazanah persuratan ilmu tamadun Melayu.

Kembara Bahasa
3 Januari 2012/20 Safar 1434

Tazkirah kepada diri: Perihal belalang dan helang

Belalang dan helang masing-masing ada hak dan peranannya di mayapada ini.

Namun tidak perlu belalang berusaha menjadi helang dan helang pula mencuba menjadi belalang.

Segala makhluk dijadikan Allah dengan hak dan peranan masing-masing.

Kembara Bahasa
3 Januari 2013/21 Safar 1434

Tuesday, January 1, 2013

Erti Tahun Baharu

Peralihan dari tahun 2012 ke tahun 2013 pada hakikatnya bukan pemisah babak kehidupan kerana semua yang menjadi asas perjuangan tetap kita teruskan.

Paling-paling pemisah tahun itu kita jadikan titik muhasabah tentang keberkesanan strategi dan program yang kita laksanakan untuk penambahbaikan pada waktu seterusnya.

Yang mustahak ialah kesinambungan dan ketekalan dalam perjuangan yang diberkati Allah.

Kembara Bahasa
1 Januari 2013/18 Safar 1434