Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, February 28, 2013

Tazkirah kepada diri: Tunaikan ikrar

Di medan ini kita berada dan berikrar
tanpa paksaan
dan tanpa kepura-puraan.
Maka teguhkan tekad
dan tingkatkan gerakan
tanpa niat berundur
hingga saatnya kita terkubur.

Kembara Bahasa
1 Mac 2013

Tazkirah kepada diri: Semua tetap berguna

Daun pada pohon dan daun yang gugur di tanah masing-masing menjadi penyubur. Demikianlah, baik berjawatan mahupun bersara, tetap ada peranan yang dapat dimainkan.

Kembara Bahasa
28 Februari 2013

Wednesday, February 27, 2013

Berlakukah evolusi bahasa?

Orang yang percaya bahawa bahasa bermula dengan bentuknya yang tidak sempurna dan secara evolusi dimurnikan menurut zaman dengan sendirinya menafikan bahawa para nabi dan rasul yang diutus Allah untuk menyampaikan petunjuk belum memiliki bahasa yang sempurna, walhal Allah telah mengajar Nabi Adam nama segala kejadian (al-Baqarah, ayat 31).

Para rasul yang diberi amanah menyampaikan risalah Allah telah sedia mempunyai bahasa yang sempurna pada zamannya. Perkembangan sesuatu bahasa menurut zaman ialah sunatullah agar bahasa dapat memenuhi perannanya sebagai alat pemikiran dan komunikasi. Perkembangan ini tidak sama dengan konsep evolusi bahasa yang kononnya bermula dengan bentuk yang kasar atau mentah dan dihaluskan serta dimurnikan dari zaman ke zaman sehingga terbentuk bahasa yang sempurna.

Kembara Bahasa
27 Februari 2013

Tuesday, February 26, 2013

Tazkirah kepada diri: Tertib dalam persaingan

Malam dan siang tidak pernah saling berusaha mengatasi atau mendahului kerana masing-masing tertib dan memahami kedudukan dan peranannya.

Kembara Bahasa
26 Februari 2913

Tazkirah kepada diri: kata-kata beracun

Tusukan si Taming Sari tiadalah tara bisanya dengan tusukan kata-kata beracun. Sarungkanlah keris beracun itu.

Kembara Bahasa
26 Februari 2013

Sunday, February 24, 2013

Tazkirah kepada diri: Rahmat menunggu

Kata sesetengah orang, menunggu ialah suatu penyiksaan. Namun hakikatnya itulah peluang meningkatkan kesabaran.

Kembara Bahasa
25 Februari 2013

Tazkirah kepada diri: Bersikap tawaduk

Apabila Sayyidina Abu Bakar menyebut bahawa beliau bukanlah yang terbaik meskipun dipilih sebgagai khalifah sesudah wafatnya Nabi saw, tidak ada pula sahabat atau sesiapa yang mendabik dada mengatakan dirinya melebihi Abu Bakar.

Keadaan kini sebaliknya, terlalu banyak yang menganggap dirinya yang terbaik dan melebihi orang lain.

Kembara Bahasa
25 Februari 2013

Saturday, February 23, 2013

Puisi "Catatan Malam"

Malam yang gelap
tidak pernah memisahkan
hakikat kebersamaan kita
pada mencapai hajat nan murni
atas keyakinan dan keikhlasan
untuk menghirup sarbat lazat kecintaan
dalam piala iman
bertatahkan permata ihsan

Meskipun jauh terpisah
oleh ruang nyata
namun kita bersama dalam ruang hakikat
tanpa batas
tanpa sempadan
tanpa hijab
bersama-sama bermunajat
mendambakan rahmat dan berkat.

Kembara Bahasa
24 Februari 2013, 2.20 pagi

Mentong

Semakin jauh daripada tradisi Jawa leluhurku, banyak kosa kata Jawa yang mewarnai bahasa Melayuku sekeluarga di kampung kian hilang daripada penggunaan bahasa sehari-hari.

Hari ini, mungkin disebabkan perlu 'berpuasa' dari tengah malam hingga waktu pemeriksaan kesihatan menyeluruh dilakukan pada pagi tadi, maka entah bagaimana timbul desakan untuk "mentong" sesudah Asar tadi, kebiasaan yang telah kutinggalkan puluhan tahun.

Maka satu patah kata Jawa muncul semula dalam kamus kehidupanku pasa hari ini. Namun tabiaat "mentong" tidak baik diamalkan untuk kesihatan.

Kembara Bahasa
23 Februari 2013

Thursday, February 21, 2013

Puisi "Nilai Kesepian"

Bukanlah kesepian itu
suatu penyiksaan
melainkan suatu anugerah
Di dalamnya dikau memperoleh kesempatan
menghitung segala kebijakan dan kedunguan
yang telah dikau lakukan
Di dalamnya dikau dapat merenung dan menyingkap
segala rahsia di balik setiap kejadian
dengan mata hatimu
Di dalamnya dikau dapat menafsir dan menaakul
segala sesuatu
Di dalamnya dikau dapat menemukan dirimu.

Kembara Bahasa
22 Februari 2013/11 Rabiul Akhir 1434

Saturday, February 16, 2013

Puisi "Menyimpan Kata-kata"

Menyimpan Kata-kata

Seandainya menyimpan kata-kata
memberimu rasa damai
membendung gejolak rasa
yang membadai di jiwa
membentengi kesabaran yang teruji
juga untuk redha Ilahi
maka mengertilah daku
dan tunduk hormatlah daku
akan keputusanmu itu

Kembara Bahasa
17 Februari 2013

Puisi "Kepada angin"

Kepada Angin

Kepada angin kita sering berpesan
agar menyampaikan ingatan tulus
penyambung ukhwah
menyampaikan rasa prihatin
dan tidak jarang ehwal kecil sekadar perkongsian

Wahai angin
kauutuslah pesan yang sama
biarpun berulang kali
agar tidak terputus jalinan jiwa
dalam berkongsi rasa
berkongsi cita
suka mahupun duka
agar pengertian yang selama ini bersemi
mekar terus di jambangan sukma bersama
agar tidak sirna dik landaan badai

Kepada angin
teruslah kits saling menyampaikan pesan

Kembara Bahasa
16 Februari 2013, 11.45 malam

Friday, February 15, 2013

Tazkirah kepada diri: Kala diri kesepian

Bersyukurlah ketika dikelilingi anggota keluarga dan sahabat handai serta kenalan, sehingga kesunyian dan kadang-kadang kemurungan dapat diatasi.

Namun bersedialah menghadapi keadaan keseorangan dan kesepian kerana bukan pada semua ketika orang lain dapat bersama-sama dengan kita. Itulah saatnya waktu perlu diisi dengan perbuatan yang berfaedah tanpa meladen rasa sepi dan sunyi.

Kembara Bahasa
16 Februari 2013

Wednesday, February 13, 2013

Catatan senja

Taman persahabatan penjalin ukhuwwah mewangi dengan keharuman hati-hati yang ikhlas, bertandang, meskipun dengan pelbagai sudut pandang dan saling menerima seadanya.

Kembara Bahasa
13 Februari 2013

Tuesday, February 12, 2013

Puisi "Purnama"


Malam itu
kusaksikan bulan sabit
di langit tinggi
Meskipun dalam gelap
tampak berbalam-balam
awan-gemawan melatarinya

Sungguh indah
sungguh menyajikan rasa tenteram dan damai

Malam ini
kusaksikan bulan sabit itu
telah berubah wajah menjadi bulan penuh
sungguh cemerlang
laksana lantera tergantung di angkasa
memberikan inspirasi kepada sang penyair
melukiskan indahnya alam ciptaan Tuhan
mendamaikan jiwa lara si teruna dan si dara
yang dalam gundah-gulana

Aduhai, bulan purnama!
Mungkinkah bisa kugapai dikau?
Mungkinkah kuusap wajah gemilangmu?
Sinarmu bukan sekadar sampai di mata zahirku
Sinarmu kini sampai di mata hatiku.

Kembara Bahasa
12 Februari 2013

Monday, February 11, 2013

Puisi "Retrospeksi"

Retrospeksi

Pada usia yang bersisa
aku tidak akan banyak berbicara
atau banyak bertanya
kecuali yang meningkatkan dan memperjelas makna
tentang kehidupan yang fana
dan kehidupan yang baqa

Aku akan lebih banyak merenung
memperhatikan
menafsirkan
dan memahami erti keberadaanku
di mayapada
erti penciptaan alam sarwa
dan erti Pencipta
yang mengatasi segala pencipta

Kukira berpadalah
selama ini aku melayan kehidupan dunia
dengan pelbagai tipu dayanya
dengan pelbagai kepalsuannya

Pada usia yang bersisa
aku perlu membuat pilihan
yang benar-benar bermakna

~ Kembara Bahasa ~
12 Februari 2013/1 Rabiul Akhir 1434

Sunday, February 10, 2013

Tazkirah kepada diri: Sarbat zikrullah penghilang dahaga jiwa

Nikmatnya secangkir sarbat cinta yang mengandung larutan zikrullah untuk penghilang dahaga jiwa. Sesungguhnya Dikau dekat sekali dan senantiasa mendengar rintihanku.

Kembara Bahasa
11 Februari 2013/30 Rabiul Awal 1434

Puisi "Pertanyaan 2"

Ziarahmu singkat sekali.
Kauhulurkan jabat tangan
tanda perkenalan
lalu dikau segera pamitan.
Aku termangu-mangu memikirkan
gerangan apakah maksudmu
mampir di teratakku.
Adakah dikau sekadar melepaskan lelah
sesudah perjalanan yang jauh
atau membawa petanda
yang tak mampu kutafsirkan?

Kembara Bahas
11 Februari 2013/30 Rabiul Awal 1434

Puisi "Suatu Pertanyaan"

Kaubuka ladang seribu satu kemusykilan
yang mengundang pertanyaan
lalu aku kelu dalam kelam keliru
dan kini aku diburu waktu
untuk membuat pilihan yang masih kelabu
sepurnama lagi semoga rasa ragu akan berlalu
bak debu yang sirna ditiup angin syahdu.

10 Februari 2013/30 Rabiul Awal 1434

Friday, February 8, 2013

Tazkirah kepada diri: Membina kedamaian


12:17am
Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa

Wahai malam yang damai
kaudakaplah sekalian isi alam!
Kudambakan keheningan
untuk istirahat yang barakah.

Namun jika malam tidak menjanjikan kedamaian
binalah kedamaian
dalam kamar nuranimu.

Kembara Bahasa
9 Februari 2013/28 Rabiul Awal 1434

Thursday, February 7, 2013

Puisi "Puisiku"

"Puisiku"

Demikianlah sekadarnya
puisi yang kutitipkan kepadamu
serba sederhana
pada kata
pada rima
pada nada

Tiada 'kan kautemukan
diksi yang bombastik
diksi yang legap
mahupun diksi yang taksa
dan permainan bahasa nan leluasa
kerana kata-kata tiadalah lain daripada sarung makna
perlu indah namun mesti berjiwa

Hajatku sekadar berkongsi
sesuatu tentang diri
perihal insani
dan kisah manusiawi
serta teka-teki
di balik kehidupan duniawi
untuk kupelajari dan kuhayati
menjadi tuntunan dan pedoman sejati

Sejumlah alat stilistik
kumanfaatkan sekadarnya
bukan untuk peragaan
tetapi untuk penegasan
maksud dan pesan

Maafkan daku
seandainya kepuasan estetik tidak kauperoleh
rasa syahdu hiba tidak kauraih
kerana puisiku berbicara tentang cita
tentang jiwa dan citra
bangsa kita yang kerap luka dan duka

Terimalah puisiku seadanya
dengan gaya paling sederhana
untuk berkongsi cita dan rasa
dalam membentuk kekuatan kita
sebagai bangsa berwibawa
yang dihormati dunia
dan diredhai Allah pemilik semesta.

~ Kembara Bahasa ~
8 Februari 2013/27 Rabiul Awal 1434

Tuesday, February 5, 2013

Tazkirah kepada diri: Fananya segala ciptaan

Menjelma, menghilang
tabii segala ciptaan
fana diuji zaman

Kembara Bahasa
6 Februari 2013/25 Rabiul Awal 1434

Sunday, February 3, 2013

Puisi Teratai Abadi "Membacamu"

M E M B A C A M U

Engkau terjulang di sana
dengan wajah cinta
mengheret sejarah
dalam sorai tegap
para penjarah
puji berkunang

engkau di sini
membidai zikir
akankah sejarah itu
ada petir tertewas
menulis namamu
bertinta lautan.

Membacamu
keriuhan yang damai
dalam sunyi berderai
jatuh dan luka
adalah nikmat paling wajar

engkau ikhlas
kita tahu

Dia Maha Tahu.

=======
:2013TA
@selamanyakamuadalahpemilikkekagumansaya@

Teratai Abadi (3 Februari 2013)

Saturday, February 2, 2013

Orang Suruhan

Mengikut perintah dan mematuhi peraturan memang menjadi etika dalam pekerjaan, baik dalam jabatan mahupun persatuan. Namun ada sesetengah orang yang bertindak silap dengan menukar ketaatan dan kepatuhan berdasarkan prinsip dan peraturan kepada ketaatan dan kepatuhan secara melulu sehingga prinsip terabai.

Orang yang sekadar memenuhi arahan ketua tanpa berdasarkan prinsip tetapi sebaliknya untuk menyenangkan hati atau untuk meraih kepentingan peribadi tidaklah lebih sebagai orang suruhan dan hamba abdi.

Rasa mual dan kecewa akan adanya orang suruhan dalam pelaksanaan amanah dan perkhidmatan hamba curahkan dalam puisi yang berjudul "Orang Suruhan". Puisi ini hamba lahirkan pada tahun 2011 dan terbit dalam kumpulan puisi hamba "Mencari Makna Diri" (2012).

Puisi "Orang Suruhan" petikan daripada kumpulan puisi hamba "Mencari Makna Diri":

Kalau Hanya Orang Suruhan

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
disuruh maka dilakukan

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
diarah maka dieyakan

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
diancam maka dia diam

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
dijanjikan ganjaran maka dia aman

Ada orang suruhan yang memandang pahala dan dosa
ingat akan Allah azzawajalla
maka dia orang suruhan yang berjaya

Ada orang suruhan yang yang memandang habuan dunia
kepada sesama makhluk menggantungkan nasib dan mujurnya
maka dia orang suruhan yang lagha

Setiap orang ada pilihan
menjadi orang suruhan yang berjaya
atau orang suruhan yang lagha
kerana kita pasti akan ke sana
untuk dihitung pahala dan dosa
untuk ke syurga atau ke neraka

~Kembara Bahasa~
6 Jun 2011

Friday, February 1, 2013

Tazkirah kepada diri: Salah satu punca timbulnya dan hilangnya penghormatan

Tazkirah kepada diri:

Timbul penghormatan kepadamu apabila perkataan dan pertimbangan yang dikau zahirkan berdasar pada akal yang sihat, berasaskan fakta yang benar.

Sebaliknya hilang penghormatan kepadamu apabila perkataan dan pertimbangan yang dikau zahirkan berdasar pada perasaan, berasaskan fitnah dan fakta yang salah.

Kembara Bahasa
2 Februari 2013/21 Rabiul Awal 1434

Tazkirah kepada diri: Apa yang akan dibawa untuk mengadap Allah?

Terubat rasa rindu untuk bersama-sama dengan jemaah kariah bersolat Jumaat di Masjid Al-Mardhiyyah Taman Melawati pada hari cuti Wilayah Persekutuan setelah hampir setahun tidak bersama-sama dengan mereka.

Tazkirah sebelum khutbah antara lain menyebut bahawa yang akan dibawa mengadap Allah kelak bukan harta, pangkat, pingat dan unsur lain yang bersifat duniawi, melainkan amalan soleh.

Kembara Bahasa
1 Februari 2013