Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, October 28, 2010

Mengobarkan Semangat Generasi Muda dalam Perjuangan Bahasa



Mengobarkan Semangat Generasi Muda dalam Perjuangan Bahasa

Gambar kenang-kenangan di atas saya siarkan untuk membangkitkan semangat juang dalam kalangan generasi muda dengan mengenang dan mempelajari gerakan perjuangan tokoh-tokoh pejuang bahasa kita.

[Kembara Bahasa selaku Presiden PLM (2000-2008) bersama-sama dengan Tun Patinggi Datuk Hj. Abdul Rahman Ya`kub (Penyampai Syarahan Perdana "Bahasa Melayu dalam Pembinaan Tamadun Tinggi") dan Tokoh Pejuang Bahasa PLM (Tan Sri Ainuddin Wahid, Datuk Zainal Abidin Wahid, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Dato' Abdul Rahim Bakar, Dato' Dr. Hassan Ahmad, Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, Prof. Dr. Shaharir Mohd. Zain dan Datuk Baharuddin Zainal. Majlis Syarahan Perdana oleh Tun Patinggi Datuk Hj. Abdul Rahman Ya`kub dan penganugerahan Tokoh Pejuang Bahasa PLM diadakan bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 Persatuan Linguistik Malaysia di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 29 Mei 2004.]

Puisi: Saat Musim Dingin akan Bertamu


Saat Musim Dingin akan Bertamu

Sesekali mentari menyuakan wajah
memberikan sinar ke alam sarwa
dan jiwa manusia yang dilanda gelisah hiba
dalam kelam kemuraman siang
dan bayu dingin berhembus

Malam kian panjang
merebut waktu siang
dan kesejukan membungkus jasad
Fajar kian tidak dini
merindui mentari

Musim rontok kian beralih pergi
musim dingin 'kan bertamu lagi
untuk kesekian kali
dan salju akan memutih
melata mewajahi pepohon, dedaun dan bumi
membungkus manusia menjadi separuh sepi

Agungnya Yang Maha Menciptakan
menggilirkan musim dan kehidupan
Menjadi bahan fikir hamba-Nya
semoga tunduk patuh
tiada sekali-kali mungkir
memenuhi janji di alam ruhani
'tika diri hakiki telah bersaksi
"Qalu bala syahidna"
Namun sungguhlah insan itu 'nasia'
lagha, alpa dan kekadang buta
merenung kejadian di alam semesta
bukan dengan mata hati
untuk tazkirah kepada diri
Sungguhlah kami telah menzalimi diri kami
Jika tidak Kauampuni kami
Nescaya masuklah kami
dalam golongan yang rugi
di alam yang abadi.

Kembara Bahasa
6.30 pagi 29 Oktober 2010

Tuesday, October 26, 2010

Sekolahku Akarku: Sekolah Agama Teluk Kerang (1962-65)


Sekolah Agama Teluk Kerang

Di negeri Johor, menjadi kelaziman bahawa murid yang belajar di sekolah kebangsaan pada sebelah pagi ke sekolah agama pada sebelah petang. Itulah sebabnya maka sekolah agama di Johor dahulu dikenal sebagai "sekolah petang". Istilah itu kini kudapati tidak lazim lagi digunakan di kampungku itu.

Kukatakan bahawa bersekolah agama pada sebelah petang itu "kelaziman" kerana tidak ada peraturan yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah agama. Namun, kelaziman itu sudah menjadi seakan-akan peraturan, sehingga ibu bapa yang tidak berbuat demikian dianggap menyalahi norma kehidupan bermasyarakat di kampung. Demikianlah baiknya sistem masyarakat yang berpegang pada kelaziman yang mulia.

Kebiasaannya, pengajian di sekolah petang atau sekolah agama bermula apabila seseorang murid telah masuk ke darjah tiga sekolah kebangsaan, iaitu setelah berumur kira-kira 8 tahun. Kelaziman ini bukan peraturan, melainkan pertimbangan daripada sudut keselesaan untuk murid sahaja, pada hematku. Sesudah agak mantap kemahiran tulis baca (terutama Jawi)di sekolah kebangsaan, maka mudahlah pelajaran agama di sekolah petang dihayati. Selain itu, ibu bapa beranggapan bahawa sesudah biasa dengan alam persekolahan selama dua tahun di sekolah kebangsaan, maka tidak menjadi masalah anaknya dihantar bersekolah pada sebelah petang pula. Ada unsur psikologi yang halus dalam hal ini, pada pendapatku.

Pada waktu itu, tidak ada bangunan khas untuk sekolah agama. Sekolah kebangsaan dan sekolah agama berkongsi bangunan dan kemudahan. Alangkah harmonisnya suasana itu. Sekolah agama di kampungku ditempatkan di bangunan induk sekolah kebangaan yang telah kukisahkan, iaitu bangunan rumah atas beratap rumbia dan sebuah bangunan setingkat di sebelahnya. Kebanyakan murid sempat pulang ke rumah sesudah tamat sesi sekolah kebangsaan untuk makan tengah hari dan bersalin pakaian - murid lelaki berbaju Melayu teluk belanga dengan seluar berwarna putih(tanpa kain sampin bagi murid darjah satu hingga darjah lima, tetapi lengkap dengan sampin bagi murid darjah enam dan darjah khas)dan murid perempuan berbaju kurung dengan kain.

Mata pelajaan teras dalam darjah satu dan darjah dua meliputi Tauhid, Ibadah, Tajwid dan Adab. Kitab yang digunakan disusun dan diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Johor (di Johor dahulu "agama" disebut "igama"). Selain pelajaran dalam bentuk teori atau penerangan oleh guru, diadakan juga amali, seperti berwuduk dan solat. Di darjah tiga, murid mula didedahkan kepada penggunaan kitab yang klasik dan tinggi sebenarnya, iaitu Kitab Matla`al Badrain yang sejak mengaji di surau dan di masjid sesudah mula bekerja baru kuketahui pengarangnya, iaitu Syekh Daud Fatani, ulama' besar di Patani, Thailand selatan.

Bayangkanlah bagaimana sukarnya menghadamkan kandungan kitab klasik itu, bukan sahaja daripada segi ilmunya yang mendalam, bahkan sistem ejaan Jawi dan jalan bahasanya yang disusun dalam bahasa Melayu lama. Kitab itu bukan sahaja lengkap dengan nota kaki seperti buku ilmiah moden, malah lengkap dengan nota sisi (di ruang kiri dan kanan kitab, bahkan di ruang atas)! Oleh sebab sistem ejaan Jawi yang digunakan bukan sistem Jawi yang diajarkan di sekolah kebangsaan dan bukan juga yang digunakan dalam kitab-kita mata pelajaran agama yang lain, maka memang timbul kesulitan yang besar kepada murid berusia 10 tahun.

Di surau atau di masjid hingga pada waktu ini, kitab itu (dan kitab-kitab lain yang sezaman dengannya) digunakan sebagai teks pengajian dan biasanya dalam satu sesi pengajian lebih kurang satu jam, ustaz yang memberikan syarah dengan menggunakan kitab itu hanya dapat menyelesaikan satu halaman atau setengah halaman sahaja untuk menjelaskan kandungannya. Alhamdulillah aku agak cepat menguasai sistem ejaan Jawi klasik dalam kitab itu, berdasarkan intuisi dan pola sistem ejaan yang dapat kuperhatikan. Maka agak kerap aku diminta oleh guru agamaku membaca beberapa perenggan atau beberapa halaman dalam kitab itu sebelum guru memberikan huraian.

Kesulitan yang paling besar tentang sistem ejaan Jawi di dalamnya ialah ketiadaan huruf vokal atau huruf saksi, kerana dalam sistem tulisan Jawi yang awal digunakan tanda fathah (tanda atas), kathrah (tanda bawah) dan dhammah (tanda hadapan) sehingga tidak diperlukan huruf vokal. Maka itu kata seperti bumi dieja dengan huruf ba wau mim sahaja tanpa huruf volak ya di hujungnya oleh sebab asalnya ada tanda kathrah (tanda bawah) di bawah huruf mim . Namun, ejaan sedemikian menyebabkan kebanyakan murid membacanya sebagai bom. Memanglah pelik bagaimana dalam kitab feqah terdapat kata bom. Tambahan pula kata itu belum popular atau malah belum digunakan pada zaman kitab itu ditulis pada abad ke-19. Frasa bumi yang mati dalam kitab itu biasanya dibaca oleh kebanyakan murid sebagai bom yang mata! kerana ketiadaan huruf vokal pada kata bom dan mati (kata mati dieja dengan huruf mim alif ta yang biasanya untuk kata mata). Pastilah tidak tertangkap makna yang sebenarnya oleh sebahagian murid kerana frasa itu tidak membayangkan makna apa pun.

Satu contoh lain (yang tidak kuingat tetapi diingatkan oleh seorang temanku di UPSI) ialah frasa yang menimbulkan gelak ketawa dalam kelas oleh sebab salah pembacaannya. Menurut temanku itu, ada frasa yang dieja sebagai ta jim ha/ lam fa sin /ba wau mim. Apabila dieja menurut sistem ejaan Jawi yang digunakan di sekolah pada waktu itu, maka frasa itu berbunyi Tijah lepas bom. Bukan sahaja murid-murid, guru pun ikut ketawa kerana geli hati. Tentu tidak munasabah frasa sedemikian terdapat dalam kitab agama yang kandungannya sarat dengan ilmu agama. Frasa yang sebenarnya ialah tujuh lapis bumi! Itulah antara kenangan yang sukar dilupakan oleh kebanyakan murid sekolah agama di Johor pada waktu itu. Kini kitab itu sudah tidak digunakan sebagai teks di sekolah agama kerana buku teks semua mata pelajaran telah disusun semula, lengkap dengan gambar dan ilustrasi yang menarik, dan dengan bahasa Melayu semasa.

Dalam darjah empat, mata pelajaran bertambah dengan pengenalan mata pelajaran Munakahat (perkahwinan dan kekeluargaan), Muamalah (Perekonomian) dan Jinayat (undang-undang). Murid yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan darjah enam layak mengikuti Kelas Khas, iaitu kelas pengajian agama pada hari Sabtu yang menjadi asas untuk seseorang menjadi guru agama di negeri Johor. Pengajianku di sekolah agama terhenti setakat darjah empat apabila aku ke sekolah menengah, kerana sesi sekolah menengah adalah pada sebelah petang. Pada waktu sekolah menengah mula dibuka di Teluk Kerang, belum ada bangunan yang tersedia. Pelajar perlu bersekolah pada sesi petang di sebuah bangunan satu tingkat sekolah kebangsaan yang digunakan oleh murid sekolah kebangsaan pada sesi pagi.

Antara guru agama yang pernah mendidikku termasuklah Allahyarham Cikgu Hasan dari Kampung Rambah, Cikgu Saleh dari Kampung Rimba Terjun dan Cikgu Sidin (merangkap Guru Besar). Bapa saudaraku Allahyaram Cikgu Ahmad bin Satam pernah menjadi Guru Besar di sekolah tersebut dan aku sempat berguru dengannya dalam bidang qiraah dan taranum ketika dipilih mewakili sekolah untuk Perujianan Membaca Al-Quran (Musabaqah atau Tilawah al-Qur'an) peringkat daerah Pontian.

Meskipun ilmu keagamaan yang kuperoleh selama empat tahun di Sekolah Agama Teluk Kerang jauh daripada cukup, namun asas-asas fardhu ain telah disampaikan dengan baik dan menjadi bekal untuk amalan sehari-hari, dengan dari waktu ke waktu kutambah melalui pengajian di surau, di masjid dan melalui ceramah dan bahan bacaan. Di samping itu, di rumah aku dan adik-beradikku dididik oleh ayahanda kami juga dalam hal ehwal keagamaan. Syukur, ayahandaku sendiri pada suatu waktu dahulu guru al-Qur'an yang mengajar kanak-kanak di sekitar kampung belajar mengaji di rumah kami.

Kini sekolah agama di kampungku telah ada bangunannya sendiri. Sayang sekali perhatian sebilangan ibu bapa kepada pendidikan agama formal tampaknya merosot. Sudah tidak menjadi kelaziman seperti pada waktu dahulu bahawa anak-anak mesti dihantar ke sekolah agama. Kerajaan Negeri Johor barangkali boleh membuat peraturan mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah agama untuk mendapat pendidikan yang seimbang, antara ilmu-ilmu duniawi dengan ilmu-ilmu ukhrawai. Mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan kukira tidak berpada kerana hanya menjadi salah satu mata pelajaran daripada sekian banyak mata pelajaran. Syukurlah di kebanyakan negeri di negara ini telah ada kelas KAFA, sekolah agama rendah dan yang lain. Kelas tahfiz yang selain melatih murid menjadi hafiz dan hafazah turut memberikan pendidikan ilmu agama yang mendalam.

Gagasan "pendidikan bersepadu" yang dicetuskan dalam Falsafah Pendidikan Negara (kemudian Falsafah Pendidikan Kebangsaan) bermula pada tahun 1987 perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan yang terancang dan berkesan supaya generasi yang terhasil daripada sistem pendidikan kita ialah generasi yang sahsiah atau keperibadiannya bersepadu - antara ruhani dengan jasmani, emosi dan intelek (dalam Kurikulum Bersepadu dikenal sebagi JERI - jasmani, emosi, ruhani dan intelek).

[Keterangan gambar: Sebahgian murid Sekolah Agama Teluk Kerang (pada sekitar tahun 1963-65), bersama-sama dengan tiga orang guru, dari kiri - Cikgu Ahmad Satam, Ciku Mansor dan Cikgu Saleh]

Sunday, October 24, 2010

Sekolahku Akarku: Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang (1960-65)


Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang




Pendidikan formalku bermula di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang, Pontian, Johor pada tahun 1960, ketika aku berusia 7 tahun. Sebelumnya, sekolah itu dikenal sebagai Sekolah Umum Teluk Kerang. Tidak dapat kupastikan bilakah sekolah itu mula dibuka, tetapi aku yakin bahawa selewat-lewatnya pada awal tahun 1950-an sekolah itu telah ada, kerana kakak sulungku yang lahir pada tahun 1947 bersekolah di situ.

Bangunan induk sekolahku merupakan bangunan bertiang batu dan kolongnya yang agak tinggi cukup selesa menjadi tempat murid berteduh, berehat dan bahkan bermain. Di kolong itu terdapat batu konkrit yang menjadi tempat duduk kesukaan kebanyakan pelajar; khabarnya batu itu tinggalan tentera Jepun sewaktu memerintah Tanah Melayu pada tahun 1941 hingga 1945.

Tangga naik ke bangunan itu dibuat daripada batu dan bentuknya seakan-akan tangga batu rumah Melaka. Tangga itu juga menjadi tempat kesukaan murid-murid berhimpun dan bermain. Bilik darjah yang terdapat di bangunan itu empat atau lima buah kesemuanya. Oleh sebab hanya ada satu tangga di pintu masuk utama, seperti halnya rumah kediaman, maka murid-murid perlu melalui kelas pertama yang terletak dekat dengan muka pintu setiap kali keluar masuk dan pastilah hal itu menjadi gangguan sedikit.

Bumbungnya atap rembia, baik untuk cuaca yang panas, tetapi apabila telah berlaku kebocoran di sana sini, maka setiap kali hujan turun timbul masalah. Keseluruhan dinding, tingkap,pintu, lantai, gelegar, alang-alang dan bahagian lain bangunan, kecuali tiang dan tangga, dibuat daripada kayu yang cukup teguh. Untuk membuka tingkap, daun tingkap perlu ditopang dengan kayu sepanjang kira-kira dua kaki atau satu meter.

Di bahagian hujung bangunan, terdapat stor yang juga menjadi bilik rehat guru-guru yang mengajar di bangunan itu, kerana bilik guru terdapat di sebuah bangunan setingkat yang terletak di seberang padang sekolah.

Ketika di darjah satu, aku ditempatkan di sebuah bangunan setingkat tidak jauh dari bangunan rumah atas itu. Apabila naik ke darjah dua hingga darjah empat, berpindahlah aku ke bangunan rumah atas itu. Ketika di darjah dan darjah enam pula, aku ditempatkan di bangunan setingkat yang jua menempatkan pejabat guru besar, pejabat sekolah dan bilik guru. Itulah tiga bangunan utama yang menampung murid-murid sekolah rendah di kampungku. Terdapat sebuah Rumah Pengakap sebagai pusat kegiatan pengakap dan kegiatan-kegiatan lain. Bilik air dan tandas terasing daripada bangunan sekolah. Di bahagian hadapan padang sekolah, dibina dua buah wakaf tempat murid-murid berehat dan sebuah gelanggang sepak takraw. Rumah guru untuk dua buah keluarga pula terletak di bahagian hadapan Rumah Pengakap.

Di sekolah itulah aku mula mengenal huruf dan angka, kerana pada zaman itu tidak ada tadika. Mata pelajaran asas dalam darjah satu ialah membaca, menulis dan mengira. Setiap murid perlu membawa papan tulis dan kapur setiap hari. Buku hanya mula digunakan dalam darjah dua. Papan tulis itu berwarna hijau dan saiznya lebih besar sedikit daripada saiz kertas 3A. Ketika pulang dari sekolah, papan tulis itulah yang menjadi pelindung daripada panas terik cahaya matahari.

Guru Besar pada waktu itu ialah Cikgu Mohamad yang dikenal di kampung dengan nama Cikgu Mat Besar (mungkin bukan sahaja kerana jawatannya tetapi juga kerana badanya memang agak besar). Apabila beliau ditukarkan ke sekolah lain, Cikgu Kumasi bin Haji Dainuri mengambil alih tugas Guru Besar. Keluarga beliau memang terkenal di kampungku sebagai keluarga orang alim, berada dan berpengaruh. Rumah dua tingkat keluarganya menjadi salah satu kayu ukur keberadaan atau taraf sosial sesebuah keluarga ketika itu. Adiknya Haji Khudairi bin Hj. Dainuri pernah menjadi Kadhi Besar Johor. Adik bungsunya, Mohd. Som bin Hj. Dainuri kemudian pernah menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang pada tahun 1980-an.

Kereta yang dimiliknya pun tergolong dalam model kereta yang agak mewah dan tidak biasa terdapat di daerah Pontian pada waktu itu; Bougward lebih kurang begitu nama modelnya. Beliau aktif dalam dunia penulisan dan persatuan persuratan. Salah sebuah cerpennya terbit dalam antologi cerpen yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada awal tahun 1960-an. Apabila aku mula terlibat dalam kegiatan bahasa dan persuratan sesudah tamat mengaji di universiti, dapat kukesan gambar Cikgu Kumasi dalam gambar perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956, di hadapan Istana Besar Johor. Sedikit banyaknya motivasi yang diberikannya telah menumbuhkan minat menulis pada diriku. Beliau terus aktif dalam kegiatan persuratan, selain dalam bidang dakwah hingga akhir hayatnya. Sesekali aku bertemu dengannya dalam seminar atau kegiatan lain di Johor Bahru dan beliau melahirkan sinar wajah yang menunjukkan rasa bahagia apabila bersua dengan bekas anak muridnya.

Guru kelasku semasa darjah satu ialah Cikgu Bujang bin Ahmad (ayahanda Prof. Dr. Rahmah Bujang, ahli akademik di Universiti Malaya). Beliau sekali gus menjadi Guru Penolong Kanan. Beliaulah yang kali pertama memperkenalkan huruf dan angka kepadaku dan teman-teman sekelas. Orangnya tinggi lampai, bersongkok miring, berperawakan betul-betul sebagai bapa. Paip dapat dikatakan menjadi teman akrabnya. Sesekali beliau menghisap rokok daun yang diisi tembakau.

Guru darjah dua kelas 2A ialah Cikgu Jaafar dari Kampung Rambah. Wajahnya serius dan dikenal antara guru yang tegas. Namun di balik ketegasannya, kelembutan hatinya tetap menyerlah. Antara yang kukenang budi baiknya ialah apabila aku kehilangan duit belanja (10 sen sahaja pada waktu itu), lalu beliau memberiku duit untuk membeli makanan pada waktu rehat.

Pada waktu itu 10 sen dapat digunakan untuk membeli sebuku roti kuah (roti yang dibelah dan dibubuh kuah sambal sotong) dan minuman. Harga kuih pun hanya lima sen satu. Beberapa orang temanku yang keluarganya agak berada, sama ada anak guru, penghulu dan sebagainya, biasanya berbelanja 20 sen atau lebih pada waktu rehat dengan makanan yang 'mewah', dan biasanya diberi layanan khas oleh pengusaha kantin dengan diberi meja tempat makan, sementara kami yang membeli sekadar sebuku roti atau kuih memakannya di tepi padang, di bawah kolong sekolah atau di mana-mana yang sesuai.

Sepanjang persekolahanku di peringkat rendah, masih dapat kuingat hampir semua guru yang pernah mengajarku dan guru-guru lain yang pernah berkhidmat di sekolah itu. Semasa aku di darjah satu, selain Ciku Mohamad dan Cikgu Kumasi sebagai Guru Besar dan Cikgu Bujang sebagai Penolong Kanan dan guru kelasku, aku ingat akan Cikgu Hamzah bin Hamdan, Cikgu Muhani bin Abdul Ghani (yang kemudian ditakdirkan Allah menjadi teman akrab dan rakan penulis pada sekitar tahun 1980-an).

Guru yang pernah mengajarku, selain Cikgu Bujang dan Cikgu Jaafar ialah Cikgu Shaarani bin Abdul Jalil (ayahnya Kiayai Abdul Jalil terkenal di daerah Pontian), Cikgu Mohd. Noh (atau Master Mohd. Noh yang dikenal dengan Volkswagen JE 2555), Cikgu Kamar bin Abdul Karim, Ustaz Afandi, Ustaz Ramli, Cikgu Maznah, Cikgu Bahyah binti Ahmad (guru kelasku di darjah enam)dan Cikgu Sudin bin Mohamad. Guru lain yang masih kuingat ialah Cikgu Alwi bin Ahmad (guru disiplin yang cukup tegas), Cikgu Ismail bin Awang, Cikgu Safiah binti Awang dan Cikgu Tarmudi. Walaupun tidak mengajarku, Cikgu Tarmudi memilih aku menyertai Pasukan Anak Serigala dan kemudian Pasukan Pengakap sekolah. Antara kegiatan yang masih kuingat ialah Malam Unggun Api dan kegiatan memungut derma di pejabat-pejabat kerajaan dan di rumah pegawai-pegawai kerajaan di bandar Pontian.

Antara kenangan manisku di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang termasuklah menerima Hadiah Kelakuan Baik berupa piala yang disampaikan oleh Ketua Kampung, Haji Salim bin Alias (kebetulan datuk saudaraku) dalam majlis Hari Ucapan. Dalam darjah dua pula aku menerima hadiah tempat kedua sebagai murid cemerlang. Oleh sebab aku antara murid yang cekap membaca, maka sesekali guruku meminta aku membaca teks dalam buku bacaan di hadapan kelas untuk diikut oleh teman-teman sekelas(antara kegiatan belajar yang agak popular pada waktu itu).

Antara teman yang masih kuingat semasa di sekolah rendah termasuklah Atan (nama sebenarnya Johari), Abdul Shukor bin Ahmad, Baki bin Husin, Karmain bin Sardini, Abdul Razak bin Mohamad, Sulaiman bin Kamijo, Sarpon, Borhan bin Junid, Abdul Hadi bin Ehsan, Abdul Karim bin Said, dan Sirajudin bin Ahmad.

Kini bangunan rumah atas yang menjadi mercu tanda sekolahku itu telah lama dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baharu. Begitu juga bangunan setingkat yang asal pun kini dalam proses digantikan dengan bangunan baharu. Sungguh sayang sekali rasaku, kerana bangunan bersejarah itu tidak akan dapat dilihat lagi sebagai gambaran bangunan sekolah pada tahun 1950-an dan 1960-an. Alangkah baiknya bangunan itu dibaik pulih daripada dirobohkan. Namun sejarah telah mengubah keadaan. Kenanganku kepada Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang tetap abadi dalam sejarah kehidupanku. Terima kasih kepada semua guruku yang telah memberikan pendidikan asas untuk kemudian aku melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan. Al-Fatihah kepada guru-guruku yang telah pulang ke rahmatullah.

[Gambar kelas sewaktu aku dalam darjah enam]

Antara guruku (dari kanan): Ustaz Afandi, Cikgu Mohd. Noh, Cikgu Kumasi bin Haji Dainuri (Guru Besar), Cikgu Safiah binti Awang dan Cikgu Bahyah binti Ahmad

Antara teman sekelas yang masih kuingat namanya: Karmain bin Sardini, Abdul Razak bin Mohamad, Omar, Abdul Shukor bin Ahmad, Md. Din bin Abdullah, Mohd. Sha bin Sarijan, Mutalib, Muhamad Azam, Yatim bin Makmur, Ahmad, Fadilah bin ?, Ashrori bin Hj. Saleh, Musa bin Shuib, Yunus, Jaafar bin Harun, Kalsom bt. Said, Lasima bt. Murad, Fatimah, Rokiah bt. Abdul Hamid, Salbiah bt. Muhyin, Tumirah bt. Nasir, Safiah bt. Salikin, Noresah bt. Ismail, Khadijah bt. Abdul Aziz, Suriati bt. Amsur, Aznah bt. Adnan, Mukminah bt. Fatoni

Friday, October 22, 2010

Mencari Akar


Salasilah Keluarga Sebelah Ayahku


Tidak terlalu banyak yang kuketahui tentang salasilah keluargaku. Namun, berkat usaha Paman Ustaz Khalil bin Maon (sepupu ayahku) di Singapura yang rajin membuat kajian, terhasil susur galur salasilah sembilan generasi keluarga sebelah ayahku. Tanah leluhur nenek moyangku, menurut Paman Khalil yang telah menelusurnya ialah Kendal di Jawa Tengah. Menurut Allahyarham ayahku pula, nenekku berasal dari Solo.

Kaum kerabat keluargaku kebanyakannya di negeri Johor, khususnya di daerah Pontian dan sebahagiannya di Singapura. Ada juga yang kemudian merantau ke daerah dan ke negeri lain.

Seandainya ada pengunjung blog ini yang mempunyai kaitan dengan salasilah itu, sudilah berhubung untuk menjalin silaturrahim.

Thursday, October 21, 2010

Memperingati 37 Tahun Pulangnya Za`ba ke Pangkuan Allah


Pada 23 Oktober 2010, genaplah 37 tahun Pendeta Za`ba (1895-1973) meninggalkan alam fana untuk kembali ke pangkuan Allah S.W.T. Untuk mengenang jasa bakti Allahyarham kepada bahasa dan persuratan Melayu, saya siarkan sebuah makalah yang pernah saya tulis tentang sumbangan beliau dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu.



ZA`BA DALAM BIDANG BAHASA DAN PERSURATAN
Sumbangan Pemikiran Za`ba dalam Pelanjutan Tradisi Linguistik Melayu

Prof. Dr. Awang Sariyan

[Dlm. Abdul Hamid Mahmood et al. 2005. Memartabatkan Warisan Pendeta Za`ba. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (hlm. 12 – 19)]


Tradisi linguistik Melayu yang diupayakan oleh tokoh setempat dan serantau di Alam Melayu dapat dikesan titik awalnya pada pertengahan abad ke-19, iaitu dengan mengambil tarikh terhasilnya karya tatabahasa Melayu oleh Raja Ali Haji, tokoh persuratan di Pulau Penyengat, Riau. Karya itu berjudul Kitab Bustan al-Katibin dan terbit pada tahun 1857. Karya tersebut merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa Melayu. Pada tahun 1859, Raja Ali Haji menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa pula, iaitu karya yang dapat dikategorikan sebagai kamus dan sekali gus tatabahasa Melayu.

Sesudah Raja Ali Haji, kurang jelas perkembangan penulisan linguistik Melayu oleh anak watan Melayu, sehinggalah kira-kira satu abad kemudian muncul seorang tokoh yang cukup gigih dan giat berusaha memantapkan sistem bahasa Melayu formal melalui penyusunan sistem ejaan Jawi dan Rumi, tatabahasa dan retorik. Tokoh itu ialah Za`ba, yang lahir pada 16 September 1895 di Batu Kikir, Jempul, Negeri Sembilan.

Za`ba ( Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad ) diiktiraf oleh masyarakat dan negara Malaysia, khususnya dan Alam Melayu, umumnya sebagai tokoh cendekiawan yang cukup berwibawa. Beliau pemikir dan pencetus beberapa gagasan besar dalam pelbagai bidang – agama, ekonomi, bahasa, sastera, politik, pendidikan, dan kebudayaan sebagai suatu keseluruhan yang menandai tamadun Melayu. Dalam bidang agama, beliau dapat digolongkan sebagai cendekiawan yang mendukung gerakan islah. Dalam bidang politik barangkali ada yang tidak tahu bahawa beliau penggerak aktif dalam menyatukan orang Melayu untuk menolak gagasan Malayan Union kerajaan Inggeris.

Daripada sekian banyak bidang yang diceburinya, bidang bahasalah yang tampaknya paling banyak dipertalikan orang dengan ketokohan dan sumbangannya. Sehingga kini, nama Za`ba seakan-akan bersinonim dengan perkembangan bahasa Melayu pada zaman baharu. Hal ini tidak menghairankan kerana memang Za`balah yang meletakkan asas sistem bahasa Melayu baharu, baik dalam bidang ejaan, tatabahasa Melayu mahupun retorik. Za`balah yang menandai awal babak perkembangan ilmu bahasa atau linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920-an, kira-kira satu dekad lebih awal daripada tokoh linguistik Amerika yang cukup berpengaruh dalam dunia linguistik Barat pada satu waktu dahulu, iaitu Leonard Bloomfield.

Taraf Za`ba sebagai perintis bahasa Melayu baharu diungkapkan dengan menarik sekali oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam pidato umum pengurniaan ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Za`ba oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973 dengan kata-kata, “Karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerangi suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini!”

Seorang sarjana besar dari Indonesia Prof. Dr. Harimurti Kridalaksana (1986) mengangkat Za`ba sebagai Bapa Tata Bahasa Tradisional Melayu Malaysia, setaraf dengan Sasrasoeganda yang digelar Bapa Tata Bahasa Tradisional Indonesia. Pengangkatan taraf itu berasaskan pada pengaruh tatabahasa yang disusun oleh Za`ba yang cukup luas dan dalam tempoh yang panjang dalam sistem pendidikan di negara ini.

Prof. Dr. Asmah Haji Omar (1975), dengan berasaskan peranan buku tatabahasa karangan Za`ba yang dijadikan buku pegangan dalam sistem pendidikan di negara ini, menganggap buku Pelita Bahasa Melayu yang terbit dalam tiga jilid itu sebagai bible bagi guru-guru bahasa Melayu. Menurut Prof. Asmah lagi, sehingga tahun 1968 semua buku teks bahasa Melayu yang digunakan di sekolah disusun dengan berasaskan buku tatabahasa Za`ba. Hal ini bererti bahawa pengaruh Za`ba melampaui tempoh paling tidak 30 tahun dalam perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Malah sesudah munculnya pelbagai aliran linguistik dalam percubaan menganalisis jalan bahasa Melayu ketika ini, tatabahasa yang disusun oleh Za`ba masih tetap dirujuki. Buku Tatabahasa Dewan yang menjadi buku pegangan Kementerian Pendidikan Malaysia, misalnya, masih tetap menggunakan buku Za`ba itu sebagai salah satu rujukan penting.

Sering juga kedengaran kata-kata sebilangan sarjana linguistik sendiri bahawa setengah-setengah konsep yang diperkatakan kini sebenarnya telah sedia ada dalam buku Za`ba tetapi tidak disedari oleh setengah-setengah ahli linguistik moden yang kadang-kadang tidak suka menoleh ke belakang untuk mengambil manfaat daripada hasil kerja orang terdahulu. Sebahagian analisis Za`ba yang ternyata masih dapat dijadikan sandaran untuk analisis bahasa Melayu kini telah saya kemukakan dalam kertas kerja yang berjudul “Penyusunan Tatabahasa Melayu di Malaysia : Dari Pelita Bahasa Melayu ke Tatabahasa Dewan” untuk Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di Universiti Malaya pada tahun 1989.

Sebelum terbitnya Pelita Bahasa Melayu dalam tiga penggal pada tahun 1940, 1946 dan 1949 (pada tahun 2000 diterbitkan semula dalam edisi ejaan baharu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka), Za`ba sebenarnya telah menghasilkan buku Ilmu Bahasa Melayu pada tahun 1926 dan 1927. Buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I yang terbit pada tahun 1940 telah mula ditulis pada tahun 1934 dan 11 bab selesai pada tahun 1936. Buku Pelita Bahasa Melayu Penggal II pula siap ditulis pada tahun 1942 tetapi ditangguhkan penerbitannya ke tahun 1946 sesudah dibaiki dan disemak. Tiga tahun kemudian terbit pula Pelita Bahasa Melayu Penggal III. Ketiga-tiga buah buku beliau inilah yang menjulang namanya sebagai pengasas bahasa Melayu baharu. Maka memang kena pada tempatnya beliau dianugerahi gelar Pendeta dalam Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956.

Keunggulan Za`ba terletak pada kekuatan dan ketajaman intuisi serta pemerhatiannya terhadap sistem bahasa Melayu. Walaupun beliau tidak terdedah secara formal dalam disiplin linguistik, khususnya linguistik moden, analisis yang dihasilkannya membuktikan bahawa gagasan-gagasan penting dalam bidang ilmu itu ada dalam intuisinya. Apatah dihairankan kerana segala gagasan yang dikemukakan oleh ahli-ahli linguistik ternama di Barat itu pun sebenarnya hasil renungan dan pemikiran mereka juga. Dan kita di Alam Melayu ternyata memiliki pemikir yang setanding dengan sarjana di Barat. Pada saat istilah fonologi belum dikenal orang di negara in pada tahun 1930-an, Za`ba telah mengemukakannya lewat analisisnya tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Orang yang tidak memiliki intuisi tentang fonologi tidak mungkin dapat mengetengahkan analisis sistem ejaan sesuatu bahasa, kerana ejaan atau huruf merupakan lambang atau gambaran sistem bunyi bahasa.

Prof. Asmah Haji Omar (1976) dapat mengesan beberapa prinsip fonologi yang melandasi analisis Za`ba tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah :

a. Keutamaan ucapan di atas tulisan (kewujudan bunyi mendahului tulisan)

“Maka sungguhpun ada beberapa banyak bangsa seperti Semang, Sakai dan sebagainya yang tiada mengerti pada jalan tulis-menulis tetapi sekaliannya bangsa-bangsa itu tahu juga bersuara dan bercakap.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 3)

b. Huruf sebagai lambang untuk bunyi

“Manusia itu tatkala bertambah-tambah majunya dapatlah ia merupakan tiap-tiap
suatu bunyi yang disebutnya itu dengan suatu gambar – gunanya untuk menampakkan percakapan itu kepada mata, supaya dapat difahamkan dengan dipandang sahaja oleh orang yang tiada mendengar seperti orang yang jauh jarak tempatnya atau masanya daripada orang yang punya percakapan itu.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 5)

c. Hubungan antara fikiran dengan mekanisme bahasa

“...Bunyi itu masuk ke telinga mereka langsung terus kepada otaknya. Maka dengan
serta-merta otak itu mengenal akan dia dan mengerti akan maksudnya. Begitulah
juga pada segala bunyi-bunyi lain yang ada bermakna bagi orang yang punya bahasa
itu.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 1 – 2 )


Dalam usaha mengemukakan sistem ejaan bagi bahasa Melayu, Za`ba turut memperlihatkan ketajaman intuisinya tentang konsep-konsep fonetik, walaupun dengan cara yang cukup sederhana. Za`ba memperkenalkan adanya perbedaan bunyi vokal (yang diistilahkannya sebagai huruf saksi) dan bunyi konsonan (yang diistilahkannya sebagai huruf benar). Tentang huruf (sebenarnya bunyi) saksi, Za`ba mengenal pasti adanya bunyi vokal sempit atau tinggi (seperti bunyi u dan i). Za`ba menggolongkan bunyi a, e, o sebagai bunyi kasar dan e pepet, e, u sebagai bunyi halus.

Demikian juga Za`ba telah mengetengahkan konsep diftong dan vokal rangkap (istilah beliau bunyi berkait rapat dan bunyi berkait renggang ), ciri suprasegmental (seperti kepanjangan bunyi) yang menurutnya bukan sifat bahasa Melayu, dan keharmonian vokal. Tentang keharmonian vokal yang menjadi asas pengejaan kata yang terdiri daripda dua suku kata dan lebih, prinsip Za`ba berdasar pada keselarasan vokal halus lawan halus dan vokal kasar lawan kasar. Katanya :

“Pakailah saksi halus di hujung jika bunyi yang dahulunya halus, dan
pakailah saksi kasar di hujung jika bunyi yang dahulunya kasar.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab V, pecahan 54)

Analisis Za`ba yang cukup berpengaruh dalam menentukan jalan bahasa Melayu ialah dalam bidang tatabahasa. Analisis beliau tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis Za`ba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu istilah-istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional.

Dalam membicarakan kata, Za`ba menggolongkan kata kepada lima golongan yang utama, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan. Setiap golonga utama itu dipecah-pecahkan kepada subgolongan. Misalnya di bawah nama ada nama betul dan ganti nama. Di bawah kedua-duanya ada pula pecahan yang lebih kecil, iaitu nama am atau nama nika dan nama khas. Tentang perbuatan pula, dipecahkannya golongan itu kepada perbuatan melampau dan perbuatan tidak melampau, yang kini kita kenal sebagai kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Antara gagasan Za`ba yang menarik tentang perbuatan ialah adanya perbuatan yang dapat menduduki fungsi nama, iaitu yang disebutnya perbuatan nama dan nama perbuatan. Jelas bahawa hal yang kini dibincangkan oleh ahli linguistik moden sebagai bentuk nominal telah dibincangkan jauh lebih awal oleh Za`ba.

Tentang sifat pula, Za`ba membahaginya kepada sifat nama dan sifat kata. Yang pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang kedua merujuk kepada adverba. Dalam keriuhan perancang bahasa dan pengguna bahasa mendapati tiadanya golongan kata adverba dalam buku Tatabahasa Dewan (sebelum edisi baharu 2009), maka sekali lagi tatabahasa yang disusun oleh Za`ba dirujuki untuk mengambil keputusan memasukkan golongan kata itu dalam edisi baharu buku tatabahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu.

Tentang kata sendi pula, Za`balah yang meletakkan asas penggunaan kata sendi yang tepat, misalnya antara kata pada dengan kata di, ke dengan kepada, dari dengan daripada, dan yang lain. Hingga kini, ketetapan yang dibuat Za`ba itu menjadi pegangan pendidik dan pelajar serta masyarakat umum dalam penggunaan bahasa Melayu rasmi.

Analisis Za`ba tentang ayat bahasa Melayu berkisar di sekitar ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait, dan ayat bercampur. Penggolongan ayat sedemikian tidak jauh berbeda dengan yang berlaku dalam bahasa-bahasa lain, dan hal ini memenuhi salah satu ciri asas kesejagatan bahasa. Ayat selapis merujuk kepada konsep ayat tunggal, iaitu ayat ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Ayat berlapis samalah dengan ayat gabungan, sementara ayat berkait ialah padanan istilah bagi ayat pancangan walaupun konsep ayat berkait Za`ba lebih banyak berkaitan dengan ayat pancangan keterangan sahaja. Ayat bercampur samalah dengan ayat campuran, iaitu ayat yang terdiri daripada pelbagai binaan ayat. Jelaslah bahawa analisis ayat atau sintaksis yang terdapat dalam buku-buku tatabahasa kini masih tetap berasas pada analisis yang dibuat oleh Za`ba. Yang membedakannya hanya soal istilah dan kerangka pendekatannya sahaja. Sebagai contoh, sementara Za`ba menggunakan pendekatan tradisional, Tatabahasa Dewan, khususnya dalam aspek sintaksis, disusun berasaskan pendekatan transformasi–generatif.

Jenis-jenis ayat yang terbahagi kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan pun telah dianalisis oleh Za`ba. Demikian juga ragam ayat yang dikenal sebagai ayat aktif dan ayat pasif telah digarap oleh Za`ba dengan istilah ayat bangun membuat dan ayat bangun kena buat. Kajian yang saya lakukan menunjukkan bahawa rumus-rumus ayat pasif bahasa Melayu rasmi yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana linguistik moden tidak ada perbedaannya sama sekali dengan yang telah dikemukakan oleh Za`ba lebih setengah abad yang silam.

Selain berjasa besar dalam meletakkan asas sistem bahasa Melayu dalam bidang ejaan dan tatabahasa, Za`ba berjasa besar juga dalam mengetengahkan ilmu retorik. Karyanya Ilmu Mengarang Melayu yang mula terbit pada tahun 1934 telah dicetak ulang sebanyak enam kali dalam edisi Jawi hingga tahun 1956 dan terbit pula dalam edisi Rumi (dengan pindaan dan pembaikan) pada tahun 1962. Buku tersebut memberikan pedoman yang cukup praktis dalam kerja karang-mengarang, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi.

Prof. Dr. Hashim Awang dalam kertas kerjanya “Retorika Melayu dari Tanggapan Za`ba” untuk Kongres Bahasa Melayu Sedunia (21 – 25 Ogos 1995) mengangkat Za`ba sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Kata beliau, buku Ilmu Mengarang Melayu Za’ba mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Za`ba itu.

Pembicaraan tentang pemikiran dan kesarjanaan Za`ba tidak mungkin terungkapkan dalam makalah sesederhana ini. Kajian yang mendalam lagi analitis dan kritis diperlukan untuk menghargai jasa dan sumbangan Za`ba dalam bidang bahasa dan persuratan. Usahlah kita sekadar mengagumi Ferdinand de Saussure, Leonard Bloomfield, Noam A. Chomsky, M. A. K. Halliday, John Lyons, dan yang lain dari dunia barat sehingga lupa akan kehebatan Za`ba dalam meletakkan asas perkembangan ilmu bahasa atau linguistik di Malaysia dan di Alam Melayu. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za`ba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu. Demikian juga, usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za`ba yang bersifat muzium tokoh seakan-akan muzium Hemingway di England itu akan dapat mengabadikan sumbangan Za`ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini.


Rujukan

Asmah Haji Omar, 1976. "Za`ba dalam Linguistik : Satu Tinjauan mengenai Aspek-aspek Bahasa yang Diutarakannya" dlm. Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu ( Esei-esei Penghormatan kepada Pendeta Za`ba ). Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Awang Sariyan, 1977. "Tatabahasa Za`ba dan Tatabahasa Asmah Haji Omar: Satu Perbandingan dan Penilaian dari Segi Analisa Ayat Melayu". Latihan Ilmiah, Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Bangi Universiti Kebangsaan Malaysia.

Awang Sariyan, 1996. "Penyusunan Tatabahasa Melayu : Dari Pelita Bahasa Melayu ke
Tatabahasa Dewan” dlm. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harimurti Kridalaksana, 1986. Kelas Kata dalam Bahasa Indonesia. Jakarta : Penerbit PT Gramedia.

Hashim Awang, 1995. "Retorika Melayu dari Tanggapan Za`ba". Kertas Kerja Kongres Bahasa Melayu Sedunia (21-25 Ogos 1995), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1976. "Pendeta Za’ba : Suatu Penghormatan" dlm. Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan (Esei-esei Penghormatan kepada Pendeta Za’ba). Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sunday, October 17, 2010

Kisah Bahasa Melayu di Jepun

Mazlan Nordin
(Mingguan Malaysia, 9 Mei 2010)

SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih daripada 200 judul.

Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardenssemasa Perang Pasifik.

Esei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore, 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.

Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka termasuklah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.

Sebilangan mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.
Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."
Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajarkan bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.

Moriyama menambah: "Oleh sebab tiada guru Jepun yang dapat mengajarkan bahasa Melayu di sekolah, maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima orang guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."

Lantas disebut nama seorang daripada mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurniai bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.
Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris termasuklah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Empat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Buku itu kemudian diulang cetak sehingga 30 kali.

Yang turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.
Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.

Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.

Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 ialah cerita-cerita daripada Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

Pada satu peringkat lain, diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."

Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita, beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.

Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat-menyurat kedua-duanya menggunakan tulisan Jawi.

Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian baginda kepada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.
Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajarkan di sekolah-sekolah yang dahulu mengajarkan bahasa Inggeris.

Friday, October 15, 2010

Banyak Pemimpin yang Tidak Bangga Berbahasa Melayu?




Ulasan berita akhbar "Ramai Pemimpin Tidak Bangga Berbahasa Melayu" (petikan daripada gambar Prof. Emeritus Abdullah Hassan)

oleh Kembara Bahasa
(Daripada Arkib Nota Kembara Bahasa dalam Laman Facebook)

[Akhbar Berita Harian 13 Oktober 2010 menyiarkan berita yang berjudul "Ramai Pemimpin Tidak Bangga Berbahasa Melayu", yang memetik ucapan Dato' A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat negeri Terengganu. Ketika mula-mula membaca keratan akhbar yang disiarkan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan di laman Fb, saya serta-merta teringat akan siaran televisyen di Beijing yang kebetulan baru sahaja saya tonton, dan ada kaitan langsung dengan sikap pemimpin terhadap bahasa negaranya.]

Stesen televisyen CCTV (News) Beijing pada 12 Oktober 2010 menyiarkan rancangan dialog "Cultural Diversity and Peaceful Integration in Asia". Salah seorang tokoh yang diwawancara ialah mantan Presiden Indonesia, Megawati Sukarno. Walaupun semua pertanyaan dikemukakan dalam bahasa Inggeris, penerangan dan gagasan Megawati tentang pengalaman Indonesia mengintegrasikan kepelbagaian budaya kesemuanya dalam bahasa Melayu (Indonesia).

Daripada bahasa badan (reaksi wajah) beliau terhadap semua soalan dan daripada kepantasan beliau memberikan respons, jelas bahawa beliau memahami soalan dalam bahasa Inggeris (dan saya pernah mendengar ucapannya dalam bahasa Inggeris juga dalam majlis lain).

Iktibarnya - Megawati sebagai negarawan negara Indonesia berusaha memberitahu dunia bahawa bahasa negaranya dapat menjadi wahana pengungkap fikiran-fikiran moden tentang politik, soiologi dan hubungan antarabangsa dan beliau mempunyai rasa bangga yang cukup tinggi kepada bahasa negaranya. Bagi sesetengah orang hal itu remeh, tetapi itulah salah satu caranya untuk memartabatkan bahasa negara, lebih-lebih dalam forum antarabangsa! Tiada rasa rendah diri atau khuatir dikatakan tidak cekap berbahasa Inggeris (sedangkan beliau memang mahir berbahasa Inggeris).

Yang mengaibkan, di negara kita sendiri ada kalangan yang lebih selesa dan gah berucap dalam bahasa Inggeris walaupun tidak kena dengan tempat dan ketikanya (untuk urusan dan majlis peringkat kebangsaan!).

Kita masih dapat memahami bahawa ada keperluannya untuk mereka berucap dalam bahasa yang dianggap difahami oleh khalayak umum sedunia (walaupun pada hakikatnya bukan semua khalayak di dunia hanya memahami 'satu-satunya bahasa' yang dianggap unggul, iaitu bahasa Inggeris; bahasa Perancis, Jerman, Mandarin, Jepun, Swiss dan lain-lain merupakan antara bahasa utama dunia juga).

Namun, jika dalam acara dan majlis peringkat kebangsaan pun masih lagi sebilangannya mengutamakan bahasa asing, hal ini amat sukar difahami dan diterima, walhal Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan takrif "bahasa rasmi" sebagai bahasa yang mesti digunakan untuk semua maksud rasmi pada tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Masih jauh, rasa saya, untuk kita menyaksikan pemimpin kita berucap dalam bahasa negara dalam majlis atau acara yang bertaraf antarabangsa!

Wednesday, October 13, 2010

Ulasan balas (Puan Mahaya dan Sdr. Mypandan)

Ulasan tentang Makalah "Bahasa sebagai Tonggak Pembangunan Negara"

Oleh sebab terdapat masalah teknikal, ulasan balas saya kepada ulasan Puan Mahaya dan Sdr. Mypandan tidak dapat disiarkan dalam ruang Komen meskipun telah beberapa kali saya cuba. Oleh itu, saya paparkan ulasan balas saya di sini.


1. Mahaya

Profesor yang dihormati,

Kalaulah setiap majalah, setiap akhbar, setiap stesen radio dan televisyen, sudut-sudut khas di setiap pejabat serta ruang-ruang tertentu di tempat-tempat awam ada hal-hal tentang Bahasa Kebangsaan kita,pasti kita rasa terpanggil dan terpukau untuk mengamati dan menghayatinya;
kalaulah kita semua ada perasaan cinta dan kagum akan Bahasa Kebangsaan kita...barulah benar-benar "Bahasa Jiwa Bangsa".
Oktober 7, 2010 8:06 PM

2. MYPANDAN

Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober saban tahun.Sesuaikah? Pengisian program untuk memantapkan dan menyerapkan amalan bahasa di Malaysia masih banyak yang perlu tingkatkan. Rakyat biasa lebih memberi sambutan tetapi bukan pihak pemimpin atasan. Apakah pandangan prof?
Oktober 11, 2010 6:49 AM


Puan Hajah Mahaya,

Demikianlah malangnya nasib bahasa Melayu di negara kita, yang sepatutnya melanjutkan peranannya sebagai sendi tamadun bangsa dan negara sejak berabad-abad silam. Ruang untuk bahasa dan persuratan Melayu masih jauh daripada yang sewajarnya; malangnya yang sudah diusahakan dan sudah menunjukkan dampak dihentikan pula. Dahulu saya usahakan Klik DBP di Berita Harian, siaran DBP di Radio Malaysia 2 jam sehari sepanjang 5 hari seminggu, siri dokumentari Jejak Bahasa (DBP-TV3) dan Semarak Bahasa (DBP-RTM) dsb; kini semua dihentikan oleh pemuka-pemuka yang mengambil alih kepemimpinan badan pemegang amanah rakyat itu atas alasan berhemat!

Aduhai, sungguh rendah nilai bahasa dan persuratan Melayu apabila diukur dengan ringgit dan sen yang tidak sebanding dengan biaya segala kenduri dan pesta di sana sini yang menggunakan wang rakyat, dan belum pasti bermanfaat.

Sdr. Mypandan,

Usaha mengadakan Bulan Bahasa Kebangsaan sebagai sambutan tahunan untuk menimbulkan kesedaran kepada rakyat (dan juga pemimpin sendiri) tentang peranan bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara tidak ada salahnya, malah dialu-alukan. Namun, yang lebih penting ialah pengisian erti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa tamadun negara.

Usahlah sesudah BBK berakhir, keadaan kembali seperti sedia kala – bahasa Melayu masih tetap diabaikan dalam segala urusan rasmi (seperti yang ditetapkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan). Ucapan dalam majlis dan upacara peringkat kebangsaan masih tetap dalam bahasa asing. Bahasa asing mesti menjadi bahasa penghantar sehingga 70% di IPT. Nama tempat, arah, bangunan dll. masih bercitrakan bahasa dan budaya asing.

“Kepemimpinan melalui teladan” – jika utuh semangat dan iltizam dalam kalangan pemimpin, insya-Allah rakyat lebih cepat mempunyai kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.