Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, April 30, 2012

Syair Kembara Bahasa oleh Yahya Isa


Yahya Isa
KEMBARA BAHASA

Kembara Bahasa nama diberi
Dipelopor oleh insan bestari
Sahabat handai setiap negeri
Mengisi ruang idea dikongsi

Tata bahasa hujah utama
Diselang-seli dengan prosa
Gurindam puisi turut serta
Hiasan pantun juga seloka

Persoalan bahasa diberi tuju
Kepada pintar soalan diaju
Hilang resah hilanglah ragu
Penjelasan diberi tepat jitu

Kelemahan bahasa turut dibincang
Punca angkara sudahlah terang
Onar tinggalan bangsa pendatang
Anak watan turut menumpang

Terkenang daku zaman gemilang
Tanah airku tempat berdagang
Singgah pelabuhan malam siang
Sambil berlabuh bertukar barang

Zaman gemilang lesaplah sudah
Akibat pembelot bernafsu sarakah
Kepada Portugis negeri diserah
Hingga bangsaku hilang maruah

Portugis pergi inggeris menjajah
Melaksana pentadbiran pecah perintah
Biar Melayu sering berbalah
Juga terus berminda rendah

Wahai bangsaku bangkit semula
Melalui ruang maya Kembara
Tiupkan obor semangat bara
Perjuangan bahasa kita bermula

Tegakkan bahasa untuk nusa
Agar bangsaku dipandang mulia
Berjiwa besar meredah buana
Bukan bangsa dipandang hina

Bahasaku julang bangsaku menang
Percambahan idea jangan dihalang
Melalui Kembara kita bersembang
Berteras agama menjadi tunjang......
Tak Suka · · Berhenti Ikut · 5 jam yang lalu
Anda, Pauzi Mohd Isa, Nurdilla Zaini dan 3 yang lain menyukai ini.

Pauzi Mohd Isa Tahniah sahabatku. Hilang resah hilanglah ragu....
37 minit yang lalu · Suka
Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa Syabas! Syair nukilan Sdr Yahya Isa merdu lagi bermutu.
Lebih kurang seminit yang lalu · Suka


Kembara Bahasa
1 Mei 2012/9 Jamadilakhir 1433

Menilai semula takrif karya bermutu oleh Coleridge


Daripada laman Buku Wajah Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa:


Kata Coleridge, kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik menjadi asas karya sastera, khususnya puisi yang baik. Takrif yang diberikan oleh Coleidge itu diterima dengan meluas oleh kebanyakan ahli stilistik atau gaya bahasa. Dapat kita tambah nilai karya sastera yang tinggi dengan ciri "Kata- kata yang terbaik bentuk dan maksudnya dalam susunan yang terbaik menurut adab berbahasa."

Sekadar kata terbaik dan susunan terbaik menurut Coleridge pada hemat saya baru memenuhi aspek binaan atau bentuk karya dan belum terpenuhi tuntutan menyalut karya dengan nilai adab melalui penggunaan kata dan susunan yang memancarkan kebaikan, kebenaran, keadilan dan nilai murni yang lain. Adab berbahasa pada hemat saya menjadi asas pemilihan kata dan susunan yang baik agar karya yang terhasil dapat menjadi alat amar maaruf nahi munkar dan terelak daripada perbuatan menimbulkan fitnah.

Terdapat beberapa banyak karya sastera yang tinggi tahap estetiknya kerana diksi atai pilihan kata yang baik dan kata- kata itu disusun pula dengan kemas dan rapi, tetapi kandungannya tidak mendukung mesej kebaikan tetapi sebaliknya berisi fitnah dan perkara mungkar. Maka itu takrif karya bermutu yang dikemukakan oleh Coleridge itu perlu dinilai semula, dengan menambahkan ciri kandungan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik itu dengan nilai baik, seperti kebenaran, keadilan danyang lain. Pegangan bahawa sastera bersifat bebas nilai perlu ditolak kerana tidak ada sesuatu yang boleh bebas nilai, apatah lagi karya sastera merupakan wasilah pembentukan adab.

- Kembara Bahasa -
1 Mei 2012/9 Jamadilakhir 1433


Saturday, April 28, 2012

Tazkirah pagi Sabtu

Kalau kuasa yang kaudambakan, akan sirna kuasa pada saat dikau tidak diperlukan. Kalau harta yang kaugapai, akan susut dan hakis harta pada saat hilang keberkatan. Kalau kehebatan diri yang kaubanggakan, akan punah kehebatan pada saat akal dan jasmanimu dimamah usia. Kalau dunia yang kaucintai, akan kecundang hidupmu di alam yang abadi.

Kembara Bahasa
28 April 2012

Monday, April 23, 2012

Anugerah Pelopor Pengguna Sebutan Baku TV3 oleh Persatuan Linguistik Malaysia



Gambar di atas sangat bererti dalam pelaksanaan sebutan baku di media penyiaran pada tahun 1980-an hingga tahun 2000 apabila stesen TV3 melaksanakan sebutan baku dalam siarannya. Menurut catatan Md. Salleh Kasim dalam blognya yang baru saya kesan apabila beliau menyiarkan alamat blognya sebagai ulasan kepada siaran saya tentang kepulangan ke rahmatullah mantan Pengurus Berita TV3, Haji Subohi Mohd. Yatim, TV3 mula melaksanakan sebutan baku dalam siaran beritanya pada tahun 1988.

Md. Salleh Kasim ialah teman lama saya yang pernah bertugas sebagai Pengurus Berita TV3 dan sebelumnya di Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif Universiti Malaya dan saya sendiri menjadi pensyarah sambilan bagi kursus Tatabahasa dan Gaya Bahasa di jabatan tersebut dari tahun 1979 hingga 1983. Apabila saya terlibat dalam pengendalian kursus sebutan baku di TV3, Jalan Liku, Bangsar, maka hubungan kami bertambah erat. Kursus bersambung apabila TV3 berpindah ke Seri Pentas di Damansara.

Persatuan Linguistik Malaysia menyampaikan Anugerah Pelopor Penggunaan Sebutan Baku kepada beberapa orang karyawan TV3 angkatan awal yang menerima kursus sebutan baku kendalian Persatuan Linguistik Malaysia, dengan pembimbingnya antaranya terdiri daripada Almarhum Pak Asraf, Prof. Nik Safiah Karim dan Awang Sariyan. Perancangan pelaksanaan kursus dan penggunaan sebutan baku di TV3 dibincangkan oleh PLM dengan Almarhum Haji Subohi yang memang amat prihatin akan penggunaan bahasa yang baik dalam penyiaran. Beliau sebelumnya berkhidmat di Perbadangan Penyiaran Singapura. Al-Fatihah untuk roh almarhum.

Dalam gambar itu dapat dilihat, antaranya Christine Ling, Wan Zaleha Radzi, Dato' Mahadzir Lokman, Abdul Razak Ahmad, Zainal Arifin Ismail, Ras Adibah, Norfarahin Jamsari, George Benedict dan beberapa yang lain. Karyawan TV lain yang pernah mengikuti kursus sebutan baku, menurut ingatan saya, ialah Fuzanne dan Datin Habibah. [Gambar Ehsan Sdr. Md Salleh Kasim, bekas Pengurus Berita TV3].

~Kembara Bahasa~
23 April 2012/1 Jamadilakhir 1433

Sunday, April 22, 2012

ISU BAHASA: DBP perlu taufan perubahan

ISU BAHASA : 'DBP perlu taufan perubahan'

Oleh Salbiah Ani

PELANTIKAN Dr Awang Sariyan pada 1 Februari lalu sebagai Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selepas tidak sampai sebulan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, diharap membawa angin perubahan kepada badan berkanun terbabit.

Seperti diketahui ramai, Dr Awang bukan orang baru dalam kalangan warga DBP kerana pernah menjawat jawatan Pengarah Jabatan Bahasa, DBP, sebelum melepaskannya untuk beralih ke Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), sebagai Profesor Bahasa.

Ketika memegang jawatan Profesor Bahasa itu, beliau dilantik sebagai Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Foreign Studies University Beijing, China, bermula Januari 2008 dan melepaskannya pada Julai 2011 untuk kembali semula ke DBP, tetapi proses pelantikan mengambil masa yang panjang.

Pelantikan Dr Awang sebagai Ketua Pengarah DBP yang baru bagi menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang tamat perkhidmatannya pada 31 Januari lalu selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2009, memecahkan tradisi pelantikan Ketua Pengarah DBP.

Ini kerana selepas Datuk A Aziz Deraman bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Pengarah DBP pada 2004, proses pelantikan pengganti jawatan itu mengambil masa lebih daripada 100 hari seperti dicatatkan Dr Firdaus Abdullah dan Termuzi.

Hendaknya pelantikan sepantas kilat Dr Awang itu akan membawa ‘taufan’ perubahan ke DBP kerana banyak perkara yang terpaksa dihadapi badan berkanun terbabit dalam mendepani pelbagai kemelut dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera negara ini.

Penulis berharap segala permasalahan yang berbangkit sebelum ini, kononnya ekoran kurangnya penghayatan semangat kebahasaan dan kesusasteraan pucuk pimpinan atasan, tidak lebih daripada sekadar hanya suatu khabar angin.

Dengan ketokohan Dr Awang sebagai Profesor Bahasa sehingga ke Benua China, hendaknya beliau dapat menjalin hubungan erat dan mendapat kepercayaan padu daripada ‘tuannya’, Kementerian Pelajaran, bagi mempermudah serta melancarkan usaha memartabatkan bahasa mahupun sastera.

Tindakan berani Termuzi membongkar kemelut dengan DAWAMA yang menjadi duri dalam daging DBP sejak sekian lama, hendaknya disusuli Dr Awang dengan usaha segera ‘mengubati’ beberapa ‘kudis buta’ lain agar badan berkanun terbabit tampak lebih bermaruah lagi relevan pada alaf ketiga ini!

Setahun penulis, sejak pemergian A Aziz, majlis yang ditangani DBP dalam hal memantap dan menyebarluaskan hal kebahasaan serta kesusasteraan, iaitu Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), ibarat berkubur tanpa nisan, sedangkan duit negara sudah pun lebur bagi pembentukannya!

Hendaknya Dr Awang juga dapat meninjau kembali perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai antara bahasa rasmi pada persidangan kemuncak untuk negara Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), berterusan dan bukan sekadar omong kosong!

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, rasmi dan kebangsaan negara ini juga perlu diberi perhatian pada kadar segera, sebelum terus hanyut diperbudak mahupun diperlekehkan pemimpin politik, tokoh korporat dan pendidikan negara serta individu Malaysia bersifat talam dua muka!

Penulis tidak dapat pastikan sejauh mana benarnya dakwaan pemotongan dana DBP pada kadar melampau yang berlaku selepas A Aziz bersara sehingga membataskan kegiatan badan berkanun itu dan capaian kelompok sasarnya.

Tak apalah jika benar sekalipun kerana penulis yakin dengan ketokohan dan citra Dr Awang, pasti mudah bagi beliau meyakinkan pihak berkenaan bagi memastikan DBP mendapat lebih banyak dana untuk pembangunan bahasa mahupun sastera negara.

Tidaklah nanti persatuan penulis ternanti-nanti bantuan bagi membiayai kegiatan berpersatuan seperti yang terjadi kepada mereka hari ini, meskipun sebelum ini pernah individu dalam badan induk yang menaungi mereka menabur janji dalam usaha mempertahankan kerusi!

Jika Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang kini dikenali sebagai Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) yang asalnya hanya Bahagian Terjemahan DBP dapat mengembangkan sayapnya dengan sokongan padu daripada pucuk pimpinan negara, mengapa tidak DBP?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Dicatat oleh Cikgu Taufiq di 8:14 PTG
Label: RENCANA PILIHAN

Upaya Pemekaran Ilmu dalam Peningkatan Tamadun Alam Melayu


UPAYA PEMEKARAN ILMU DALAM PENINGKATAN TAMADUN ALAM MELAYU

Awang Sariyan

[Inti Sari Ceramah Pra-Mesyuarat Agung Akademi Sains Islam Malaysia(ASASI) di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 21 April 2012]


Haluan Bicara

1. Globalisasi sudah menjadi fenomena sejagat.

2. Globalisasi sehala (dari Barat ke Timur) merobah jati diri dan citra bangsa kita.

3. Globalisasi turut mengurangkan peranan bahasa kebangsaan dalam pelbagai ranah kehidupan.

4. Keterbelakangan kita dalam bidang ilmu menjadi lebih parah dengan globalisasi.

5. MABBIM harus dapat berperanan meniupkan nafas baharu kepada bahasa Melayu/Indonesia dalam upaya pengayaan khazanah ilmu dalam rangka meningkatkan tamadun bangsa.

Hubungan antara Ilmu dengan Tamadun

1. Ilmu menjadi dasar kemunculan dan penakatan tamadun umat manusia (sesuai dengan pelaksanaan amanah sebagai khalifah Allah).

2. Bukti yang jelas dapat diperhatikan pada sejarah tamadun Yunani, Rumawi, Islam dan yang lain, termasuk tamadun di alam Melayu.

3. Agenda pembentukan semula zaman emas tamadun Melayu yang memperlihatkan mekarnya budaya ilmu seperti pada zaman klasik, iaitu zaman Kesultanan Melayu perlu diupayakan.

4. Peranan bahasa dan akal amat penting dalam pengilmuan manusia (individu dan masyarakat), sesuai dengan konsep haiwan natiq/rational animal.

Asas Upaya Pengayaan Ilmu

Dua asas utama:

1. Sifat asasi manusia yang memerlukan ilmu dan bertanggungjawab mengembangkan ilmu.

2. Tanggungjawab umat Melayu/Indonesia mengangkat martabat tamadunnya secara kolektif agar menjadi penyumbang besar kepada tamadun umat manusia sejagat (globalisasi dua hala)

Ilmu dan Fitrah Manusia

1. Amanah dan peranan manusia sebagai khalifah dan pentingnya ilmu untuk pelaksanaan amanah tersebut (al-Baqarah, 30 dan 31)

2. Potensi ilmu telah Allah dipersiapkan pada manusia sebelum lahir ke dunia (al-A`raf, 172)

3. Keperluan akan penguasaan dua jenis ilmu secara bersepadu:

(i) Ilmu tanzil (yang diwahyukan)
(ii) Ilmu akal/sains (yang dicari)

(Kaitannya dengan pemenuhan tuntutan fardu `ain dan
fardu kifayah)

Kerangka Perencanaan

Lima tahap utama:

1. Penilaian kritis

2. Pemetaan

3. Pelaksanaan

4. Promosi

5. Peneguhan prasarana


Tahap 1: Penilaian Kritis

1. Bidang - Menilai kekuatan dan kekurangan tamadun kita dalam bidang ilmu tertentu sebagai asas perencanaan selanjutnya (pemetaan yang tuntas).

2. Keahlian - Menilai kekuatan dan kekurangan ahli ilmu kita dalam bidang ilmu tertentu untuk dijadikan asas perencanaan latihan dan pengagihan tanggungjawab.

3. Institusi/Badan - Dikenal pasti dan diinventorisasikan institusi/badan yang sedia bergerak danyang berpotensi untuk ikut serta dalam gerak kerja pengayaan khazanah ilmu.

Tahap 2: Pemetaan

1. Bidang ilmu yang ditanzilkan (the revealed knowledge - Penyenaraian ilmu-ilmu yang tercakup di dalam kategori ini (aqidah, fiqah, tafsir, hadith, tasawuf, sirah, jinayah, muamalah, adab, qiraah dll. untuk dilengkapkan judul-judul dan karyanya, sebagai asas pembinaan manusia Melayu/Indonesia. Untuk tujuan kesalingfahaman antara agama, perlu diupayakan juga penyusunan karya umum tentang ajaran agama-agama lain yang mewakili sejumlah umat di alam Melayu.

2. Bidang ilmu yang dicari (the acquired knowledge) – Penyenaraian dan penulisan ilmu yang tercakup dalam dua bidang utama di bawah kategori ini, iaitu ilmu-ilmu sains kemanusiaan dan ilmu-ilmu sains tabii yang diperlukan untuk maslahat umat Melayu/Indonesia dalam rangka memakmurkan alam (Daftar bidang ilmu yang digarap oleh MABBIM dapat dijadikan titik tolak)


Tahap 3: Pelaksanaan

1. Penyelarasan pelaksanaan rencana kerja – MABBIM, MASTERA, FORKEPS, MEKKAP/MAKKAP

2. Pembentukan pasukan kerja – Di peringkat negara dan antara negara,melalui badan-badan kerjasama serantau seperti di atas atau institusi lain dengan gerak kerja yang berkesan seperti sistem mentor-mentee.

3. Penghasilan dan penerbitan karya ilmu untuk pelbagai lapisan masyarakat

4. Pemanfaatan pelbagai media (dengan penekanan pada teknologi maklumat dan komunikasi untuk mengimbangi globalisasi Barat)

5. Penyelidikan/penelitian dalam rangka eksplorasi bidang, temuan dan dapatan baharu agar bangsa kita tidak semata-mata menjadi bangsa pengguna tetapi menjadi bangsa penyumbang.

Tahap 4: Promosi

1. Persidangan ilmiah antarabangsa secara terancang untuk mengetengahkan hasil yang berorientasikan teori, pendekatan dan kerja pengolahan beracuan tamadun Melayu/Indonesia (dalam hal ini MABM dapat dijadikan wahananya).

2. Rangkaian dengan badan dan forum antarabangsa, termasuk penerbit, untuk mengetengahkan temuan dan dapatan daripada hasil penelitian dan penulisan ahli ilmu dari dunia Melayu/Indonesia.

3. Penerjemahan karya ilmu dan sastera Melayu/Indonesia yang bermutu tinggi ke dalam bahasa-bahasa utama dunia untuk terbitan dan pasaran antarabangsa, baik oleh penerbit di rantau ini mahupun penerbit antarabangsa.

Tahap 5: Peneguhan Prasarana

1. Sektor pendidikan

2. Keberkesanan kerjasama serantau

3. Peranan pemerintah negara-negara berbahasa Melayu

4 Perkongsian pintar antara badan pemerintah dengan badan swasta


~Kembara Bahasa~
22 April 2012/1 Jamadilakhir 1433

Thursday, April 19, 2012

Catatan rindu



Delapan purnama telah berlalu sejak kutinggalkan kota Beijing, namun ingatan dan kenangan, malah sesekali kerinduan, masih padu terpahat - kepada teman-teman seperjuangan di BFSU, CRI dan institusi lain yang mengembangkan bahasa Melayu, kepada ahong-ahong (imam), para penggerak risalah Allah di pelbagai provinsi, para pelajar, 'anak-anak Malaysiaku' di Lieu Hao Lou, dan semua kenalan yang memperkaya episod-episod kehidupanku.

Mudah-mudahan ada kesempatan lagi untuk hamba menziarahi saudara seagama yang bertebaran di pelbagai provinsi di negara Jalan Sutera itu. Mudah-mudahan juga bahasa dan persuratan Melayu bertambah mekar di sana.

Kembara Bahasa
20 April 2012

Wednesday, April 18, 2012

Perkara 152 Perlembagaan terus dihina



Bersarang dalam benak hamba rasa kecewa berbaur amarah mengapa masih lagi mesyuarat dalam sektor awam berlangsung dalam bahasa asing walhal Perkara 152 Perlembagaan menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk semua urusan rasmi di peringkst kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Adakah puncanya penjawat berkenaan tidak pernah tahu atau mengambil tahu akan adanya ketetapan itu? Apatah ertinya "keluhuran Perlembagaan" sebagai salah satu prinsip Rukun Negara apabila ketetapan penting dalam Perlembagaan diremehkan?

~Kembara Bahasa~
19 April 2012/27 Jamadilawal 1433

Sunday, April 15, 2012

Puisi "Menganyam Ikrar"


"Menganyam Ikrar"

Bukan keterpaksaan yang mengobarkan roh juangku
Bukan kepalsuan yang mendorong aku meredah
rimba raya onak duri yang mungkin melukaiku
Bukan jua dambaan ganjaran yang mungkin mengalpakanku

Segalanya adalah untuk menjitukan
mata rantai sejarah gemilang bahasaku
sebagai tunjang peradaban besar
yang diakui dagang dan santeri
dari wilayah atas dan bawah angin
sejak kedatuan Sriwijaya
menanjak pada zaman kesultanan
dan warisannya kini menggariskan arah
jati diri dan citra bangsa
di tanah watan yang mandiri

Ayuh, pahlawan dan serikandi sekalian
Kita kibarkan terus panji-panji perjuangan
Usah lena dalam ulitan mimpi
Usah terkesima oleh pelangi yang akan pergi
kerana yang abadi ialah kesetiaan dan ikrar nurani kita
akan amanah yang telah kita terima.

Kembara Bahasa
16 April 2012/24 Jamadilawal 1433

Monday, April 9, 2012

Dialog Nasional Pendidikan Negara: Aspek Kemahiran Bahasa untuk Kecemerlangan Pendidikan Negara


Tiga ribu orang peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara anjuran Kementerian Pendidikan di UKM hari ini diagihkan ke dalam 9 kelompok, dengan setiap kelompok puratanya terdiri daripada 300 orang. Hamba masuk ke kelompok 5 tentang kecekapan berbahasa untuk kecemerlangan pendidikan. Antara yang sempat hamba kemukakan termasuklah:

1. Perlunya dirumuskan falsafah pendidikan bahasa yang menjadi asas, baik untuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama mahupun untuk bahasa-bahasa asing. Dalam tesis doktor falsafah dan beberapa bush buku serta makalah saya, falsafah pendidikan bahasa telah saya ungkapkan dan pemerinciannya dapat dilakukan oleh panel yang dilantik oleh KPM.

2. Aspek kemahiran berbahasa dalam konteks kecemerlangan pendidikan negara hendaklah diasaskan pada Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagaimana yang ditunjang oleh Akta Pendidikan (yang mutakhir ialah Akta Pendidikan 1996), yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan, dengan bahasa-bahasa asing sebagai nilai tambah yang memang perlu ditingkatka, tetapi tidak sampai mengambi alih peranan bahasa Melayu.

3. Semangat dan ketetapan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan mesti dijelmakan dalam pelaksanaannya. Yang berkaitan secara langsung dengan aspek bahasa ialah kesepaduan antara bahasa dengan ilmu, yang digerakkan melalui program Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK), seiring dengan Nilai Murni Merentas Kurikulum dan Kemahiran Berfikir Merentas Kurikulum. Sejak kira-kira satu dekad lalu tidak ketara pelaksanaan BMMK dan aspek-aspek merentas yang lain. Yang masih kekal mungkin hanya "merentas desa".

- Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa, 9 April 2012