Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, March 28, 2012

Tulisan Dr. Ridhuan Tee - Sinar Harian 28Mac 2012

Jangan campuri hal ehwal Islam
RIDHUAN TEE ABDULLAH
Minggu lalu saya dijemput Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah kepimpinan baru Prof Awang Sariyan. Tahniah! Inilah julung kali DBP meraikan pandangan cendekiawan dalam pelbagai bidang. Sebelum ini, ada segelintir pemimpin DBP sibuk berpolitik sehingga lupa tanggung jawab sebenar menjaga dan memartabatkan maruah bahasa jiwa bangsa.

Kami diminta memberikan input dari sudut keagamaan, walaupun ini bukanlah bidang kepakaran saya kerana bukan ustaz seperti digelar oleh khalayak. Saya hanya ilmuwan kerdil bidang politik dan kerajaan. Itu pun saya tidak berani menggelar diri pakar, kerana hanya kita sahaja tahu kemampuan sendiri. Tetapi ada segelintir khalayak dengan mudah menggelar dirinya pakar motivasi, sedang ijazah dan kepakarannya langsung tiada.

Saya bangkitkan beberapa perkara kepada DBP mengenai kedudukan Bahasa Melayu dari perspektif agama. Bahasa adalah mekanisme penting dalam merubah kehidupan Melayu. Melayu asalnya menganut fahaman Buddha-Hindu, sebelum mereka memeluk Islam 600 tahun lalu. Penyebaran Islam dibawa melalui tiga penjuru, Arab, Cina dan India.

Sudah tentu dalam soal ini Islam disebarkan melalui bahasa. Bahasa adalah alat dakwah. Bahasanya sudah tentu bahasa Melayu. Mustahil pedagang Arab, Cina dan India datang ke alam Melayu terus bertutur dalam Bahasa Melayu atau bahasa mereka sendiri. Bagaimana mereka belajar? Bagaimana orang Melayu dapat memahami bahasa asing. Bermakna, orang asing atau orang luar kawasan terpaksa atau mesti berbahasa Melayu untuk menyebarkan dakyah atau dakwahnya.

Persoalannya hari ini, kenapa Bahasa Melayu seolah-olah langsung tidak mendapat tempat di kalangan sebahagian mereka yang datang berhijrah dan tinggal di bumi bertuah ini? Kita terpaksa berdakwah atau menyampaikan maklumat dalam bahasa ibunda mereka, bukan menggunakan bahasa rasmi negara. Jika perkara ini berterusan, sampai bilakah mereka boleh memahami Bahasa Melayu? Tidakkah mereka sepatutnya diwajibkan belajar Bahasa Melayu. Akhirnya, dakwah terbantut, sehingga ke hari ini tidak sampai satu peratus bukan Melayu memeluk Islam.

Agak menjelikkan dalam satu seminar baru-baru ini di tempat saya sendiri, hanya kerana terdapat seorang pelajar Korea, secara tiba-tiba kita terus tukar medium kepada bahasa Inggeris. Kenapa perkara ini boleh berlaku dalam negara yang berasaskan kenegaraan Melayu? Hina sangatkah Bahasa Melayu? Siapa yang sepatutnya belajar Bahasa Melayu jika mereka berada dalam sebuah negara Melayu?

Perkara sebegini tidak pernah berlaku kepada negara-negara yang mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka. Cuma kita sahaja yang terlalu menjaga hati orang sehingga hati sendiri terluka dan berdarah, langsung tidak dipedulikan. Akhirnya, kaduk naik junjung. Golongan ini menjadi semakin ultra kiasu. Kepentingan bangsa lebih diutamakan daripada kepentingan negara.

Cuba lihat cara akhbar-akhbar ultra kiasu yang tidak faham agenda nasional, undang-undang dan kedudukan agama Islam. Puncanya adalah kerana masalah bahasa. Apabila bahasa tidak dikuasai mereka tidak akan dapat memahami budaya dan cara hidup sesuatu kaum, terutama kaum majoriti. Baru-baru ini seorang penulis biadab akhbar ultra kiasu mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan bertindak seperti Perdana Menteri dan Kabinet yang berkuasa ke atas kerajaan.

Ini berikutan arahan Ahli Majlis Bandaraya Perlis yang mahu menurunkan iklan atau papan tanda perempuan yang mendedahkan aurat. Penulis biadab ini mempertikaikan, pada ayat mana pula dalam al-Quran yang menyatakan melarang wanita Muslim tidak memakai tudung? Siapa yang menentukan garis panduan menutup aurat? Sedangkan masyarakat Muslim terutama kumpulan pergerakan hak asasi kaum wanita sering mempertahankan hak wanita.

Ternyata ultra kiasu ini amat jahil mengenai kepentingan nasional dan agama Islam walaupun telah tinggal di alam Melayu sekian lama dari generasi kepada generasi.

Perlu saya ingatkan, perkara berkaitan dengan kedudukan Islam dan adat istiadat orang Melayu berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Inilah sistem yang telah kita warisi sejak zaman berzaman apabila negara kita dijajah dan sistem ini kekal sehingga kini. Majlis Fatwa Kebangsaan tidak tertakluk kepada orang bukan Melayu, apatah lagi ultra kiasu.

Ini hal ehwal umat Islam. Jangan campur tangan. Kami, umat Islam tidak pernah campur tangan dalam kehidupan agama orang bukan Islam. Hormatilah, jangan biadab dan kurang ajar.

Negara ini tidak akan kucar-kacir dengan adanya Majlis Fatwa kebangsaan kerana Islam amat menghormati hak bukan Islam. Tetapi negara akan kucar-kacir sekiranya ada ultra kiasu yang tidak menghormati, tidak berasimilasi dan terus mahu mencampuri hal-hal orang Islam, apatah lagi mengambil haknya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



Jangan campuri hal ehwal Islam - Kolumnis - Sinar Harian

Jangan campuri hal ehwal Islam - Kolumnis - Sinar Harian

Monday, March 26, 2012

Inti sari tazkirah ilmu editor kepada Persatuan Editor Malaysia

Inti Sari Tazkirah Ilmu Editor kepada Persatuan Editor Malaysia

Bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan pada 27 Mac 2012 di Auditorium Fakulti Sastera dan Sains Sosial


Peranan Editor dalam Pembinaan Negara
(oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka)

1. Pembinaan negara - apa dan mengapa?

- Pembinaan negara berkaitan dengan proses perancangan membina negara yang baru lepas daripada belenggu penjajahan.

- Pembinaan negara dirancang secara bersepadu dan menyeluruh (holistik): luaran dan dalaman, unsur tampak dan tak tampak (ekonomi, prasarana, pemerintahan, pendidikan, bahasa, kebudayaan, hubungan luar, undang-undang dan kehakiman.

- Asas pembinaan negara: jati diri, citra dan acuan sendiri.

- Dasar-dasar negara yang terbentuk: antaranya dasar perkongsian kuasa, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dasar luar bebas dan berkecuali, penerapan nilai-nilai Islam.

2. Peranan editor dan editorial

- Pengilmuan rakyat semua lapisan; menuntut perancangan penerbitan bercetak dan elektronik bahan ilmu dan maklumat ilmiah, umum dan terperingkat (merentas semua ciri demografi - tahap pendidikan, usia, taraf sosioekonomi, jantina, lokasi, etnik dll.)

- Pengisian dan peneguhan wasilah pengilmuan dan celik maklumat rakyat, iaitu bahasa kebangsaan, atas dasar pendemokrasian pendidikan, pemenuhan fitrah (al-Hujurat ayat 13, al-Rum ayat 21, Ibrahim ayat 4) dan agenda pembinaan tamadun negara berasaskan acuan, jati diri dan citra sendiri. (Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan).

- Pengisian dan peneguhan sahsiah rakyat dalam aspek akliah atau budi, sistem nilai, falsafah dan pandangan sarwa, patriotisme serta amalan budaya luhur melalui penerbitan bahan ilmu dan maklumat yang membentuk etos bangsa dan negara. (Dasar Kebudayaan Kebangsaan).

- Pengayaan dan penyeimbangan khazanah persuratan negara, antara persuratan kreatif dengan persuratan ilmu.

- Pembudayaan dan pemasyarakatan ragam bahasa formal dan ragam bahasa tinggi untuk mengangkat taraf tamadun bangsa dan negara.

3. Beberapa isu yang berkaitan dan memerlukan tindak lanjut/pelan tindakan

- Pemahaman dan penghayatan falsafah pembinaan negara dan dasar-dasar negara.

- Iltizam dan penerapan falsafah pembinaan negara dan dasar-dasar negara dalam perancangan penerbitan (perbukuan, persuratkhabaran, penyiaran)

- Dasar editorial, kebebasan bersuara, etika kewartawanan/penerbitan, pertanggungjawaban.

- Perubahan sistem nilai, pandangan sarwa dan sosiobudaya (seperti liberalisme, hedonisme, budaya popular, korupsi ilmu, materialisme

- Komersialisme lawan idealisme

4. Akhir bicara

- Perlunya diwujudkan garis panduan dasar dan etika dalam penerbitan bercetak dan elektronik yang lebih menyeluruh, bersepadu dan berkesan untuk dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia, Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan, Perbadanan Kota Buku, Kementerian Pendidikan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan badan-badan lain.

- Perlunya ada kewibawaan pada Persatuan Editor Malaysia, persatuan kewartawanan dan persatuan penulis sebagai badan pemantau profesionalisme para editor dan penulis seperti halnya dengan Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Akauntan Malaysia, Majlis Peguam Malaysia dan sebagainya.

~Kembara Bahasa~
27 Mac 2012/4 Jamadilawal 1433

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Editor Malaysia - Newspaper Clipping - University of Malaya Library

Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Editor Malaysia - Newspaper Clipping - University of Malaya Library

Friday, March 23, 2012

Tanggapan dan harapan Dr Shafie Abu Bakar kepada DBP

Blog Dr Shafie Abu Bakar

Menghantar Harapan Pada Awang Sariyan
Dewan Bahasa Dan Pustaka, 21 Rabiul Akhir = 14 Mac 2012 (Rabu):

Perjuangan Bahasa adalah pakej Perjuangan Kemerdekaan Tanahair. Selepas kemerdekaan Isu Bahasa terus menghangatkan perjuangan politik tanahair seperti Isu Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi. Ianya menggugat pemerintah apabila menangguhkan dari merasmikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi selepas tempoh sedekad yang dijanjikan (1967). Isu bahasa terus hangat dengan tuntutan bahawa pelajar yang lulus dari Sekolah menengah kebangsaan tidak mempunyai saluran ke universiti, lantas perjuangan menuntut agar didirikan UKM (1970) bergema di persada tanahair dengan diikuti dengan kelahiran beberapa universiti yang lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Era 1970an, 1980an dan 1990an adalah era kerancakan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi baik di pengajian tinggi, di dalam pentadbiran, urusan komunikasi, perundangan, ekonomi dan berbagai bidang. Antara institusi yang penting yang menjadi induk bagi gerakan dan kegiatan bahasa dan sastera ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan sejak 1956 lagi itu. DBP adalah berperanan menerbitkan buku berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan bagi digunakan pada peringkat pengajian tinggi, sekolah-sekolah dan penggunaan di kalangan awam. Bagi memantapkan bahasa dan sastera kerjasama peringkat regional bersama Negara-negara Asean diadakan di dalam bidang bahasa dan sastera yang membentuk MABBIM. Pada peringkat tempatan hasil kerjasama antara DBP, persatuan-persatuan penulis, pihak swasta dan korporat berlaku kerjasama di dalam melonjakkan bahasa Melayu dan sastera dengan mengadakan minggu dan bulan bahasa, pertandingan menulis di dalam bidang bahasa dan sastera, seminar dan hadiah-hadiah sastera dan bahasa. Kerancakan disempurnakan dengan hadiah sastera, pejuang bahasa dan sasterawan negera. Antara tokoh-tokoh-tokoh yang penting yang menggerakkan kegiatan bahasa dan sastera ialah ketua-ketua pengarah DBP yang boleh disifatkan mereka sebagai Panglima Bahasa mulai dari Tan Sri Syed Nasir Ismail, Dato` Hasan Ahmad dan kepimpinan persatuan dan tokoh-tokoh akademik.

Tiba-tiba selepas 1990-an semua kegiatan di atas menjadi sepi dan layu. Pihak kerajaan sendiri mengabaikan dari memberi perhatian terhadap bahasa dan sastera. Masyarakat dihadapkan dengan PPSMI. UKM yang mencetuskan perjungan bahasa ditanahair dipersoalkan dari segi peranannya memperkasakan bahasa dan sastera, persatuan-persatuan penulis tiada kedengaran, galakan hadiah bahasa dan sastera telah tiada, bahkan peranan DBP dipersoalkan. Majalah-majalah keluaran DBP yang sebelum ini mudah didapati di pasaran, sudah tiada kelihatan. Mengapa sedemikian berlaku kepupusan secara drastik ?

Pelantikan saudara Dr. Awang Sariyan menjadi Ketua Pengarah DBP mulai awal tahun 2012 seorang pakar dan berpengalaman luas dalam bidang bahasa menimbulkan harapan baharu yang dapat memulihkan DBP, kegiatan bahasa dan sastera, menerbitkan buku dan memperkasakan penggunaan bahasa dan sastera, bahkan mengadakan kerjasama bahasa dan sastera pada peringkat regional dan dunia dan menjadikan bahasa Melayu antara bahasa terpenting di dunia. Barangkali mengharapkan Dr. Awang Sariyan secara perseorangan memikul tanggungjawab yang besar adalah tidak adil. Ianya seharusnya didukung oleh berbagai pihak yang mencintai dan berjuang memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi. Usaha beliau menjemput berbagai pakar, tokoh bahasa dan Persuratan Melayu ke Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu ke DBP pada 14 Mac 2012 yang lepas adalah pendekatan yang tepat. Sebahagian besar dari mereka (lebih kurang 50 orang) telah mencurahkan pendapat dan pandangan yang antara lain:

Memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, persuratan dan budaya tinggi
Memperkukuhkan DBP dengan peruntukan Akta dan melaksanakan penguatkuasaan

* Kembalikan balik bahagian bahasa, sastera dan budaya di DBP

Kementerian Pelajaran hendaklah mempunyai Menteri Yang Khas, tidak seperti sekarang di bawah Timbalan Perdana Menteri, menyebabkan pengabaian berlaku tentang pelajaran, Bahasa dan Persuratan – termasuk DBP.
Audit bahasa bukan saja dalam persuratan, tetapi melibatkan berbagai bidang
Hidupkan kembali kerjasama di dalam MABBIM
Merancakkan terbitan buku di dalam berbagai bidang
Perlu dihidupkan bidang kritikan sastera dan merancakkan kegiatan
Menggunakan bahasa Kebangsaan dan rasmi di dalam majlis-majlis rasmi sama ada pada peringkat kebangsaan, regional dan antarabangsa.
Kembalikan kegiatan sastera dan hadiah sastera pada berbagai-bagai peringkat
Kurikulum sastera di Sekolah hendaklah diperkemaskan
Iktiraf dan beri insentif bagi kegiatan bahasa sebagaimana kegiatan sastera.
Wujudkan unit bahasa bagi Majlis Tempatan
Wujudkan Munsyi Dewan dan diberi wathiqah antara 2 – 3 tahun bagi satu perlantikan
Wujudkan dasar sastera Negara
Wujudkan semula Sudut Penulis dan aktifkannya dengan pengisian.
DBP hendaklah membuat program dengan persatuan dan institusi bukan Melayu
Dekati ahli akademik bagi menghasilkan buku-buku di dalam berbagai bidang
Galakkan penerbit swasta menerbitkan berbagai-bagai buku
Adakan kurikulum gerakan bahasa dan program pintar
Galakkan animasi dan sains fiksyen yang mendapat sambutan hingga keluar Negara
Pulihkan penerbitan majalah-majalah DBP.
Beri perhatian sama pada perkembangan sastera siber

Adalah diharapkan dengan cadangan-cadangan di atas membuka ruang kepada DBP bertindak melaksanakan cadangan-cadangan yang disampaikan oleh para jemputan dan kalau boleh mendapat kerjasama mereka dan kerjasama pihak yang berkenaan berhubung dengan cadangan. Pertemuan sedemikian hendaklah diadakan dari masa ke semasa dengan berbagai pendekatan yang sesuai. Semua pihak hendaklah memperkukuhkan azam bagi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan bahasa pada peringkat antarabangsa.

Sekian.

Resolusi Konvensyen Pendidikan Ke-19

INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS BAHASA MELAYU

KONVENSYEN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU KALI KE-19
Tarikh : 20 hingga 22 MAC 2012

RESOLUSI KONPEN 2012

Sebanyak 22 tajuk pembentangan kertas kerja dan tiga pameran poster yang dipaparkan dalam KONPEN 2012.
Dengan berdasarkan tajuk-tajuk kertas kerja itu, pihak penganjur telah dapat membuat resolusi.

A. KURIKULUM

(I) PENUKARAN NAMA MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA KEPADA BAHASA MELAYU
Penggunaan nama mata pelajaran bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Akta 152 Perlembagaan Negara.

(II) TINGKATKAN PERANAN BAHASA MELAYU DAN KESUSASTERAAN MELAYU
Pengajaran bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu hendaklah diwajibkan kepada semua pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi dalam persekolahan dan peringkat pengajian tinggi. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu menjadi jati diri bangsa Melayu dan asas kepada pembentukan bangsa Malaysia. Pengajaran Kesusateraan Melayu mestilah diwajibkan kepada semua pelajar. Kesusasteraan dapat membentuk manusia mempunyai peribadi mulia dengan nilai-nilai murni dan sebagai kesannya mereka akan menjadi manusia yang dapat menjalankan tugas dengan jiwa yang murni, berhemah, bertanggungjawab atas sebab pendidikan yang dihayati melalui keusasteraan Melayu


(iii) PEMANSUHAN PPSMI

Pemansuhan PPSMI hendaklah dilaksanakan dalam kadar yang segera dan tidak berperingkat-peringkat seperti yang dilaksanakan sekarang.

B. PEDAGOGI

(i) PEDAGOGI BAHASA MELAYU PERLU DIINOVATIFKAN

Pedagogi bahasa Melayu hendaklah dijalankan dengan cara yang inovatif, menarik dan berkesan serta menghiburkan melalui pengaplikasian pelbagai strategi, kaedah dan teknik pengajaran. Hal ini ada ditemukan dan dicadangkan dalam kertas kerja tertentu dalam konvensyen ini.

(ii) PENGAPLIKASIAN ILMU TATABAHASA BAHASA MELAYU SECARA MELUAS UNTUK SEMUA GURU

Pengaplikasian ilmu tatabahasa bahasa Melayu mesti dilaksanakan secara terancang dan menarik di samping sumber ilmunya dipastikan dapat difahami oleh murid atau pengguna bahasa dengan jelasnya. Sebarang isu tatabahasa yang memeningkan semua pihak mesti diatasi dan sumber rujukan kukuh serta tepat amat diperlukan. Hal tersebut akan membantu tenaga pengajar dan pengguna bahasa Melayu ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul.

(iii) PENGGUNAAN BAHASA MELAYU YANG BERMARTABAT OLEH SEMUA GURU

Penggunaan bahasa Melayu yang bermartabat dalam semua pengajaran mata pelajaran perlu diamalkan oleh semua pendidik pada setiap masa.

(iv) PELAKSANAAN KURSUS BAHASA MELAYU DAN KOMUNIKASI

Kursus tatabahasa dan komunikasi bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara terancang dan sepenuhnya kepada semua guru khususnya guru matematik dan sains pada semua peringkat

C. KANDUNGAN

(i) PEMERKASAAN EJAAN JAWI

Penggunaan ejaan jawi perlu diketengahkan semula kerana tulisan ini adalah khazanah bangsa Melayu. Kita mesti sedar bahawa ejaan dan tulisan jawi itu sebenarnya jati diri bangsa Melayu dan kita sudah pasti menangisi keistimewaannya itu sekiranya dibiarkan hilang di buminya sendiri.

(ii) PELESTARIAN TATABAHASA BAHASA MELAYU

Kandungan tatabahasa bahasa Melayu dalam kurikulum pendidikan bahasa Melayu mesti diperinci semula. Hal ini demikian kerana sukatan tatabahasa yang ada pada masa kini masih terlalu umum.

(iii) PENGGARAPAN BAHASA MELAYU DAN DIDIK HIBUR

Pengaplikasian bahasa Melayu dalam didik hibur mestilah mengikut ilmu bahasa Melayu yang tepat. Hal ini penting agar pengguna bahasa Melayu dibiasakan dengan cara berbahasa yang betul.

Dikemukakan oleh: Disahkan oleh :
(Dr SUPIAN BIN MOHAMAD NOOR) (Dr HAJI ALI BIN MAHMOOD)
Penyelaras KONPEN 2012 Timbalan Pengarah IPGKBM

Thursday, March 22, 2012

Ucapan Ketua Pengarah DBP: Majlis Anugerah Sastera Negara Ke-11


TEKS UCAPAN ALU-ALUAN
YBHG. DR. HAJI AWANG BIN SARIYAN, KETUA PENGARAH DBP
MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA PENYELENGGARA ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-11

MAJLIS PENGURNIAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-11

20 MAC 2012, 9.30 MALAM
HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah; dan
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Ampun Tuanku,

1. Patik selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggara Majlis Anugerah Sastera Negara Kesebelas merafak sembah serta menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Duli-duli Tuanku mencemar Duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara yang kesebelas ini.

2. Sesungguhnya keberangkatan Duli-duli Tuanku ke majlis ini menambahkan lagi seri majlis dan merupakan lambang naungan Tuanku terhadap bahasa dan persuratan di negara ini. Keberangkatan Tuanku berdua juga memberikan suntikan semangat kepada patik sekalian, khususnya para sasterawan, budayawan dan cendekiawan untuk terus memartabatkan bahasa dan persuratan.

3. Pada malam ini, seorang lagi sasterawan akan menerima Anugerah Sastera Negara dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kesebelas. Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada sasterawan di negara ini. Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tuanku mengurniakan anugerah ini sebentar lagi.

4. Ampun Tuanku. Patik memohon perkenan Tuanku untuk menyampaikan ucapan kepada sidang hadirin dalam majlis ini.

Ampun Tuanku.

Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-11 dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd. Sidek Hasan, Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh bin Yaapar
Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Datin

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri

Tuan Yang Terutama Duta-Duta dan Pesuruhjaya Tinggi di Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah
Sasterawan Negara Ke-11 yang diraikan

Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,

Para Sasterawan Negara

Panel penilai Anugerah Sastera Negara, dif-dif kehormat dan hadirin yang dihormati.

5. Terlebih dahulu, bagi pihak Jawatankuasa Penyelenggara Majlis Anugerah Sastera Negara kesebelas saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman kerana dapat hadir bersama-sama kita pada malam ini. Kehadiran YAB Tan Sri, Yang Amat Berbahagia Puan Sri, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk dan sidang hadirin amat kami hargai dan alu-alukan.

6. Semenjak Anugerah Sastera Negara diperkenalkan oleh kerajaan selama lebih tiga dekad yang lalu, seramai sepuluh orang sasterawan telah menerima anugerah, iaitu Kamaluddin Mohamad atau Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang atau Tongkat Warrant (1983), A. Samad Said (1985), Muhammad Abdul Biang atau Arenawati (1987), Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), Syed Othman Syed Omar (2003) dan Anwar Ridhwan (2009).

7. Pada tahun ini, penerima Anugerah Sastera Negara yang kesebelas ialah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah, atau nama pena beliau Kemala atau Akmal Jiwa. Penganugerahan ini telahpun diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 2 Mei tahun lalu.

8. Pengurniaan Anugerah Sastera Negara merupakan iltizam kerajaan yang berterusan untuk memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian sasterawan dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan. Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar sasterawan, kerajaan memberikan ganjaran sebanyak RM60 ribu, dan menerbitkan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya bernilai maksimum RM500 ribu. Karya tersebut akan dibeli dan disebarkan secara meluas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

9. Pemilihan Sasterawan Negara antaranya berdasarkan penilaian mengenai mutu karya sastera, sumbangan kreatif dan fikiran yang berkaitan dengan dunia sastera, dan kegiatan sasterawan secara berterusan yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Konsep atau taraf sastera kebangsaan di Malaysia tidak ditakrifkan atau dijelaskan melalui proses undang-undang, sebagaimana taraf bahasa kebangsaan. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 telah menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Perkara ini dapat ditafsirkan bahawa sastera kebangsaan ialah karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu. Semua penduduk Malaysia sewajarnya dapat membaca, memahami dan menghayati karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu.

11. Tafsiran ini bererti bahawa sastera kebangsaan adalah untuk semua rakyat Malaysia, dan bukannya untuk orang Melayu sahaja. Yang penting ialah mesej, persoalan kemanusiaan, konteks persekitaran, alam sosial dan alam budaya setempat yang melatari karya itu. Mesejnya mestilah dapat menembusi sempadan bangsa dan etnik dan berfungsi sebagai pencetus “nilai-nilai bersama” rakyat Malaysia seluruhnya. Saya menyeru rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum supaya menghasilkan karya dalam bahasa kebangsaan.

12. Sastera juga bukan sahaja untuk orang bahasa atau orang sastera. Sebaliknya sastera adalah untuk semua kerana sastera wujud dalam kehidupan manusia secara orang perseorangan dan juga kelompok masyarakat.. Saya berharap penulis dari disiplin ilmu yang lain seperti perubatan, sains, undang-undang dan pengajian Islam turut serta dalam menyuburkan dunia sastera.

13. Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang senantiasa prihatin akan perkembangan bahasa dan persuratan di negara kita. Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita terus terpelihara. Kerajaan telah menggubal dasar dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan penghasilan karya di negara kita.

14. Langkah kerajaan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dapat dianggap sebagai serampang dua mata untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sekali gus melahirkan pelajar yang menguasai pelbagai bahasa.

15. Pada tahun ini, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri , telah mengumumkan dana khas untuk membantu penulis dan karyawan. Pertama, dana berjumlah RM2 juta untuk mengiktiraf penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu. Penulis yang memenangi kategori ini akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. Kedua, YAB Timbalan Perdana Menteri juga telah meminta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan dana bagi membantu persatuan-persatuan penulis mengadakan kegiatan masing-masing. Sebagai permulaan, pada tahun ini DBP memperuntukkan RM300,000.00 untuk tujuan ini. Langkah ini menunjukkan bahawa YAB Timbalan Perdana Menteri memberi perhatian yang sangat serius terhadap usaha memartabatkan bahasa dan persuratan kita.

16. Akhir sekali saya bagi jawatankuasa penyelenggara majlis ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah, penerima Anugerah Sastera Negara Kesebelas. Kita berharap beliau dan para sasterawan yang lain akan senantiasa menghasilkan karya sastera yang bermutu, juga mampu menjadi warga sastera dunia bukan sahaja dengan mendapat pengiktirafan serantau, malah pada peringkat antarabangsa. Terima kasih saya ucapkan kepada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan YABhg. Puan Sri Norainee Abdul Rahman, dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan yang turut memeriahkan majlis penganugerahan Sasterawan Negara pada malam ini.

Ampun Tuanku,

17. Demikianlah ucapan patik kepada sidang hadirin sekalian. Patik sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat hadir menyempurnakan majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ini. Patik sekalian berdoa semoga Duli-duli Tuanku sentiasa dalam peliharaan Allah dan dengan berkat daulat Tuanku negara kita dan rakyat jelata seluruhnya sentiasa berada dalam limpahan rahmat keamanan, kedamaian dan perpaduan.

Ampun Tuanku.
Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Friday, March 16, 2012

Upaya Membudayakan dan Memasyarakatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaaan Belum Tercapai Sepenuhnya

mStar Online Sabtu Mac 17, 2012
Upaya Membudayakan atau Memasyarakatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Belum Sepenuhnya Tercapai - DBP

Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)
Dr Awang Sariyan mempengerusikan Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu

KUALA LUMPUR: Ibu segala masalah yang dihadapi oleh negara ini dalam pelaksanaan dasar bahasa yang berkait rapat dengan proses pembinaan negara itu sendiri ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP) Profesor Dr Awang Sariyan ketika berkata demikian turut menegaskan, ketidakfahaman tentang peranan bahasa sebagai asas pembangunan negara adalah disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan.

Ini kerana katanya, falsafah pembangunan umumnya lebih dikaitkan oleh sejumlah orang dengan pembangunan fizikal sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan.

"Malang sekali, sejumlah yang bersikap demikian ialah orang Melayu yang menjadi warganegara teras, baik daripada segi jumlah mahupun sejarahnya sebagai bangsa asal penduduk negara ini.

"Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu perihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.

"Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya (sendiri)," kata Dr Awang dalam kertas kerja bertajuk "Kemajuan Bahasa dan Persuratan Melayu Di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa: Cabaran dan Pelan Tindakan".

Kertas kerjanya itu dibentangkan dalam Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu DBP dengan kelompok-kelompok pemegang kepentingan yang berlangsung di Menara DBP di sini pada Rabu dan Khamis.

Enam kelompok kumpulan berkepentingan yang diundang dalam muzakarah itu ialah (i) persatuan bahasa, sastera dan penulis; (ii) media; (iii) sains dan teknologi; (iv) persatuan profesional; (v) persatuan bukan kerajaan, belia, seniman dan karyawan dan (vi) keagamaan.

Matlamat muzakarah ini adalah untuk mendapatkan saranan, pandangan dan masukan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan yang mempunyai peranan utama dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu.

Kata Dr Awang lagi, dalam soal pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan, negara seringkali menjadi tikus yang membaiki labu.

“Kita sering membuat diagnosis yang silap dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh dalam soal yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah serta universiti diagnosis yang dilakukan ternyata silap sehingga penyelesaian terhadap masalah ini menjadi silap juga.

“Kiasan yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, naib canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia amat tepat dalam menggambarkan diagnosis yang silap itu iaitu ‘lain yang luka lain yang dibebat’,” tegas Dr Awang.

Dengan perkataan lain, kata Dr Awang, sesudah setengah abad merdeka, dapat dikatakan bahawa upaya membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah (bidang) lain yang menunjang kehidupan bertamadun belum sepenuh-penuhnya berhasil.

Kata Dr Awang lagi, adalah perlu diakui bahawa ada penjawat awam, sarjana dan kalangan dalam sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara tetapi pada masa yang sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan nasib bahasa Melayu di bumi sendiri.

Pembinaan “sikap bahasa” katanya, ternyata perlu menjadi salah satu keutamaan dalam strategi perancangan bahasa kebangsaan untuk setengah abad mendatang dan seterusnya.

Anggota masyarakat, tegas beliau, perlu disedarkan bahawa kecukupan “pakaian dan makanan” bukan satu-satunya matlamat kehidupan kerana ada agenda yang lebih besar daripada sekadar “hidup untuk makan”.

“Sekali lagi kita perlu belajar daripada sikap perihatin rakyat bukan Melayu yang meskipun mencapai ekonomi yang baik namun tetap memiliki rasa kepedulian yang tinggi kepada nasib bahasa dan budaya mereka,” ujar Dr Awang.


Sunday, March 11, 2012

Syair Bahasaku oleh Abdul Talib Hamid

Salam,
Terimalah..


BAHASAKU

Sedih hati tidak terperi
Bahasaku terus dibincang saban hari
Dibuang oleh bangsa sendiri
Dipandang hina dianggap duri

Dendam mereka terus membara
Bahasa Melayu dihapus segera
Bahasa asing diangkat gembira
Pemangkin ekonomi itulah diwara-wara

Orang luar minat memerhati
Bahasa Melayu dikaji teliti
Indahnya bahasa memikat hati
Mudah dipelajari bahasa jati

Pertandingan pidato mereka serta
Wahana bahasa Melayu mereka berkata
Fasih sungguh terkesima kita
Kesungguhan mereka jelas di mata

Tetapi pelik kita di sini
Bahasa rancu diguna kini
Alasan mudah asal difahami
Kesilapan bahasa tidak didalami

Terus berusaha pejuang bahasa
Bahasa Melayu ke arah mahawangsa
Dituturkan manusia peringkat antarabangsa
Baharulah puas menabur jasa

Selagi hayat berselimut badan
Semangat dan kemampuan harus sepadan
Perjuangan memartabatkan bahasa bukanlah edan
Tetapi kerja mulia tanpa sempadan

Jikalau kita yang berkesedaran
Biarkan bahasa sendiri bertaburan
Dihinjak disepak sifat yang baran
Gembira petualang itulah disaran

Peneraju negara ada peranan
Jadikan bahasa rakyat berkenan
Kaedah pelbagai jadikan saranan
Rakyat setia meneruskan perjalanan

Mujahid bahasa letih tiada
Semangat jihad kejap di dada
Bahasa dimartabat itulah agenda
Selagi dihina perjuangan berganda

Suara kita harus sekata
Bersatu dipimpin para pendeta
DBP mengaum semua celik mata
Pimpinan mantap kata dikota

Marilah kita gemblengkan tenaga
Memantapkan bahasa seisi keluarga
Ke dalam masyarakat diuar-uar juga
Agar mereka turut bersiaga

Jikalau bangsa ingin disanjung
Bahasa sendiri harus dijunjung
Bahasa asing simpan di anjung
Agar bangsa kekal hingga penghujung

Insan kerdil sekadar berbicara
Bahasa sendiri diangkat dikira
Agar didengari pimpinan berpengaruh suara
Pertahan bahasa dihindari dera

Bahasa bersantun dibibir pemimpin
Rakyat di bawah rasa terpimpin
Seni bahasa selembut zapin
Bukan sekadar dijadikan lampin

Andainya hilang bahasaku ini
Punah bangsa diisi guni
Ke samudera dihunjam dengan berani
Tinggal gemulah bahasa berseni

Benteng ampuh kitalah galang
Jiwa kebal sukar dihalang
Petualang datang akan dipalang
Bahasa keramat kan tetap gemilang

Hasil fikir,
Abdul Talib Hamid
Telok Panglima Garang
11 Mac 2012
Ahad, 10.59 malam

Saturday, March 10, 2012

Perlunya sumber ilmu daripada pelbagai bahasa


Perbincangan hamba dengan Atase Kebudayaan Kedutaan Perancis pada petang Jumaat lalu, 9 Mac 2012, membuka langkah awal untuk memperluas sumber rujukan ilmu dalam pelbagai bidang di negara ini dalam pelbagai bahasa lain, seperti Perancis, Jerman, Arab, Cina, Jepun, Korea, Rusia dan yang lain.

Selama puluhan tahun kosa ilmu di negara kita lebih banyak bergantung pada sumber ilmu dalam bahasa Inggeris sehingga sebahagian besar kita menjadi seakan-akan kuda yang dikekang dan hanya melihat bahasa Inggeris sebagai sumber ilmu walhal sumber ilmu dalam bahasa-bahasa lain demikian kayanya.

Atase Kebudayaan Perancis itu telah hamba minta menyiapkan senarai karya-karya penting yang meliputi pelbagai displin ilmu supaya usaha penerjemahannya ke dalam bahasa Melayu dapat mula digerakkan. Dengan demikian, katalog perpustakaan di negara kita dan juga bibliografi tesis, buku dan jurnal diharapkan menjadi lebih pelbagai sumber dan tidak semata-mata sumber ilmu dalam bahasa Inggeris. Jika hal yang sama dapat dibuat untuk sumber ilmu daripada bahasa Jerman, Rusia, Jepun, Cina, Korea dan yang lain, mudah-mudahan pada satu waktu kelak sumber ilmu di negara kita menjadi lebih kaya dan luas.

Pengajaran bahasa asing pun tidak tertumpu semata-mata kepada bahasa Inggeris yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai bahasa agung dan satu-satunya bahasa sumber ilmu. Asas pengajaran beberapa asing seperti bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Mandarin yang telah dimulakan di sejumlah sekolah menengah di negara ini perlu ditingkatkan dan diperluas di lebih banyak sekolah. Demikian juga, timbul keperluan pengajaran bahasa-bahasa asing itu di peringkat pengajian tinggi sebagai persiapan untuk membentuk tenaga penerjemah ilmu daripada pelbagai bahasa itu ke dalam bahasa Melayu.

~Kembara Bahasa~
11 Mac 2012/18 Rabiulakhir 1433

Instrumen UPM untuk Peningkatan Kemampuan Bahasa Melayu

BERITA
Selasa mStar online Februari 21, 2012
Instrumen UPM Tingkat Kompetensi BM Kini Dalam Peringkat Perintis
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: Instrumen yang sedang dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meningkatkan kompetensi bahasa Melayu kini dalam peringkat perintis, kata Naib Canselornya, Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi.

Beliau berkata, peringkat itu merupakan penilaian terhadap kesahihan dan ketetapan instrumen berkenaan sebelum ujian kemampuan bahasa Melayu dapat dilaksanakan dalam pengambilan pelajar baru akan datang.

“Kita akan pastikan instrumen ini lengkap sepenuhnya untuk diputuskan dalam mesyuarat Senat UPM supaya mengenakan syarat itu dalam pengambilan pelajar bagi kemasukan September ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Dr Radin berkata, instrumen tersebut bertujuan untuk meningkatkan kompetensi bahasa Melayu kerana terdapat lima peratus graduan UPM yang masih lemah dalam bahasa kebangsaan itu meskipun mereka memperoleh kredit dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apabila ujian itu disyaratkan dalam pengambilan pelajar kelak, ia sekali gus meningkatkan penguasaan graduan dalam bahasa Melayu sehingga seratus-peratus.

“Ia sememangnya mengambil masa namun tempoh pengajian pelajar di universiti membantu mereka menguasainya dengan baik menjelang tahun akhir,” katanya.

Beliau menambah, ujian itu bukan sahaja melibatkan bahasa penulisan tetapi juga artikulasi, sambil menjelaskan ia adalah pengusaan bahasa dalam konteks semasa.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah adakah pelajar itu nanti boleh berhujah atau mengkritik secara seimbang dalam bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Dr Radin, UPM sebelum ini sudah pun melakukan inisiatif seumpamanya terhadap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar yang diperkenalkan tahun lalu.

“Kita seboleh-bolehnya mahu mereka turut menguasai bahasa ketiga namun keutamaan adalah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

“Apa yang kita laksanakan ini adalah untuk melahirkan graduan yang ‘functional’ (berwibawa) yang kompeten terhadap bahasa,” katanya.

Mengulas mengenai saranan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru Dr Awang Sariyan yang melihat tindakan UPM itu sebagai permulaan baik yang perlu dicontohi universiti lain, Dr Radin berkata, ia merupakan antara amalan terbaik yang dilakukan pihak universiti untuk meningkatkan kompetensi pelajar secara individu.

Dr Awang sebelum ini menyarankan agar semua universiti melaksanakan ujian kemampuan dalam bahasa Melayu bagi pengambilan pelajar baru.

Ujian kemampuan bahasa Melayu yang bakal disyaratkan oleh UPM dalam proses pengambilan baru akan datang merupakan antara langkah universiti itu yang diberikan kuasa autonomi oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam meningkatkan kecemerlangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Selain UPM, sebanyak empat universiti lain turut diberikan kuasa autonomi iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Saturday, March 3, 2012

Esei Bahasa Berima oleh Pauzi Mohd Isa

Pauzi Mohd Isa
ESEI BAHASA MENGGUNAKAN SATU RIMA

Bahasa kita bahasa mulia, mesra berbunga umpama permata di serata buana. Di minda hamba teruja kerana Kembara Bahasa selesa membawa bahasa kita ke serata dunia. Tertanya-tanya juga hamba, mengapa di negara kita tidak seberapa? Mengapa ada suara-suara merengsa? Di jiwa hamba terluka lara. Kita berasa lega kerana Kembara Bahasa selesa berkuasa di meja pustaka. Di mata hamba, gembira di jiwa kerana ada usaha-usaha bergeliga. Kerana nurbisa bahasa, memaksa nuraga manusia mulia,sayugia menjaja serta memelihara permata berharga supaya cahayanya ceria berbisa di dunia. Para panglima bahasa, kita berbangga kerana anda ada usaha menjaga bahasa tanpa dicela serta dinoda para durjana.

Teruja hamba kerana bahasa ibunda kita ada cahaya di negara China serta ke serata dunia .Aroma bunga bahasanya tiada tara di sana. Di negara kita, terasa lukanya. Kenapa? Terma urusniaga cuma misalannya semata. Di mana-mana, ada celanya. Buka mata para pembaca. Hiba di jiwa hamba bisa berenga.

Bahasa pusaka kita umpama ada noda-noda berbisa. Kita terpaksa membuka jendela akta bahasa, perkara satu lima dua. Kenapa dikata keranda bahasa? Kerana kita leka menjaganya. Mana permata bahasa kita? Di angkasa raya, tiada guna bicara dek bangsa kita lupa. Maka hanya ada celepa sahaja, bersisa di riba bangsa kita.

Semua panglima bahasa kita, anda sememangnya berjiwa mulia. Banyak berjasa kepada bangsa, agama, bahasa dan negara. Hamba berbangga kepada anda semua. Cuba kita teka siapa punya angkara bahasa ibunda dihina? Ada yang terasa apabila kita berbicara perkara bermakna . Pertamanya, cara kita berbahasa. Cara cacamarba sesuka rasa. Kerana nila bahasa terluka lara.

Bangsa kita kena berjaga-jaga. Pelihara bahasa ibunda kita seberapa daya. Hanya bahasa kita ada, harta pusaka warga tua kita. Kita bangsa merdeka. Tanpa bahasa, kita bisa ditimpa petaka kepada budaya bangsa. Di mana muka kita? Kita diketawa, dihina sesuka mereka. Sirnakan semua dursila tanpa rasa curiga. Kedua, remaja pasca merdeka juga mendukacitakan hamba. Mereka selesa berbicara menggunakan bahasa tercela. Gua…caya…apa maknanya? Mana geliganya? Intihanya, jiwa hamba terluka.

Gara-gara bangsa kita terleka, alpa serta lupa, maka bahasa kita tiada terjaga serta tiada dimuliakan. Tanpa bahasa, bangsa kita tiada harga kerana pusaka bangsa kita tersiksa angkara kita juga. Ada caranya memelihara bahasa. Para cendekia berminda geliga, kenalah berusaha sedaya upaya menjaga permata berharga kita. Kata kena dikota kepada nakhoda bahasa. Berkelana bahasa terlara kita, memaksa para pendeta serta pujangga bersama-sama beremba memelihara tiara. Bahaya bahasa kita dihina kerana bangsa kita terasa luka di jiwa. Apabila cela bahasa bermaharalela, maka kata bicara sesuka rasa membawa celanya.Cara kita berbahasa kenalah disirnakan nilanya seberapa segera.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
3.3.2012(Sabtu), Jam 3.00 petang.
Tak Suka · · Berhenti Ikut · 9 jam yang lalu
Anda, Nur Aeis, Pibg Bersatu dan Jj Janzbizzare menyukainya.

Pibg Bersatu teringat seorang khatib di Batu Kurau, beliau selalu membaca khutbah Jumaat dengan irama sebegini, terasa segar benar
9 jam yang lalu · Suka

Nur Aeis Biar bicaranya berbentuk prosa
terasa membaca puisi dek indahnya rima
bersulam nada lara pada yang bermuka-muka
berbunga pesanan pada nak muda yang alpa

...
Lihat seterusnya..
9 minit yang lalu · Suka
Kembara Bahasa Kreativiti yang mengesankan dalam pemerian isu bahasa.
2 minit yang lalu · Suka